Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 62 - Jamuan (4)

Chapter 62 - Jamuan (4)

Ketika Mo Qian Yuan hampir tersungkur, Jun Wu Xie dapat menghidu sedikit haruman bunga. Dia amat mengenali haruman ini. Di dunianya sebelum ini, ada sejenis bunga yang boleh diekstrak untuk dijadikan dadah. Jika seseorang mengambil dadah ini, akan terdapat sedikit haruman bunga ini pada bajunya.

Selepas mengambil dadah ini, seseorang akan menjadi gembira dan seperti berada di awang-awangan, tanpa memikirkan sebarang masalah. Jika diambil dalam jangka masa panjang, dadah ini boleh mengubah keupayaan mental seseorang. Kalau seseorang mengambil dadah ini dalam tempoh masa yang lama, dia akan mengalami kesan fizikal yang buruk kerana dadah ini bukan sahaja merosakkan saraf, malah turut menghakis organ dalaman. Tambahan pula, dadah ini boleh mengakibatkan ketagihan dan jika tidak diambil tepat pada masanya, orang itu akan merasakan seolah-olah dihurung oleh beratus-ratus ekor semut. Ketidakselesaan yang melampau ini boleh juga menyebabkan kecelaruan personaliti.

Jun Wu Xie tidak terfikir dadah yang dahsyat ini wujud dalam dunia ini juga dan yang lebih mengejutkan ialah haruman ini datangnya daripada Putera Mahkota!

Melihatkan keadaan Mo Qian Yuan yang tidak terurus, nampaknya bukan hanya disebabkan oleh tabiat minumnya, tetapi lebih berkait rapat dengan haruman bunga itu.

"Tempoh masa dia mengambil dadah itu nampaknya sudah agak lama." Jun Wu Xie memegang dagunya sambil menilai keadaan ini berdasarkan pengalamannya. Dia mengagak yang Mo Qian Yuan sudah mengambil dadah ini selama beberapa tahun dan tidak akan dapat bertahan lebih lama. Kalau keadaan ini berterusan, dia menjangkakan lelaki ini hanya boleh hidup dua tahun sahaja lagi.

Sama ada Putera Mahkota itu hidup atau mati, tidak memberi kesan kepada Jun Wu Xie.

Namun begitu, Maharaja boleh menjadikan kematian Putera Mahkota sebagai alasan untuk menaikkan pangkat Putera Kedua, Mo Xuan Fei.

Ini sesuatu yang Jun Wu Xie tidak mahukan.

"Lelaki ini tak boleh mati." Dia pantas membuat keputusan dan mengecilkan matanya dengan penuh tekad. Ini mungkin juga menjadi peluang yang baik untuk membantu seorang putera yang kesepian dan dia mungkin berguna untuk mengubah keadaan di Kerajaan Qi.

Apa sahaja yang membuatkan musuhnya tidak gembira, Jun Wu Xie lebih daripada sedia untuk membantu.

"Datuk, Ayah pernah selamatkan nyawa Putera Mahkota sebelum ini?" Jun Wu Xie bertanya dengan perlahan.

"Kejadian itu sudah lama berlaku. Ayah kamu ketika itu baru saja mengambil alih kuasa dalam Tentera Rui Lin. Tahun itu Putera Mahkota dilahirkan dan Maharani dalam perjalanan membawa puteranya melawat keluarganya. Sewaktu dalam perjalanan, mereka bertembung dengan sekumpulan perompak. Nasib baik Ayah kamu ada di kawasan berdekatan dan dia menyelamatkan mereka." Jun Xian membalas dengan nada bersahaja.

"Prestasi Mo Qian Yuan agak bagus, tapi beberapa tahun kebelakangan ini, personalitinya berubah. Kalau dia yang menjadi Maharaja Kerajaan Qi, mungkin Istana Lin tidak akan menjadi susah seperti ini." Jun Xian mengeluh. Putera Mahkota yang berpotensi juga sudah terjejas.

Jun Xian dan anak-anaknya sudah menyelamatkan ramai orang sebelum ini, jadi dia tidak berkata apa-apa lagi.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya sambil memandang Putera Mahkota.

Di dalam memori Jun Wu Xie yang dahulu, dia cuma menjumpai sedikit khabar angin tentang putera ini. Mo Qian Yuan dilahirkan enam bulan lebih awal daripada Mo Xuan Fei. Sebagai anak lelaki sulung Maharaja, dia diberikan gelaran Putera Mahkota sebaik dilahirkan. Sewaktu Mo Qian Yuan masih muda, rakyat mengatakan dia sangat berbakat, merendah diri, bijak dan sopan. Ramai yang memujinya. Ketika itu Maharaja juga sayangkannya.

Tentu sekali semua ini berlaku sewaktu Maharani masih hidup dan keluarga Baginda sangat besar dan berkuasa. Ketika itu, Baginda juga bertanggungjawab ke atas gundik-gundik diraja.

Selepas kematian Maharani, seluruh negara dalam keadaan berkabung dan Mo Qian Yuan sakit teruk selama tiga bulan. Setelah sembuh, dia mengalami perubahan sikap yang besar.

Related Books

Popular novel hashtag