Jun Wu Xie berfikir-fikir sejenak dan akhirnya berkata, "Tunggu."
Pemuda kusut-masai itu perlahan-lahan memusingkan kepalanya sambil memberikan pandangan yang menunjukkan dia tidak berminat. Dia berkata dengan bimbang, "Maaflah, saya tak berminat dengan ubat-ubatan…"
"Saya tahu." Jun Wu Xie mengangguk. Perbezaan reaksi pemuda itu sangat jelas.
"Kamu cuma perlu beritahu saya, di mana saya boleh cari gerai yang menerima ubat-ubatan dan boleh saya tukarkan dengan sesuatu yang kamu mahukan?" Jun Wu Xie berterus-terang.
Pemuda itu memandang Jun Wu Xie. Dia berfikir-fikir sebentar sambil menyentuh hidungnya, kemudian menjawab, " Sebenarnya, ada lelaki yang menerima ubat-ubatan untuk ditukarkan dengan Mutiara Timur. Cuma...jenis ubat-ubatan yang dia mahukan itu sedikit… Secara jujurnya, saya tak rasa budak muda macam awak ni ada ubat-ubatan yang dia mahukan."
Budak muda di hadapannya ini kelihatan lemah dan dia tidak mahu memusnahkan harapannya serta membuatkan dia malu di hadapan orang ramai. Walaupun budak muda seperti ini jarang dilihat berada di Bandar Hantu, dengan usianya yang terlalu muda, apa saja yang dia ada untuk ditukarkan dengan Mutiara Timur?
"Bawa saya ke sana." Jun Wu Xie berkata dengan ringkas dan kasar.
Pemuda itu tercengang melihatnya, kemudiannya memandang ke arah gerainya yang kosong.
"Kalau pertukaran barang ini berhasil, selain empat butir Mutiara Timur, saya akan berikan kamu sebotol ubat."Jun Wu Xie perasan keengganan pemuda itu dan dia hanya mahu menyelesaikan hal ini secepat mungkin..
"Saya tak nak ubat awak… Kalau saya nak, saya tak perlu datang sejauh ini…" Pemuda itu merungut pada dirinya sendiri. Dia memandang budak muda di hadapannya dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Entah kenapa dia merasakan ada sesuatu yang berbeza dengan budak muda ini. Sikapnya yang tenang amat berlainan dengan orang-orang lain yang pernah dia temui di Bandar Hantu. Selalunya, tuan muda dari keluarga bangsawan akan berjalan dengan angkuh bersama sekumpulan orang yang mengampu mereka. Namun budak muda ini mempunyai keyakinan yang jarang dapat dilihat.
"Baiklah, eloklah saya ikut awak ke tempat orang tua itu. Memandangkan sudah berhari-hari saya di sini dan awaklah satu-satunya orang yang mahu membeli barangan saya." Dia membuat keputusan setelah segala kebimbangannya lenyap.
Berbanding dengan gerai pemuda kusut-masai itu, gerai menjual Mutiara Timur ini penuh dengan pengunjung yang sedang terlopong melihatkan barang-barang berharga yang ada di situ.
Sembilan butir mutiara yang besar dan bersinar diletakkan di dalam sebuah kotak baldu. Mutiara Timur yang dikelilingi mutiara-mutiara lain yang bersinar, kelihatan bercahaya dengan kilauan pendarrona yang menawan. Selain daripada Mutiara Timur, gerai ini juga menjual Permata Rohani daripada pelbagai gred.
Selepas roh berkontrak menjalinkan ikatan dengan tuannya dan membentuk cincin, permata dan mutiara seperti ini merupakan sumber pertapaan yang bagus untuk meningkatkan tenaga rohani serta menguatkan ikatan itu.
Permata Rohani seperti ini jauh lebih bernilai daripada permata biasa. Setiap Permata Rohani boleh membuatkan pertapaan seseorang meningkat dengan lebih pesat! Namun begitu, harganya sangat mahal. Sebab itulah sumber seperti ini hanya terhad untuk golongan kaya dan berpengaruh.
Istana Lin bertuah kerana memiliki beberapa Permata Rohani dalam simpanan mereka. Permata itu dihadiahkan oleh Maharaja Pengasas yang mengurniakan mereka jumlah yang banyak sebagai menghargai sumbangan ketenteraan mereka.
Jun Xian sudah mengasingkan beberapa Permata Rohani bergred tinggi untuk Jun Wu Xie gunakan sebaik dia cukup usia tetapi dia tidak berpeluang untuk menggunakannya.
Buat masa sekarang, Jun Wu Xie tidak berapa berminat dengan Permata Rohani. Masih terlalu awal baginya untuk menggunakan permata ini kerana dia masih belum menemui teknik pertapaan yang sesuai. Keadaan ini seperti bayi yang cuba berlari sebelum belajar merangkak.
Pemilik gerai ini ialah seorang lelaki berusia lima puluhan. Dia sedang menghisap paip sambil memerhatikan pengunjung-pengunjung di gerainya. Orang ramai yang berada di gerai itu tidak mempedulikan sikapnya, malah semakin ramai yang mengerumuni gerai itu.