"Meow." Kucing hitam kecil itu berusaha keras untuk menenangkan Tuannya.
Malangnya, melihatkan ekspresi wajah Jun Wu Xie yang tegang serta bibirnya yang digetap rapat, usaha kucing hitam kecil itu langsung tidak membuahkan hasil.
Bandar Hantu ini terlalu besar. Dalam keadaan sebegini teruk, Jun Wu Xie menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian dan mencari buku-buku pertapaan. Ini kerana barangan yang dijual di sini bukannya ditempatkan di kedai-kedai khas, sebaliknya peniaga-peniaga di sini menjual segala-galanya!
Selepas bersusah-payah, dia akhirnya tiba ke satu tempat yang kurang sibuk dan dapat bertenang sedikit. Gerai-gerai di sini didirikan jauh daripada satu sama lain. Sewaktu dia mahu meneruskan pencarian, dia merasakan sedikit kehangatan pada cincinnya. Jun Wu Xie berhenti berjalan. Dia dapat merasakan cincinnya menjadi semakin hangat.
Adakah teknik pertapaan itu berada di sini? Inilah kali pertama Teratai Kecil menunjukkan tindak balas terhadap sesuatu. Jun Wu Xie memerhatikan keadaan sekeliling dengan teliti.
Di tempat di mana langkahnya terhenti, terdapat sepuluh buah gerai. Matanya melilau sebelum terpandang sebuah gerai yang mempunyai beberapa buku-buku lama untuk dijual.
Beberapa buah buku usang dipamerkan di gerai itu. Muka hadapan sebahagian daripada buku-buku itu hampir koyak dan ada yang judulnya tidak dapat lagi dibaca.
Gerai itu dijaga oleh seorang remaja yang kusut-masai serta berpakaian selekeh. Dia sedang duduk di atas bangku kayu sambil mengunyah setangkai daun buluh. Remaja itu tersenyum gembira, khusyuk membaca buku yang sedang dipegangnya.
Dia tidak memberi apa-apa reaksi biarpun Jun Wu Xie sedang berdiri di hadapan gerainya.
Jun Wu Xie dan remaja itu saling tidak mempedulikan satu sama lain sambil kedua-duanya sibuk dengan hal sendiri.
Perhatian Jun Wu Xie kini tertumpu pada buku-buku yang ada di hadapannya. Dia dapat merasakan reaksi Teratai Kecil menjadi semakin kuat semakin dia mendekati buku-buku tersebut. Dia yakin buku yang diperlukannya pasti ada di sini.
Walaupun muka hadapan buku-buku itu sudah tidak cantik lagi, isi dalamnya masih elok.
Namun begitu…
Selepas menyelak-nyelak isi kandungan buku-buku itu beberapa kali, kening Jun Wu Xie mula berkerut. Ini bukan buku-buku pertapaan.
Ini buku-buku untuk pekebun!
Isi kandungan buku-buku ini mengajar orang cara-cara menanam pokok-pokok dan bunga-bungaan, langsung tidak ada kaitan dengan pertapaan.
Bibir pada wajah cendekiawan maskulin Jun Wu Xie menggerenyet sambil dia cuba menenangkan dirinya. Reaksi Teratai Kecil yang kuat pastinya berkaitan dengan buku-buku berkebun ini. Dia tahu kalau bukan kerana mereka berada di luar, Teratai Kecil pasti bertukar pada rupa manusianya dan menyambar kesemuanya!
Little Lotus sedang resah kerana tidak dapat bertukar rupa dan menyambar buku-buku itu sendiri. Jadi dia berterusan memujuk Jun Wu Xie.
"Wahai Tuan yang cantik jelita, tolonglah bawa semua buku-buku ini pulang! Wahai Tuan yang paling hebat, tolonglah bawa pulang semua buku-buku ini. Wahai Tuan yang baik, tolonglah bawa…"
Jun Wu Xie menggenggam tangannya.
Dia sudah menerima hakikat yang roh berkontrak miliknya ialah daripada jenis tumbuhan yang jarang dijumpai, dan dia menerima takdirnya. Tapi sekarang sewaktu dia mahu memulakan pertapaan, budak kecil ini mahu dia membeli buku berkebun?
Jun Wu Xie mahu berlalu pergi tetapi Teratai Kecil tetap merayu dan memujuknya untuk membawa pulang buku-buku itu.
"Meow?" Kucing hitam kecil itu memandang Jun Wu XIe dengan ekspresi kebingungan.
"Hmm?" Remaja yang kusut-masai itu akhirnya berhenti membaca bukunya dan menyedari ada seseorang sedang membelek-belek barang jualannya. Dia mengangkat kepalanya dan memandang malas pada cendekiawan muda yang berdiri di hadapan gerainya. Dia memandang Jun Wu Xie dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, seolah-olah sedang menilai sesuatu barang.