Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 811 - Berundur Supaya Dapat Mara (1)

Chapter 811 - Berundur Supaya Dapat Mara (1)

Pagi keesokan harinya, Lei Chen sedar semula. Sambil bangun dari katil, dia memanggil orang suruhannya untuk membantunya membersihkan diri dan menukar pakaian.

"Tuan Muda Jun dan yang lain dah bangun?" Lei Chen sudah lama tidak mabuk sebegini dan masih merasakan kepalanya berdenyut-denyut.

"Sudah, Tuanku."

Lei Chen mengangguk dan mengarahkan orang suruhannya untuk menjemput Jun Xie dan yang lain bersarapan bersama-sama dengannya.

Jun Wu Xie dan yang lain sudah pun tiba di bilik makan. Lei Chen tiba lewat sedikit. Sebaik terlihat Jun Xie dan mereka yang lain, wajahnya berseri-seri kegembiraan.

"Tetamu-tetamu Beta tidur nyenyak semalam?"

"Sangat nyenyak." Jun Wu Xie mengangguk.

"Bagus. Sudah lama Beta tak ada menerima tetamu yang bermalam di Kediaman Putera Mahkota. Beta bimbang layanan yang Beta sediakan tidak cukup dan kamu semua berasa tidak selesa," kata Lei Chen sambil ketawa.

Qiao Chu senyap-senyap menjeling Lei Chen dan bergerak ke sisi Hua Yao. Dengan suara perlahan yang hanya dapat didengari oleh mereka berdua, Qiao Chu berkata, "Abang Hua, rasanya apa yang Adik Xie akan lakukan selepas ni?"

Hua Yao menggelengkan kepala.

Apa yang berlaku semalam telah merosakkan semua rancangan Jun Wu Xie. Selepas kembali ke bilik masing-masing, mereka tidak tahu jika Jun Wu Xie ada memikirkan rancangan lain.

Sedang yang lain berfikir tentang apa yang mereka boleh lakukan selepas ini, Jun Wu Xie bersuara, "Tuanku, berkaitan dengan khabar angin yang sedang tersebar di Ibu Negara Diraja semalam, apa yang akan Tuanku lakukan?"

Lei Chen terkejut seketika. Dia tidak menyangka Jun Xie akan menyebut tentang topik khabar angin itu hari ini.

"Itu… tentulah Beta akan hantar orang untuk menjelaskan keseluruhan situasi. Beta akan pastikan Adik Jun tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan."

Jun Wu Xie memandang Lei Chen tanpa perasaan. Matanya memandang orang-orang suruhan yang berada di sisi bilik. "Boleh saya minta Tuanku suruh orang-orang suruhan ini beredar? Saya ada beberapa hal nak cakap dengan Tuanku."

Lei Chen melihat pandangan yang Jun Xie berikan padanya dan terus faham apa yang dimaksudkan. Jantungnya tiba-tiba berdebar-debar. Memikirkan Jun Xie ada hal peribadi untuk dibincangkan, dia terus mengarahkan semua orang suruhan bersurai dan menutup pintu rapat-rapat setelah mereka keluar.

"Apa yang Adik Jun perlukan daripada Beta? Sudah selamat untuk bercakap sekarang." Wajah Lei Chen dipenuhi kelembutan dan senyuman, walaupun hatinya resah serta gelisah. Sudah berkali-kali dia cuba memenangi hati para pelajar Akademi Zephyr ini untuk menyokongnya tetapi mereka tidak pernah menunjukkan sebarang perasaan teruja terhadapnya. Semalam mereka tiba-tiba mahu bertemu dan melawatnya di Kediaman Putera Mahkota tetapi rupa-rupanya mereka datang disebabkan khabar angin yang bertiup kencang di Ibu Negara Diraja. Pada mulanya dia risau khabar angin tersebut akan menyebabkan Jun Xie serta rakan-rakannya yang sedang berusaha menaikkan kegemilangan akademi mereka berasa marah. Tetapi melihatkan keadaan sekarang, mungkin situasi ini tidak teruk seperti disangka.

Melihatkan senyuman mengharap di wajah Lei Chen, Jun Wu Xie bertanya perlahan-lahan, "Tuanku tahu siapa yang mulakan khabar angin tu?"

Lei Chen menjadi kaku. Dia menyangkakan Jun Xie meminta orang suruhannya beredar kerana mahu berbincang tentang menjadi sekutu atau berkhidmat di bawah naungan Lei Chen. Tetapi sebaliknya, Jun Wu Xie masih menyebut tentang khabar angin itu. Sekilas kebingungan terpancar di mata Lei Chen.

Dia tahu benar siapa yang melakukannya, tetapi dia tidak dapat berkongsi maklumat itu dengan lebih lanjut dengan sesiapa pun.

"Hal itu masih disiasat dan pesalahnya masih belum dikenal pasti."

Mata Jun Wu Xie ditundukkan ketika dia menghirup tehnya. Haruman teh itu berlegar-legar di dalam mulutnya. Jun Wu Xie mengangkat mata perlahan-lahan. Matanya yang dingin ibarat tasik musim luruh itu memandang Lei Chen.

"Khabar angin ini telah memberi kesan pada Akademi Zephyr. Untuk tidak memburukkan lagi nama akademi kami, saya dan rakan-rakan saya tidak patut selalu dilihat berhubungan rapat dengan Tuanku."

Jantung Lei Chen tersentak dan hatinya berasa amat kecewa. Jun Xie mahu putuskan hubungan dengannya sekarang?! Sebaik terfikirkan hal ini, Lei Chen menjadi panik. Pada ketika ini, dia tidak boleh kehilangan orang-orang Akademi Zephyr ini.

"Adik Jun, tindakan itu tak akan membantu sesiapa pun. Beta sering melayan kamu semua dari Akademi Zephyr ini dengan baik serta hormat. Kenapa Adik Jun perlu mengubah rancangan sendiri hanya disebabkan khabar angin tidak berasas yang orang lain sebarkan?" Lei Chen membalas dengan tergesa-gesa.

Related Books

Popular novel hashtag