Terdapat beberapa perkara yang telah ditetapkan sejak kelahiran seseorang bayi, iaitu darah dagingnya dan juga takdir mereka.
Dia rebah di atas kerusi, mengangkat gelas wain dan menghabiskannya dalam satu tegukan, bersama semua buah fikiran yang dibenam jauh ke dalam sudut hatinya dan juga kemarahannya.
Chu Qiao baru sahaja berjalan masuk melalui pintu gerbang bandar dan terlihat para hamba milik keluarga Zhuge yang sedang memegang lantera dan lantas melihat sekeliling. Setelah melihat Chu Qiao yang sedang berjalan, mereka lantas berlari ke arahnya dengan penuh kegembiraan.
"Xing Er, tuan muda keempat suruh kami untuk menunggu awak dekat sini. Jom kita balik ke rumah tu."
Chu Qiao berhenti seketika. Memandangkan perwatakan Zhuge Yue yang lain daripada yang lain itu, Chu Qiao langsung tidak menyangka bahawa dia akan mengarahkan orang-orang untuk mencarinya. Chu Qiao lantas mengangguk dan memasuki pedati yang telah disediakan oleh para hamba itu.
Pedati kuda itu bergerak melintasi jalan bandar yang sibuk dengan gerai-gerai dan juga orang ramai. Bunyi bising dari luar pedati itu berkurangan dengan perlahan, dan akhirnya sunyi sepi, tidak dapat mendengar sebarang bunyi. Anak kecil itu bersandar pada dinding pedati kuda itu. Adegan pembunuhan secara besar-besaran yang telah disaksikannya tadi mula bermain-main di mindanya-renungan mata yang dingin milik para askar, kebencian yang meluap-luap yang ditunjukkan oleh para pelarian, dan juga rintangan lemah daripada Wei Shuye.
Rintangan itu sia-sia walaupun Wei Shuye merupakan seorang yang sangat berpengaruh. Apakah yang Chu Qiao, seorang kanak-kanak, boleh lakukan? Jika dia ingin menentang seluruh empayar dengan keupayaannya, ia bagaikan seekor mentadak yang cuba untuk menghentikan sebuah kereta-bererti kegagalan. Apa yang boleh dilakukannya kini adalah untuk menjaga langkahnya di mana sahaja dia berada dan cuba untuk terus hidup, dan pada masa yang sama mencari peluang untuk membalas dendam yang membuak-buak itu sebelum menghilangkan diri bersama Xiao Ba. Selain daripada itu, tidak banyak yang boleh diubah Chu Qiao disebabkan oleh keupayaannya yang terhad.
Pedati kuda itu perlahan-lahan bergerak di kejauhan dan serta-merta Chu Qiao terasa sejuk di tulang belakangnya. Dia lantas menyelak langsir yang menutupi tingkap untuk menjenguk dan mengimbas kawasan di luar, dan lalu menegur, "Ini bukan jalan balik ke rumah. Mana awak nak bawa saya ni?"
Hamba yang duduk di hadapannya itu terkaku, tidak menyangka bahawa anak gadis sekecil ini mengetahui hala tuju mereka. Dia tersenyum dan dengan patuh menjawab, "Tuan muda sekarang berada di perkarangan istana lagi satu, bukan di kediaman utama."
Kening anak kecil ini berkerut dan lantas bertanya dengan penuh hati-hati, "Perkarangan istana? Perkarangan istana yang mana satu?"
"Perkarangan istana yang ada dekat bahagian barat tasik tu."
Chu Qiao memasamkan wajahnya. Pekerjaan milik Chu Qiao selama bertahun-tahun yang berbahaya itu telah memberikan dia keupayaan untuk mempunyai deria kewaspadaan, di mana Chu Qiao akan dapat menyedari apabila sesuatu menjadi tidak kena. Dia lantas menguji hamba itu dan menyelidik, "Saya tak sempat nak dapatkan barang-barang yang tuan muda suruh saya ambil daripada rumah tu. Jom kita balik rumah dulu, lepas tu baru kita pergi ke perkarangan istana."
Hamba itu membalas dengan senyuman, "Jangan risau. Tuam muda baru je cakap yang barang tu semua tak di perlukan. Dia tengah tunggu di perkarangan istana. Jom kita pergi sana dengan cepat, kalau tak tuan muda akan jadi risau."
Chu Qiao mengangguk perlahan dengan riak wajah yang tenang sebelum melepaskan tirai dan membiarkan ia menutupi tingkap. Hamba itu terus menghelakan keluhan lega. Pandangan yang licik tiba-tiba bermain di matanya dan hujung bibirnya menjadi bengis. Namun, ketika senyuman diukir di bibir hamba itu, sebilah pisau belati yang sejuk tiba-tiba bertemu dengan tengkuknya. Anak kecil itu mengambil kesempatan yang bernas ini dan lantas menerkam dengan tangkas. Chu Qiao berkata serius dengan nada yang dingin, "Kau tak berkhidmat dengan tuan muda keempat. Siapa kau?"
"Hehe," bunyi ketawa bernada rendah yang garau bagaikan seekor burung hantu kedengaran dari sisi pedati. Sebuah pedati kuda yang mewah dengan lambat bergerak keluar daripada hutan tebal itu. Di dalamnya terdapat seorang lelaki berusia yang berpakaian ranggi. Dia melepaskan ketawa yang besar dan menyatakan dengan perkataan-perkataan yang memberi nada kekejaman terhadap hamba yang berada di sisinya. Hamba itu mengangguk dan bersujud hormat kepadanya, "Memang sangat mengagumkan, sangat degil dan cepat marah pada usia ni. Wajah dia pun cantik juga. Saya akan bayar awak dengan banyak lepas ni."
Zhu Shun, berbesar hati, menjawab dengan tertawa, "Berkongsi beban dengan Tuan Besar kedua memang tugas saya. Kalau Tuan Besar kedua ingin membayar saya, maksudnya Tuan Besar kedua tak terima kesetiaan saya."
Orang tua itu ketawa dan mengarahkan kedua hamba di kanan dan kirinya, "Bawa gadis ni balik ke rumah." Semua orang menuruti arahan itu dengan yakin dan pantas bergerak ke hadapan.
Pada ketika itu, beratus ribu perkara yang bermain di minda Chu Qiao. Dia menyedari bahawa dia boleh mengambil kesempatan ke atas kecuaian pihak yang menentangnya itu akibat diri Chu Qiao yang dipandang rendah, dan dia juga dapat mencederakan mereka dengan pantas lalu melarikan diri. Namun, jika ini berlaku, ia akan meraih kecurigaan daripada orang lain, terutamanya Zhu Shun yang kini hanya mempunyai sebelah tangan itu. Walaupun dia dapat melarikan diri disebabkan nasib, pasti mereka juga akan membabitkan Xiao Ba, yang masih berada di dalam rumah itu. Jika dia membuat keputusan untuk tidak melarikan diri, dia akan berada di dalam genggaman orang tua miang ini. Pada masa itu, dengan keupayaan seorang anak gadis yang berusia lapan tahun, bagaimanakah dia akan menentang seluruh pasukan tentera milik kediaman Zhuge?
Mahu melarikan diri, atau tidak?
Chu Qiao menjadi tegang, mindanya masih lagi pesat mempertimbangkan pilihannya. Bagaimana jika dia menewaskan orang tua miang ini dalam permainannya sendiri dan menghapuskannya, setelah diberi peluang keemasan sebegini?
Dalam sekelip mata, beberapa orang lelaki berbadan sasa melonjak ke arah Chu Qiao bersama niat untuk merampas pisau belati yang digenggam erat olehnya.
"Sekejap!" satu suara garau yang biasa didengari oleh Chu Qiao bergaung di kejauhan. Semua mata menoleh pandangan mereka ke arah tuan empunya suara, hanya untuk melihat tanah yang diliputi salji itu penuh dengan dua puluh pasang telapuk kaki kuda berwarna hitam yang sedang meluru ke arah mereka. Seorang jejaka tampan yang menunggang kuda itu sedang memakai jubah berwarna hijau yang dihiaskan dengan bulu putih. Dia lantas memberikan siulan yang berdesing dan lantas mara ke hadapan.
Kuda-kuda tersebut memberi ringkikan yang panjang dan mengangkat kedua telapuknya di hadapan, pernafasan mereka yang hangat bercampur dengan udara yang sejuk dan menyengat itu, lantas membentuk kabus. Jejaka tersebut, di bawah perlindungan pengawal-pengawalnya, merenung dingin ke arah orang ramai. Suaranya tenang, sekaligus memaparkan aura kewajaran dan ketenangan yang jauh melangkaui umur sebenarnya. Lantas dia berkata, dengan suara yang dalam, "Lama kita tak berjumpa, Tuan Zhuge."
Tuan Besar Zhuge, dengan mata yang separa tertutup, merenung anak muda ini dari atas ke bawah. Dia lalu tertawa kecil, mendedahkan giginya yang kekuningan itu. "Oh, Putera Yan Xun dari Yan Bei rupanya. Dah tengah-tengah malam ni, lebih baiklah tuanku pergi berehat di kediaman tuanku. Kenapa tuanku di luar menempuh angin yang kuat dan bersalji ni?"
Yan Xun menjawab dengan tanpa emosi, "Terima kasih atas kekhuatiran Tuan Zhuge. Macam mana saya nak tidur nyenyak di dalam kediaman saya kalau tuan, pada usia ni pun, masih lagi mampu mengagumi lampu-lampu cantik ni pada jam ni? Seluruh negara tengah menyambut festival lantera ni. Saya hanya keluar ke sini untuk mengagumi pesta rianya je."
"Oh?" kening Tuan Besar Zhuge yang panjang itu melurus lantas menjawab, "Kalau macam tu, Putera Muda Yan, sambunglah mengagumi pemandangan ni. Saya takkan menemani tuanku kalau macam tu." Dia terus berpaling ke arah orang suruhannya dan berkata, "Balik ke rumah."
"Sekejap!" Yan Xun dengan pantas mengarahkan kudanya untuk maju dan menghalang laluan Tuan Zhuge. Dia tertawa kecil, lalu menuding jarinya ke arah Chu Qiao, dan berkata, "Tuan, tuan boleh pergi, tapi hanya kalau tuan boleh tinggalkan gadis ni di sini."
Kedua belah kening orang tua itu bergerak sedikit. Lantas dia menyoal, "Apa maksud Tuanku Maharaja?"
"Budak kecil ni dah takutkan kuda saya, Flurry, dan buat dia larikan diri. Saya nak bawa dia balik supaya saya dapat menghukum dia."
Setelah mendengar ini, Tuan Besar Zhuge memberikan senyuman sumbing dan menjawab, "Kalau macam tu, saya akan membayar tuanku dengan kuda yang terbaik."
"Kuda ni baru saja dibawa balik dari padang pasir di barat oleh Raja Yan Bei! Kuda ni kuda baka yang terbaik, dan dah mengembara jauh, boleh ke tuan bayar harganya?"
"Feng Mian, diam!" Yan Xun memasamkan wajahnya lalu memaki budak suruhannya yang berada di belakangnya itu. "Keluarga Zhuge dah macam bapa kepada empayar ni. Ketua keluarga Zhuge pun salah seorang daripada tujuh tuan-tuan terhormat daripada Majlis Ketua-Ketua Terhormat, dan kalian ada banyak harta dan kuasa yang keluarga diraja pun tak boleh pegang. Tiada satu benda pun yang kalian tak boleh bayar. Tapi, hubungan darah daging tak boleh berpisah. Flurry dah dijinakkan khas oleh ayah saya dan telah dihantar ke Zhen Huang dari kejauhan. Dia bukannya kuda pertempuran biasa, jadi saya tak boleh biarkan benda macam ni berlalu begitu saja. Saya kena ambil budak ni dengan saya."
"Putera Yan…"
"Tuan Zhuge tak perlu cakap apa-apa lagi," Yan Xun memotong percakapan tuan besar itu. Dia mengangkat kepalanya dan menyatakan, "Tuan Zhuge, memandangkan darjat tuan yang tinggi tu, tuan tak patut merendah-rendahkan diri tuan untuk merayu hanya sebab seorang hamba. Berkenaan dengan hal ni, saya akan jawab sendiri dengan tuan muda keempat keluarga Zhuge. Kalian, ambil budak ni pergi."
Pengiring peribadi dari kediaman Yan bergerak ke hadapan; salah seorang lelaki berbadan tegap menolak orang-orang suruhan Tuan Zhuge ke tepi, lantas membuatkan dia terperanjat. Dia megendong Chu Qiao ke kudanya dengan hanya menggunakan sebelah tangan dan bersedia untuk menunggang kuda tersebut.
Zhu Shun, yang terlihat akan riak wajah Tuan Besar Zhuge itu yang hampir meletus dengan kemarahan, maju kehadapan dengan sebuah senyuman palsu. Dia menarik-narik pelana kuda milik Yan Xun dan lantas merayu, "Tuanku Diraja, benda boleh dibawa bincang…"
Dengan bunyi libasan cemeti, dan diikuti dengan satu tendangan ganas di dagu Zhu Shun oleh Yan Xun, badan Zhu Shun yang tembam itu mundur ke belakang dan lantas dia terjatuh ke atas tanah dan berteriak dalam kesakitan, meludah air liur yang penuh dengan darah segar bersama dua gigi hadapannya.
"Siapa kau untuk buat macam tu depan aku? Kau memang tak tau batas kau!" Yan Xun merenung tajam ke arah Zhu Shun dan berkata dingin.
Zhu Shun terperanjat besar. Dia dengan pantas melutut dan bersujud hormat. Di dalam Empayar Xia, ahli keluarga diraja tidak memerlukan apa-apa sebab untuk membunuh rakyatnya.
Yan Xun lantas mengangkat cemetinya dan menghalakannya ke arah Zhu Shun, berkata dingin, "Aku akan lepaskan kau buat masa ni sebab Tuan Zhuge ada dekat sini pada hari ni. Kalau kau masih menunjukkan perangai yang tak senonoh macam ni pada hari lain, aku akan bunuh kau dengan tangan aku sendiri, walaupun di depan mata ketua keluarga Zhuge."
Setelah menghabiskan ayatnya, Yan Xun langsung tidak menoleh ke arah Tuan Besar Zhuge dan lantas menjeritkan arahannya kepada orang-orang suruhannya, "Mari kita pergi!"
Orang-orang suruhan Yan Xun terus menunggang kuda mereka dan dengan pemandangan yang bersalji itu, mereka hilang dari pandangan melalui jalan yang panjang itu.
Raut wajah Tuan Besar Zhuge bertukar menjadi merah, tangan kirinya bergetar akibat kemarahan yang membuak-buak. Zhu Shun merangkak ke hadapan, kekal dalam kedudukan melututnya. Dia lantas menarik-narik kaki Tuan Zhuge dan merayu, "Tuan Besar, tolong jangan marah! Saya…"
"Berambus!" orang tua itu terpekik. Dia melepaskan tendangan yang kuat ke dada Zhu Shun dan berteriak, "Sampah tak guna!" Berikutan dengan itu, dia menaiki pedati kuda itu dan segera berangkat.
Salji masih turun dengan lebat. Kesepian kini menyelubungi jalan tersebut, menonjolkan lagi kesibukan jalan utama.
Kuda pertempuran itu berhenti di sebelah tasik. Jejaka itu, yang mengekalkan raut wajah yang serius sebentar tadi, kini telah bertukar dengan senyuman dan lantas tertawa, "Perempuan, kamu hutang aku satu pertolongan… lagi sekali."
Anak gadis itu mengangkat keningnya dengan perlahan. Walaupun dia kekal membisu, namun gerak-gerinya jelas berkata, aku tak menyuruh kau untuk datang.
Yan Xun mendengus dengan jengkel dan lantas berbisik, "Salah ke untuk kamu cakap sesuatu yang manis?"
Chu Qiao mengambil satu pandangan pada Yan Xun dan bersedia untuk beredar.
Yan Xun membeku dan tergesa-gesa menghalang laluannya. "Apa yang kamu nak buat?"
Anak gadis itu mengangkat keningnya, "Sudah semestinya aku akan balik ke kediaman Zhuge."
"Kamu masih nak balik ke sana?" Jejaka itu mengerutkan dahinya dan bertanya, "Hamba hina tu tak akan biarkan kamu pergi! Dan orang tua dari keluarga Zhuge tu pula, dia dikenali dengan perbuatannya di bandar Zhen Huang! Kamu nak menempah maut ke?"
Chu Qiao menolak Yan Xun ke tepi dan berkata, "Bukan masalah kamu."
Yan Xun tidak melepasi genggaman di lengan Chu Qiao, namun mengeratkannya sambil berkata, "Apa maksud kau? Aku selamatkan kau hanya disebabkan aku yang baik hati ni dan kau bagi aku layanan yang dingin macam ni. Apa kebaikan yang kau nampak dalam diri Zhuge Yue, budak yang susah difahami tu, sampai kau masih sanggup pergi balik kepada dia walaupun keselamatan awak terjejas?"
Chu Qiao mengangkat wajahnya, kecewa kerana dia telah bersedia untuk merisikokan segala-galanya, namun gagal untuk menghapuskan orang tua miang Zhuge itu. Dia menolak tangan Yan Xun dengan terburu-buru, dan mengangkat wajahnya untuk merenung Yan Xun dan berkata dingin, "Aku menangis supaya awak datang untuk selamatkan kau ke? Simpan kebaikan kau tu seorang diri, aku meluat."
Mata Yan Xun bergelora dengan kemarahan. Melihat bayang-bayang milik Chu Qiao menghilang di sebalik kejauhan itu, dia memekik kebudak-budakan, "Mengarut! Memang patut pun kau dibuli. Kalau aku ambil peduli pasal kau lagi, nama keluarga aku bukan Yan!"
Chu Qiao tanpa menoleh ke belakang telah menghilang di dalam lautan manusia setelah seketika. Feng Mian berhati-hati mendekati dan meninjau keadaan Putera Yan. Dia dapat melihat bahawa mata putera muda itu kemerahan seperti dia akan menangis akibat kemarahan dan lantas membeku seketika. Empayar tersebut telah menugaskan beberapa orang pembesar feudal untuk memimpin wilayah-wilayah jiran dan pada masa yang sama mempertahankan Zhen Huang, ibu negaranya. Namun begitu, untuk menyekat pembesar-pembesar ini, anak-anak lelaki mereka telah dijadikan tahanan di dalam ibu negara. Anak-anak kecil ini hidup di dalam pusaran kuasa daripada usia yang muda lagi yang lantas menyebabkan mereka menjadi matang dengan cepat. Ini merupakan kali pertama Feng Mian menyaksikan tuannya menzahirkan sebarang kegembiraan dan kemarahan terhadap orang lain sedemikian rupa, seperti… seperti seorang anak kecil biasa.
"Tuanku Diraja, jom kita balik ke rumah?"
"Hmm!" Yan Xun mendengus dingin, suaranya jelas terpancar kemarahannya. Dia kembali menunggang kudanya dan berangkat pulang yang diikutinya oleh pengiring-pengiringnya.
"Feng Mian," Yan Xun, yang baru sahaja mengambil beberapa langkah, serta-merta berpaling ke belakang dan lantas mengarahkan anak didiknya, "Kau pergi ke kediaman Zhuge dan beritahu mereka yang aku dah jumpa Flurry. Juga, beritahu mereka untuk tak menyusahkan budak perempuan tu."
"Ah?" Feng Mian tercengang dan matanya membuntang. "Tuanku Diraja, bukan ke tuanku cakap tadi yang nama keluarga tuanku bukan Yan kalau tuanku tolong dia lagi sekali?"