"Tak ada apa-apa, dia cuma terlalu gementar," kata Tang Qing lalu turut ketawa. Ketika itu juga, kereta Su Qianci berhenti. "Jom turun."
"Tetamu dulu," Su Qianci mempersilakan.
Tang Qing dan pengawal peribadinya turun dari RV itu bersama-sama. Shuang Yu berpaling ke arah Su Qianci, lalu mereka saling berbalas senyuman penuh makna.
Berjaya!
Su Qianci turun dari RV itu lalu berjalan ke dalam restoran sambil memaut lengan Tang Qing.
Pengawal peribadi Tang Qing mengerutkan dahinya. Tang Qing kelihatan agak malu dan mahu menolak Su Qianci, tetapi Su Qianci seakan tidak menyedari penolakannya. Su Qianci terus menarik Tang Qing dan meminta pelayan restoran mendapatkan bilik untuk mereka.
Disebabkan mereka tidak ramai, bilik yang diberikan tidak begitu besar untuk memuatkan bilik air.
Tang Qing melihat sekeliling lalu berasa lega dan berkata, "Saya nak ke bilik air."
Su Qianci mengangguk. "Pergilah."
Pengawal peribadi lelaki itu mengekori Tang Qing lalu Su Qianci ketawa kecil, "Kamu nak ikut dia ke bilik air?"
Tang Qing ketawa, tetapi pengawal peribadi itu tidak berhenti. Selepas mereka meninggalkan bilik itu, Shuang Yu turut keluar dan memerhatikan mereka pergi.
Senyuman di wajah Su Qianci serta-merta hilang. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan membuka satu aplikasi pengesan lokasi. Lokasi Tang Qing dapat dilihat pada aplikasi itu. Su Qianci mengeluarkan satu penyumbat telinga hitam yang sangat kecil dan menyumbatnya ke dalam telinga, kemudian melindungi telinganya dengan rambutnya.
"Perempuan tu dah jadi semakin licik. Dalam masa beberapa tahun saja dia dah berjaya kuasai kebanyakan helah Li Sicheng!" Kedengaran suara Tang Qing.
"Shhh." Kedengaran suara pengawal peribadinya pula dan keadaan menjadi sunyi seketika. "Okey, ia cuma pin rambut biasa."
"Kamu pandang dia terlalu tinggi. Perempuan jalang itu bodoh. Dia tak akan terfikir untuk lakukan apa-apa dengan pin rambut ini. Tapi aku rasa dia dah mula syak. Dia tahu aku tak boleh makan makanan laut. Macam mana aku nak mengelak sekarang?"
"Beritahu saja dia. Ramai orang yang ada alahan terhadap makanan laut. Tak mungkin dia fikir kamu Tang Mengying?"
"Tak, dia tak sebodoh itu. Sejak haritu lagi dia asyik tenung tangan aku. Aku rasa dia dah perasan sesuatu. Lagipun, kamu dengar apa dia cakap? 'Kalau saya kehilangan semuanya sekalipun, saya masih akan jadi pemenang terbesar.' Jelas dia cuba uji dan cabar aku!"
"Jangan fikir terlalu banyak. Sekarang pemenang terbesar ialah kamu. Malah Li Sicheng sendiri bukan tandingan kamu. Dah bertahun-tahun kamu seksa dia seperti seekor anjing. Apa perempuan ini mampu lakukan?"
Sebaik mendengar kata-kata itu, Su Qianci merasakan sesuatu memukul hatinya dengan kuat.
[Sekarang pemenang terbesar ialah kamu.]
[Malah Li Sicheng sendiri bukan tandingan kamu.]
[Dah bertahun-tahun kamu seksa dia seperti seekor anjing.]
Perkataan-perkataan itu berdengung dalam kepada Su Qianci. Dia mula berasa sebak dan matanya mula kabur. Betulkah? Li Sicheng masih hidup. Suaminya masih hidup! Walaupun dia sentiasa percaya suaminya belum mati, tetapi sebaik mendengar kata-kata yang mengesahkannya itu, dia masih berasa terkejut. Li Sicheng masih hidup, tetapi apa yang berlaku kepadanya? Di mana dia sekarang? Apa yang Tang Mengying lakukan kepadanya dan bagaimana keadaannya sekarang? Su Qianci berasa kecewa kerana dia langsung tidak tahu apa-apa!
Tang Mengying tidak tahu rahsianya telah terbongkar kepada Su Qianci. Dia ketawa dengan bangga sebaik mendengar kata-kata pengawal peribadi itu. "Hahaha… betul kata kamu. Li Sicheng sendiri bukan tandingan aku. Apatah lagi perempuan itu?"