Chapter 38 - Bab 38

Empayar Xia berasal dari dataran dan mempunyai sifat nomad. Ini menyebabkan mereka meningkatkan status sosial para wanita, dan lantas memberikan mereka penghormatan yang mereka berhak untuk dapat. Hal ini berbeza sama sekali dengan Empayar Tang dan Song. Terdapat banyak jeneral dan pegawai wanita di Empayar Xia untuk beribu-ribu tahun, malah di dalam harem istana juga ramai wanita yang menjadi ketua. Empayar ini mempunyai sikap toleransi terhadap tingkah laku di antara kedua-dua jantina. Oleh itu, selain dari gundik Maharaja dan juga para puteri yang berada di belakang istana, ramai pengawal yang ditugaskan di sana juga. Para putera yang masih belum menaiki takhta juga menetap di sana.

Pada masa ini, seorang putera muda sedang terduduk di kebun bambu di laman Ying Ge di belakang istana.

Pemuda ini berumur lebih kurang 20 tahun dan kelihatan kacak dengan anak matanya yang bersinar terang bagaikan bintang berkelipan. Hidungnya mancung dan keningnya tajam bak sebilah pedang, rambut hitamnya yang panjang diikat longgar dengan riben hitam. Jubah hitamnya disulam berbunga ungu Kirin elegan bersama awan-awanan yang membawa tuah di sekeliling hujung jubahnya yang diperbuat daripada Empayar Song. Kasut but yang dipakai oleh pemuda itu diperbuat daripada kulit rusa yang dicoretkan dengan gambar-gambar Qing Yun. Dia sedang beristirahat di hadapan meja batu biru dengan bau setanggi yang semerbak menyelubunginya. Sebuah Guqin berkilauan terletak di atas meja berhadapan dengannya bersama beberapa gulung skrol yang berselerak di sisi, botol wain berwarna jed bersama segelas cawan berukir naga bermutiara di rahang terletak di sebelah. Ia sememangnya sebuah harta warisan.

Walaupun ia musim sejuk, kawasan di sekeliling Pergunungan Xuan Lang terasa panas akibat dikelilingi dengan kolam air panas yang lantas menciptakan tempat perlindungan dari angin sejuk semasa musim sebegini. Apabila angin bertiup, udara segar akan mendesirkan kebun bambu yang kelihatan riang.

Kedua belah tangan pemuda itu secerah jed putih, dan jari-jemarinya runcing. Dengan perlahan dia mengangkat gelas untuk mendekati bibirnya, namun berhenti serta-merta. Matanya yang bersinar itu dikecilkan sedikit dan tanpa memandang, dia berkata ringan, "Keluarlah."

"Menjengkelkan betullah." Sebuah suara halus kedengaran tiba-tiba apabila seorang gadis muncul dalam penglihatan yang datang daripada dalam kebun bambu di belakang pemuda itu. "Awak dapat jumpa saya setiap kali, tak seronok langsung!"

Gadis itu berusia kurang dari 19 tahun dan sedang memakai baju berwarna ungu bersama skirt panjang yang bersulamkan rama-rama putih. Dia memakai tali pinggang berwarna hijau muda bersama bunga bakung yang tergantung di tepi pinggangnya. Rambutnya yang tebal dan mengurai itu diikat sanggul, dengan rambut depan yang mencapai ke telinga, loket jed merah pekat digantungkan di tengah-tengah kening, dan dia juga sedang memakai rantai agat bersama sepasang anting-anting Ding Lan. Walaupun dia kelihatan seperti orang berdarjat tinggi, namun dia tidak kelihatan sombong. Gadis itu menanggalkan kot bulunya semasa dia melangkah ke arah pemuda tersebut, dan lantas berkata dalam nada ringkas, "Ayahanda saya terlalu manjakan awak sangat. Saya baru saja pulang dari perkarangan Lan Shan dan cuaca di sana terasa beku. Tengoklah tempat awak sekarang ini, salju mencair sebelum ia menyentuh tanah pun."

Pemuda itu berpaling untuk berhadapan dengannya dan tersengih dengan tenang sebelum membalas, "Ia kasih sayang daripada maharaja."

"Hehe." Ejek gadis tersebut. "Jadi kenapa beliau tak tunjukkan kasih sayang itu kepada saya, lagipun saya ni kan puterinya."

"Tuan puteri."

"Kenapa awak panggil saya tuan puteri sekali lagi!" Jerit gadis itu sambil mencampakkan kotnya kepada salah seorang hambanya sebelum berlari ke arah pemuda itu.

Pemuda itu tersenyum tanpa daya dan berkata, "Chun Er."

"Jangan fikir yang awak boleh cairkan hati saya dengan bercakap sebegitu," Kata Puteri Chun Er semasa dia terduduk di atas bangku berhadapan dengannya. Dia mengembungkan pipinya dengan marah sebelum menyambung, "Boleh awak bagitahu saya kenapa awak tinggalkan jamuan sebelum ia berakhir? Awak dah menyebabkan saya untuk meninggalkan tetamu-tetamu yang lain kerana saya ingin mengejar awak di sini."

Pemuda itu berkata dengan senyuman manis, "Maafkan saya, ada perkara penting untuk saya lakukan."

"Apa perkara penting yang awak perlu lakukan?" Tangis gadis itu. Setelah menghabiskan ayatnya, barulah dia tersedar betapa melulunya tindakannya itu. Dia menjeling dengan berhati-hati untuk melihat riak wajah pemuda itu dan apabila melihat ia tidak membawa apa-apa reaksi daripada pemuda itu, dengan pantas dia berkata, "Awak tinggalkan jamuan itu kerana Wei Jing sampai ke? Dia baru saja kembali dari Selatan. Saya pun tidak mengetahui dia akan hadir, tolong jangan marah saya."

Pemuda itu mengangkat wajahnya dan menggeleng perlahan. "Tuan Puteri, jangan risau, Yan Xun takkan berani nak berasa marah."

"Awak panggil saya tuan puteri sekali lagi," kata Chun Er sambil mengerutkan wajah, lantas puteri tersebut berdiri dan menarik baju Yan Xun. Dia berkata marah, "Abang Xun, awak tak rasa kita setaraf?"

Yan Xun menundukkan wajah dan mengerutkan keningnya pada tangan cerah milik puteri itu, cuba untuk melepaskan genggaman tangan gadis itu daripada bajunya. "Tuan Puteri, awak cepat sangat berasa risau. Kita kena beri perhatian kepada status awak di dalam istana."

"Status tak guna tu. Suasana lebih baik masa kita muda dulu. Awak ingat tak semasa kita berusia sembilan tahun dan awak bawa saya ke rumah pelacuran untuk bergaduh? Tapi sekarang, awak kena sembunyi-sembunyi untuk menyebut nama timangan saya pun."

"Saya masih muda dan bodoh pada usia itu. Saya bertindak semberono saja."

"Jahatnya awak kerana berkata begitu!" Chun Er melemparkan botol wain tersebut ke tanah sambil berteriak, "Saya benci awak!" Setelah itu, dia terus berpaling untuk beredar.

"Semoga tuan puteri dapat menunggu sebentar," kata Yan Xun sambil berdiri dan lantas menghulurkan sebuah kotak yang dibaluti sutera ungu.

Chun Er mengerutkan keningnya. "Apa ini?"

"Ini hadiah hari lahir tuan puteri, dan ini hadiah daripada saya. Saya harap awak terima."

Wajah kecil milik Chun Er terukir sebuah senyuman yang lebar sambil dia membuka kotak tersebut dengan gembira. Setelah membukanya, puteri tersebut ternampak akan ekor seekor arnab yang berwarna putih terang. Mata gadis itu terbeliak pada masa yang sama dan dia berteriak, "Ini… ekor Yanyan ke?"

Yan Xun menggangguk. "Beberapa hari lepas, saya mendengar yang Yanyan menggigit tangan awak, dan Maharani telah memerintahkan supaya Yanyan dilibas sehingga mati sebelum membuangnya. Lama sungguh awak menangis disebabkan hal itu. Jadi saya menyuruh orang-orang suruhan saya untuk memotong ekornya supaya awak boleh terus mengingati Yanyan. Hadiah ini tidaklah seberapa sangat tapi saya harap awak tak kisah."

Mata Zhao Chun Er bergelinangan apabila dia menggelengkan kepalanya dan berbisik, "Barang kemas saya tak terkira banyaknya, tapi inilah hadiah terbaik yang saya terima. Abang Xun, terima kasih, saya gembira sangat." Pipi gadis itu terus menjadi kemerahan setelah dia menghabiskan ayatnya, ekor arnab itu tersemat di dalam genggaman dan dia terus berlari dari kebun bambu itu tanpa kotnya.

Yan Xun masih berdiri di tempat yang sama, senyumannya serta-merta hilang setelah gadis itu hilang dari pandangan.

"Putera Mahkota, Puteri Chun telah beredar."

Setelah mendengar laungan itu, dia terus membuka jubah yang disentuh gadis itu dengan senyap dan lantas melemparkannya di atas meja sebelum berpaling untuk beredar, dia berkata dengan nada yang serius, "Bakar jubah ini."

"Ya," orang-orang suruhannya menjawab dengan nada yang berat. Yan Xun telah hilang dari penglihatan apabila mereka mengangkat wajah mereka.

Cahaya matahari petang bersinar dengan terang. Yan Xun terduduk di dalam bilik bacaan, mempelajari dokumen-dokumen cukai yang baru sahaja dikemukakan untuk musim sejuk sambil merungut semasa membaca setiap bait kata dengan berhati-hati. Feng Zhi memasuki bilik tersebut sebanyak tiga kali untuk menjemput Yan Xun untuk makan tengahari, namun dihalau keluar oleh pengawal, Ah Jing, setiap kali dia cuba untuk menghadapnya. Dia hanya mampu menunggu di luar pintu.

Angin meniup lembut ke dalam bilik dan sekaligus mengayunkan setanggi yang berada di atas meja. Secara tiba-tiba, bau segar menyelubungi bilik. Bau tersebut bukan datang daripada istana mahupun dari setanggi orkid daripada Perkarangan Ying Ge. Ia juga tidak berbau seperti kebun bambu di luar, namun ia sebuah bau unik yang telah bercampur dengan lumpur dan tanah. Ia juga mempunyai bau seolah-olah sebilah pisau tajam.

Yan Xun mengerutkan dahinya semasa dia mengangkat wajah, dan terlihat seseorang yang baru sahaja memasuki bilik dan lantas raut wajahnya dilembutkan. Dia mahu berkata sesuatu yang lucu dan cuba untuk menahan ketawanya dengan melihat ke arah yang lain, namun hujung bibirnya masih mengukir sebuah senyuman.

"Kau dah habis ketawa ke?" Gadis yang memasuki bilik tersebut tidak kelihatan seperti dia berusia 16 tahun, masih remaja. Kulitnya cerah dan matanya bergelinangan, dia sedang memakai baju perisai kulit berwarna hitam yang membuatkan dia kelihatan seperti seorang pahlawan. Dia bersandar di dinding dengan tangan yang dikunci di dada, anak matanya bersinar gembira. Dia lantas berkata degil, "Masih sejuk di luarlah."

"Bila kau balik?" Nada suara Yan Xun selembut air, menghapuskan gaya dinginnya dalam sekelip mata. Dia merenung ke dalam mata gadis remaja yang berada di pintu sambil ketawa lembut.

Gadis itu juga melepaskan ketawa kecil dan mencondongkan kepalanya sambil membalas, "Baru saja tadi."

"Kenapa kau tak masuk ke dalam?"

Dia mencebikkan bibirnya dan menjawab dengan meluat, "Ada orang kata jangan bagi sesiapa masuk, walaupun berkenaan hal yang sangat penting."

Yan Xun mengangguk. "Ya ke? Kalau aku bagi arahan sebegitu, tapi mereka masih lagi berani untuk membenarkan kau masuk ke sini. Mereka patut dihukum sampai mati."

"Bukan ke aku masih berada di luar pintu?" Gadis itu mengangkat keningnya. "Siapa yang berani melawan perintah Putera Mahkota Yan?"

Apabila Yan Xun ingin membuka mulutnya untuk membalas, anak kecil di belakang gadis remaja itu terus berkata, "Saya kena cakap, Cik, tolong jangan melawan sangat cakap Putera Mahkota. Saya dah menyuruh ahli dapur untuk panaskan hidangan ini lebih daripada sepuluh kali untuk tuan putera. Tolong makan."

"Baiklah." Chu Qiao mengambil kotak makanan itu dan terus melangkah masuk ke dalam bilik bacaan. Dia tersenyum dan berkata, "Aku mengalah hanya sebab Feng Zhi."

Budak lelaki itu mengelap peluhnya sebelum beredar.

Yan Xun berdiri di belakang meja dan melangkah ke arah Chu Qiao untuk membuka jubah gadis itu sebelum meletakkannya ke atas kerusi. Dia terduduk di hadapan meja, melihat Chu Qiao yang sedang menghidangkan lauk-pauk di hadapannya dan hanya setelah itu dia memejamkan mata untuk menghidu hidangan yang disajikan, lantas dia berkata seolah-olah dia berada di dalam sebuah khayalan, "Sedapnya bau! Kenapa aku tak terhidu bau ini?"

"Hidung kau sudah tak berfungsi. Kau akan mati kebulur jika aku tak balik." Menghulurkan semangkuk pinggan kepada Yan Xun, Chu Qiao berdiri tegak di sisi pemuda itu sebelum menyuap segenggam nasi ke dalam mulut. "Puan Yu masih lagi tukang masak yang terbaik."

Riak wajah Yan Xun berubah sedikit, mempamerkan sekelumit rasa muram semasa dia menunduk untuk melihat remaja itu dan lantas bertanya, "Teruk ke?"

"Okay saja." Chu Qiao menggelengkan kepada dan menyambung, "Cuma sejuk membeku sangat."

"Kaki kau beku lagi?"

"Taklah, kasut but yang kau beri sangat selesa dan panas."

Yan Xun mengangguk dan berkata dengan nada serius, "Lain kali, biar Ah Jing dan yang lain-lain selesaikan perkara sebegini. Jangan terus larikan diri."

"Aku pun berharap untuk tinggal dalam rumah ini, tapi bagaimana aku nak pastikan yang perkara dapat diselesaikan?" Chu Qiao melepaskan keluhan panjang. "Nasib baik kita tak perlu terus lakukan perkara ni buat masa yang lama. Enam bulan lagi dan kehidupan kita takkan sesusah ini."

Raut wajah Yan Xun kembali ceria apabila tiupan angin menghembusi ke dalam bilik melalui tingkap yang terbuka sedikit, sekaligus membawa aroma dari kebun bambu di kejauhan.

"Kau jumpa Encik Wu?"

"Tak." Chu Qiao menggeleng. "Tapi aku jumpa Xi Hua dan dia kata Encik Wu telahpun memasuki ibu negara dan sedang mengumpul data untuk cukai musim sejuk. Dia menyuruh awak untuk tidak khuatir."

Yan Xun mengangguk dan melepaskan keluhan panjang. "Baguslah itu, dah lama aku tak tidur dengan nyenyak. Aku mengira cukai selama hari ini. Sekarang Encik Wu dah kembali, bolehlah aku berehat sedikit."

"Semuanya tenang di istana?"

Yan Xun melepaskan ketawa dingin dan tidak dapat menyembunyikan sindiran di sebalik ketawanya itu. "Masih sama. Tapi aku tak tahu sama ada kau tahu Wei Jing telah kembali. Aku baru saja bertembung dengannya awal tadi."

"Aku ada dengar." Chu Qiao mengangguk semasa dia membalas, "Makam di Pergunungan Nan Ji dahpun runtuh, dan Wu Jing tak dapat diampuni akibat kesalahannya itu. Aku dengar yang dia dah dilucutkan jawatan, tapi aku tak sangka yang dia akan pulang ke sini dengan begitu cepat."

Yan Xun meletakkan penyepitnya ke atas meja sebelum mengangkat cawan tehnya untuk dihirup. "Rancangan kau untuk menghapuskan punca masalah kita kini berjalan dengan lancar. Wei Shuye dah dikaitkan dengan Wei Jing, dan dia juga sudah dilucutkan jawatannya sebagai ahli majistret Ibu Negara. Ada ura-ura di dalam istana yang mengatakan Wei Guang yang merancang hal ini supaya dia dapat keluar dari jawatan tersebut. Walaupun dia tak bagii apa-apa komen mengenai hal ini, ketua-ketua terhormat sering menghakimi gerak-geri Wei Guang. Hanya beberapa hari lepas, mereka dah menyingkirkan keluarga Wei. Walaupun Muhe Xifeng tu tak berguna, Muhe Rongcheng bukan seorang vegetarian. Bila dia kembali dari Xi Ling, Majlis Ketua-Ketua Terhormat akan menjadi lebih rancak."

Chu Qiao masih menyumbat lauk-pauk ke dalam mulutnya. Namun dia masih dapat mengatakan dengan nada bersungguh-sungguh, "Kita masih perlu buat sesuatu mengenai hal ini; kita tak boleh menjadi cuai. Jangan risau, aku akan uruskannya."

Yan Xun mengangguk. "Aku boleh harapkan kau." Dia ketawa kecil dengan tiba-tiba setelah menghabiskan ayatnya dan menghulurkan jari jemari untuk mengusap pipi Chu Qiao.