Hari itu, dalam perjalanan balik dari menangkap roh hantu, Bulu Lembut telah memberitahu Song Shuhang ayahnya telah mengunci satu roh hantu di dalam 'Tokong Lampu Berhantu'. Tetapi, Bulu Lembut telah menundukkan dua roh hantu.
Roh hantu tidak boleh beranak, oleh itu dari mana datangnya roh hantu yang lagi satu itu?
Mungkin, dua roh hantu merupakan jantan dan betina. Mereka ditakdirkan untuk bertemu walaupun dipisahkan dengan jarak beribu-ribu batu, dan oleh itu kisah percintaan terlarang dua hantu terhasil?
Atau mungkin, seseorang itu sengaja meletakkan roh hantu di dalam Tokong Lampu Berhantu untuk membiarkannya menjadi matang.
Kalau ia merupakan sebab yang pertama, tidak akan ada masalah.
Tetapi, sebab yang kedua boleh menghasilkan masalah yang lebih besar.
'Jika ia merupakan sebab yang kedua, adakah dia mahu mengambil balik roh hantu itu?' Mata Song Shuhang kelihatan bersinar, 'Dan, akhirnya membunuh saya?'
Disebabkan mereka mempunyai kuasa yang lebih daripada dunia biasa, pertapa yang berkuasa susah untuk dikawal dengan undang-undang dunia manusia biasa.
Hanya moral dan etika sendiri, serta garisan asas menjadi seorang 'manusia' akan mengawal seorang pertapa. Apabila moral dan etika dihancurkan dan kawalan diri sudah hilang, banyak pertapa sanggup membuat apa sahaja.
Pembunuhan, kekejaman, penindasan… menganggap nyawa manusia sebagai tidak bernilai dan sesuatu yang boleh diambil sesuka hati… banyak benda yang memenuhi dunia pertapa yang berbahaya dan kejam.
Awak telah mengambil khazanah saya, oleh itu saya akan membunuh seluruh keluarga awak. Beberapa pertapa yang melampau dari sekta jahat memang akan berbuat perkara sebegitu.
Song Shuhang yang belum menyelesaikan Penubuhan Asasi telah didedahkan kepada sebelah dunia pertapa yang kejam lebih awal.
'Tapi, saya perlu juga mengambil kira kemungkinan yang terakhir.' Song Shuhang memicit manik ais pengikat roh. Kemungkinan yang terakhir ialah "khazanah boleh menimbulkan nafsu hati'. Dia tidak menggunakan usaha yang besar untuk menyembunyikan manik ais pengikat roh, dan seorang yang berniat jahat mungkin telah melihatnya semasa dia tidak memberi perhatian. Selepas itu, orang itu mula berfikir untuk membunuhnya dan mencuri khazanahnya.
Jika ia betul-betul orang jenis ini, ia akan lebih menyusahkan mangsa.
'Tapi, orang itu sudah memasuki bilik, malah datang ke katil saya, oleh itu kenapa dia tidak mencederakan saya?' pisau tersebut sudah jatuh di tepi katilnya; tidak ada sebab untuk menyerah jika orang itu begitu dekat dengan kejayaan.
'Adakah terdapat seseorang yang telah menyelamatkan saya?' Song Shuhang mengingat balik bau darah yang lemah itu.
Adakah dia Senior Mahaguru Ubat?
Song Shuhang menyimpan pisau itu dengan cermat,dan bercadang untuk menziarahi Mahaguru Ubat sebelum pergi ke kelas pagi.
Dia mempunyai banyak syak wasangka untuk ditanyakan kepada senior.
Lagipun, dia hendak mendapatkan nasihat daripada senior tentang cara untuk 'meningkatkan sikap waspada' dan 'menyembunyikan khazanah'.
Selepas bersiap, Song Shuhang memakai baju dan cepat meninggalkan asrama tanpa menjamah sarapan.
Semasa meninggalkan asrama lelaki, dia terlihat bayangan besar dari jauh, melambai kepadanya.
"Pelajar Shuhang." Bayangan tersebut mendekatinya, dia merupakan orang besar dari semalam, Nan Haomeng, yang telah dibelasah olehnya.
Song Shuhang berhenti dan memandangnya dengan ragu-ragu.
"Saya dah jumpa orang yang menyiasat awak." Nan Haomeng berkata dengan suara yang perlahan selepas mendekati Shuhang.
Song Shuhang sedikit terkejut, "Awak sungguh cekap, cepatnya."
Baru lepas satu malam, betul?
"Memang perlu cepat. Dalam era yang bergerak pantas ini, jika awak tak meningkatkan kecekapan awak, awak akan dihapuskan oleh dunia ini." Nan Haomeng berfalsafah, tetapi ditambahkan dengan bentuk badan yang besarnya, ia menimbulkan perasaan aneh yang tidak dapat digambarkan.
Sebenarnya, kelancaran penyiasatannya melebihi jangkaan Nan Haomeng. Dia hanya telah meminta dua ahli kelab yang tidak berguna itu untuk membantu mencari orang yang dikehendaki oleh Song Shuhang, tetapi tidak sangka mereka secara kebetulan telah mendapatkan maklumat dengan begitu cepat.
Sebab utamanya ialah kerana mereka sendiri telah menyiasat tentang Song Shuhang selepas dibelasah oleh Song Shuhang. Di bawah asas yang sudah wujud, mereka dengan cepat telah menjumpai sasarannya.
"Siapa tu?" Song Shuhang betul-betul memerlukan maklumat itu sekarang.
"Dia merupakan pelajar dalam kolej kita, Lin Tao, seorang pelajar tahun dua dari Kursus Kewangan yang tinggal di asrama. Asramanya tak jauh dari sini, nak pergi tengok tak?" Nan Haomeng menjawab.
Song Shuhang mengerut dahinya. Dia bukan orang asing, tapi seorang pelajar kolej kita?
Dia sedar dengan cepat orang yang menyiasatnya memang tidak akan begitu bodoh untuk menyiasat dengan terbuka. Pada zaman sekarang, dengan sedikit duit, seseorang itu boleh menggunakan orang lain untuk mengumpulkan maklumat tentangnya dengan senang sahaja.
Pelajar inilah salah seorang yang diarahkan untuk berbuat begitu.
Song Shuhang melihat jam, " Sekarang masih awal, mari kita pergi menjenguknya."
Dengan itu, Song Shuhang mengepalkan penumbuknya dengan ketat.
Asrama lelaki Kursus Kewangan.
Sangat jarang bagi Lin Tao bangun awal. Anginnya baik sejak dua hari ini. Pagi semalam, seorang lelaki 'kaya tapi bodoh' yang memakai cermin mata hitam telah memberikannya duit yang cukup untuk perbelanjaan setahun, dan menyuruhnya menyiasat tentang pelajar Kolej Bandar Jiangnan bernama Song Shuhang.
Pihak lelaki kaya memberitahu anak perempuannya sering melepak dengan pelajar yang bernama Song Shuhang sejak beberapa hari ini. Dia agak bimbang, oleh itu dia telah menyuruh Lin Tao mendapatkan maklumat peribadi Song Shuhang.
Ketika Lin Tao mendengarnya, dia tahu orang itu berbohong. Tetapi, selepas melihat jumlah duit yang diberi, dia berpura-pura mempercayai lelaki itu.
Tidak ada orang yang akan menolak duit, dan ia hanya untuk menyiasat maklumat seorang pelajar, ia begitu mudah, seperti mengangkat tangan. Oleh itu, dia menerima duit tersebut, dan mengumpul maklumat tentang Song Shuhang.
Dengan rezeki terpijak itu, Lin Tao telah hidup dengan baik selama dua hari ini.
"Tok tok," bunyi ketukan kedengaran dari pintu.
"Minta maaf kerana mengganggu, pelajar Lin Tao tinggal di sini ke?" suara yang lembut kedengaran dari luar pintu; dengan mendengar suara itu, seseorang akan berasa lembut hati.
'Siapa yang sedang mencari saya begitu awal pagi?' Lin Tao berfikir, tapi dia masih membuka pintu.
Ketika dia membuka pintu, Lin Tao berasa perasaan yang gelap di depan mataya. Lelaki yang setinggi dua meter seperti menara besi berdiri di depan pintu tanpa apa-apa ekspresi, penuh dengan perasaan menindas; ia amat menakutkan.
Tanpa disedari dia ingin menutup pintu.
"Awak Pelajar Lin Tao?" suara lembut itu berbunyi lagi.
Pada masa ini, Lin Tao perasan seorang pelajar yang kelihatan baik hati berdiri di tepi lelaki besar itu.
Selepas melihat lelaki ini, keresahan Lin Tao berkurangan sedikit, "Ya saya, kenapa awak cari saya?"
"Selamat berkenalan, nama saya Song Shuhang." Ekspresi peramah Song Shuhang hilang.
Song Shuhang, nama yang macam pernah didengar…?
Celaka, bukankah dia orang yang disiasat oleh lelaki 'kaya tapi bodoh' itu?
Lin Tao dengan segera menyedari sesuatu yang tidak betul sedang berlaku. Dia mengundur langkah dengan cepat, dan ingin menutup pintu.
Namun, Song Shuhang menghulurkan tangan dan menekan pintu dengan lembut, "Nampaknya pelajar Lin Tao ni kenal saya."
Selepas itu, Lin Tao menyedari pintu yang ditarik tidak bergerak langsung.
Dia sangat takut, kekuatan jenis apakah ini? Lelaki ini tidak kelihatan begitu kuat, tetapi dia menghalang pintu dengan satu tangan. Lin Tao menggunakan seluruh tenaga dan juga badannya, tetapi pintu tidak bergerak satu inci pun.
"Daripada reaksi awak, saya telah berjumpa lelaki yang betul. Oleh itu, pelajar Lin Tao, awak nak bercakap dengan saya, atau nak bercakap dengan penumbuk saya?" Song Shuhang bercakap dengan menekankan setiap suku kata; dia pun akan marah di bawah situasi di mana seseorang itu telah menjual maklumat peribadinya, hampir membuatkannya terbunuh.
Disebabkan maklumat ini, kawan dan saudara maranya mungkin akan dicederakan ataupun mungkin dibunuh! Kalau dia tidak marah, dia akan menjadi penyelamat dunia yang penuh dengan belas kasihan.
Untuk seketika, Song Shuhang juga telah berfikir untuk membelasah lelaki ini sehingga dia berada dalam keadaan vegetatif.
"Jangan bertindak terburu-buru, ini kolej. Kalau awak bertindak dengan melulu, tidak akan ada orang yang akan melepaskan diri daripada akibatnya."
"Terima kasih untuk peringatan." Song Shuhang mengangguk, "Pelajar Lin Tao, adakah awak tidak akan melangkah keluar dari kolej seumur hidup awak?"
Kalau awak melangkah keluar dari kolej, masa itu awak akan bercakap dengan penumbuk saya—Lin Tao bukan orang bodoh, tidak mungkin dia tidak faham maksud perkataan itu.
"Mari kita cari tempat untuk bercakap. Saya berjanji akan memberitahu awak semua yang saya tau." Lin Tao bersenyum dengan kepahitan; seperti yang dijangkakan, ketamakan merupakan dosa yang paling teruk antara tujuh dosa berat.
Song Shuhang melepaskan tangan kanannya dari pintu, berpusing dan berjalan ke arah bumbung.
Pada masa ini, Lin Tao betul-betul ingin menutup pintu, dan meminta pertolongan cikgu asrama. Tetapi, melihat lelaki tinggi dua meter itu, dia menelan air liurnya dan memutuskan sebaliknya.