'Satu hari nanti, aku akan dapat buat jampi seperti pertapa-pertapa lama yang lain!' Song Shuhang berfikir sendiri.
Pada masa ini, wanita berambut pendek itu membuka tangannya dan mengangkat bahagian hujung relau pil itu. Dia berjalan beberapa langkah dan mengerutkan dahi.
"Dong!"
Dia meletakkan relau itu dan berpaling ke arah Song Shuhang.
"Adakah kau Song Shuhang?" Dia mengangkat alis keningnya dan berkata, "Bolehkah kamu bantu saya membawanya? Itulah tugas seorang lelaki untuk membantu wanita cantik yang sedang dalam kesusahan, bukan?"
"Awak kenal saya?" Song Shuhang tertanya-tanya sambil mendekati wanita itu untuk membantunya membawa relau.
Relau pil itu tidak begitu berat. Saiznya cuma sedikit besar. Lebih mudah sekiranya dua orang dapat membawa relau itu.
"Tak perlu tanya soalan yang bodoh itu. Kamu sepatutnya dapat meneka tentang hubungan saya dan Mahaguru Ubatan dalam sekilas pandangan. Kemudian kamu pasti dapat teka saya dapat tahu tentang kamu daripada Mahaguru Ubatan," jawab wanita itu dengan muka selamba.
'Tiada siapa yang dapat meneka tentang hubungan intim antara anda dan Mahaguru Ubatan dalam sekilas pandangan, tahu tak?!'
Song Shuhang mengadu dalam fikirannya, kemudian cuba bertanya, "Hubungan intim? Adakah anda sahabat dao Mahaguru Ubatan?"
"Tidak... Saya hanya seorang pengikut dia buat masa sekarang. Limpahan Kabus Ungu, ini nama yang saya gunakan dan saya mungkin tidak akan mengubahnya dalam sekurang-kurangnya tiga puluh tahun." Dia seolah-olah gembira apabila Song Shuhang memanggilnya sebagai 'sahabat dao' kepada Mahaguru Ubatan. "Mahaguru Ubatan beritahu yang dia sedang menuju ke Jiangnan untuk melakukan penyelidikan, jadi saya datang ke sini untuk menghantar relau pil milik dia. Sebab dia biasanya akan terlupa tentang hal lain apabila dia sibuk dengan kajiannya. Dia memerlukan seseorang untuk menjaga dia... menjaga rambutnya, membersihkan pakaiannya dan mengingatkannya untuk bertapa atau makan bila sampai masa.
Mereka tiba di tingkat tiga, saat mereka sedang sibuk berbual. Mahaguru Ubatan menempatkan bilik penapisan pil sementara di situ.
Sebaik sahaja pintu dibuka, Song Shuhang melihat sebuah bilik baru.
Dan... dia melihat Mahaguru Ubatan dengan imej baharu.
Dia tidak kelihatan seperti 'Shamate' lagi. Tetapi, bagaimana dia mahu menggambarkan penampilan terkini Mahaguru Ubatan itu?
Bermula dari gaya rambutnya. Rambutnya kini kelihatan lebih kemas dan rapi. Sekarang, rambut Mahaguru Ubatan diikat dengan tocang kecil, dan semuanya... mengeras!
Terdapat sekurang-kurangnya dua puluh tocang di kepalanya yang membuatkan kepala Mahaguru Ubatan kelihatan serabut seperti hutan. Kebanyakan tocang dihiasi dengan hiasan comel yang tergantung di kepalanya.
'Sejujurnya, gaya rambut ini lebih teruk berbanding gaya rambut dahulu!' Song Shuhang berfikir sendiri.
Mata hitamnya masih ada, tetapi kini... ia dilindungi solekan mata 'smokey' yang sebenar!
Song Shuhang dapat lihat semasa Mahaguru Ubatan mengedipkan matanya, bulatan mata hitamnya berkilauan. Kesan itu datang daripada solekan kesan bayangan mata.
Song Shuhang merasakan perutnya memulas dan dia ingin muntah.
Pada pendapatnya, Mahaguru Ubatan kelihatan lebih buruk berbanding sebelumnya. Mahaguru Ubatan dengan imej Shamate nampak lebih baik berbanding sekarang. Limpahan Kabus Ungu cuma membuatkan Mahaguru Ubatan kelihatan lebih hodoh.
Adakah dia takut sekiranya Mahaguru Ubatan yang kacak mungkin dikebas oleh wanita lain?
Dia tidak perlu risau kerana tidak ada seorang gadis pun yang akan jatuh cinta dengan imej Shamate Mahaguru Ubatan.
Saat melihat Song Shuhang, Mahaguru Ubatan tersenyum. "Yo, Rakanku Shuhang telah datang. Ya, kamu datang pada masa yang tepat."
"Kenapa Tuan, adakah Tuan tahu yang saya akan datang pagi ini?" tanya Song Shuhang.
"Sudah tentu. Sesuatu telah berlaku pada kamu malam tadi, kan?" Mahaguru Ubatan mempunyai wajah yang sukar untuk dibaca.
Jadi semestinya Mahaguru Ubatan yang melindungi dia malam tadi.
Song Shuhang menjawab dengan nada gembira, "Ya, seseorang menyelinap masuk ke asrama malam tadi. Lelaki itu meninggalkan pisau tanpa pemegang ini. Saya boleh mencium bau darah di sekeliling asrama, jadi saya fikir ada sesuatu yang tak kena pada masa itu."
Semasa dia bercakap, dia mengeluarkan pisau tanpa pemegang itu dan menyerahkannya kepada Mahaguru Ubatan.
Mahaguru Ubatan mengambil pisau itu, melihatnya dalam sekali imbas dan menyerahkannya kepada Shuhang. Kemudian, sambil mengecilkan matanya, dia bertanya, "Apa yang kamu rasa lelaki yang menyelinap ke dalam asrama kamu semalam mahu lakukan?"
Song Shuhang menjawab, "Saya rasa ada banyak kemungkinan, tetapi kemungkinan terbesar... lelaki itu cuba untuk membunuh saya."
Limpahan Kabus Ungu ketawa, "Nampaknya kamu ini tidaklah terlalu membosankan."
"Ya, kamu betul. Pisau tanpa pemegang ini dipenuhi dengan bau darah dan kebencian orang yang telah mati. Jadi pemilik pisau ini mesti telah membunuh ramai orang. Sejujurnya, saya tidak mahu kamu terdedah kepada sisi kejam dari dunia pertapaan seawal ini, tetapi inilah dunia pertapaan yang sebenar. Krisis bukan sahaja datang dari tribulasi syurgawi dan bencana alam, tetapi juga dari... bencana buatan manusia. Jadi, apa perasaan kamu tentang pembunuhan yang ditujukan kepada kamu ini?" Mahaguru Ubatan tersenyum lembut.
'Apa yang aku rasa?
'Terlalu banyak. Ia agak rumit! Sampai lidah aku kelu!'
Selepas berfikir seketika, Song Shuhang menjawab, "Sejujurnya, saya agak takut pada mulanya. Kerana saya sedar yang saya tidak menjaga diri saya, sehinggakan saya tidak merasakan apa-apa apabila musuh telah menyelinap masuk ke dalam asrama dan datang ke tempat tidur saya. Itulah salah satu sebab saya datang ke sini, Tuan. Sekurang-kurangnya, saya mahu menjadi lebih berhati-hati."
Dia berhenti seketika, kemudian dia berkata dengan nada yang malu, "Tetapi, saya rasa sedikit... teruja."
"Teruja? Hahaha." Mahaguru Ubatan ketawa, "Shuhang, kamu ini seorang yang pelik."
Memang pelik kerana dia berasa teruja selepas hampir dibunuh.
"Lelaki yang pelik." Limpahan Kabus Ungu menyambung.
Mahaguru Ubatan tertawa dan mula menerangkan.
"Semalam, saya membuat pendinding kecil pada badan kamu secara senyap-senyap. Saya minta maaf kerana telah melakukannya tanpa kebenaran kamu. Tetapi, pendinding yang saya tetapkan mungkin telah melindungi kamu dengan bertindak balas terhadap serangan pertapa itu. Selain itu, ia juga mengandungi ubat yang saya telah disediakan secara khas buat kamu. Inilah petunjuknya: ubat ini pernah menjadi kegemaran saya. Ahem..." Mahaguru Ubatan tersipu malu. Lagipun, dia telah melanggar adab kerana membuat pendinding pada badan Song Shuhang secara rahsia walaupun dia bermaksud untuk melindunginya.
"Walau bagaimanapun, lewat malam tadi, pendinding ini telah diaktifkan oleh seseorang dan ubat di dalamnya dilepaskan."
Hanya seorang pertapa yang berniat untuk menyerang dapat mengaktifkan pendinding itu.
"Sejujurnya, saya fikir kamu tidak perlukan pendinding itu pada mulanya. Saya fikir orang yang mengikuti saya itu tidak akan bertindak segila ini. Tetapi, nampaknya saya sudah tersalah sangka. Mereka sudah seperti anjing gila yang akan menggigit orang lain di sekelilingnya. Shuhang, saya minta maaf kerana telah menyusahkan kamu."
Mahaguru Ubatan berpendapat lelaki yang mahu membunuh Shuhang salah seorang lelaki yang mengikutinya. Lagipun, dia tidak tahu jika ada mana-mana pertapa yang akan menyerang Song Shuhang, seorang pengikut baru dalam pertapaan.
Limpahan Kabus Ungu menambah dengan senyuman, "Tetapi tak apa. Kamu tidak akan nampak lagi lelaki yang menyelinap ke bilik kamu semalam."
Maksudnya, pembunuh semalam itu telah mati?
"Kamu fikir yang ini kejamkah Shuhang? Inilah realiti sebenar dunia pertapaan. Saya tahu kamu seorang lelaki yang baik... hati. Tetapi, jangan sesekali mensia-siakan belas kasihan dan kebaikan kamu kepada musuh. Ini amaran dari seorang pertapa lama." Mahaguru Ubatan berkata dengan bersungguh-sungguh.
Song Shuhang seorang lelaki yang baik, yang dapat dia sahkan dari ❮Kitab Meditasi Diri Yang Sebenar❯. Jadi, Mahaguru Ubatan sedikit bimbang sekiranya dia akan menjadi lembut hati terhadap musuhnya. Sifat itu akan memberi bencana buat dirinya kelak.
Menjadi lelaki yang baik mungkin bagus, tetapi lembut hati yang melampau akan membahayakan dunia pertapaan.
"Tuan tak perlu risau. Saya mungkin seorang lelaki yang baik, tetapi saya pastinya bukan lelaki suci yang mahu menyelamatkan dunia pada setiap masa. Bagi musuh pula, saya fikir, musuh yang terbaik ialah musuh yang mati." Song Shuhang berfikir sejenak dan menjawab dengan serius.
Limpahan Kabus Ungu berkata lagi. "Kamu benar-benar seorang lelaki yang pelik."
Mahaguru Ubatan mengangguk dengan senyuman. Seseorang yang mempunyai keperibadian hati yang lembut ini boleh memberi masalah, tetapi seorang lelaki yang baik dengan prinsip tersendiri akan menjadi hebat.
"Selain itu Mahaguru Ubatan, saya fikir saya perlu berterima kasih kepada Tuan. Kalau bukan kerana Tuan, saya mungkin akan dibunuh semalam." Song Shuhang berkata. "Lagi satu, selain daripada lelaki yang mengikuti Tuan, lelaki yang cuba untuk membunuh saya semalam mungkin datang untuk ini."
Song Shuhang mengeluarkan loketnya dan menunjukkan manik ais pengikat roh kepada mereka.
"Inilah yang saya dapat apabila saya membantu Bulu Lembut sebelum ini... roh hantu."