"Rakan-rakan, ini rancangan kita buat masa ini." Seorang gadis yang sedang berpakaian serba biru kehijauan berkata di dalam sebuah khemah dengan dagunya yang diraih sedikit, menuding jarinya yang runcing ke arah peta topografi di atas meja. Dia berucap kepada ahli tentera di sekelilingnya dengan nada yang serius, "Operasi ini akan bermula pada pukul 1:45 pagi, Xia Zhi akan mengetuai pasukan pertama ke Jambatan Chi Chao antara Tasik Chao dengan Chi Sui untuk bersiap sedia untuk menyerang hendap. Xirui dan Bian Cang, masing-masing akan mengetuai lima orang tentera di bawah jambatan supaya dapat memusnahkan perahu jerami yang menyeberangi sungai itu, memutuskan cangkuk kunci lintasan sungai. Selepas itu, Zhi Xia akan memulakan serangan, memusnahkan kedudukan pertahanan Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar yang terletak di atas jambatan. Jangan risau jika pertempuran bertambah genit, tapi ia harus dihentikan apabila colok setanggi habis dibakar. Kalian faham tidak?"
"Ya!" Zhi Xia, Xirui, dan Bian Cang mengganggukkan kepala mereka serentak setelah menerima arahan tersebut.
Wanita itu kemudiannya meleretkan jarinya di sepanjang garisan barat di atas peta, lantas berpusing dan berkata, "Ah Du akan mengetuai pasukan kedua untuk bersiap sedia untuk menyerang hendap di sepanjang jalan di Kampung Suo He selaras dengan operasi Zhi Xia. Ini akan menghalang Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar daripada menghantar bantuan ke kedudukan pertahanan mereka di jambatan apabila Zhi Xia menyerang mereka. Misi kamu, untuk menyekat laluan antara Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar daripada Penjara Utara apabila kamu berada di daerah utara dan cuba sedaya upaya kamu untuk menangguh pasukan tentera mereka selama dua jam."
Dengan raut wajah yang bersungguh-sungguh, Ah Du mengangguk dengan tegar sambil berkata, "Cik Puan tak perlu risau."
Wanita tersebut mengangguk dan membuat satu bulatan di bahagian atas peta dengan jarinya, dan lantas menunjuk ke arah umum dengan tegas sambil berkata, "Misi kalian, untuk menyelinap ke dalam kem bawah tanah Penjara Utara dan menyelamatkan Encik Mu dan Cendekiawan Zhu yang sedang dikurung di sudut barat laut penjara air. Kalian juga harus menyelamatkan 28 rakan seperjuangan kita di Menara Tian Yuan di bahagian selatan penjara. Sesetengah daripada mereka mungkin tidak dapat berjalan, tapi kalian harus menyelamatkan mereka semua dan membawa mereka ke kampung Gu Ding yang berada lima belas batu ke arah barat daya dari sini. Setelah itu, pasukan bantuan akan mengambil mereka semua dengan menggunakan beberapa buah gerabak. Sebab itulah kita kena mengambil risiko dan memulakan operasi ini dengan lebih awal."
Khemah tersebut senyap akibat ketekunan semua orang yang sedang mendengar arahan wanita itu.
Wanita tersebut mempunyai raut wajah yang tenang apabila dia menyambung, "Kira-kira 300 meter di hadapan Penjara Utara, semuanya dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan yang tebal dan rimbun. Tapi, dalam 100 meter daripada penjara itu, semua pokok-pokok itu telah ditebang, dan tiada sebarang perlindungan langsung. Keempat-empat penjuru penjara mempunyai lapan menara pengawal yang sentiasa berpengawal pada setiap masa, jadi kalian semua harus merangkak."
Wanita itu lantas berpaling untuk mengeluarkan sekeping lagi peta dan berkata, "Tengok, ini peta Penjara Utara yang lebih ringkas dan padat. Ini gudang tentera, tempat simpanan makanan, gudang senjata, kuarters rehat untuk tentera, dan ini, inilah destinasi kita: Menara Tian Yuan dan juga penjara air di barat laut. Saya hendak kamu semua menghafal setiap sudut peta ini dalam masa dua jam; tiada ruang untuk kita melakukan kesilapan. Dua daripada kamu kena mengkoordinasi gerakan kamu antara satu sama lain untuk mejalankan misi ini. Apabila misi dimulakan pada jam 1:45 pagi, Cheng Yan akan mengetuai pasukan ketiga dan keempat untuk melancarkan serangan, sementara Ah Du dan Ah Cheng mengetuai pasukan pemanah untuk bergerak sekitar kem di sepanjang parit. Para pemanah seterusnya akan menjatuhkan pengawal-pengawal di menara pengawal dengan panahan mereka, dan mereka harus dibunuh dengan satu panahan sahaja; tiada seorang pengawal pun yang boleh hidup. Setelah ia selesai, Cheng Yang akan mengetuai pasukan penyerang utama untuk membuka pintu gerbang penjara, dan pasukan itu kemudiannya akan dipecahkan kepada dua pasukan, di mana satu pasukan akan menyerang ke arah barat, seolah-olah mereka akan menyerang gudang senjata serta pangkalan peruntukan, dan akan mengumpan para pengawal untuk bergerak ke kedudukan mereka, membuatkan suasana menjadi huru-hara. Kumpulan yang lagi satu akan memanah medan berek dengan anak panah yang terbakar, namun tujuan kalian bukanlah untuk membunuh para pengawal, tetapi sekadar untuk mengalihkan perhatian mereka supaya melambatkan pasukan tentera yang melarikan diri. Kalian semua kena ingat, jika semua ahli tentera berjaya keluar dari berek, misi kalian telahpun gagal. Kalian semua kena cekap dengan panahan kalian dan jangan bertindak melulu. Xiao Jiong akan membantu kalian daripada luar, mendapatkan kuda-kuda kita untuk bergerak melalui hutan tebal seolah-olah pasukan musuh sedang menyerang kem tersebut."
Xiao Jiong sedang berdiri di sebuah sudut, dia hanyalah seorang anak kecil yang belum berusia 17 tahun pun. Namun, parut-parut di kulitnya yang sawo matang dan juga badan tegapnya itu jelas menunjukkan dia seorang yang handal dan juga telah bertempur dalam banyak peperangan. Xiao Jiong tersenyum sambil mengangguk, dan berkata kepada Cheng Yang, "Abang Cheng Yang, tolong jangan berkelakuan seperti dahulu, abang lupa siapa saya apabila abang keluar dari kem musuh dan abang memanah saya dengan anak panah yang tajam sebab abang fikirkan yang saya ini musuh."
Mendengar akan hal ini, sebuah letusan ketawa kedengaran kuat dari dalam khemah, meringankan suasana. Cheng Yan lantas menyiku remaja itu dengan lembut, dan berkata sambil tertawa, "Kamu ini memang betul-betul menyimpan dendam."
Wanita tersebut terbatuk lembut, dan lantas membuatkan semua mata untuk tertumpu ke arahnya, menjadi serius sekali lagi. "Pasukan pemanah Ah Li akan menjatuhkan para pengawal di menara pengawal dan juga pos pengawal, di mana selepas itu misi kita akan bermula secara rasminya. Cheng Yan akan mengetuai pasukan penyerang utama untuk meluru masuk ke dalam kem, meletakkan para pemanah lima meter antara masing-masing sementara pasukan penyerang sedang meluru masuk. Ini dilakukan untuk melindungi pasukan tentera yang sedang mara ke hadapan. Misi utama kalian, untuk menyelamatkan orang-orang tebusan; kalian tak perlu risau mengenai kedudukan lain. Ah Li akan menghapuskan semua sasaran dan melindungi kalian semasa kalian mara ke dalam, dan kamu semua kena bergerak ke penjara air di barat laut untuk menyelamatkan Encik Mu dan juga cendekiawan Zhu dan selepas itu kamu akan bergerak ke Menara Tian Yuan. Beberapa orang pengawal di sana merupakan ahli tentera milik kita; dan mereka telah menghapuskan pengawal-pengawal yang lain untuk kita semasa kita tiba di sana. Setelah kita berjaya menyelamatkan semua orang, kita kena berundur menggunakan parit di sebelah barat daya kem. Ah Li kemudiannya akan menyerang pasukan musuh di sayap kanan manakala Ah Cheng akan menyerang mereka daripada belakang sebagai alihan perhatian. Apabila Cheng Yang sudah memastikan mereka telah mendapatkan semua orang bersama mereka, nyalakan suar hijau. Pada pukul 3 pagi, pertempuran patut berhenti dan kamu semua patut berada di lokasi yang telah ditetapkan pada pukul 3:45 pagi. Xiao Jiu akan mengaturkan keselamatan kamu semua daripada sana."
Mata wanita itu bersinar bagaikan butir salji, mengangkat wajahnya untuk melihat semua ahli tentera yang berada di dalam khemah tersebut sebelum berkata dengan nada yang lebih serius, "Ada yang masih tak faham tentang misi kita?"
Tiada siapa yang membalas, dan wanita itu mengangguk faham. "Bagus. Buat masa ini, sediakan senjata kalian dan sila hafal peta kem ini. Selepas setengah jam, saya akan bertanya setiap seorang dari kamu tentang prosedur pertempuran. Jika tiada pertanyaan lanjut, kita akan bertolak dalam masa satu jam."
"Ya," Para askar menjawab secara serentak sambil berdiri dari kerusi mereka. Khemah tersebut menjadi sempit dalam sekelip mata.
Wanita berpakaian biru kehijauan itu berdiri juga. Walaupun dia kelihatan kurus dan sakit, matanya yang sepet itu bersinar dengan penuh tenaga, lalu menggenggam jari-jemarinya untuk membuat sebuah penumbuk dan lantas diletakkan ke dada sebelum berkata dengan perlahan dan tenang, "Da Tong tidak akan mengalah."
"Ia tidak akan mengalah!" Para lelaki di dalam khemah itu bersorak bersama-sama, dan wanita itu mengangguk dengan setuju sebelum mereka keluar dari khemah seorang demi seorang.
Khemah tersebut menjadi senyap sepi secara tiba-tiba, bunyi yang kedengaran hanyalah datang dari angin kencang yang bertiup ganas dari luar khemah. Salji turun dengan lebat pada hari itu, menandakan tahun yang baik buat mereka. Mudah-mudahan rakyat bandar itu akan mempunyai kehidupan yang lebih baik pada tahun akan datang.
Setelah menghirup teh, seorang budak lelaki berpakaian berwarna coklat meluru masuk ke dalam khemah dan berkata, "Cik Puan, Encik Wu berada di sini."
Wanita itu mengangkat keningnya sambil tangannya yang memegang cawan teh itu menggeletar sedikit, dengan pantas dia menenangkan dirinya dan berkata, "Ajak dia masuk ke dalam."
Angin segar meniup masuk ke dalam khemas semasa lelaki itu menanggalkan topinya. Dia sedang memakai jubah hijau dan kelihata pintar dan segak. Dia berumur sekitar 27 ke 28 tahun dan kedutan di tepi matanya dapat dilihat dengan jelas, namun ia langsung tidak menggugat aura elegan yang dipancarkan olehnya. Dia meletakkan segala barangan yang dibawanya sebelum tersenyum dan berkata, "Ah Yu."
Secara semula jadi wanita itu mengambil jubah gelap daripada Wu Daoya sambil tersenyum manis. "Bila awak balik ke sini? Bukan ke awak sepatutnya pulang ke Yan Bei?"
"Ada beberapa perkara penting yang memerlukan saya untuk pulang ke ibu negara dengan segera," Wu Daoya berkata semasa dia terduduk di atas bangku untuk menanggalkan kasut butnya. Beberapa serpihan ais terkeluar daripada dalam but apabila dia mencondongkannya.
Cik Puan Yu bermain-main dengan keningnya apabila dia berkata, "Awak datang dari dataran bersalji ke?"
"Apa yang saya boleh lakukan?" Wu Daoya berkata semasa meraih kepalanya, "Orang yang berada di dalam istana Sheng Jin itu akan menyambut hari lahirnya dan telah menjemput ketiga-tiga ketua negeri. Kawalan akan menjadi sangat ketat. Semua orang berasa paranoid sekarang ini; jadi lebih baik kita berhati-hati."
"Betul itu, lebih baik kita berhati-hati."
"Oh ya." Wu Daoya mengerutkan dahinya dan berkata, "Xi Hua telah menghantar surat dan berkata dua daripada kubu ibu negara telahpun dibongkar. Betul ke?"
"Ia hanya untuk menipu mereka." Cik Puan Yu tersengih sambil menuangkan teh ke dalam cawan, dan lantas menghulurkannya kepada Wu Daoya dan lalu menyambung, "Baru-baru ini, rondaan di dalam ibu negara sudah menjadi sangat ketat. Selepas Tahun Baru, suasana di ibu negara menjadi sangat tegang. Muhe Xifeng menjadi pegawai terbaru di bandar dan dia masih bersemangat untuk menjalankan tugasnya yang membuatkan semua orang tidak mampu untuk menjalankan kehidupan mereka dengan tenang. Saya sengaja membocorkan lokasi kedua-dua kubu yang terbiar itu untuk membenarkan dia melakukan tugasnya dengan baik supaya dia menjadi kurang bersemangat. Tetapi saya tidak membocorkan apa-apa maklumat sulit, dan ia agak sukar untuk menentukan maklumat yang dia kaji itu betul ataupun tidak, dan pasukan kita pun tidak mengalami kemalangan jiwa."
"Saya meneka 80% daripada apa yang awak cakap itu dengan betul." Wu Daoya tertawa kecil. "Keluarga Wei telah kehilangan jawatan mereka dan Wei Jin sudah dikalahkan dengan teruk di selatan. Ini menyebabkan Wei Shuye dilucutkan jawatan sebagai ahli majistret di ibu negara kepada keluarga Muhe. Keluarga Muhe dapat jawatan itu dengan sangat mudah. Nampaknya pertumpahan darah akan berlaku di dalam Majlis Ketua-Ketua Terhormat."
"Wei Guang si pengkhianat. Saya dapat rasakan 90% daripada kejadian yang telah berlaku diatur olehnya sendiri."
Wu Daoya mengerutkan dahinya dan kelihatan hairan, lantas dia bertanya, "Apa maksud awak?"
Cik Puan Yu mengeluh sebelum menjelaskan, "Daoya, dah tujuh tahun berlalu. Dalam masa kurang dari enam bulan, tuan muda akan dinobatkan sebagai Raja. Walau bagaimanapun, awak rasa tuan-tuan terhormat dalam empayar ini dan juga puak Ba Tu Ha di daerah utara akan membenarkan tuan muda untuk menaiki takhta Yan Bei tanpa sebarang bantahan? Selama beberapa tahun ini, mereka berusaha untuk mensabotaj tuan muda dalam segala hal, cuba untuk membunuhnya. Jika bukan kerana rasa takut akan kemurkaan Raja-Raja yang lain, mereka pasti sudah membunuhnya. Ini peluang terakhir mereka untuk menjatuhkan tuan muda; jadi mereka pasti akan mencuba sedaya upaya. Lagipun, ia merupakan hari lahir Maharaja; ketiga-tiga ketua negeri akan berada di bawah bumbung yang sama, dengan negara-negara jiran yang hadir untuk memberi hadiah dan juga ucapan mereka. Semua orang berasa risau jika huru-hara menimpa ibu negara. Walau apa pun yang terjadi di pengakhirannya, ibu negara pasti akan dibanjiri dengan darah, dan ahli majistret ibu negara pasti akan diheret masuk ke dalam permasalahan itu. Mengapa Wei Guang yang licik itu tidak dapat menjangkakan hal ini akan berlaku? Keluarga Wei sudah putuskan mereka akan melindungi diri mereka sendiri apabila empayar maharaja jatuh dalam keadaan huru-hara."
Wu Daoya mengangguk dengan bersungguh-sungguh dan berkata, "Hanya awak sahaja yang mampu berfikir sedalam itu. Nampaknya setelah Muhe Yunting mati, keluarga Muhe tidak akan dapat memegang apa-apa posisi untuk generasi Empayar Xia yang akan datang. Patutlah saya mendengar berita Zhuge Muqing telah menghantar Zhuge Huai ke daerah tenggara untuk menyelesaikan beberapa perkara dengan Empayar Song semasa saya dalam perjalanan ke mari. Langkah itu untuk menyelamatkan dirinya daripada segala huru-hara ini."
"Awak sudah berada dalam ibu negara terlalu lama, jadi awak tidak dapat memahami kaitan antara hal-hal ini. Selain daripada keluarga Muhe yang masih tidak jelas dengan situasi ini, memilih untuk berlawan dengan puak Ba Tu Ha berkenaan dengan wilayah-wilayah di Yan Bei, lima keluarga diraja yang lain telah memilih untuk keluar dari keadaan huru-hara ini. Keluarga Mu telahpun memanggil Tuan Muda Mu untuk kembali ke Ling Nan supaya dapat mengelak dari bencana besar ini. Peperangan awak ini sukar untuk dimenangi."
Wu Daoya bersetuju dengan menganggukkan kepalanya berat, dan lantas menghembuskan keluhan yang besar. "Dua ratus ribu ahli tentera Yan Bei telah bersiap sedia selama tujuh tahun untuk menunggu hari ini. Walau apa pun yang terjadi, kita harus pastikan yang tuan muda dapat keluar dari ibu negara dengan selamat. Seluruh keluarga almarhum Raja Yan telah mengorbankan nyawa mereka demi Da Tong. Kita tak boleh menyerahkan darah daging terakhirnya begitu sahaja."
Cik Puan Yu menepuk bahu Wu Daoya dengan lembut. "Kita akan mengatasi apa sahaja yang menghalang kita. Awak jangan terlalu risau. Walau apa pun yang terjadi, nyawa tuan muda pasti akan terselamat; itu sesuatu yang kita boleh yakin."
Mendengar ungkapan itu, Wu Doya tidak dapat menahan dari mendedahkan sebuah senyuman. Dia mengangguk dan berkata, "Oh ya, awak rasa budak kecil itu bagus juga, bukan?"
"Ya." angguk Cik Puan Yu. "Pada usia yang muda, ia sangat jarang untuk menjadi secerdik itu. Pada awalnya, saya kena melakukan banyak perkara supaya dia mempercayai saya. Jika bukan kerana dia yang berada di sisi tuan muda selama beberapa tahun ini, saya pasti yang keturunan terakhir diraja Yan Bei pasti akan terhapus. Anak kecil ini sangat berbakat, saya akan terus memerhatikannya."
"Selagi awak di sini untuk melindungi mereka, saya tidak berasa risau. Saya tidak dapat untuk terus berada di ibu negara buat masa yang lama kerana saya perlu kembali ke Yan Bei. Satu lagi tahun di mana cukai musim bunga akan dikutip, dan saya harus pulang untuk memastikan mahkamah maharaja dan juga Ba Tu Lama tidak mengambil terlalu banyak cukai untuk dimasukkan ke dalam poket mereka sendiri. Walaupun kita masih belum mengambil alih secara rasmi, Yan Bei masih berada di dalam pegangan keluarga Yan, dan saya mengerti yang kita tidak dapat hendak pulihkan Yan Bei kepada zaman kegemilangannya, tetapi kita juga tidak mahu tuan muda untuk mewarisi sebuah negara yang kacau-bilau."
Cik Puan Yu tersengih dan berkata, "Jangan risau, saya akan melindungi mereka. Saya akan buat yang terbaik."
"Cik Puan, masa telah tiba!" Tiba-tiba, sebuah laungan kedengaran dari luar khemah. Apabila Wu Daoya mendengarnya, dia lantas berdiri dan berkata, "Saya hanya di sini untuk melawat sekejap saja. Saya akan bergerak ke kediaman Yan Bei selepas ini. Koleksi cukai untuk musim sejuk telahpun dihantar ke ibu negara, saya akan melihat jumlah yang telah dibayar tuan muda."
Cik Puan Yu mengangguk sambil berjalan keluar dari khemah mengikuti Wu Daoyo, dan dengan pantas lelaki itu menghalang wanita itu dengan lengannya, "Angin terlalu kencang dan awak masih lemah. Tak perlu untuk menghantar saya keluar khemah. Saya akan pergi sekarang." Setelah itu, dia memakai topinya kembali dan berjalan keluar dari khemah.
Wanita tersebut berdiri dengan muka yang penuh terpana sambil merenung kain khemah yang mengepak-ngepak. Setelah seketika, dia melangkah ke arah mejanya dan mengambil pelan pertempuran dan mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh.
"Ah Yu." Sebuah suara kedengaran tanpa mengetahui punca suara tersebut. Kain tirai khemah itu diangkat dan Wu Daoya melangkah ke dalam khemah sekali lagi.
Cik Puan Yu meraih keningnya dengan muka yang bingung semasa melihat wajah lelaki itu.
Wu Daoya berfikir dengan lama sebelum berkata, "Cuaca semakin sejuk dan semakin sejuk, awak kena jaga diri dengan baik. Jangan buat semua perkara sendirian, dan awak kena lakukannya dengan selamat dan berhati-hati." Setelah mengucapkannya, dia berpaling dan terus beredar. Walaupun angin di luar amat kencang dan sangat kuat, namun Ah Yu masih dapat mendengar tapak kaki lelaki itu yang semakin pudar.
Setelah beberapa minit berlalu, ringkikan kuda kedengaran kuat tiba-tiba. Cik Puan Yu masih lagi merenung ke arah tirai khemah semasa dia berbisik, "Awak juga."
Masa berlalu dengan pantas dan dalam sekelip mata, tujuh tahun telah berlalu. Keluarga maharaja dalam Empayar Xia merupakan ahli nomad pada masa dahulu. 300 tahun yang lalu, mereka tidak ubah seperti rakyat Quan Rong, menunggang kuda, menderap di sekitar Dataran Hongchuan, menjalani kehidupan nomad mereka untuk mencari tanah yang lebih menghijau. Di bawah kepimpinan Peiluo Zhenhuang, puak yang ganas ini melangkah ke dalam pandangan puak-puak ortodoks timur, menggalakkan budaya mereka, memajukan perdagangan mereka, dan juga membaik pulih teknik pertanian mereka. Setelah beberapa ratus tahun mengumpul pengalaman, bekas rejim asing telah menghapuskan cara-cara lama mereka dan mempamerkan diri mereka di bawah cahaya yang berbeza, menjadi lebih takzim dan juga dihormati. Rakyat Xia menjadikannya sebuah tempat dengan citarasa dan juga warisan mereka tersendiri. Mereka telah menukarkan tanah yang tandus yang ditimbusi dengan lapisan salji yang tebal itu. Berbanding dengan Empayar Yang yang pengecut dan juga Empayar Song yang mewah, Empayar Xia telah menunjukkan kemurahan hati dan juga ketenangan sebuah bangsa yang mulia.
Pada masa yang sama, keluarga maharaja Empayar Xia masih mempunyai semangat prairi di dalam diri mereka, dan walaupun mereka mempunyai perasaan yang tidak sedap mengenai tanah tersebut, namun mereka bersemangat apabila ia berkenaan dengan kuasa yang mereka akan peroleh. Mereka bersikap toleransi terhadap kaum-kaum yang lain semasa mereka mengambil alih beberapa wilayah, menyebabkan budaya mereka menjadi lebih meriah dan berwarna-warnia, menyatukan segala jenis budaya yang lain-lain. Ini menjadi satu pemandangan yang unik di tanah besar.
Istana Sheng Jin memenuhi plot tanah yang besar, dengan gaya seni bina yang dipengaruhi oleh pelbagai kaum dalam Mongolia barat. Ia mempunya aspek unik daerah Jiangnan sementara masih mengekalkan aura yang agak serius dan megah dari barat laut. Dinding luarannya teguh dan tembok merah berjubinkan emas. Platform-platform diperbuat daripada batu hitam legam dan paritnya sangat dalam. Istana tersebut mempunyai kawalan ketat, membuatkan suasana di dalam agak tegang. Di tengah-tengah istana, para pegawai sedang berkumpul untuk membincangkan hal-hal negara. Dewan mahogani, bangunan pintu gerbang emas, dan istana Xia Hua Sheng, semuanya kelihatan mewah dan megah. Para putera, puteri, dan gundik tinggal di belakang istana yang dipenuhi dengan pokok-pokok yang indah, sungai, astaka dan juga jambatan, landskapnya indah dan rumit. Air pergunungan dari puncak Ya Lang mengalir ke kawasan istana melalui paip-paip dan lantas menyegarkan bunga-bunga dan fauna di dalam istana sekaligus membuatkan istana tersebut untuk mempunyai sebuah pemandangan yang indah, meraih nama samaran 'Tang Selatan Kecil'.