Kemarahan mula menyinari mata Meng Hao. Dia dikelilingi para pengikut daripada pelbagai Sekta Negeri Zhao dan para Pertapa berjubah putih menghampiri dari gerbang Timur. Peluangnya untuk melarikan diri sangat tipis jika dia menarik perhatian tiga sekta aneh di kota ini.
Ketika pengikut Sekta Negeri Zhao melihat pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung berjalan, keterujaan terpamer di wajah mereka. Sesiapa yang berkawan dengan pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung akan dapat meningkatkan kedudukan mereka dalam Sekta masing-masing dan akan diberi kelebihan untuk terus berkembang. Kebanyakan daripada mereka menganggap mereka tidak diendahkan pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung. Tetapi sebenarnya, pengikut tersebut sedang menghampiri mereka.
"Abang Sun sangat terkenal; itu sebabnya mereka datang ke sini."
"Ya. Dia saudara salah seorang Orang Lama daripada Sekta Arus Berliku. Asas Pertapaannya sangat luar biasa. Para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung mesti datang untuk memberi penghormatan kepadanya." Satu demi satu, senyuman mengampu muncul di wajah para pengikut Negeri Zhao, terutamanya pemuda yang berpakaian mewah itu. Dia menjadi semakin teruja. Mendengar bisikan orang yang berada di tempat kejadian, hatinya bangga. Nampaknya, dia sudah cukup terkenal sehinggakan pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung menghampirinya. Perkara ini pasti akan menjadi bualan dan kedudukannya di dalam Sekta pasti akan berubah. Namanya akan dikenali di seluruh dunia Pertapaan Negeri Zhao.
Bagi Meng Hao, apa yang terjadi bukanlah masalah besar. Dia tersenyum dan kelihatan tidak peduli sama sekali. Ketika pemuda berpakaian mewah itu bergerak ke hadapan untuk menyambut para Pertapa berjubah putih, pengikut Negeri Zhao berjalan bersamanya. Para pengikut wanita di antara mereka kelihatan sangat teruja.
Mata Meng Hao berkedip. Dia menarik lembing waja dari tanah dan kemudian berpusing untuk pergi.
"Saudara-saudara Tao daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung, aku, Sun, akan belanja kamu semua makan besar di Restoran Syurga Phoenix," kata Sun Hua dengan raut wajah yang sangat teruja dan bangga. "Rakan pengikut Negeri Zhao, sertailah aku untuk menyambut saudara dari Sekta Takdir Ungu Lembayung." Sekumpulan Pertapa di belakangnya membuatkan situasi kelihatan lebih nyata. Ditambah dengan riaknya yang teruja, jelas sekali dia yang memulakan langkah dalam kalangan para pengikut Negeri Zhao.
Malahan ketika kata-kata itu keluar dari mulutnya dan dia menunjukkan salam tunduk hormat, para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung berjalan melepasinya dan tidak langsung memandangnya. Secara beramai-ramai, mereka melewati seluruh kumpulan tanpa memandang dan bergegas ke hadapan.
Mulut Sun Hua ternganga ketika dia menyaksikan perkara ini terjadi dan begitu juga pengikut Negeri Zhao yang lain.
Pada masa yang sama, orang yang mengetuai pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung ketawa dengan sekuat hati.
"Rakan Tao, jangan pergi," katanya. "Saudara, adakah kamu baru sahaja kembali dari gunung khazanah? Kamu memiliki perilaku yang menonjol. Kami semua yang menyaksikan aksi kamu di gunung itu dan memandang tinggi terhadap kamu. Aku Qian Shuihen daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung. Salam, Rakan Tao, dengan penuh hormat bolehkah aku bertanya nama kamu?"
"Rakan Tao, sudah lama kami mencari kamu," kata yang lain. "Kami tidak pernah membayangkan kami akan bertemu dengan kamu di sini. Hahaha! Jika Rakan Tao mempunyai kelapangan, aku akan menyuruh seseorang untuk sediakan hidangan. Aku Lu Song daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung. Tolong izinkan aku menjamu kamu."
Antara sepuluh atau lebih pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung, hanya dua orang ini memiliki asas Pertapaan yang tertinggi. Mereka berada di tingkat kelapan Pemekatan Qi. Wajah mereka tersenyum dan mereka bergegas ke depan Meng Hao lalu menghalang jalannya. Mereka berbicara dengan sopan dan ketika menghampirinya, mereka memberi salam tumbuk hormat. Ketika pengikut Negeri Zhao melihat kejadian ini; mereka merasa kagum dan menghormati Meng Hao.
Kerutan yang hampir tidak kelihatan, muncul di wajah Meng Hao tetapi hilang dengan cepat. Dia tersenyum dan membalas hormat dengan sopan. Dia menggumam namanya dengan tidak jelas meskipun dia tahu walaupun dia tidak mengatakannya dengan jelas, orang-orang ini dapat mencarinya dengan mudah sekiranya mereka mahu.
Pertapa Negeri Zhao melihatnya dengan tidak percaya. Kepala mereka pening ketika menyaksikan pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung berbual dengan Meng Hao dengan cara begitu.
Sun Hua, terutamanya, berubah riak wajah dengan serta-merta. Dia sudah tentu rasa telah dimalukan dan melihat Meng Hao dengan raut wajah yang tidak percaya.
Dia tahu Pertapa berjubah putih itu berasal daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung di Wilayah Selatan. Mereka angkuh dan sombong. Mereka menganggap diri mereka tidak boleh ditandingi oleh mana-mana orang di dalam dunia ini. Namun, mereka sangat sopan kepada Meng Hao dan sangat menghormatinya.
Meskipun dia tidak pasti dengan apa yang baru sahaja terjadi, peluh dingin muncul di dahinya ketika dia melihat mereka begitu sopan. Dia sedar jika dia menguji lembing itu sekarang, pasti dia akan mendapat malu.
Bukan dia seorang sahaja yang terkejut. Malah, Zhou Kai turut memandang sambil tercengang. Pada awalnya, dia menyesal memanggil nama Meng Hao, tetapi melihat situasi ini terjadi, dia merasa sangat kagum dan bangga dengan Meng Hao.
"Abang Meng sangat layak menjadi pengikut Sekta Dalaman. Nasib baik aku berikannya Batu Rohani pada masa itu. Sekta itu dibubarkan dan kami dihalau seperti anjing liar, tetapi dia masih menimbulkan masalah. Entah bagaimana dia mendapat seorang pengikut daripada salah satu Sekta terbesar Wilayah Selatan yang melayannya dengan terlalu baik." Zhou Kai menghela nafas.
Dari atas Astaka Ratusan Khazanah, Qiao Ling tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lalu, dia mengerdipkan matanya beberapa kali sambil menyaksikan pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung mengelilingi Meng Hao. Ketika dia melihat Meng Hao berbicara dengan tenang sesama mereka, dia tidak boleh melupakan apa yang terjadi sebentar tadi antara dia dan Meng Hao. Dia semakin berminat dengan Meng Hao.
"Abang Meng," kata Qian Shuihen sambil mengalihkan topik perbualan kepada lembing di tangan Meng Hao. "Inikah lembing suci berharga yang kamu gunakan untuk melawan binatang Syaitan di gunung khazanah?" Dia telah melihat lembing tadi, tapi ia seperti tidak mempunyai kualiti yang luar biasa. Namun, dia masih ingat dengan jelas bagaimana Meng Hao menggunakannya untuk mencederakan begitu banyak binatang Syaitan.
"Tentu saja," kata Lu Song sambil ketawa. "Tindakanmu di gunung hari itu membuat aku rasa hormat kepada kamu. Abang Meng, tak usahlah menidakkannya."
Riak aneh muncul di mata Meng Hao, tetapi hanya buat seketika. Dia tersenyum dan mengangguk.
"Ya, inilah lembing yang aku gunakan pada hari itu di atas gunung," katanya jujur.
"Lembing ini sememangnya khazanah berharga," kata Lu Song. "Aku melihat kamu menggunakannya untuk mencederakan binatang syaitan yang tidak terkira jumlahnya. Tindakan Abang Meng yang hebat masih segar di fikiran aku." Dia melihat lembing itu sekali imbas dan matanya bersinar. Setelah itu, dia memandang Qian Shuihen dengan dingin dan saling berpandangan. Mereka jelas tidak menyukai satu sama lain dan kedua-duanya tahu pengikut yang lain juga berazam untuk muncul sebagai juara.
Ketika Pertapa Negeri Zhao mendengar semua ini, pandangan mereka terarah kepada lembing waja. Niat asal mereka adalah untuk memeriksa khazanah Meng Hao. Buat masa sekarang, mereka tidak perlu melakukannya. Jika pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung meyakini kekuasaannya, maka ia sememangnya betul.
Mata Sun Hua berkilauan dan dia berjalan beberapa langkah ke hadapan sambil merenung lembing waja.
"Tapi, aku nak cakaplah," Lu Song ketawa sambil menggelengkan kepalanya, "Abang Meng, kamu betul-betul telah mengucar-kacirkan ujian gentir kami. Kamu mengambil begitu banyak pil perubatan, Batu Rohani dan barangan sakti dari gunung khazanah itu…." Daripada raut wajahnya, dia kelihatan seperti tidak kisah.
"Oh itu…." Meng Hao ketawa sambil berundur ke belakang.
"Tak apa," kata Qian Shuihen sambil melangkah ke hadapan dan melihat lembing. "Gunung khazanah itu milik Si Aneh Song dan dia terlepas cakap dengan mengatakan sesiapa pun yang memiliki kemahiran akan dapat mengambil apa-apa pun yang mereka inginkan. Sebenarnya, tindakan Abang Meng membuatkan saya berasa sangat puas hati. Tetapi... Abang Meng, adakah kamu bersedia untuk menjual lembing ini? Sekta Takdir Ungu Lembayung sanggup menawarkan harga yang berpatutan untuknya! "Disebabkan Meng Hao memegangnya dalam tangan, Qian Shuihen tidak mempunyai cara untuk memeriksanya secara menyeluruh. Disebabkan dia tidak berada di tahap Pengukuhan Asas, dia tidak memiliki Deria Kerohanian. Oleh kerana itu, dia tiada cara memeriksa lembing itu.
"Mmmm…" Meng Hao kelihatan ragu-ragu.
"Abang Meng," kata Lu Song, matanya bersinar. "Lembing ini sangat penting bagi kami. Tolong berikan lembing itu kepada aku!" Dia tahu tujuan utamanya adalah untuk memaksa Meng Hao bersetuju. Maka, dia dan Qian Shuihen harus bersaing untuk mendapatkan lembing itu. Dia melangkah ke hadapan sambil bercakap dengan kepongahan yang membara dalam matanya.
"Si Aneh Song melayan orang dengan jahat dan tanpa belas kasihan. Kamu telah mengambil banyak harta yang paling berharganya. Jika Orang Kanan Sekolah Wu daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung tidak menahannya, Abang Meng akan berada dalam bahaya yang besar sekarang." Qian Shuihen terus maju, sikapnya sangat angkuh dan sombong. Dia tidak langsung cuba untuk menyembunyikan kekuatan dan kekuasaannya ketika dia bercakap.
Para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung yang lain perlahan-lahan bergerak ke hadapan dan membentuk bulatan di sekeliling mereka. Matanya berkilauan dengan keinginan untuk menyentuh lembing itu.
"Lembing ini hanyalah barang biasa," kata Meng Hao sambil melihat bulatan manusia. Dia berpaling kepada Lu Song dan Qian Shuihen dengan muka berkerut.
"Abang Meng, tak perlulah bergurau," kata Lu Song sambil ketawa, matanya memerhati hulu lembing itu. "Aku tahu aku tidak tersilap. Inilah lembing yang kamu gunakan. Takuknya berada di tepi, aku melihatnya dengan jelas pada hari itu."
Meng Hao memandang kosong ke arahnya. Gayanya macam dia telah melihat lembing itu lebih dekat berbanding Meng Hao sendiri. Dia tidak perasan apa-apa takuk sebelum ini, tetapi sekarang baru dia perasan takuk tersebut setelah dia melihatnya dengan lebih teliti.
Ketika Lu Song melihat reaksi Meng Hao, Lu Song menjadi semakin yakin. Meskipun dia tersenyum, matanya dingin. Dia tidak dibenarkan membunuh Meng Hao untuk mendapatkan tempat di Sekta Dalaman, tetapi dia boleh menggunakan cara lain dan dia tidak akan berganjak.
"Walaupun itu hanya benda biasa, kami masih ingin membelinya," kata Qian Shuihen sambil mengancam, suaranya lebih dingin berbanding sebelumnya. "Kami berazam untuk memiliki lembing ini. Tolonglah Abang Meng, janganlah menyusahkan kami. Jika tidak, kita akan ada masalah besar. Kamu mungkin memiliki lembing itu, tetapi Sekta Takdir Ungu Lembayung adalah salah satu daripada lima Sekta besar dari Wilayah Selatan. Bahkan setakat ini, kekuatan kami lebih besar daripada apa yang kamu bayangkan, Rakan Tao. Lagipun, bukan kami yang mahukan lembing itu, tetapi Orang Kanan Sekolah Wu. "
Setelah mendengar tentang perkara ini, Pertapa Negeri Zhao semua bertukar pandangan. Wajah mereka bersinar dengan ejekan terhadap Meng Hao, tetapi mereka tetap mendiamkan diri.
Sun Hua tersenyum lebar. Mendapatkan maklumat tentang lembing itu melalui bantuan mereka merupakan perkara yang baik. Tanpa mengendahkan apa yang akan terjadi pada akhirnya, dia mesti mengambil kesempatan daripada situasi ini untuk bertindak. Tambahan pula, sekalipun Meng Hao memiliki lembing yang berharga, dia tidak akan berani menyinggung perasaan sekta besar dari Wilayah Selatan.
"Jika aku tidak bersetuju, adakah kamu akan memaksa aku?" tanya Meng Hao, pandangannya semakin suram.
"Sekta kami tidak akan mencuri khazanah daripada orang," kata Lu Song sambil ketawa. "Tapi, Abang Meng fikir masak-masak. Apa gunanya Abang menyinggung perasaan kami? Lagipun, jika kami betul-betul ingin mencuri lembing, kami boleh menyuruh orang lain melakukannya untuk kami. Kami tidak perlu lakukan apa-apa pun." Dia melirik kepada pengikut Negeri Zhao yang berdiri tidak jauh dan mengangguk. Sun Hua dan yang lain tiba-tiba kelihatan sangat teruja.
"Abang Meng, aku, Qian, dan aku sangat mengagumi prestasi kamu di atas gunung khazanah. Tapi janganlah berdolak-dalih. Mahu atau tidak, kamu mesti menjual lembing ini kepada kami!" Matanya menggerunkan dan ucapannya kedengaran dingin.
Hati Meng Hao merintih. Jika mereka ingin membawa masalah kepada diri sendiri, dia tidak akan menghalang mereka. Pelbagai riak terbit di wajahnya dan dia berundur beberapa langkah ke belakang dan bergumam pada dirinya sendiri. Dia kemudiannya mengetapkan gigi sambil mengangkat kepalanya. Matanya merah.
"Para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung yang dihormati, jika kamu serius untuk membeli lembing aku, tolong sebutkan harganya." Meng Hao melibas lengan bajunya dan menusuk lembing ke tanah. Wajahnya muram dan penuh dengan kekesalan.