Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 373 - Terbalik (1)

Chapter 373 - Terbalik (1)

Jun Wu Xie terjaga dari tidur dan keluar ke halaman tak lama selepas itu. Dia terlihat sekumpulan pekerja lelaki yang tegap sedang memperbaiki Sayap Timur, namun langkahnya tidak diperlahankan. Jun Wu Xie terus berjalan menuju kolam di mana Teratai Salji sedang memulihkan diri.

Beberapa hari ini Jun Wu Xie berkawal di tepi kolam sebaik terjaga dari tidur. Sebelum ini dia melakukannya hanya kerana Yan Bu Gui menyuruhnya, demi menjaga Teratai Salji yang sedang lemah. Tapi baru-baru ini dia jelas dapat merasakan aliran tenaga rohani yang kuat masuk ke badannya tanpa henti. Ledakan kuasa rohani ini lebih kuat berbanding sewaktu dia mula-mula menggunakan Nektar Jed untuk memupuk biji benih Teratai Salji!

Dalam masa beberapa hari saja, kuasa rohani di dalam badan Jun Wu Xie telah mencapai peningkatan yang agak banyak. Situasi ini agak membingungkan.

Sewaktu dia duduk di tepi kolam itu sambil memegang kucing hitam kecil yang masih tidur, mata Jun Wu Xie tertumpu pada Teratai Salji yang perlahan-lahan semakin segar.

Bunganya yang sebelum ini layu telah menunjukkan tanda-tanda kembali hidup. Daun-daun teratai yang kering telah gugur satu demi satu dan kelopak bunga yang baru sudah mula berputik.

"Xie Kecil." Terdengar satu suara dari arah belakang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie berpusing dan melihat empat susuk tubuh yang menawan di belakangnya.

Mereka sudah menukar pakaian yang lusuh dan kini mengenakan pakaian baru yang lebih elok. Rekaan pakaian mereka biasa saja, tetapi semuanya diperbuat daripada kain bermutu tinggi.

Jelas dapat dilihat di sini yang sememangnya pakaian boleh mengubah penampilan seseorang.

Mereka berempat memang dikurniakan rupa paras yang menawan. Namun pakaian yang lusuh telah mencacatkan penampilan mereka. Kini pakaian baru tersebut telah melenyapkan sama sekali keadaan mereka yang kelihatan malang. Mereka kelihatan seperti golongan bangsawan yang anggun dan tampan, mampu menarik perhatian sesiapa sekalipun.

Fei Yan memakai jubah panjang berwarna biru kehijauan dan dia sedang menarik-narik hujung bajunya dengan malu-malu. Berbanding dengan senyuman tampan tiga orang pemuda itu, raut wajah Fei Yan kelihatan agak risau.

Tiga daun jed hijau untuk dipadankan dengan si bunga merah yang bergemerlapan. Fei Yan amat menonjol, kelihatan lebih cantik dan menarik. Matanya ditundukkan sedikit dan dia kelihatan sedikit malu.

"Cantik tak?" Qiao Chu bertanya sambil memegang jubah luarnya. Satu perhiasan jed tergantung di pinggangnya.

Mata Jun Wu Xie merenung Fei Yan dan Rong Ruo seketika sebelum dia berkata, "Terbalik."

"Apa?" Qiao Chu bertanya dengan bingung.

"Atau kamu memang suka pakai baju macam ni?" Jun Wu Xie bertanya sambil menelengkan kepalanya. Dia memandang Rong Ruo dan Fei Yan.

Fei Yan dan Rong Ruo amat terkejut. Lama kemudian barulah mereka memberikan reaksi terhadap kata-kata Jun Wu Xie tadi.

"Kamu tahu?" tanya Fei Yan dengan mata yang terbeliak kerana terkejut. Dia merenung Jun Wu Xie.

"Tahu apa?" Wu Xie bertanya kepada Fei Yan.

"Saya….. Saya ni lelaki dan Ruo Kecil ini sebenarnya perempuan….." Fei Yan menunjuk kepada dirinya sendiri dan kemudian menuding jari ke arah Rong Ruo.

Senyuman Rong Ruo kelihatan luar biasa cantiknya.

Jun Wu Xie mengangguk.

"Tengok!? Qiao Chu! Kamu dan idea bodoh kamu tu! Kamu kata Xie Kecil tak mungkin tahu jantina sebenar kami." Fei Yan menjerit lalu menerkam Qiao Chu dan membelasahnya.

Pada mulanya, sewaktu Yan Bu Gui membawa mereka ke situ, tubuh badan Fei Yan yang bersaiz paling kecil. Pakaian yang mereka pakai sebelum ini ialah pakaian lama yang Yan Bu Gui rayu dan minta dari guru besar. Salah satu pakaian tersebut ialah pakaian perempuan. Memandangkan Fei Yan bertubuh paling kecil dalam kalangan mereka manakala Rong Ruo pula tidak muat pakaian perempuan itu, Fei Yan terpaksa memakai pakaian berkenaan. Sejak itu, setiap kali Yan Bu Gui keluar untuk mendapatkan baju buat mereka, semua pakaian perempuan yang bersaiz lebih kecil selalunya diberikan kepada Fei Yan. Lagipun Fei Yan ini memang lelaki yang memiliki paras rupa yang feminin dan kelihatan manis berpakaian perempuan. Didorong oleh keperluan keadaan disebabkan kekurangan pakaian lelaki, Fei Yan sering disalah anggap sebagai perempuan oleh pelajar-pelajar lain di Akademi Phoenix. Sebaliknya, penampilan Rong Ruo yang anggun, raut wajahnya yang tampan serta susuk tubuhnya yang tinggi lampai membuatkan ramai orang menganggap dia sebagai seorang pemuda yang elegan...