Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 46 - Kecilnya Dunia (1)

Chapter 46 - Kecilnya Dunia (1)

"Bezanya... ahhh… Bezanya." Pemuda kusut masai itu merintih sedih melihatkan perbezaan jumlah pengunjung yang sangat ketara.

"Kamu mahukan Mutiara Timur itu?" Jun Wu Xie menunjuk ke arah mutiara yang dipamerkan di gerai itu.

Pemuda itu mengangguk.

Sambil Jun Wu Xie menyelit-nyelit untuk sampai ke bahagian hadapan gerai itu, dia terkejut apabila terlihat dua susuk tubuh yang amat dikenalinya berada di kalangan orang ramai itu.

Seorang lelaki muda yang tampan dan berpakaian broked, bersama-sama seorang wanita muda yang cantik, berpakaian serba putih di sisinya. Mereka berdiri di hadapan gerai itu. Pasangan yang menawan ini amat menarik perhatian dan orang ramai mencuri-curi pandang, mengagumi kedua-duanya.

"Banyak barang yang bagus di tempat ini." Lelaki muda itu bercakap dengan lembut sambil pandangannya terlekat pada wanita di sisinya.

Wanita itu hanya mengangguk, perwatakannya angkuh.

Kucing hitam di sisi Jun Wu Xie naik marah. Bulu kucing itu kembang sambil berdesis.

[Pasangan curang!]

Pasangan itu tentulah Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian.

Jun Wu Xie menjeling mereka sekali imbas tanpa memberi respons.

"Dua Permata Rohani dan sembilan butir Mutiara Timur ini memang hebat!"kata Mo Xuan Fei. Sejak kejadian serangan itu Bai Yun Xian menjadi muram dan tidak pernah tersenyum. Mo Xuan Fei sudah mencuba pelbagai cara tapi tiada yang berkesan. Tiba-tiba dia teringatkan tentang Bandar Hantu. Barang-barang terkini dan jarang ditemui ada di situ, pasti dia boleh temui sesuatu yang dapat menggembirakan Bai Yun Xian.

Selepas bersiar-siar di sekitar Bandar Hantu, Bai Yun Xian langsung tidak terkesan. Dia anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun! Apa sahaja tidak pernah dilihatnya?

Mereka telah pergi ke merata tempat di pasar itu sebelum Bai Yun Xian akhirnya menemui sesuatu yang menarik minatnya.

Setiap Permata Rohani itu hanyalah sebesar kuku jari kelingkingnya. Namun permata itu masih dianggap bersaiz besar dan membuak-buak dengan tenaga rohani kerana roh berkontrak milik mereka berdua telah memberikan reaksi terhadap permata itu.

Sembilan butir Mutiara Timur itu mampu membuatkan seorang putera raja mengeluh. Mo Xuan Fei memandang mutiara-mutiara itu dengan penuh kagum. Mutiara Timur dengan kualiti sehebat ini jarang ditemui dalam Bilik Simpanan Harta Diraja.

"Sembilan butir Mutiara Timur ini sangat sesuai dengan mahkota yang Beta sudah siapkan khas untuk kamu. Kamu suka?" Mo Xuan Fei menyiku Bai Yun Xian dengan lembut sambil memandang wanita itu dan cuba melihat jika wanita itu memahami maksud di sebalik kata-katanya itu.

Bai Yun Xian mengangguk malu-malu, akhirnya dia tersenyum.

Sambil pasangan ini saling bermain cinta, orang ramai sibuk berbisik sesama sendiri dan mula mereka-reka cerita. Semua orang tahu siapa pasangan yang terkenal ini.

Sebelum ini, sewaktu Mo Xuan Fei dan Jun Wu Xie bertunang secara rasmi, ramai yang bersimpati dengan Mo Xuan Fei. Namun, sejak dia bersama dengan Bai Yun Xian, orang ramai mula cemburu dengannya.

Jun Wu Xie memang terkenal sebagai seorang yang zalim. Walaupun wajahnya cantik, personaliti dan tingkah-lakunya telah menenggelamkan kecantikannya. Tidak ramai yang mampu bertahan dengan sikapnya yang panas baran!

Jauh berbeza dengan Bai Yun Xian. Bukan sahaja dia cantik, malah tingkah-lakunya lembut dan percakapannya sopan. Tambahan pula, dia anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun! Dia ibarat dewi dan apabila berita hubungannya dengan Mo Xuan Fei tersebar, ramai yang berasa marah terhadap putera raja itu.

Orang ramai semakin menghormati Bai Yun Xian apabila melihatnya di depan mata mereka dan mula merendah-rendahkan Jun Wu Xie sewaktu mereka berbual sesama sendiri.

Semua kata-kata ini didengari oleh Jun Wu Xie, tetapi dia kekal tenang. Tidak kelihatan sebarang reaksi atau ekspresi wajah.

Sebaliknya, kucing hitam di sisinya hilang sabar dan naik marah. Apa yang kucing itu mahu lakukan sekarang ialah menerpa ke arah dua orang yang dungu ini dan hapuskan mereka. Kucing itu mendesis dengan garang.

[Apa yang dua orang yang dungu ini tahu? Bagaimana mereka boleh membandingkan wanita itu dengan Tuan saya?]