Chapter 19 - Bab 19

Yan Xun naik radang lalu menendang Feng Mian daripada kudanya, dan memekik, "Bodoh! Aku cabar kau untuk cakap benda tu lagi sekali!"

Feng Mian mendengking dua kali dalam kesakitan. Dia serta-merta berpaling dan berlari menuju ke arah kediaman Zhuge. Dia langsung tidak berani untuk menyebut ayat itu lagi.

Yan Xun merengus dalam kemarahan. Dia melihat orang-orang suruhannya yang sedang merenungnya dan berteriak, "Aku buat apa yang aku suka!"

Semua orang terus menoleh ke arah yang lain dan tidak berani untuk memandang Yan Xun lagi. Mereka semua berfikir akan perkara yang sama dan hanya mampu mengeluh sendirian. Lagipun, putera itu hanya berusia tiga belas tahun. Ia bukan masalah yang besar jika dia membuat perangai seakan seorang kanak-kanak.

Chu Qiao tiba di kediaman Zhuge pada lewat malam. Apabila melihat Chu Qiao yang sedang berjalan ke arah kediaman itu, penjaga pintu gerbang kediaman tersentak seketika, kerana dia mengenali bahawa anak gadis inilah yang menjadi pembantu rumah pilihan tuan muda di istana Qing Shan. Jadi, dia tidak memberi sebarang masalah kepada Chu Qiao, malah memberikannya sebuah lantera untuk menerangi jalan.

Kediaman Zhuge memberikan sebuah aura yang dingin apabila malam tiba, dan tanpa kekecohan dan kesibukan seperti di pagi hari, kesepian yang menyelubungi istana ini membuatkan ia terasa seperti sebuah penjara yang gelap gelita. Kadangkala dapat didengari bunyi burung gagak, yang kemudiannya ditembak jatuh dengan segera oleh pemanah-pemanah yang handal. Tindakan akan diambil terhadap segala bentuk bunyi semasa tuan-tuan di dalam kediaman itu sedang nyenyak tidur; termasuklah bunyi haiwan pun.

Apabila Chu Qiao melepasi tembok tinggi istana Lan Shan itu, dia dapat mendengari satu tangisan yang disembunyikan. Kedengaran seolah-olah seorang hamba perempuan sedang bersembunyi di sebalik tembok itu dan sedang menangis, melakukan kesilapan dan mendapat hukumannya.

Tapak kaki Chu Qiao menjadi perlahan dan lantas berhenti. Bulan penuh di langit besar dan pucat memancarkan cahaya ke Chu Qiao dan lantas membentuk sebuah bayang di tembok merah. Bayangannya itu kelihatan lebih tinggi dan lebih kurus, dan lalu Chu Qiao terus teringat akan masa silamnya apabila dia masih mempunyai ketinggian seperti bayangan tersebut. Perasaan sedih bergelumang di dalam dirinya. Mungkin, dia akan tersedar dari tidur yang panjang dan tersedar bahawa ini semua hanyalah sebuah mimpi. Namun, perkara-perkara buruk tidak akan berlaku jika ini semuanya mimpi. Tubuh pucat dan kaku mayat-mayat, darah-darah segar yang mengalir di atas tanah bersalji, dan semua air mata kekecewaan tersebut…

Tangisan anak kecil di sebalik tembok itu masih berterusan dab ileh kerana Chu Qiao yang terlalu rendah, dia tidak dapat memanjat dinding tersebut. Bagaimanakah dia dapt menghangatkan orang lain jika dirinya sendiri dingin? Tidak ubah seperti mayat-mayat yang telah dikuburkan di dalam tanah bersalji di luar sana. Perasaan putus asanya itu tidak dapat membantu situasi kini.

Tanpa disedari, dia telah membuka pintu hadapan istana Qing Shan. Chu Qiao terperanjat. Dia telah bercadang untuk bermalam di dalam pondok kayu api; namun hakikat bahawa pintu gerbang perkarangan istana tidak dikunci amat memeranjatkannya. Zhuge Yue mengetahui bagaimana untuk menjaga kesihatannya. Semasa dia tidak menghadiri pelajaran di Dewan Akademi Jeneral, dia akan menghabiskan masanya di taman sibuk dengan pokok bunganya atau dia akan menikmati secawan teh sambil membakar setanggi. Dia juga sangat menikmati tidur, tidak seperti tuan muda yang lain, yang lebih sibuk melayan nafsu mereka, sering kali sehingga larut malam.

Semasa dia berwaspada melangkah di dalam perkarangan istana itu, sebentuh cahaya yang datang dari sebuah lantera mula menghampirinya. Huan Er dengan pantas menggenggam tangan Chu Qiao dan lantas berbisik, "Akhirnya! Awak pergi mana tadi? Penat saya tunggu awak satu malam."

Chu Qiao dengan kesal menjelirkan lidahnya dan kemudian menjawab, "Kuda saya ditakutkan orang. Saya baru saja balik. Mana tuan muda? Kenapa pintu gerbang tak dikunci?"

"Awak bernasib baik." Huan Er mengherotkan bibirnya dan berkata dengan sebuah senyuman, "Tuan muda ada di dalam bilik bacaannya dan sedang membaca. Dia dah berada di dalam bilik tu sepanjang malam dan tak suruh saya kunci pintu pun. Dia pun belum tidur, jadi saya bolehlah tunggu awak di sini."

Chu Qiao mengangguk faham, dan bergerak ke arah bilik Zhuge Yue. Huang Er dengan pantas menghalangnya dan memberi amaran, "Angin tuan muda tak berapa baik sangat bila dia balik tadi. Saya tak tahu siapa yang membuatkan dia marah. Dah malam ni, kita boleh berbincang esok saja. Lagipun, tuan muda tak arahkan awak untuk pergi ke dewan Xuan pun. Awak pergilah berehat, saya akan beritahu tuan muda yang awak dah balik."

Chu Qiao mengangguk sekali lagi dan lantas menjawab, "Boleh juga kalau macam tu." Dia berpaling dan mula melangkah ke arah biliknya sendiri. Huan Er meluru ke dalam dewan Xuan, berkata beberapa perkataan dan beredar pergi.

Chu Qiao merupakan salah seorang daripada pembantu rumah di dalam dewan Xuan tersebut yang mempunyai darjat yang lebih tinggi. Biliknya lebih berhampiran dengan halaman utama. Semasa dia bergerak ke arah pintu, cahaya daripada bilik belakangnya terpadam sebelum dia dapat membuka pintu tersebut. Dia lantas diselubungi kegelapan malam.

Chu Qiao terpana seketika, lalu menoleh pandangannya ke arah pintu bilik Zhuge Yue. Apabila lampu terakhir di dalam rumah itu dipadamkan, keseluruhan kediaman Zhuge itu senyap sepi dibuai mimpi indah, namun Chu Qiao yang masih segar itu berdiri di koridor dewan Xuan buat masa yang lama. Angin menghembus lembut ke mukanya dan lantas hidungnya menggerenyet, seolah-olah dia dapat menghidu bau darah dari dalam tanah.

Zhuge Yue kelihatan seperti dia telah mendapat sebuah mimpi buruk setelah dia menutup matanya. Apabila dia bangun, gendang ketiga baru sahaja dibunyikan dan dengungan gendang itu berlarutan lantas membawa suatu bunyi gaung lembut yang mengekori, dan lantas ia terhanyut jauh di dalam kesunyian malam.

Pada ketika itu, dia berfikir bahawa dia masih lagi bermimpi. Dalam mimpi tersebut, tersepoi-sepoi angin musim bunga yang panas dan dapat kelihatan pokok pic yang berbunga indah. Sentuhan jari ibu Zhuge Yue terasa selembut air musim bunga yang suam itu, memberus rambut Zhuge Yue dengan anggun dan lantas menyanggulnya. Namun, udara yang sejuk serta-merta meresap masuk ke dalam rongga-rongga Zhuge Yue dan lantas menyedarkannya dari tidur dengan kasar. Dia kemudian duduk tegak di atas katil, baju tidurnya yang berwarna putih itu kini lencun dengan peluh. Tingkap di dalam biliknya tidak ditutup sepenuhnya dan udara yang sejuk dan membeku itu meniup halus ke muka Zhuge Yue melalui celahan tingkap tersebut. Cawan teh yang berada di atas meja di sebelah katil telahpun menjadi sejuk, termasuklah beberapa potong kek osmanthus di atas pinggan tembikar kecil yang berwarna biru dan putih. Aromanya yang semerbak itu masih menggiurkan Zhuge Yue walaupun jarak antara mereka agak jauh. Dia terus bangkit dari katilnya, tidak terasa seperti dia ingin menyambung tidurnya itu. Dia kemudian memakai kot dan mengambil serulingnya lalu beredar dari bilik.

Pembantu-pembantu rumah di luar masih lagi nyenyak dibuai mimpi, langsung tidak menyedari bahawa Zhuge Yue telah melepasi mereka dan dia terus berjalan hingga ke pintu dewan dan lantas membukanya untuk berganjak ke perkarangan istana. Cahaya bulan yang terang dan bersalji itu kelihatan berjalur-jalur dan berduri di atas tanah akibat pokok-pokok yang menghalang cahaya untuk terus melintasi. Ianya seolah-olah salji telah datang secara tiba-tiba. Sinaran mesra itu terpancar di sekitar perkarangan istana. Udara lewat malam terasa sejuk dan menusuk ke dalam badannya melalui lengan baju yang terbuka dan sekaligus membuatkan lengan bajunya itu berkibar-kibar dan mengeluarkan satu bunyi yang tidak ubah dari sayap seekor rama-rama yang mengepak-ngepak. Bergerak ke bahagian timur perkarangan istana dan lantas Zhuge Yue dialu-alukan dengan sebuah ladang pokok plum yang besar. Warna merah dan putih dari pokok-pokok tersebut telah melingkari antara satu sama lain dan memberikan satu aroma yang semerbak yang lantas disebarkan di seluruh kawasan dek angin yang meniup.

Rumah agam ini mungkin hanya sepi sebegini pada malam hari. Tanpa sebarang bunyi, Zhuge Yue merasakan seperti dialah seorang sahaja manusia di dunia ini. Dia ternampak akan astaka istana yang terletak di atas bukit dan lantas dia terus mengembara ke arah laluan berbatu yang telah dicorek untuk mendaki ke sana. Fros baru saja membeku pada malam itu, dan menyebabkan laluan untuk menuju ke astaka istana menjadi agak licin, jadi Zhuge Yue membongkok sedikit dan berjalan dengan perlahan, kelihatan seolah-olah memikirkan setiap gerak-gerinya dengan hati-hati, lantas tidak mempedulikan hal sekeliling pada masa yang sama.

"Tuan muda keempat?" satu suara lunak bergema di kejauhan. Dia mengangkat wajahnya dan melihat seorang anak gadis yang sedang beristirahat di atas dahan pokok di sebelah astaka istana itu. Dia sedang berpakaian serba hijau zamrud, tengkuknya dihiasi dengan lilitan bulu unta yang memutih. Anak matanya yang hitam dan besar itu merenung tepat pada Zhuge Yue yang masih tercegat di laluan berbatu. Sepasang kasut but berwarna hijau sedang diayunkan di atas udara, bagaikan dua ekor cengkerik yang sedang menari-nari.

Dia mengangkat keningnya perlahan dan lantas bertanya bingung, "Apa yang kamu buat di sini?"

"Saya tak boleh tidur." Chu Qiao berasa hairan kerana melihat Zhuge Yue yang sedang berjalan ke arah astaka istana itu pada jam sebegini. Dia bertanya dengan jujur, "Tuan muda keempat, tuan pun tak boleh tidur juga?"

Tanpa menjawab, Zhuge Yue hanya meneruskan perjalanannya ke arah astaka tersebut.

Kediaman Zhuge pada asalnya dibina di atas kawasan berbukit dan pemandangan di sini adalah sangat menakjubkan kerana hampir keseluruhan bandar Zhen Huang menjadi panorama kediaman ini. Cahaya bulan yang samar-samar kelihatan seperti sehelai vel putih yang sedang menyelubungi setiap penjuru bandar itu, dan menahan segala kekejaman yang ditiupkan dek angin dari utara yang ganas, yang telah menusuki rakyat bandar itu selama beberapa ratus tahun. Tembok tebal bandar Zheng Huang yang penuh dengan kesan darah manusia itu tampak lembut di bawah sinaran bulan.

Chu Qiao merenung belakang badan Zhuge Yue, tiba-tiba dirinya dipenuhi dengan kekeliruan. Ketenangan yang dirasainya setelah menyaksikan pertumpahan darah yang kejam itu tadi membuatkan diri Chu Qiao berasa letih dan penat. Dia lalu bersandar di dahan pokok, merenung jejaka pendiam itu. Dia melihat angin yang bertiup mengepak-ngepakkan lengan baju yang berwarna terang milik tuan mudanya, bagaikan dua ekor rama-rama yang sedang berterbangan mengikuti hala tuju angin.

"Tuan muda keempat, saya dah hilangkan kuda merah kecil tu."

Zhuge Yue masih lagi mendiamkan diri, seolah-olah dia tidak mendengar Chu Qiao sebentar tadi. Seruling panjang itu masih lagi di dalam genggamannya, namun dia tidak memainkannya. Dia berdiri di situ buat masa yang lama sebelum berjalan menuruni bukit astaka istana dan kembali ke istana Qing Shan.

Melihat bahawa Zhuge Yue yang akan beredar, Chu Qiao mula untuk menuruni pokok tersebut untuk mengikuti tuannya, akan tetapi dia tergelincir akibat tersilap langkah. Dalam keadaan yang terdesak dan penuh dengan kekeliruan itu, Chu Qiao berpaut teguh pada sebatang dahan pokok, namun ia telah membuatkan sebuah lubang yang besar pada bajunya dan lengannya juga telah tercedera.

Zhuge Yue berhenti dalam langkahnya dan mendongak ke atas untuk melihat seekor monyet-tidak, seorang gadis kecil-yang sedang berpaut pada sebatang dahan pokok. Dia berhenti untuk berfikir sejenak dan lalu menghulurkan lengannya.

Chu Qiao terperanjat dengan tingkah laku tuan muda itu lalu bertanya dengan penuh curiga, "Tuan muda keempat, apa yang tuan cuba lakukan ni?"

Zhuge Yue membalas, "Lompat ke bawah."

"Ah?" Chu Qiao berfikir panjang sebelum menyedari tujuan Zhuge Yue. Chu Qiao pantas berkata, "Tak mengapa, Xing Er boleh turun dengan sendiri."

Zhuge Yue mengerutkan wajahnya sedikit dan kelihatan seperti kesabarannya akan hilang, dan menyambung dengan degil, "Lompat ke bawah."

Chu Qiao nampaknya bagaikan dia tidak mempunyai pilihan lain dan dalam sekelip mata, dia terjatuh ke dalam dakapan Zhuge Yue. Chu Qiao masih lagi membesar, jadi ketinggiannya kini hanyalah di paras bahu Zhuge Yue sahaja dan dalam dakapan Zhuge Yue, dia merasakan dirinya seolah-olah seekor kucing kecil.

"Jom." Chu Qiao didirikan di atas tanah dan serta-merta mengikuti Zhuge Yue yang bergerak di hadapannya dan lantas mereka dikekelilingi pokok-pokok plum dan tanah yang ditumbuhi kelopak-kelopak bunga di merata-rata tempat. Mereka berjalan di atas salji putih yang gebu, meninggalkan dua pasang tapak kaki yang kecil.

Setibanya mereka di istana Qing Shan, kesemua hamba yang tadinya sedang nyenyak tidur, sudahpun terjaga dan sedang tidak keruan mencari pasangan ini. Tanpa memberikan sebarang penjelasan, Zhuge Yue terus memasuki kamarnya dan Huan Er terus meluru masuk ke dalam bilik Chu Qiao dan mula bertanyakan bermacam-macam soalan kepadanya.

Semasa mereka berbicara, seorang pembantu rumah telah melaporkan bahawa Tuan Muda telah mendapat selesema dan seseorang telah memanggil doktor untuk datang ke mari. Istana Qing Shan itu mula sibuk. Huang Er membawa beberapa orang pembantu rumah dan hamba keluar dan masuk ke dalam dewan Xuan itu untuk menyediakan air panas dan juga untuk menukar tuala mandian, sehingga doktor keluarga Zhuge itu tiba untuk mengambil nadi Tuan Muda dan mempreskripsikannya beberapa ubatan herba. Hanya setelah itu semua orang dapat berehat seketika.

Setelah menghabiskan makan malamnya, Chu Qiao bersedia untuk melelapkan mata, namun dia terdengar ketukan di pintu biliknya. Setelah membuka pintu, dia melihat Huan Er yang berada di sebalik pintu itu tadi, bersama seorang lelaki yang berusia lebih daripada lima puluh tahun. Huan Er berkata, "Xing Er, tuan cakap tadi bahawa awak tercedera. Sementara doktor masih berada di sini, benarkan dia untuk tengok luka awak."

Chu Qiao terpaku seketika sebelum mengorak langkah supaya doktor tersebut boleh merawatinya. Setelah selesai, Huan Er menyatakan, "Satu lagi perkara, tuan muda cakap yang dia akan bangun lambat pada keesokan hari, jadi kita pun tak perlu bangun awal sangat untuk mula bekerja."

Chu Qiao hanya mengangguk faham, dan Huan Er lantas beredar dengan senang hati.

Cahaya bulan yang samar-samar menyinari perkarangan istana yang sunyi sepi itu dan ianya bagaikan lapisan fros telah melapisi kawasan tersebut.

Pada awal pagi keesokan harinya, Chu Qiao telah melawati Zhuge Yue namun tuan muda yang muda namun matang itu tidak berada di dalam biliknya. Chu Qiao yang menyedari bahawa dia telah kehilangan kuda merah kecil tersebut mengetahui bahawa dia perlu memberi penjelasan kepada tuannya itu. Apabila dia ingin keluar untuk bertanya kepada seorang hamba tentang keberadaan tuan muda, dia terlihat Zhuge Yue sedang berjalan-jalan di perkarangan istana sambil memakai perisai berwarna emas kegelapan bersama sebilah pedang panjang di tangan. Tuan muda itu telah diapit sekumpulan hamba dengan postur yang tegas dan tangkas. Chu Qio tidak pernah melihat perlakuan tuan mudanya yang sebegini sebelum ini. Zhu Cheng, tersembam, mempunyai jubah yang membaluti lengannya. Dia mengikuti rapat di belakang.

Huan Er dan juga beberapa orang pembantu dengan pantas berlari ke dalam rumah. Mereka menghidangkan teh dan air buat Zhuge Yue, dan mula untuk membakar setanggi, lalu membasuhkan kedua tangan tuan muda itu sehingga bersih, dan kemudian menyediakan air mandiannya.

Chu Qiao berdiri di sebelah pintu utama dan menunggu saat Zhuge Yue untuk menduduki kerusi yang telah disediakan. Kemudian, dia berganjak ke arah tuannya itu dan lantas mengakui, "Tuan muda keempat, saya dah hilangkan kuda kecil merah tu,"

"Um." Zhuge Yue menegurnya ringan, sambil meneguk teh yang telah diterima daripada Huan Er. Lalu, dia mengarahkan beberapa orang hamba, "Pergi ambil dua pokok cendarik dalam pasu bunga yang telah tiba semalam dan bawa pembakar setanggi ni pergi. Ia menjengkelkan hidung aku."

Hamba-hamba tersebut dengan segera patuh akan arahan yang telah diberikan oleh Zhuge Yue itu dan mula beredar untuk melakukan tugasan mereka. Chu Qiao masih lagi berdiri di tempat yang sama, dan melihat bahawa Zhuge Yue tidak mempunyai apa-apa niat untuk menghukumnya, atau terus menyambung topik perbualan yang sama, dia dengan pintar berhenti daripada terus menyambung percakapannya. Semasa dia hendak beredar ke dalam rumah, Zhuge Yue meletakkan cawan tehnya ke atas meja, dan lantas menuding jari ke arah Chu Qiao dan berkata, "Xing Er, tunggu sekejap."