Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 812 - Berundur Supaya Dapat Mara (2)

Chapter 812 - Berundur Supaya Dapat Mara (2)

"Lagi satu, berkenaan hal ini, Beta akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin. Beta mohon Adik Jun yakin yang hal ini akan berakhir tak lama lagi. Beta akan pastikan insiden ini tidak memberi kesan pada Akademi Zephyr. Beta tahu kedudukan Akademi Zephyr sekarang agak sensitif, jadi Beta akan pastikan hal ini tidak berlarutan." Wajah Lei Chen kelihatan sedikit panik dan nada suaranya agak menggelabah.

Fan Zhuo menyedari semua tanda-tanda yang menunjukkan reaksi cemas Lei Chen lalu dia menjeling Jun Wu Xie secara diam-diam dengan ekor matanya. Malam tadi mereka baru sahaja mendapat tahu yang peta itu berada di tangan Maharaja Negara Yan. Mereka hanya ada hubungan dengan Lei Chen untuk mendapat peluang merapatkan diri dengan Maharaja. Tetapi Jun Wu Xie pula berkata begitu pada Lei Chen, jelas menunjukkan pada rakan-rakannya yang mereka akan mengambil pendirian memutuskan semua hubungan dengan Putera Mahkota.

Pendirian semalam dan hari ini yang begitu berbeza telah menyebabkan Fan Zhuo mengangkat kening. Matanya bercahaya penuh minat. Dia yakin Jun Wu Xie ada niat lain.

Walau bagaimanapun, Jun Wu Xie terus bertanya tanpa tergesa-gesa, "Betulkah hal ini akan berakhir begitu saja?" Sambil bercakap, matanya memandang Lei Chen. Renungan dingin menggerunkan itu begitu fokus dan tidak berganjak.

Kata-kata yang Lei Chen fikirkan dan hampir luahkan, tersekat di tekaknya. Sepasang mata itu nampaknya seperti mengetahui segala-galanya.

"Kemampuan menyebarkan khabar angin yang memburukkan Tuanku Putera Mahkota, di dalam Ibu Negara Diraja Negara Yan sendiri bermaksud identiti orang itu pastinya seseorang yang memiliki latar belakang luar biasa, bukan? Kalau Tuanku benar-benar ada cara untuk menyelesaikan masalah ini, Tuanku tidak akan begitu pasif sekarang. Tuanku benar-benar tak tahu siapa yang melakukannya? Atau… takut nak cakap?" Suara Jun Wu Xie lembut dan mesra, tetapi disulami sedikit kedinginan. Pada pagi yang sejuk sebegini, kata-katanya seolah-olah dapat dirasakan secara fizikal.

Mata Lei Chen terbeliak dan dia merenung Jun Xie dengan tidak percaya. Setiap patah kata yang Jun Xie nyatakan itu, semuanya seolah-olah… memberitahu dia yang Jun Xie mengetahui sesuatu di sebalik semua ini...

Mustahil!

Setiap tindakan yang orang itu lakukan, tak mungkin ada orang lain akan tahu kecuali Lei Chen dan Penasihat Agung. Sudah berapa lama Jun Xie berada di Ibu Negara Diraja? Jun Xie pun tak pernah bertemu dengan orang itu sebelum ini, macam mana dia boleh tahu tentang hal ini?

"Apa yang Adik Jun cakapkan ni? Beta tak faham sangat." Lei Chen ketawa kekok dan cuba mengalih pandangan matanya. Dia tidak dapat merenung mata Jun Xie yang seolah-olah dapat menembusi seggala-galanya.

Jun Wu Xie tidak mempedulikan tindakan Lei Chen yang cuba mengelak. "Kalau ini berkaitan dengan hal lain, saya tak akan ambil kisah pun. Tapi memandangkan hal ini berkaitan dengan Akademi Zephyr, keputusan Tuanku juga akan memberi kesan pada nama dan reputasi akademi kami. Lagipun, saya benar-benar tak percaya ada apa-apa yang Tuanku boleh lakukan terhadap orang itu."

Jantung Lei Chen berdebar-debar. Matanya tertumpu pada bucu meja. Perasaannya bergelora setelah mendengar kata-kata Jun Xie.

"Kalau Tuanku ikhlas untuk berkawan dengan kami, tak perlulah bersembunyi. Kalau kita nak bersekutu, ada sesetengah perkara yang lebih baik dinyatakan dengan jelas. Ini membolehkan kita bekerjasama dan memikirkan cara untuk menyelesaikan situasi ini." Kata-kata Jun Wu Xie tiba-tiba berubah haluan, menabur umpan dan memasang pancingnya.

Lei Chen terus berpaling dan merenung Jun Xie. Ekspresi wajahnya kelihatan aneh.

"Kamu sanggup tolong Beta?"

Jun Wu Xie mengangkat kening, "Tuanku fikir kami semua masih duduk di sini sebab apa lagi?"

Lei Chen dapat merasakan seluruh tubuhnya seolah-olah mendidih dan bergelora. Dia bergelut kuat untuk menahan perasaan teruja yang hampir menenggelaminya. "Kenapa? Adik Jun sebelum ini nampak tak begitu berminat untuk bekerjasama dengan Beta. Itu sangat jelas pada pandangan Beta. Jadi kenapa kamu berubah fikiran?"

Jun Wu Xie membalas, "Insiden ini cuma menjengkelkan saya. Kalau hal ini cuma disasarkan pada Tuanku, tentulah saya tak akan banyak bertanya. Tapi memandangkan pihak satu lagi itu telah mengheret Akademi Zephyr sekali, kami tak akan biarkan saja."

Lei Chen bingkas berdiri dan matanya membara. Dia berpaling dan memandang sekeliling, memastikan pintu dan tingkap semuanya tertutup rapat. Setelah itu, dia berpaling kembali dan pandangan matanya menjadi serius. Dia perlahan-lahan memandang setiap anak muda yang duduk di meja itu seorang demi seorang, seolah-olah mencari sesuatu...