Chapter 36 - Bab 36

Salji terus menuruni ke bumi semasa loceng kemangkatan dibunyikan. Di dalam istana Sheng Jin, sebuah bayangan hitam bertukar di dalam kuil turun-temurun yang mencecah langit. Dia berjalan terus di sepanjang koridor yang panjang dan sempit sehingga tiba ke jantung Empayar Xia, cahaya berkelip dari lilin yang telah menerangi lelaki tersebut dan lantas memberikannya satu bayangan gelap yang panjang di tanah.

17 April 770 dalam kalender Cang Bai merupakan satu tahun yang sememangnya tidak dapat dilupakan. Pada hari tersebut, seluruh kaum kerabat Raja Yan Bei, kecuali putera Yan Xun yang masih menetap di dalam ibu negara sepanjang tahun, telah mati dibunuh. Roh mereka tidak dapat berehat dengan tenang setelah pembunuhan mereka, termasuklah hukuman bunuh yang dikenakan ke atas mereka di Platform Jiu You di hadapan pintu gerbang istana Sheng Jin. Tubuh mereka dicacatkan dan dibakar lantas menghancurkan tubuh mereka untuk dijadikan abu mayat.

Kibaran bendera yang telah menyerang wilayah utara itu berkibar mengganas dengan senyap. Bendera tersebut berlambang seekor singa Yan Bei yang lasak, dan apabila keluarga-keluarga terhormat empayar cuba untuk membahagikan wilayah Yan Bei, sebuah perayaan yang besar telah disambut di prairie utara. 11 puak dari Quan Rong juga telah menghadirkan diri. Raja Da Han, Nayan Minglie, sendiri yang menjadi tuan rumah kepada perayaan ini untuk menyambut kejatuhan pemerintah Yan Bei dan juga kematian Yan Shicheng, sekaligus meraikan tanah utara yang subur seluas mata memandang yang telah diperoleh Empyar Xia yang pemurah dan lantas dihadiahkan kepada mereka. Tuhan Quan Rong juga telah merahmati penganut-Nya yang kasar dan lantas dengan itu, mereka percaya tiada seorang pun yang mampu menahan pedang pahlawan prairie.

Pada masa ini, angin sejuk terus mengganas melalui pintu usang yang menuju ke bilik yang terpencil dan juga sempit. Salji memasuki bangunan tersebut melalui bumbung yang pecah tanpa sebarang penakung arang mahupun pemanas bilik di dalam rumah. Ia hanya mempunyai sebuah katil usang yang kotor dan patah.

Di luar bilik, para askar sedang bersuka ria bermain permainan berserta alkohol sepanjang malam, bau daging yang kuat menyelubungi sekitar rumah. Wajah pemuda itu pucat dengan dahinya yang melecur, bibir yang merekah dah memutih itu kelihatan memualkan. Kening pemuda tersebut yang tebal dikerut rapat semasa peluh mengalir dari ubunnya, rambutnya lencun dek peluh.

Bunyi dentuman bergema kuat dari dalam bilik. Seorang gadis kecil berumur lapan tahun bergelut untuk mengangkat kerusi dan menghempaskannya ke atas lantas dan terus terburai menjadi beberapa keping kayu api, gadis itu lantas menghela nafas yang panjang sebelum mengelap peluh di dahi dan menyalakan api. Bunyi api menderak menandakan kayu api telah dimakan api, serta-merta memanaskan kawasan rumah. Gadis kecil itu lantas merebus semangkuk air dengan hati-hati. Setelah itu, dia memanjat ke atas pemanas tilam dan memeluk kepala pemuda yang berada di atas tilam tersebut dan membisik, "Yan Xun, bangun dan minum sedikit air."

Pemuda itu telah kehilangan deria pendengaran dan langsung tidak memberi sebarang reaksi kepada gadis kecil di sebelahnya itu.

Gadis itu mengerutkan dahinya dan mencapai sepasang penyepit yang terletak di atas meja dan lantas membuka mulut pemuda tersebut sedikit dan menuang air suam yang baru sahaja dipanaskan ke dalam mulut pemuda itu untuk ditelan, lantas Yan Xun terbatuk dengan kasar dan memuntahkan air yang diberi tadi.

Chu Qiao merenung air yang baru sahaja dimuntahkan ke atas lantai dan dia mendapati kesan darah yang telah bercampur dengan air itu dengan hati yang ranap. Pantas gadis itu mengetap bibirnya dan tersedu sebelum merangkak turun dari katil dan terus ke dapur untuk merebus air.

"Yan Xun?" Rumah tersebut menjadi tersangat sejuk apabila malam menjelma. Chu Qiao menyelimuti pemuda tersebut di dalam jaket bulu dan gebar selesa sementara dia hanya memakai jaket yang nipis, lalu melangkah dan terduduk di sebelah Yan Xun sambil memegang sebuah mangkuk porselin dan berbisik, "Aku dah tambah air ke dalam nasi untuk dijadikan bubur. Bangunlah dan makan sedikit."

Pemuda itu terus terdiam seolah-olah dia sedang dibuai mimpi. Namun, cahaya bulan yang menyinari matanya yang tertutup rapat itu jelas menunjukkan anak matanya sedang bergerak-gerak, Chu Qiao pasti pemuda ini masih terjaga dan hanya berdegil untuk membuka matanya.

Chu Qiao melepaskan keluhan perlahan sementara meletakkan mangkuk tersebut dan terus memeluk lututnya sambil bersandar di dinding.

Ribut salji mengganas di luar, mereka masih boleh melihat pokok layu itu di bawah cahaya bulan melalui rekahan tingkap dan pintu. Suara gadis itu perlahan semasa berkata, "Yan Xun, aku ni tiada apa-apa. Aku datang ke negara asing ini tanpa sebarang kuasa ataupun hak, tanpa keluarga atau kawan. Keluarga aku semuanya dah dibunuh. Ada yang dipenggal, ada yang dibuang negeri, ada yang dipukul sehingga mati, dan ada juga yang dikerat-kerat dan dibuang ke dalam tasik untuk diberi makan kepada buaya. Ada yang dirogol dan dibunuh semasa mereka masih muda. Mayat mereka dikumpulkan ke dalam sebuah gerabak seperti mereka sampah. Dunia ini sepatutnya adil. Walaupun kau seorang hamba dengan darah daging yang tak berdarjat, kau sepatutnya masih ada hak asasi untuk hidup. Aku tak faham akan kewujudan pelbagai darjat dalam masyarakat. Kenapa sang serigala ada hak untuk membaham arnab tanpa arnab tersebut mempunyai hak untuk bertarung demi nyawanya? Tapi aku faham sekarang; ia kerana arnab itu terlalu lemah dan tiada taring mahupun kuku yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Kalau seseorang itu tidak mahu dipandang rendah, dia kena mempertahankan dirinya sendiri. Yan Xun, aku kecil lagi, tapi aku ada banyak masa dan juga kesabaran. Sesiapa saja yang berhutang dengan aku, mereka tidak akan boleh melarikan diri. Aku kena terus hidup untuk pastikan yang mereka mendapat balasan di atas dosa mereka. Jika tidak, kalau aku mati pun, aku tidak akan tenang."

Bulu mata pemuda itu bergegar, mulutnya tertutup rapat. Ribut salji terus menghentam bumi sementara angin sejuk meniup melalui tingkap.

Nada suara Chu Qiao menjadi lebih serius apabila dia berkata, "Yan Xun, kau masih ingat kata-kata terakhir ibu kau? Dia hendak kau untuk terus hidup. Walaupun dunia ini kejam dan keji, kau kena terus hidup. Kau masih ada banyak perkara untuk dilakukan. Kau tahu mereka itu apa? Kau kena lalui penghinaan dan penderitaan ini dan tunggu peluang keemasan kau untuk membalas dendam ke atas kaum keluarga kau yang telah dibunuh dengan kejam! Terlalu banyak harapan keluarga kau yang ditanggung di atas bahu kau sekarang ini, terlalu ramai yang sedang melihat kau dari syurga. Kau mahu mengecewakan merekakah? Kau mahu mereka tidak tenangkah? Kau mampu untuk melihat tanah yang dibina ayah kau dimusnahkan dalam sekelip mata? Kau mahu mati di atas katil usang ini? Kau boleh terima hakikat orang-orang yang telah membunuh keluarga kau sedang tidur dengan nyenyak, menikmati kehidupan mereka setiap hari?"

Suara Chu Qiao tiba-tiba menjadi serak, seolah-olah sebilah pisau yang menghiris sebongkah ais dengan percikan ais yang berterbangan merata-rata. Dia mengatakan ayat seterusnya dengan perlahan dan jelas, "Yan Xun, kau kena terus hidup, walaupun ia bermaksud kau akan melalui sebuah kehidupan yang menyedihkan, sebuah kehidupan yang lebih rendah darjatnya dari haiwan, tapi kau masih kena terus hidup, sebab kau hanya akan ada peluang jika kau masih hidup. Kau hanya boleh mengurniakan segala impian kau kalau kau terus hidup dan kau hanya boleh ambil kembali hak kau kalau kau terus hidup. Dalam dunia ini, kau tak boleh harapkan sesiapa selain dari diri kau sendiri."

Dalam sekelip mata, deruan nafas yang kuat kedengaran. Dengan pantas Chu Qiao mencapai mangkuk porselin di atas meja dan menghulurkannya di hadapan pemuda itu. Matanya bersinar terang dengan penuh tenaga, seolah-olah api sedang bersemarak kuat di dalam dirinya.

"Yan Xun, terus hidup dan bunuh mereka semua!"

Renungan tajam terus terpancar dari anak mata pemuda tersebut yang dipenuhi dengan kemaharan mendahagakan darah kepada dunia yang kejam ini. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya dan membalas dengan berang dan nada yang jahat, "Terus hidup, dan bunuh mereka semua!"

Angin sejuk terus bersiul melalui rekahan tingkap sementara dua orang anak kecil di dalam pondok usang yang membeku itu yang sedang menggenggam tangan mereka dengan erat untuk dijadikan sebuah penumbuk.

Beberapa tahun selepas itu, Yan Xun yang kini dewasa berfikir sejenak akan peristiwa pada malam tersebut dan tersedar dia masih mempunyai ketakutan yang dibawa hingga sekarang. Dia tidak mengetahui apa yang akan berlaku jika dia tidak mempunyai ketakutan dan membiarkan gadis kecil yang tidak keruan dengan renungan mata yang tabah itu untuk terus hidup. Jika dia tidak menolong gadis kecil itu kerana sifat ingin tahunya atau mengucapkan selamat tinggal kepadanya pada hari mereka sepatutnya bergerak dari bandar, mungkinkah segala perkara buruk yang telah berlaku akan hilang seperti sebuah mimpi? Mungkinkah pemuda dari keluarga terhormat ini masih akan diburu kerana krisis dalam kehidupannya? Mungkinkah dia akan berada dalam keperitan yang mendalam sehingga dia akan mati berseorangan dan dengan menyedihkan?

Namun, terdapat terlalu banyak 'kemungkinan' dalam dunia ini. Kerana itu kedua-dua anak kecil yang sebatang kara ini membuat perjanjian yang senyap dalam kegelapan dan kesejukan malam: Terus hidup. Walaupun mereka harus melalui kehidupan yang menyedihkan, mereka harus terus hidup!

Malam yang panjang akhirnya melabuhkan tirainya. Sebelum subuh datang menyapa, istana Sheng Jin telah menghantar sebuah pesanan kepada mereka. Terdapat banyak sebab mengapa mereka telah menghantar utusan tersebut untuk mengutip harta peperangan- untuk meninggalkan Yan Xun supaya dia mati. Ia berkemungkinan bahwa mereka langsung tidak mempunyai apa-apa agenda. Raja lain dalam empayar telah mengerah maharaja untuk memerintahkan Yan Xun, putera Raja Yan Bei, supaya dapat menaiki takhta. Walau bagaimanapun, pemuda itu hanya boleh menaiki takhta apabila dia berusia 20 tahun dan sehingga itu, pengawalan wilayah Yan Bei akan dibahagikan kepada raja-raja empayar dan juga maharaja sendiri. Yan Shizi diminta untuk pulang ke ibu negara, Bandar Zhen Huang, supaya dapat dijaga oleh keluarga diraja sehingga dia cukup umur.

Sebelum itu, dia perlu menunggu selama lapan tahun lagi. Dia harus melalui lapan tahun sebelum dia dapat menjejakkan kaki ke Yan Bei.

Pada 21 April, Yan Xun telah berpindah dari kediaman Yan ke istana Sheng Jin; istana yang mempunyai kawalan terselamat dan terketat di seluruh Empayar Xia.

Pagi itu, angin kencang bertiup dengan ganas sementara salji terus menari-nari di sekelilingnya. Yan Xun memakai kot mink Yan Bei berwarna hitam semasa dia berdiri di atas dataran Zi Jin yang megah. Pintu gerbang Zi Jin dan platform Jiu You berada di hadapannya, dan di belakangnya terdampar luas wilayah utara empayar. Di sana terletaknya kediaman Yan Xun tidak lama dahulu, tempat di mana dia membesar, tempat di mana dia dapat bersama-sama ahli keluarga tercinta. Yan Xun percaya dengan sepenuh hati mereka sedang melihat gerak-gerinya dari syurga, menjaganya dengan senyap dan menunggu saat putera muda ini akan memasuki Yan Bei dan Shang Sheng, melalui pergunungan He Tong!

Hari tersebut akan menjadi bulan keempat setelah penjajahan empayar ke barat. Walaupun tentera barat masih berkecamuk, mereka masih dapat menangkap dalang kepada segala kekacauan ini. Raja Yan Bei telah menyembelih keluarganya dengan kejam, pasukan tentera ganas milik Empayar Xia sekali lagi menggunakan kecekapan mereka untuk menjaga maruah empayar. Namun beberapa tahun selepas itu, ahli sejarah tidak dapat menahan diri mereka dari terlopong apabila melihat skrol sejarah. Pada masa itulah Empayar Xia telah menakdirkan kematiannya. Api kematian yang membara dinyalakan kembali di dalam tasik kematian- segala kekejaman dan pembelotan yang telah dirancang, keganasan dan kezaliman yang dapat memusnahkan segalanya. Pedang yang telah menghancurkan kehidupan pemuda ini juga telah terhunus ke dalam hatinya, membuatkan darah terpercik keluar dari kecederaan yang sedang ditanggung. Segala yang diperlukan oleh Yan Xun untuk membenamkan empayar ke dalam kuburnya sendiri.

Pemuda itu menggenggam tangan kecil milik gadis lapan tahun itu dan terus melangkah melalui pintu gerbang istana yang berat dan lantas ia tertutup perlahan dengan satu dentuman perlahan, menghalang segala cahaya yang menerangi kawasan melalui pintu gerbang itu. Angin kencang masih menggila namun dihalang oleh tembok besar istana, hanya seekor helang yang penglihatan tajam sahaja yang dapat melihat kedua orang anak ini sedang berjalan menuju ke istana.

Semasa matahari terbenam dengan cahaya kemerahan, kedua bayangan pemuda dan gadis kecil itu kelihatan sekecil zarah ketika mereka berdiri di anjung istana yang megah itu, namun mereka masih berdiri tegak dengan penuh yakin. Suatu hari nanti, mereka akan meninggalkan kesan darah di belakang mereka sementara bertarung untuk keluar dari pintu gerbang emas kemerahan ini, bersebelahan dengan satu sama lain! Tuhan pun percaya dengan sepenuh hati-Nya yang hari itu pasti akan datang menjemput!