"Dia terjun cenuram tu,"
"Apa?" Zhu Shun berasa marah lalu mengeherdiknya, "Kau ingat aku ni bodoh ke? Kau maksudkan gadis kecil daripada keluarga Jing tu dah umpan kau dan terjun lepas tu bunuh diri dia?"
"Saya…"
"Semuanya mengarut," Zhu Shun menjerit, "Kau berada di sini selama empat ke lima tahun dan aku selalu layan kau dengan baik. Pergaduhan kau dengan Jin Zhu di Istana Qin Shan tu kau punya hal, tapi kenapa kau nak babitkan aku dalam hal ni juga? Apa yang kau cuba lakukan sekarang ni? Kau cuba nak babitkan aku dalam masalah di hadapan kesemua tuan ke?"
"Pembantu Zhu, tolong percayakan saya."
"Kalian! Ajar dia cukup-cukup!"
Suatu teriakan yang memekikkan telinga kedengaran.
Chu Qiao memegang tali yang telah disediakan terlebih dahulu itu dengan erat dan membuai dirinya ke sebuah gua kecil. Pergunungan bersegi lapan ini dibentuk oleh timbunan batu arang. Setiap musim bunga, dapat dilihat lumut berwarna ungu yang tumbuh pada batu arang tersebut. Setelah membakarnya, boleh terhidu suatu bau yang menenangkan jiwa. Setiap musim bunga juga, orang-orang suruhan dari keluarga Zhuge akan mengutip lumut-lumut yang terdapat di cenuram itu dan setelah beberapa lama, mereka telah menghakis lumut sehingga terbentuk lubang bersaiz manusia. Chu Qiao telah menghabiskan banyak masa di laman belakang dan telah menyedari kehadiran lubang ini buat seketika. Dia meletakkan rumput-rumput layu yang telah dicarik-carik dengan berwaspada dan menyimpan talinya, menunggu saat orang-orang tersebut akan beredar.
Pada masa ini, pernafasan yang hangat dapat dirasakan di telinganya, dan satu suara lelaki berbisik dan ketawa kecil, "Gadis kecil ini, kenapa nakal sangat?"
Chu Qiao terperanjat besar. Dia terus berpaling dan pantas memukul lelaki itu dengan menggunakan cangkuk yang terikat pada tali.
"Susah nak bayangkan yang kamu ni belum berusia sepuluh tahun pun." Lelaki itu licik dan menyambar tangan kecil Chu Qiao dengan mudah, suaranya tenang.
Kerana tubuh badan Chu Qiao yang kecil, lelaki ini telah menjatuhkannya ke tanah dengan satu tangan. Tetapi Chu Qiao yang degil ini tidak mahu berserah kalah mengangkat kepalanya dan terkejut sambil mengangkat kedua keningnya, "Itu kamukah?"
Lelaki tersebut terpana seketika juga dan meneliti kanak-kanak ini dengan berhati-hati. Dia mendapat satu ilham dan tersenyum, "Siapa aku? Jadi ini kamu sekarang, ubat tu masih berkesankah?"
Lelaki itu mempunyai kening yang kemas dan hidung yang mancung, bermata gelap dengan ketajaman yang tersembunyi di sebalik kelembutannya itu. Dengan kagumnya, dia merupakan seorang tetamu bagi gala pada malam ini, Tuanku Maharaja Yan, Yan Xun.
Chu Qiao nekad untuk mengangkat kepalanya dan berkata dingin, "Kenapa kamu berada di sini? Apa yang kamu cuba lakukan?"
Yan Xun tersenyum lebar, "Aku yang sepatutnya tanya kamu soalan tu."
Banyak cadangan yang bermain di minda Chu Qiao dan dia berulang kali mempertimbangkan untuk menolak lelaki itu jatuh daripada lubang ini. Semasa dia membuat pertimbangan, dia cuba untuk mencapai pisau belati yang tersembunyi di pinggangnya.
Yan Xun menuding jarinya ke arah Chu Qiao dan berkata dengan tenang, "Kalau kamu tak nak ditemui, lebih baik kamu dengar cakap aku dan jangan melakukan benda-benda lain. Kecilnya kamu ni, tapi kenapa teruk sangat?"
Chu Qiao mengangkat kedua belah keningnya, "Berbanding dengan orang seperti kamu, aku tak teruk langsung. Kamu pun tengah bersembunyi di sini, pasti kau juga sedang melakukan benda yang tak sepatutnya juga. Mengata dulang paku serpih, jangan jadi hipokrit dan anggap yang kau tmacam dah bantu aku."
Yan Xun berdiri dengan serta-merta setelah mendengar ini, menjerit, "Siapa di atas?"
Chu Qiao terperanjat dan tidak sempat untuk menghalang Yan Xun. Jika dia ditemui, Xiao Ba juga pasti akan ditimpa masalah. Dia menarik keluar pisau belatinya dengan pantas dan menghunuskannya ke arah Yan Xun.
Yan Xun memberikan tumbukan sauk dengan refleks semula jadi dan menerkam mulut Chu Qiao, sekaligus meletakkan Chu Qiao di dalam pelukan Yan Xun. Pada masa yang sama, suatu suara yang cemas datang dari atas dan Yan Xun menjengukkan kepalanya ke luar gua dan lantas menjerit, "Tuanku Maharaja ada dekat sini, cuba untuk menghargai pokok-pokok plum. Kenapa kalian berbuat bising ni? Cepat pergi dari sini."
Zhu Shun telah dibawa ke cenuram oleh orang-orang suruhannya dan apabila terlihat Yan Xun, dia serta-merta kehilangan pengaruhnya dan menunduk hormat buat masa yang lama sebelum tergesa-gesa mengarahkan orang-orang suruhannya untuk beredar.
Yan Xun tersengih lebar apabila melepaskan lengan Chu Qiao, berpusing dan berkata, "Ini dikira sebagai aku tolong kau kan?"
Ketinggian Chu Qiao yang kecil molek itu berada tidak melebihi paras bahu Yan Xun. Dia memanjangkan telinganya dan mendengar seketika, menyedari yang pergerakan dari atas telah berhenti. Dia melemparkan talinya ke atas dan memastikan yang cangkuk itu telah tersangkut dengan betul sebelum memanjat dengan licik.
Yan Xun mengecilkan matanya dan merenung Chu Qiao. Walaupun dia pastinya telah menjadi lebih tangkas, namun dia kelihatan seperti tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang seni mempertahankan diri. Dia juga bukan seorang yang bertindak melulu dengan tindakan lincah walau dia seorang yang berani. Gua tersebut hanyalah satu meter daripada permukaan tanah, jadi Yan Xun mencapai tebing cenuram dan berpegang teguh sebelum melonjak dengan penuh tenaga ke atas permukaan.
Chu Qiao menyimpan tali dan melihat sekeliling untuk memastikan keselamatannya sebelum beredar. Dia segera berpaling ke belakang dan lantas berkata dingin, "Aku tak suka berhutang budi dengan orang lain. Lepas ni sebelum kau balik, periksa kuda kau dengan hati-hati."
Yan Xun tercengang seketika. Setelah dia tersedar kembali ke realiti, anak kecil itu telah lama beredar. Di kejauhan, gadis kecil itu kelihatan seperti seekor anjing yang sedang merangkak di laluan yang penuh lekak-lekuk ini dan telah hilang dari pandangan serta-merta.
Tuanku Maharaja Yan yang muda itu mengecilkan matanya dan tersengih, "Menarik."
Menuruni pergunungan bersegi lapan itu, Chu Qiao telah melintasi laluan yang penuh dengan kerja pembinaan batu yang indah sempurna sebelum memasuki hutan pokok plum.
Pada hari ini, Kediaman Zhuge telah menerima keluarga-keluarga bangsawan yang berpengaruh di Bandar Huang sebagai tetamu, kawasan pokok plum itu berada di dalam pengawaan yang ketat, justeru suasananya senyap sepi. Semasa menyelinap masuk, Chu Qiao seringkali berjengket untuk memetik bunga plum dengan bersahaja.
"Oi kamu! Ke mari!" Satu suara biadab menyeru, kelihatan seperti ianya telah datang daripada seorang budak, tetapi dengan nada yang sombong.
Chu Qiao menjeling ke arah suara itu dan terlihat seorang putera muda yang berjubah hijau zamrud dengan sebuah gambaran rumit berbentuk arnab putih gebu berekor sabel yang telah disulamkan dengan benang emas ke atas jubahnya. Dia mempunyai wajah yang bijak dan hidungnya tajam tetapi sedikit berkerut. Anak matanya yang gelap itu merenung Chu Qiao dan menjerit, "Ya, kamu! Aku tengah bercakap dengan kamu!"
Chu Qiao memasamkan wajahnya tetapi berfikir bahawa ianya bukanlah masa yang sesuai untuk mencari masalah. Dia menunduk hormat dan berkata, "Saya masih mempunyai banyak kerja untuk dilakukan, jadi maafkan saya." Setelah dia menghabiskan ayatnya, dia berpaling dan terus beredar.
Putera muda ini terperanjat kerana dia tidak menyangka bahawa seorang hamba akan beredar tanpa diberi kebenaran seperti yang telah dilakukan Chu Qiao. Dia mengerutkan hidungnya dan mengeluarkan cemeti dan melibasnya, lalu melaungkan, "Kau budak tak guna! Beraninya!"
Setelah Chu Qiao mendengar libasan itu, dia segera berpusing dan menyambar hujung tali cemeti dengan tangannya sambil merenung tajam ke mata putera itu.
Putera itu tidak mengetahui bahawa hamba di kediaman Zhuge ini sangat ganas, dia menggunakan kekuatannya sedaya upaya untuk menarik cemeti itu tetapi ia langsung tidak bergerak. Dia mencebik dan mengherdik, "Kau ni nak mati ya? Aku akan beritahu orang-orang suruhan aku untuk kerat-kerat kau!"
Chu Qiao tersenyum dingin dan memusingkan tali cemeti itu dengan pantas dan ia serta-merta terlucut dari genggaman putera muda itu dan terus ke tangan Chu Qiao. Walaupun berumur kurang dari lapan tahun, tubuh badannya kecil dan muka yang suci, pandangan mata Chu Qiao yang tajam sudah semestinya bukan milik seorang kanak-kanak. Dia melangkah ke hadapan dengan tenang dan berkata tanpa sebarang emosi, "Cemeti ini digunakan untuk kejar kuda dan bukannya untuk awak memukul orang lain." Selepas ayat dilafazkan, dia menghulurkan kembali cemeti itu kepada putera tersebut dan beredar.
Melihat gadis itu bertubuh kecil namun mempunyai keyakinan yang tinggi dan pergerakan yang sungguh lincah, putera itu semestinya berasa tertarik kepada Chu Qiao. Melihat dia pergi, putera itu berasa bimbang yang dia tidak akan dapat berkata apa-apa yang menggalakkan jika mereka bertemu lagi disebabkan oleh egonya yang menggunung itu. Dengan angkuh putera itu telah menghalang laluan Chu Qiao, "Kau ni hamba daripada bahagian kediaman Zhuge yang mana satu? Siapa nama kau? Kau kenal aku ni siapa? Kau percaya tak yang aku akan menyuruh orang-orang suruhan aku untuk mengerat kau?"
Chu Qiao mengangkat kepalanya, merenung putera itu seketika dan menolak lengannya. Dia mengangkat keningnya dengan perasaan hina, "Kau tak boleh lawan aku jadi kau kena panggil orang-orang suruhan kau, lemahnya. Tak kiralah apa darjat kau, aku tak nak tahu pun."
Dedaun pokok plum itu menari-nari dengan putera muda berdiri di tengah-tengah; dia terpana melihat Chu Qiao yang telah menghilang dari pandangan.
Apabila sampai di Istana Qing Shan, Chu Qiao mengucapkan selamat kepada rakan-rakan sekerjanya dan bergerak pantas ke Dewan Xuan. Zhuge Yue sedang terbaring di atas katilnya dengan pergerakan yang malas dan hanya menjeling ke arah Chu Qiao tanpa mengangkat kepalanya.
Dia melangkah ke arah sebuah pasu bunga jed dan menukar bunga yang diletakkan di dalam pasu bunga itu semalam dengan sejambak bunga plum yang telah dipetik oleh Chu Qiao. Setelah itu, dia bergerak ke sisi Zhuge Yue dan melutut di sebelah pembakar setanggi dan mencampurkan lumut daripada bunga plum itu dengan beberapa helai daun selasih sebelum berhati-hati menuangkannya ke dalam pembakar setanggi itu dan mengipasnya dengan lemah-lembut. Bau yang menyegarkan serta-merta dapat dihidu, Zhuge Yue mengambil nafas yang panjang dan lantas memejamkan matanya.
Masa yang lama telah berlalu dan Zhuge Yue kelihatan seperti sedang tidur nyenyak. Pada masa ini, terdapat beberapa pergerakan pantas dari luar dan dia membuka matanya dengan lesu.
"Tuan Keempat, pembantu Zhu telah menghantar orang suruhannya untuk memberitahu kita bahawa mereka telah menangkap Jin Cai di pergunungan bersegi lapan, bersama periuk-periuk rotan dan banyak ular yang berbisa. Dia sedang diekori sekarang ni."
Zhuge Yue separuh membuka matanya dan berkata bersahaja, "Walaupun Jin Cai tu suka mengarah, tapi dia juga penakut, dia takkan berani untuk membawa ular berbisa dengan dia. Tiada siapa yang dengar apa dia cakap?"
"Dia cakap…" Hamba itu senyap seketika lalu menjeling ke arah Chu Qiao yang sedang duduk terdiam di suatu sudut. Lantas hamba itu berbisik, "Dia cakap yang dia mengekori Chu Qiao dan juga cakap yang Chu Qiao telah mengumpan dirinya dan juga Jin Zhu. Motif Chu Qiao ialah untuk membalas dendam atas semua kematian anak-anak kecil dari keluarga Jing."
"Xing Er," Zhuge Yue menyandar di atas katil, mengangkat cawan tehnya dan berkata dengan tenang, "Apa yang kau nak cakap?"
Chu Qiao melutut di atas lantai dan menjawab mudah, "Bukan saya yang melakukan semua tu?"
"Jadi ke mana kamu pergi?"
"Xing Er telah pergi ke taman plum."
"Ada orang lain yang nampak kamu?"
Anak kecil itu menggelengkan kepalanya tetapi berfikir sejenak lalu memberitahu, "Xing Er ternampak seorang putera muda di taman itu. Beliau bukan dari istana ni, dia nampak macam berumur lebih dari sepuluh tahun dan pakai jubah hijau zamrud dengan ekor sabel berwarna putih. Saya tak tahu nama beliau."
"Hm," Zhuge Yue menganggukkan kepalanya dan mengarah pengutus berita itu, "Kau boleh pergi."
Pengutus berita itu terpana sebentar dan lalu berkata dengan nada acuh tak acuh, "Jadi Cik Jin Cai akan…"
Zhuge Yue mengangkat kepalanya, menutup matanya dan bersandar di katil. Dia berkata lembut, "Dia kena terima hukuman atas kesalahan dia, tengoklah macam mana istana akan menguruskannya."
Pengutus berita itu mengangguk dan beredar. Kediaman itu senyap sepi dengan sedikit keharuman daripada setanggi yang dinyalakan itu.
"Xing Er, kau benci istana ni sebab membunuh ahli keluarga kau ke?"
Chu Qiao menundukkan kepalanya ke bawah dan menjawab dengan taat, "Tuan, Xing Er ialah hamba istana ni daripada kecil lagi. Dan hanya disebabkan Tuanlah saya ada tilam yang panas untuk tidur, makanan yang panas untuk dimakan dan baju untuk untuk panaskan saya. Saya kecil lagi dan minda saya tak boleh berhenti berfikir yang saya hanya nak berkhidmat untuk tuan saya dan hidup dalam keadaan baik."
"Ya," Zhuge Yue mengangguk. "Apa yang kau fikirkan tu betul. Walaupun kau ni muda, kau masih boleh diharap. Lepas ni, hal-hal Dewan Xuan akan diberikan kepada kau untuk diuruskan."