Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 58 - Sambutan Hari Lahir (3)

Chapter 58 - Sambutan Hari Lahir (3)

"Datuk jangan risau. Apa yang Datuk katakan itu sudah pun difikirkan oleh Tok Guru saya. Esok saya akan beri pil untuk Pak Cik makan. Pil itu tak akan buat kesihatan Pak Cik terjejas, cuma akan menyembunyikan tahap kesihatan sebenar Pak Cik. Bagi orang lain, nadi dan simptom yang dialami Pak Cik akan kelihatan seperti seseorang yang sedang nazak." Jun Wu Xie sudah lama memikirkan hal ini dan sudah menyiapkan beberapa pil lebih awal sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kecemasan. 

Jun Xian dan Jun Qing amat gembira kerana Tok Guru ini berpandangan jauh dan sudah membuat persiapan menyeluruh.

Nampaknya Tok Guru kepada Jun Wu Xie ini bertekad untuk membantu keluarga mereka.

Sepanjang tempoh penyembuhannya, bukan sahaja Jun Qing dapat menggunakan kakinya semula, malah keadaan dalaman dan luaran tubuhnya sudah menjadi semakin kuat. Selain itu, kesihatan Jun Xian juga bertambah baik. Seluruh tubuhnya menjadi semakin tegap, mindanya lebih tajam dan jelas. Keadaan fizikalnya sudah mencapai kemuncaknya.

"Tok Guru kamu sudah banyak berjasa dengan Istana Lin, kita terhutang budi dengannya." Jun Xian mengeluh. Tok Guru yang sukar ditemui ini sudah banyak membantu keluarga keluarga mereka tetapi tidak mahu memunculkan diri atau meminta apa-apa daripada mereka.

"Dia tak kisah." Jun Wu Xie menundukkan pandangannya yang hiba dan membelai kucing hitam kecil di dalam dakapannya.

Apa yang boleh dilakukannya sekarang ialah menjadikan Jun Xian dan Jun Qing lebih kuat. Tetapi itu sahaja tidak cukup. Dia juga mahu menjadi lebih kuat, cukup kuat untuk menghapuskan semua musuh-musuhnya.

Hari itu berakhir dengan semua orang sibuk membuat persiapan untuk jamuan besar itu. Keesokan harinya setiap isi rumah sibuk bersiap-siap untuk jamuan malam itu. Kuda-kuda diberus, kereta kuda digilap dan pakaian yang mewah dikenakan. Sewaktu matahari terbenam, seluruh Bandar Diraja menjadi kecoh apabila jalan-jalannya dipenuhi kereta-kereta kuda mewah yang dalam perjalanan menuju ke Istana Diraja. Bersama-sama pelbagai kereta kuda yang bersusun di hadapan istana, semua menteri-menteri juga membawa bersama barang berharga dari merata-rata tempat yang dikumpulkan di sini bagi menyambut hari lahir Putera Mahkota.

Kereta kuda Keluarga Jun tiba di pintu masuk Istana. Long Qi duduk di luar kereta kuda itu sambil memandang dingin ke arah kereta kuda yang menghampiri mereka.

Kereta kuda Wu Wang yang mewah menghampiri mereka. Bunyi gemerincing daripada langsir kristal dapat didengari sewaktu Wu Wang menjengukkan kepalanya ke luar.

"Eh, Lin Wang? Kebetulan betul!" Wu Wang mencemuh dengan wajahnya yang montel. Dia tersenyum mengampu.

Jun Xian menarik langsir kereta kudanya dan mengangguk.

Sebaik Wu Wang ternampak dua lagi ahli Keluarga Jun di dalam kereta kuda itu, senyumannya semakin lebar.

"Tuan Muda dan Wu Xie benar-benar datang? Wah, riuh rendahlah nanti! Tapi bolehkah badan Tuan Muda bertahan? Jangan risau Lin Wang. Disebabkan hubungan kita yang rapat, Beta sudah maklumkan kepada hamba-hamba untuk menjaganya sepanjang jamuan berlangsung. Tak perlu risaulah!"

"Terima kasih kerana membuat persediaan." Jun Xian membalas dengan ringkas dan kasar sambil menggenggam kuat penumbuknya dan menutup kembali langsir itu. Dia tidak mahu lagi memandang wajah yang memualkan itu.

"Oh!" Wu Wang berundur kembali ke kereta kudanya dengan perasaan puas hati. Butir-butir kristal itu bergemerincing dengan kuat.

Di dalam kereta kuda itu, Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan bertanya, "Lelaki tadi makan apa? Busuk betul mulutnya."

Jun Xian dan Jun Qing terus faham maksud di sebalik kata-kata kesat Jun Wu Xie dan mereka tersenyum sinis.

"Itu Wu Wang, adinda Maharaja. Dia tidak ada banyak kemahiran, jadi dia sangat bergantung kepada hubungannya dengan Maharaja untuk berbuat sesuka hatinya. Dia tidak begitu bijak, tak perlu pedulikannya. Dia cuma lelaki tak guna. Kamu perlu ingat, bahaya sebenar datangnya daripada mereka yang menyembunyikan permusuhan jauh di dalam diri mereka dan menikam kamu dari belakang sewaktu kamu tidak menjangkakannya." Jun Qing risau tentang Jun Wu Xie kerana gadis ini masih muda dan tidak banyak pengalaman menghadapi dunia sebenar.

Seboleh mungkin, dia benar-benar mahu melindungi gadis itu daripada sebarang bahaya, melindungi dia selama-lamanya daripada dunia yang dingin dan penuh penipuan ini.