Fei Yan menyangkakan Jun Wu Xie tidak tahu dan telah membeli satu kotak pakaian perempuan hanya untuknya. Ini telah mendorongnya untuk tunduk pada usikan nakal Qiao Chu dan muncul di hadapan Jun Wu Xie dengan berpakaian begitu.
Siapa sangka Jun Wu Xie sebenarnya sedar tentang jantina Fei Yan yang disembunyikan tanpa sengaja?
Memikirkan semula hal ini, sewaktu hari pertama Jun Wu Xie tersedar, dia telah menyerahkan kucing hitam kecil itu ke tangan Rong Ruo, bukannya Fei Yan. Sedangkan Fei Yan ialah orang pertama yang dilihatnya setelah sedar. Kini nampaknya Jun Xie ada sebab yang baik kenapa dia bertindak begitu!
Jelas sekali yang Jun XIe sudah pun sedar tentang jantina sebenar Rong Ruo dan Fei Yan pada ketika itu!
Tambahan pula, selama ini Jun Xie melayan Rong Ruo agak berbeza dengan yang lain.
Fei Yan berasa sangat malu pada saat itu tetapi Rong Ruo masih lagi tersenyum. Dia tiba-tiba diheret oleh Fei Yan dengan tegas. Beberapa ketika kemudian mereka kembali dengan memakai pakaian yang bersesuaian dengan jantina mereka.
Tetapi…..
Fei Yan masih lagi kelihatan seperti seorang gadis yang memakai pakaian lelaki. Walaupun Rong Ruo tidak nampak janggal, melihat dia memakai pakaian perempuan yang ayu membuatkan bulu roma Qiao Chu meremang. Dia sudah terbiasa melihat Rong Ruo berpakaian lelaki sejak dulu lagi.
Akhirnya kedua-duanya tidak tahan lagi dengan renungan kekok yang mereka terima daripada rakan-rakan yang lain. Mereka kembali menukar pakaian, mengenakan semula apa yang telah mereka pakai tadi.
Sebaik melihat Fei Yan kelihatan anggun semula dalam pakaian perempuan, Qiao Chu tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa terbahak-bahak. Ini membuatkan Fei Yan membelasahnya sekali lagi.
Fei Yan mungkin bertubuh paling kecil dalam kalangan mereka berempat, tetapi kekuatannya paling hebat. Dia mengangkat Qiao Chu dengan sebelah tangan dan mengalahkannya dengan satu pukulan. Kalau tidak difikirkan tentang jantina sebenarnya, Fei Yan memang boleh dianggap sebagai "Gadis Ganas".
Sementara Qiao Chu berlari-lari dikejar Fei Yan yang sedang meradang, Rong Ruo duduk di sebelah Jun Xie, tersenyum lalu berkata, "Terima kasih."
Walaupun sudah banyak yang dia lakukan, Jun Wu Xie langsung tidak menyebut apa-apa.
"Tak apa." Jun Wu Xie membalas lembut. Dia memikirkan tak ada jalan lebih sesuai untuk dia menggunakan duitnya.
Hua Yao merenung gadis-gadis yang berpakaian lelaki ini dan berasa agak terhibur. Dia menyembunyikan perasaannya dan dengan serius berpaling ke arah Jun Xie, "Ini mungkin bukan masa yang baik, Xie Kecil. Tetapi ada satu hal lagi yang kamu boleh bantu kami."
"Eliksir?" Jun Wu Xie bertanya sambil mengangkat sebelah keningnya.
Hua Yao mengangguk.
"Preskripsi." Jun Wu Xie meminta tanpa teragak-agak walau sedetik.
Hua Yao mengeluarkan satu preskripsi dari dalam bajunya dan menyerahkannya kepada Jun Wu Xie yang kemudiannya meneliti preskripsi itu sekilas.
"Ubat ini untuk siapa?" tanya Jun Wu Xie.
"Tuan Guru. Dia cedera parah bertahun-tahun yang lalu sewaktu melindungi kami dan kini hanya boleh menangani kesakitannya dengan minum arak." Wajah Hua Yao menjadi muram sewaktu dia bercakap. Disebabkan keadaan mereka yang daif, mereka langsung tidak mampu untuk membeli arak untuk Yan Bu Gui. Pasti kesakitan akibat kecederaannya itu amat menyeksakan.
Preskripsi yang mereka bawa bersama sewaktu meninggalkan Alam Pertengahan itu mampu menyembuhkan kecederaan Yan Bu Gui. Sewaktu Qiao Chu mula-mula pergi ke Bandar Hantu untuk menukar barang dengan Mutiara Timur, itu merupakan salah satu barang yang diperlukan untuk membuat eliksir berkenaan. Tetapi eliksir itu amat sukar dibuat. Di Alam Pertengahan sekalipun, tak ramai orang yang mampu melakukannya.
Sewaktu terserempak dengan Jun Wu Xie, mereka masih ragu-ragu. Tetapi mereka tak akan melepaskan sebarang sinar harapan walau sekecil mana sekalipun.
Jun Wu Xie menundukkan kepala dan membaca preskripsi itu sekali lagi.
Keadaan yang sunyi seketika ini membuatkan Hua Yao tiba-tiba berasa gelisah dan mata Rong Ruo dipenuhi harapan.
"Herba," kata Jun Wu Xie secara tiba-tiba.
"Apa?"
"Beri saya herba." Jun Wu Xie mengulang kata-katanya sambil memandang Hua Yao.
Hua Yao akhirnya faham apa yang Jun Xie maksudkan dan penampilannya yang biasanya tenang berubah sedikit kerana berasa teruja.
"Kamu boleh lakukannya?"
Jun Wu Xie mengangguk. Preskripsi ini lebih rumit sedikit daripada biasa tetapi bukannya sesuatu yang di luar jangkauannya. Hal yang paling rumit ialah preskripsi ini memerlukan herba yang jarang ditemui. Kebanyakannya Jun Wu Xie sendiri tidak pernah lihat sebelum ini.
"Hebatnya! Kami akan lakukan apa saja untuk mendapatkan herba-herbanya!" Wajah Hua Yao menunjukkan satu senyuman pada ketika itu. Tak kiralah betapa susahnya pencarian mereka nanti, sekurang-kurangnya mereka ada sinar harapan!