Mulut Jun Wu Xie bergerak-gerak sedikit. Buku itu menyatakan teratai salji perlu ditanam dalam persekitaran yang khas dan tidak boleh ditanam dalam air biasa. Kalau biji benihnya diletakkan di dalam air biasa, teratai itu akan layu dan tidak boleh diselamatkan lagi. Dengan kata lain, kalau dia letak biji benih itu dalam air biasa, biji benih itu akan mati.
"....."
Tentulah teratai yang menyusahkan ini tidak boleh ditanam menggunakan air biasa sahaja. Selain mata air syurga, Jun Wu Xie perasan ada satu lagi cecair yang boleh digunakan untuk menanam teratai salji iaitu 'nektar jed'.
Dalam dunia ini, ayat itu merujuk pada wain yang paling tinggi kualitinya. Jun Xian sekalipun hanya pernah sekali minum secawan kecil wain ini sewaktu Maharaja Pertama mengurniakan minuman itu kepadanya sebagai menyambut kemenangannya dalam perang.
"Wain juga boleh digunakan untuk menanam pokok...hmmm." Jun Wu Xie menggosok-gosok keningnya untuk meredakan tekanan yang dirasakannya sambil dia berfikir. Walaupun wain ini sangat berharga dan jarang ditemui, sekurang-kurangnya dia tahu tentangnya. Sebaliknya dia tidak pernah dengar tentang mata air syurga!
Nektar jed diberikan oleh Maharaja Pertama, maksudnya besar kemungkinan wain ini masih ada lagi disimpan di dalam Istana Diraja.
Jun Wu Xie teringat perbualannya dengan Jun Xian tempoh hari. Tidak lama lagi akan diadakan sambutan hari lahir Putera Mahkota dan Jun Wu Xie telah dijemput untuk hadir. Ini merupakan peluang yang baik untuk dia memeriksa jika wain ini masih ada di dalam istana.
Walaupun dia sudah mendapat teknik pertapaannya, dia masih tidak boleh memulakan pertapaan akibat kekurangan sumber.
Sedang Jun Wu Xie sibuk memikirkan hal sumber yang diperlukan untuk memulakan pertapaannya, angin Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian pula sangat buruk sejak mereka pulang dari Bandar Hantu.
Di bawah undang-undang Bandar Hantu, Mo Xuan Fei tidak boleh melakukan apa-apa terhadap budak tak guna yang telah menjatuhkan air mukanya! Dia mengetap-ngetap giginya sewaktu memikirkan tentang betapa dia berusaha keras untuk memujuk Bai Yun Xian selepas kejadian di Bandar Hantu itu. Budak tak guna! Berani budak itu menentangnya? Dia sudah memanggil pelukis istana dengan segera untuk melukis wajah budak itu berdasarkan gambaran yang mereka berdua berikan.
Walaupun dia tidak boleh menyentuh budak itu sewaktu di Bandar Hantu, sebaik budak itu keluar, Mo Xuan Fei tidak akan melepaskannya!
Mo Xuan Fei mengarahkan angkatan rahsianya untuk menggeledah seluruh Bandar Diraja malam itu juga.
Namun begitu, yang peliknya, jejak budak itu langsung tidak dapat ditemui. Seolah-olah dia lenyap begitu sahaja.
Mo Xuan Fei turut mengarahkan orang-orangnya yang diletakkan di pintu masuk Bandar Hantu untuk memaklumkannya sebaik sahaja kelibat budak itu dilihat. Namun, langsung tidak ada berita diterimanya.
........
Masa berlalu dengan pantas. Seluruh bandar itu sibuk dengan persiapan sambutan hari lahir Putera Mahkota.
Malam sebelum sambutan itu, Jun Xian memanggil Jun Qing dan Jun Wu Xie ke bilik bacaannya.
Kali ini bukan sahaja Jun Wu Xie si 'sampah' itu yang dijemput, Jun Qing yang 'nazak' itu juga turut menerima jemputan.
"Esok hari lahir Putera Mahkota, kamu berdua perlu ikut saya. Long Qi tidak dibenarkan masuk, jadi Wu Xie, Datuk mengharapkan kamu untuk menjaga Pak Cik kamu." Jun Xian memandang Jun Wu Xie dengan perasaan bangga. Anak kecil ini sudah membesar menjadi seseorang yang boleh diharapkan dan ini amat melegakannya. Tanpa disedari, dia telah meletakkan seluruh harapannya untuk masa depan Istana Lin di tangan anak kecil ini.
"Baiklah." Jun Wu Xie mengangguk.
"Seperkara lagi, orang luar tidak tahu keadaan Pak Cik kamu. Buat masa sekarang mereka masih menyangka umurnya tak panjang. Kalau mereka dapat lihat dia semakin sembuh, Datuk risau… Wu Xie, boleh kamu tanya Tok Guru kamu jika ada cara untuk membuatkan Pak Cik kamu kelihatan 'sakit tenat'?" Jun Xian risau kerana dia hanya menerima jemputan untuk Jun Qing lima hari sebelum hari lahir Putera Mahkota.