Pintu masuk ke pasar bawah tanah itu terletak di halaman belakang restoran ini.
Di halaman belakang terdapat pintu masuk dengan anak tangga menuruni jauh ke bawah tanah. Beberapa orang lelaki yang sedang memanjat tangga itu memandang ke arah Jun Wu Xie, terpegun seketika.
"Budak ni nak ke Bandar Hantu seorang diri, jarang orang berbuat begitu." Mereka berbisik sesama sendiri sambil berlalu pergi.
Bandar Hantu nama pasar bawah tanah itu.
Jun Wu Xie melangkah ke pintu masuk yang gelap itu dan perlahan-lahan menuruni anak tangga. Apabila dia tiba di bawah, dia disambut suasana yang meriah.
Walaupun malam itu suasana sunyi di Bandar Diraja, keadaan di sini seperti di dunia lain.
Jalan-jalannya dipenuhi dengan penjual yang sibuk meniagakan barang-barang mereka. Tidak ada kedai di sini, yang ada cuma gerai-gerai kayu di sepanjang jalan. Gerai-gerai ini rendah sahaja dan barangan untuk dijual semuanya diletakkan di situ.
Dua orang lelaki ditempatkan di pintu masuk Bandar Hantu. Mereka memakai topeng dan hanya mata mereka yang tajam dan tenang dapat dilihat melalui ruang di topeng mereka.
Jun Wu Xie berjalan ke arah mereka dan mata lelaki-lelaki ini langsung tidak berkelip.
"Meow?" Kucing hitam itu mengekori rapat Jun Wu Xie, sambil melihat suasana sekitar mereka.
[Cik, bagaimana kita nak cari teknik pertapaan paling sesuai untuk Cik di sini?]
"Kalau teknik itu sesuai untuk saya, sewaktu kita hampir dengannya, Teratai Kecil akan dapat mengesannya," bisik Jun Wu Xie. Setiap teknik pertapaan mempunya sedikit tanda rohani dan jika teknik itu sesuai dengan roh berkontrak, akan ada gemaan rohani di antara kedua-duanya. Ini akan membantu Jun Wu Xie untuk mengenal pasti teknik pertapaannya di kalangan barang-barang yang ada di pasar yang luas ini.
"Meow."
[Cik pasti si kecil bodoh yang kuat menangis itu mampu mengesan apa-apa?]
Kucing hitam itu memandang hina pada Teratai Kecil. Setiap kali mereka bertemu, Teratai Kecil hanya tahu menangis.
"Kita perlu tengok-tengok dulu." Jun Wu Xie masih menyimpan sedikit harapan.
Walaupun sudah membelek-belek koleksi buku yang besar di Istana Lin, Teratai Kecil langsung tidak ada reaksi terhadap teknik pertapaan. Inilah usaha terakhir Jun Wu Xie.
Bandar Hantu ini besar tetapi Jun Wu Xie hanya fokus mencari buku dan tidak berminat dengan barangan lain. Dia bergerak di celah-celah orang ramai dan membelek-belek barangan yang ada di setiap gerai.
Satu-satunya masalah ialah…
Apabila sekumpulan orang berkumpul di tempat yang sama, akan bercampur baur pelbagai bau busuk, peluh dan wangian. Memandangkan jumlah orang di pasar ini bukan sedikit, suhu di sini semakin meningkat sehingga menjadikan tempat ini panas, lembap, berkuap dan berbau.
Bagi orang lain, mereka terlalu teruja melihatkan barangan yang dijual dan tidak memberi perhatian kepada ketidakselesaan sekecil ini.
Namun bagi Jun Wu Xie, kombinasi ini membuatkan dia naik gila. Dia mengerutkan keningnya sambil berusaha sebaik mungkin untuk tidak menyentuh sesiapa sekalipun sewaktu dia berjalan di celah-celah orang ramai.
Dia tidak akan datang ke tempat ini lagi!
Kucing hitam kecil itu lincah mengekori Jun Wu Xie dan dapat merasakan dengan jelas keresahan Tuannya.
Bagi Tuannya yang mempunyai deria bau yang tajam, tempat ini ibarat neraka.