Dalam kegelapan malam, bunyi cengkerik musim panas dan katak bergema secara berterusan.
Di dalam kegelapan itu, satu bayang-bayang dalam pakaian hitam mendekati asrama lelaki dengan kegelapan sebagai pelindung secara senyap-senyap dan akhirnya berhenti di tingkat bawah kawasan balkoni asrama Song Shuhang.
"Mesti ada di sini." Bayang-bayang hitam itu bergumam sendiri sebelum melompat dan mendarat di balkoni asrama Song Shuhang dalam satu deruan angin yang ringan.
Tinggi asrama lelaki dua tingkat itu hanya tiga dan setengah meter dengan tambahan pagar setinggi setengah meter, tingginya kini mencecah empat meter tinggi. Bayang-bayang hitam itu tidak memerlukan sebarang bantuan dan melompat ke balkoni dari aras bawah dengan mudah.
Dengan keupayaan melompat seperti ini... jika ia digunakan untuk negara ini, mereka pasti akan menemui juara kebangsaan negara mereka. Tanpa perlu mengumpul sebarang momentum untuk melompat ke tingkat empat sebuah bangunan, setiap atlit lompat tinggi pasti akan menangis apabila mereka melihat lompatan yang dilakukan oleh bayang-bayang hitam itu.
Dan semestinya, ada kemungkinan penduduk di seluruh dunia akan mengesyaki yang lompatan itu dibantu dengan dadah atau bahawa ada peralatan berteknologi tinggi yang dipasang di dalam ototnya.
Struktur pintu balkoni asrama itu dibuat dengan reka bentuk Perancis yang ringkas dan cantik.
Bayang-bayang hitam itu memerhatikan kawasan sekitar dan selepas yakin bahawa tiada seorang pun yang melihatnya, dia mengeluarkan pisau cukur nipis dan memasukkannya ke dalam retakan tingkap.
Walaupun dia tidak melakukan pergerakan yang boleh dilihat orang, kunci itu terbuka. Kemahiran membuka pintu berkunci oleh bayang-bayang itu boleh dianggap sebagai pakar.
Bayang-bayang itu membuka tingkap dengan perlahan membuka tingkap dan masuk ke dalam. Gerakannya ringan dan lembut seperti kucing lincah dan tiada bunyi yang boleh didengar daripada semua pergerakan itu.
Di dalam asrama, Song Shuhang sedang terbaring di atas katil dan tubuhnya membuat bentuk karakter 大. Dia tidur dengan nyenyak sekali.
Dia telah membantu Mahaguru Ubatan untuk mencari sebuah apartment di pagi hari kemudian menapis Cecair Penguat Badan.
Selepas itu, dia mula mempelajari Teknik Tumbukan Asas dan Teknik Meditasi dan dia bergaduh dengan seseorang sebelum dia sampai ke rumah. Terlalu banyak insiden yang berlaku hari ini dan tenaganya sudah habis.
Sekarang ini, dia tidak akan bangun walaupun ada orang yang menampar pipinya beberapa kali.
Sebagai seorang pertapa, pengalaman dan tahap berjaga-jaga Song Shuhang masih kurang. Dia masih seorang pertapa baharu yang perlu melalui lebih banyak proses menguatkan badan.
Atas sebab yang sama jugalah, sebagai seorang pertapa yang baru memasuki dunia pertapaan, seseorang tidak boleh mengharapkan dia untuk menjadi sama seperti pertapa lama. Pertapa lama pasti dapat memberi perhatian kepada persekitaran mereka di semua arah walaupun berlaku sedikit kekecohan di sekelilingnya semasa tidur.
Bayang-bayang hitam itu merenung Song Shuhang sebentar dan mengimbas kembali maklumat tentang Song Shuhang dalam fikirannya. Dia membandingkan gambar yang dipegang dengan pemuda di hadapannya dan akhirnya mengesahkan identiti beliau. 'Tidak syak lagi, itulah dia.'
Pemuda itu seperti tidak menyedari ketibaannya. Penyusupannya ke dalam bilik pemuda itu dapat dilakukan dengan mudah.
Walau bagaimanapun, bayang-bayang hitam itu masih tidak tenang kerana Mahaguru Altar ragu-ragu dengan pemuda biasa bernama Song Shuhang ini. Sebelum dia datang, Mahaguru Altar telah memberi amaran kepadanya berulang kali untuk bertindak mengikut keadaan. Sekiranya dia ditemui oleh pihak lain, dia sepatutnya berundur dengan cepat!
Oleh itu, sejak bayang-bayang hitam itu memasuki bilik Shuhang, dia sangat berhati-hati dan cermat. Dia menahan aura pertapaan dan nafasnya.
'Jadi, di mana manik ais yang mengikat roh?' Bayang-bayang hitam itu melihat ke arah Song Shuhang. Tujuan utamanya dia ke bilik Shuhang pada waktu malam adalah untuk mngambil semula Roh Hantu legenda itu.
Bilik itu tidak besar dan dia dapat menemui sasarannya, dengan mudah. Manik ais pengikat roh yang menyimpan Roh Hantu itu tergantung pada leher Song Shuhang tanpa perlindungan.
Bayang-bayang hitam itu teruja.
'Misi ini nampaknya lebih mudah daripada yang aku harapkan. Baguslah.' Bayang-bayang hitam itu bersorak dalam hatinya. Sasarannya masih tidur nyenyak. Dia seolah-olah dia tidak akan bangun walau guruh berdentum di sebelah telinganya. Dia juga tidak nampak seperti seorang pertapa lama dengan tidur yang sebegitu. Dia tidak faham mengapa Mahaguru Altar sangat berwaspada terhadap manusia biasa ini.
Bayang-bayang hitam itu mengeluarkan tangan kirinya ke arah manik ais yang mengikat roh pada leher Song Shuhang.
Ketika itu, saat bayang-bayang hitam itu sedang melihat Song Shuhang yang masih tidur nyenyak, dia tiba-tiba berfikir.
Jika dia hanya perlu mengambil Roh Hantu... dia hanya akan menyelesaikan tugas Mahaguru Altar dan mendapat ganjarannya.
Bagaimanapun, bagaimana jika dia berjaya membawa pulang kepala Song Shuhang juga?
Mungkin dia boleh merebut peluang ini untuk menerima pengiktirafan Mahaguru Altar dan mempelajari teknik lain yang lebih mendalam darinya!
Dan tidak lama selepas itu dia akan dinaikkan pangkat serta menjadi ahli pingat emas dalam organisasi. Dengan cara itu, dia boleh menjadi tangan kiri dan kanan Mahaguru Altar. Beliau kemudian akan mencapai kemuncak hidup dan dapat menjalani kehidupan yang panjang seperti Mahaguru Altar! Perkara itu membuatkan dia teruja.
Tangan sebelah kiri bayang-bayang hitam itu dibalikkan dan bilah tanpa pemegang meluncur keluar. Pisau itu terletak di antara jarinya. Niat untuk membunuh bersinar gelap di matanya sementara bilah di tangan kirinya menuju ke arah leher Shuhang. Pada masa yang sama, tangan kanannya terus mendekati leher Shuhang untuk memegang rantai leher dengan loket manik ais itu.
Selagi dia berjaya dapatkan Roh Hantu kemudian tangan kirinya dapat mengelar leher itu dengan cepat, kekayaan dan kehormatan berada dalam genggamannya!
Bayang-bayang hitam menjilat bibirnya, hatinya penuh dengan harapan untuk mendapatkan masa depan yang lebih baik.
Saat tangannya hendak menyentuh rantai leher itu, tiba-tiba kepalanya berasa berat dan berputar. Dia merasakan seolah-olah seseorang telah menggunakan tongkat untuk mencucuk ke dalam tengkorak kepalanya dengan kejam. Sakit kepala yang dialaminya membuatkan dia hampir mengeluarkan satu jeritan yang kuat.
'Apa yang sedang berlaku sekarang ni?' Bayang-bayang hitam itu mengetap giginya dan menahan diri daripada menjerit.
Pada masa yang sama, prarasa yang buruk muncul di dalam hatinya.
Seperti yang dijangkakan, perasaan lemah itu mengalir ke dalam badannya kemudian selepas itu, dia mempunyai satu keinginan yang melampau untuk berasa mual dan muntah. Dia tidak dapat meraih bilah yang dipegang di antara jarinya dan bilah pisau itu terjatuh ke lantai.
'Aku berasa seperti aku disuntik dengan racun yang sangat toksik, betulkan? Dari mana racun itu datang? Bila aku diracun?' Bayang-bayang hitam itu terkejut.
Dia yang telah melalui semua jenis latihan yang kejam dapat meneka dengan pantas bahawa dia telah diracun. Racun ini adalah sejenis racun tirani. Sebaik sahaja ia diaktifkan, tenaga 'qi dan darah' Bukaan Jantung tidak dapat mengalir yang kemudian akan melemahkan tubuhnya.
Dia tiba-tiba memandang Song Shuhang di atas katil.
Pada masa ini, dia melihat Song Shuhang yang sedang masih lena diulit mimpi itu mengukir senyuman sinis. (Senyuman yang manis?)
'Tak bagus! Aku telah ditipu!' Bayang-bayang hitam itu membuat keputusan pantas untuk berundur dan sebelum tubuhnya hancur, dia berpaling dan pergi dari arah balkoni bilik Shuhang.
"Ah!" Apabila dia mendarat di atas tanah, bayang-bayang hitam itu meludahkan darah segar dan mencelupkan topeng wajahnya dengan warna merah darah.
Dia mengeluarkan beberapa pil ubat dengan tergesa-gesa untuk membuang toksik racun dari punggungnya. Tanpa mengira kegunaannya, dia menelan semua jenis pil ubat dalam sekaligus.
Tetapi, rasa sakit di kepalanya masih belum berkurang dan badannya terasa lebih lemah. Apabila dia melompat dari balkoni, dia merasakan bahawa kedua-dua kakinya tidak stabil dan mungkin dia telah mendapat kecederaan dalaman.
Penawar ini tidak memberi kesan.
Bayang-bayang hitam itu merasakan kepalanya semakin sakit dan dunia seakan-akan sedang berputar. Dia bagaikan pemabuk yang kehilangan keupayaan untuk membuat pertimbangan.
'Ini tidak cukup, aku mesti segera kembali ke tempat Mahaguru Altar dan minta dia menyelamatkan nyawa aku sebelum racun itu mengalir dalam tubuh aku.'
Kemudian dia bergerak dengan pantas untuk menemui Mahaguru Altar.
Ini merupakan satu keputusan yang salah. Jika dia masih dapat berfikir dengan jelas, dia tidak akan pergi ke tempat Mahaguru Altar. Dia akan mendedahkan tempat persembunyian Mahaguru Altar.
Tetapi pada masa ini, fikirannya sudah bercelaru dan naluri untuk mencari kelangsungan hidup membuatnya memilih untuk pergi ke Mahaguru Altar Master bagi mendapatkan bantuan.
❄️❄️❄️
Mahaguru Altar tinggal buat sementara waktu di Bandar Kolej itu.
Dia bersandar di kerusi dan mengosongkan fikirannya. Walau bagaimanapun, fikirannya sentiasa teringat pada sepasang mata tajam dengan lingkaran gelap di sekelilingnya. Mata itu adalah milik Mahaguru Ubatan. Satu pandangan yang mengerikan dari Mahaguru Ubatan tidak dapat dibuang dari fikirannya.
Setiap kali dia teringatkan pandangan tajam itu, tubuhnya menjadi lemah.
Dia tidak berani mendekati Mahaguru Ubatan dan dia tidak dapat mendekati Song Shuhang yang bersama-sama dengan Mahaguru Ubatan. Dia tidak dapat mengesahkan sama ada Song Shuhang adalah 'pertapa lama' atau 'manusia biasa'.
Dia menghantar pengikutnya yang baru dilatih untuk menyiasat Song Shuhang bagi mendapatkan Roh Hantu pada waktu malam, apabila dia yakin bahawa Song Shuhang telah berpisah dengan Mahaguru Ubatan.
Memandangkan dia tidak dapat mengesahkan kekuatan sebenar Song Shuhang, dia tidak dapat menghantar orang bawahannya yang lebih kuat supaya mereka tidak terbunuh. Sukar untuk dia melatih pengikutnya kerana ia perlu menggunakan banyak harta dan masa.
'Kalau mengikut masa sekarang, jika berjaya, dia sepatutnya kembali untuk melaporkan diri sekarang, bukan?' Fikir Mahaguru Altar. Sekiranya dia gagal, mungkin pengikutnya itu telah menemui pengakhiran yang tragik.
Dunia pertapaan adalah jauh lebih kejam berbanding dunia manusia!
Pada masa itu, bunyi ketukan terdengar dari pintu.
'Adakah pengikut aku sudah pulang?'