Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 813 - Berundur Supaya Dapat Mara (3)

Chapter 813 - Berundur Supaya Dapat Mara (3)

"Beta tanya lagi buat kali terakhir. Kamu semua betul-betul sanggup nak tolong Beta?" tanya Lei Chen dengan agak gelisah.

Jun Wu Xie mengangguk.

Lei Chen tiba-tiba duduk tersandar kembali di kerusinya sambil tercungap-cungap. Tidak tahu sama ada disebabkan dia terlalu cemas ataupun kerana beban yang besar di dalam hatinya sudah diangkat. Dia tidak tergesa-gesa mahu bercakap dan hanya merenung Jun Xie, Hua Yao dan yang lain seorang demi seorang. Lei Chen memerhatikan ekspresi wajah mereka, cuba menentukan sejauh mana mereka sedang serius.

Walaupun mereka semua ini amat penting baginya, bolehkah dia benar-benar percayakan mereka?

"Memandangkan Adik Jun sudah tahu siapa dalangnya, pasti kamu juga tahu identiti orang itu. Jadi pasti jelas pada kamu bahawa sebagai Putera Mahkota pun, Beta hanya sekadar anak kecil yang boleh dipergunakan dan dimanipulasi. Daripada segi pangkat dan kekuasaan, Beta lebih lemah daripada segi kedua-duanya. Kalau Adik Jun ada apa-apa yang diinginkan daripada Beta, orang itu mampu memberikan lebih banyak lagi berbanding Beta. Namun begitu, kamu semua masih sanggup menolong Beta?" Lei Chen bertanya sambil memandang tepat pada Jun Xie. Dia kini faham bahawa dalam kalangan anak-anak muda dari Akademi Zephyr ini, orang yang benar-benar memimpin mereka adalah yang paling muda sekali, Jun Xie.

Nada suara Lei Chen kini berubah. Senyumannya semakin kurang dan dia kelihatan agak serius.

Kata-katanya membuatkan Qiao Chu membulatkan mata kerana terkejut dan keliru.

[Jun Wu Xie sudah pun tahu siapa yang menentang Putera Mahkota? Kenapa kami semua tak tahu apa-apa?]

Mata Qiao Chu yang keliru itu mula memandang Jun Wu Xie. Tetapi nampaknya, Jun Wu Xie tidak peduli pun untuk membalas renungan Qiao Chu, menjeling sekilas daripada ekor matanya pun tidak. Qiao Chu ligat berfikir, cuba mengingat kembali. Tetapi tidak kira betapa banyak pun dia cuba memikirkannya, dia tidak ingat pun semalam Jun Wu Xie ada menyebut apa-apa tentang mengetahui identiti orang yang menentang Putera Mahkota!

Dia baru sahaja mahu membuka mulut untuk berbisik pada Hua Yao apabila Hua Yao menjelingnya sebelum terus berpaling.

"Saya tak akan menentang orang yang tak buat apa-apa pada saya. Hakikatnya, Akademi Zephyr memang tak ada niat pun mahu bekerjasama dengan Tuanku sebelum ini dan kami tak perlu takut pada sesiapa. Hubungan kita sekarang tak ada sebab lain selain pihak satu lagi itu telah menggunakan Akademi Zephyr sebagai alat untuk menimbulkan isu. Walaupun Akademi Zephyr tidak sebesar dan segemilang dahulu, kami masih lagi tidak mudah dibuli. Kami tak akan biarkan diri kami dimanipulasi dan dipergunakan dengan mudah," kata Jun Wu Xie sambil ketawa dingin.

Mata Lei Chen merenung Jun Xie. Benar, sebelum semalam, Jun Xie dan yang lain tidak pernah sekali pun meminta untuk bertemu dengannya. Hanya selepas insiden itu berlaku barulah mereka mengambil tindakan yang berlawanan dengan keperibadian mereka yang biasa.

"Kalau benar begitu, terimalah tunduk hormat tanda terima kasih ini daripada Lei Chen." Kemudian Lei Chen bangun dan tanpa berkata apa-apa lagi, dia tunduk hormat pada Jun Xie dan yang lain.

Ketika berhadapan dengan kurniaan merendah diri daripada seorang Putera Mahkota pun Jun Wu Xie tidak terkesan. Dia menerimanya dengan bersahaja.

"Beta minta tetamu-tetamu kehormat Beta tunggu sebentar. Ada sesuatu yang Beta mahu tunjukkan pada kamu semua," Lei Chen berdiri tegak dan terus keluar dari bilik makan itu.

Selepas Lei Chen berlalu, Qiao Chu tidak lagi dapat menahan dirinya. Dia cepat-cepat berpaling ke arah Jun Wu Xie dan bertanya dengan cemas, "Adik Xie! Siapa yang nak sangat menentang Putera Mahkota tu? Macam mana kamu boleh dapat tahu?"

Jun Wu Xie perlahan-lahan mengangkat cawan dan menghirup tehnya. Matanya ditundukkan sebelum berkata, "Saya tak tahu."

"Hah!?" Qiao Chu tergamam.

[Dia tak tahu?]

"Say cuma tipu dia," balas Jun Wu Xie sambil memandang Qiao Chu dengan tenang.

"….." [Menipu dia...] Mata Qiao Chu terbeliak sebesar guli. Dia merenung Jun Wu Xie dengan perasaan terkejut. Setiap patah kata Jun Wu Xie begitu tajam dan menusuk, mendesak Lei Chen tanpa henti. Malah Qiao Chu sendiri pun terpengaruh dan menjadi begitu teruja! Tapi…

[Selama ni diam cuma menipu Lei Chen?]

"Jadi… jadi… jadi…" Qiao Chu mula tergagap-gagap.

Jun Wu Xie tahu apa yang Qiao Chu mahu tanyakan dan dia terus menjawab, "Orangnya sama ada Maharaja atau Putera Keempat. Bagi membuatkan Lei Chen percaya yang kita ikhlas mahu menolong dia, tentulah kita perlu buat dia fikir yang kita tahu identiti dalang itu dan kita tak peduli pun dengan pangkat dan kedudukan orang itu. Barulah Lei Chen akan yakin."