Jun Wu Xie membaca isi kandungan buku di tangannya dengan penuh hati-hati. Selain bunga teratai, ada banyak lagi jenis tumbuhan lain yang boleh mengumpulkan tenaga rohani. Tetapi nama-nama tumbuhan yang pelik ini tidak pernah didengarinya sebelum ini.
"Selain biji benih teratai, di mana saya boleh dapatkan biji-biji benih jenis lain?" tanya Jun Wu Xie.
Teratai Kecil mengerutkan wajahnya dan ragu-ragu seketika sebelum menjawab. "Saya juga tak pasti… Kebanyakan nama-nama ini saya tak pasti datang dari mana. Tapi yang lainnya saya kenal. Saya tahu tentang mereka dan asal-usul mereka. Cuma… Sekarang ni Tuan tak boleh mendapatkan mereka.
"Apa maksud kamu?" Jun Wu Xie terus mendesak sambil mengangkat keningnya.
Teratai Kecil menundukkan kepalanya dan tangannya yang kecil memegang apronnya sambil dia merintih, "Mereka belum boleh keluar lagi. Jadi Tuan tak boleh dapatkan mereka."
Kening Jun Wu Xie berkerut. Susah untuk memahami maksud di sebalik apa yang cuba disampaikan oleh Teratai Kecil. Dia suka bercakap tentang perkara yang sukar difahami.
Sewaktu dia mula-mula muncul, dia pernah menceritakan tentang biji benihnya dimakan oleh 'mereka'. Sekarang dia merujuk kepada 'mereka' juga. Jun Wu Xie ingin tahu siapa yang dimaksudkannya.
"Siapa mereka?"
"Roh berkontrak.." Teratai Kecil menggumam.
"Jadi mereka perlu ada tuan sebelum mereka boleh muncul?" tanya Jun Wu Xie.
Teratai Kecil mengangguk, kemudian menggeleng. Wajahnya berkerut sambil dia cuba menjelaskan hal ini.
Jun Wu Xie semakin bingung.
"Erm…Uh..itu.. Sebenarnya jika Tuan kuat berlatih dan bertapa dengan baik...Tuan pasti boleh menemui mereka. Tapi dengan keadaan Tuan sekarang… Bukankah lebih baik Tuan menanam biji benih saya dahulu?" Teratai Kecil ragu-ragu seketika sebelum memandang Jun Wu Xie dengan resah. Dia mengambil dua langkah dan berdiri di hadapan Jun Wu Xie. Teratai Kecil mendongakkan kepalanya dan menunjukkan ekspresi wajahnya yang sayu.
"Tuan tak perlu tergesa-gesa mencari tumbuhan lain, ya? Saya pasti saya boleh membantu Tuan. Boleh tak Tuan mula menanam saya dulu?" Teratai Kecil merayu dengan matanya berkaca.
"....." Jun Wu Xie merasakan jika dia menggelengkan kepalanya, Terata Kecil akan mula menangis.
"Baiklah." Jun Wu Xie bersetuju.
Teratai Kecil mula ketawa dan seluruh bilik itu dipenuhi haruman bunga teratai.
Jun Wu Xie mula membelek-belek timbunan buku-buku lama itu, mencari buku yang menceritakan tentang teknik pertapaan air.
Sebelum ini, dia menyangkakan buku-buku ini hanyalah buku berkebun biasa. Namun setelah mendengar penjelasan daripada Teratai Kecil, barulah dia perasan 'air' yang dimaksudkan dalam buku-buku ini bukanlah air biasa. Istilah 'air tidak berakar' diulang beberapa kali dan dikatakan jenis air yang paling rendah grednya. Air ini ialah air yang 'mengalir turun dari syurga tetapi belum lagi mencecah bumi'. Ini bukan air di dalam tasik dan sungai.
Buku ini menerangkan tentang pelbagai jenis tumbuhan air, salah satunya ialah cara penanaman teratai salji.
Selepas membaca bahagian ini, wajah Jun Wu Xie menjadi kosong.
Penanaman teratai salji memerlukan 'air'. Perkataan air itu tidak lagi sesuai digunakan kerana buku itu jelas menyatakan air itu perlu datang daripada mata air syurga.
Mata air syurga? Jun Wu Xie mencari-cari maklumat dalam memorinya dari kedua-dua dunia, tetapi tidak ada gunanya. Dia tidak pernah mendengar tentang mata air syurga dan juga tidak pernah mendengar orang lain menyebut tentangnya sebelum ini.
Jun Wu Xie selalu merasakan dunia ini seimbang. Teknik pertapaannya jauh lebih senang berbanding orang lain, TETAPI syarat-syaratnya sukar dipenuhi. Siapa yang boleh beritahu dia di mana boleh dia cari mata air syurga ini?
"Kamu tahu apa dia mata air syurga?" tanyanya kepada Teratai Kecil sambil mengerutkan wajahnya.
Teratai Kecil menggelengkan kepalanya dengan kuat.