Chereads / SEMBANG GRUP PERTAPAAN / Chapter 24 - Song Shuhang, Ada Bungkusan Besar Untuk Awak.

Chapter 24 - Song Shuhang, Ada Bungkusan Besar Untuk Awak.

Pagi, 9 pagi.

Shuhang dan Bulu Lembut menaiki kereta api ke arah Pekan Kolej Daerah Jiangnan. Mereka bernasib baik kerana berjaya tiba di Stesen Heixiang di Bandar J pada jam 8:45 pagi sebelum stesen dibuka pada jam 9 pagi.

Mereka melalui perjalanan mudah semasa balik.

Mereka tiba di Pekan Kolej Jiangnan pada jam 12 tengah hari.

"Adakah awak mahu pergi ke tempat saya untuk bermain permainan video?" Song Shuhang bertanya kerana sudah terbiasa. Saat dia bertanya, dia tiba-tiba teringat yang Bulu Lembut bukanlah salah seorang dari kawan-kawan rapatnya, tetapi dia seorang wanita yang baru Shuhang kenal selama sehari. Oleh itu, jemputan itu agak mengejutkan.

"Terima kasih, Tuan. Sekiranya saya ada masa lapang, saya akan mengikut Tuan. Tetapi saya terpaksa bergegas pulang ke rumah sekarang dan menyelesaikan urusan kontrak dengan roh hantu ini terlebih dahulu. Lagipun mungkin ayah saya akan balik pada bila-bila masa dan saya tidak mahu mencari masalah," Bulu Lembut menjawab dengan senyuman manis di bibirnya.

Song Shuhang tersenyum. "Jadi kita akan berpisah di sini. Awak boleh terus menaiki teksi di luar stesen kereta api ke Lapangan Terbang Daerah Jiangnan. Tidak apakah jika saya biarkan awak berseorangan? "

"Tak ada masalah. Tiket untuk perjalanan pulang telah lama ditempah. Saya hanya perlu pergi ke lapangan terbang untuk pulang ke rumah. Oh ya, apa alamat rumah Tuan? Saya masih perlu menghantar dua kotak ramuan ubat kepada Tuan!" Bulu Lembut tiba-tiba teringat pada janji yang dia buat sebelum ini.

Dia seseorang yang teguh berpegang pada janji, sebab itulah dia tetap akan menunaikan janjinya itu.

"Tak apa, awak boleh lupakan pasal hal itu. Kita berbual lagi apabila awak sudah lapang." Sambil memegang 'manik ais pengikat roh' ini, Song Shuhang mula merasakan mungkin ramuan ubat-ubatan yang Bulu Lembut sebutkan itu tidak semudah yang difikirkannya pada mulanya.

"Tuan, saya tidak mahu mungkir janji. Kata-kata yang dikeluarkan oleh orang dari Pulau Roh Kupu-kupu tidak boleh dipandang ringan!" Bulu Lembut menjawab dengan serius.

"Oh... baiklah." Memandangkan dia sudah tidak dapat menolak, dia mengambil buku nota yang dibawa dan menulis alamat sebelum mengoyak sekeping kertas yang dia tulis dan memberikannya kepada Bulu Lembut.

Bulu Lembut menyimpan kertas itu dengan berhati-hati. Tidak lama selepas itu, dia melambaikan tangan dan mengucapkan selamat tinggal kepada Shuhang. 

Song Shuhang menghembuskan nafas lega selepas memastikan Bulu Lembut pergi.

'Semuanya sudah berakhir. Adakah aku akan berbual dengan dia lagi selepas ini?' Song Shuhang menggaru kepalanya dan tertawa dengan kuat. "Saya perlu balik!"

Pasti Song Shuhang akan berterima kasih kerana kegigihan Bulu Lembut memujuknya hari ini.

Sekiranya dia tidak memaksa Shuhang menerima dua kotak ramuan ubat itu, seluruh kehidupan Song Shuhang mungkin sama seperti orang biasa. Menghabiskan pelajaran, mencari pekerjaan yang biasa, berkahwin dengan isteri biasa, melahirkan anak comel dan menghabiskan sisa kehidupannya yang biasa-biasa saja.

Kerana bantuan Bulu Lembut, kehidupan Song Shuhang akan mengalami perubahan yang mendadak.

❄️❄️❄️

Dalam Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan.

Pertapa Bebas Sungai Utara: "Bulu Lembut, adakah anda telah menemui Tokong Lampu Berhantu?"

Bulu Lembut Pulau Kupu-kupu (telefon bimbit): "Saya telah menemuinya dan berjaya menyelesaikan tugasan saya. Saya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.

Sebelum ini, saya pergi ke tempat yang salah iaitu ke kawasan jalan Luo Xin di Daerah Jiangnan. Nasib baik, saya telah bertemu dengan Tuan Song yang sangat kuat dari kumpulan di sana dan dia membantu saya mencari kawasan jalan Luo Xin di Bandar J. Selepas itu, saya telah menyelesaikan misi saya dengan bantuannya selepas menemui Tokong Lampu Berhantu!"

"Tuan Song dari kumpulan ini? Apa nama dia?" Pertapa Bebas Sungai Utara bertanya. Song ialah nama keluarga yang biasa dan terdapat beberapa orang ahli pertapa lama dalam kumpulan yang bernama Song.

"Ah!" Bulu Lembut menghantar simbol 😛. "Saya telah meminta nama beliau tetapi beliau tidak memberitahu saya. Selepas itu, saya benar-benar terlupa untuk bertanya. Tetapi saya tahu nama ahli pertapa lama itu di dunia luar ialah Song Shuhang!"

"Song Shuhang, saya seperti pernah terdengar nama ini." Pertapa Bebas Sungai Utara cuba mengingati kembali tetapi tak berjaya. "Haha, tidak mengapa. Tahniah kerana kamu telah berjaya menyelesaikan tugas kamu."

Lagipun, pada mulanya dia berjanji untuk membantu Bulu Lembut, tetapi tidak banyak membantu pada akhirnya dan dia berasa bersalah.

"Terima kasih, Tuan Sungai Utara. Tuan juga telah banyak membantu saya!" Bulu Lembut tersenyum. "Saya akan menaiki pesawat sekarang, jumpa nanti."

Setelah menaiki pesawat itu, Bulu Lembut mematikan telefonnya dan melihat ke luar tingkap.

Pertapa tua dalam kumpulan itu memang orang yang baik.

Terutama Tuan Song, dia memang seorang yang sangat baik.

Walaupun jarak di antara mereka ialah sejauh seribu batu, sinaran lelaki baik dan budiman masih terukir di atas dahi Song Shuhang.

❄️❄️❄️

Keesokan harinya, 4 Jun, Selasa. Pekan Kolej Jiangnan. Panas terik!

Walaupun terdapat empat belas buah kipas besar yang berpusing-pusing dalam kelas yang besar itu, hanya angin panas yang bertiup dan menyebabkan seseorang menjadi lebih berpeluh dan sakit kepala.

Pensyarah yang sedang mengajar sudah dibasahi peluh sehingga suaranya bertukar menjadi perlahan.

Shuhang yang sedang duduk di dalam kelas dan di bawah terik siang matahari musim panas hairan kerana dia berasa nyaman dan langsung tidak terganggu dengan cuaca yang membahang itu.

Inilah kali pertama dia berasa tenang sejak pertama kali dia masuk kelas untuk belajar semasa kecil dahulu. Dia dapat memahami sepenuhnya selepas mendengar kandungan yang diajar oleh pensyarah di dalam kelas. Bukan itu sahaja, dia dapat menyimpulkan banyak perkara dan memahami maklumat penting dalam fikirannya walaupun hanya dapat mendengar sebahagian kecil sahaja.

Dia juga mempunyai tenaga untuk menumpukan perhatiannya dalam kelas. Dia sedang mendengar apa yang diajar dan pada masa yang sama terfikir tentang perkara-perkara yang tidak relevan dalam fikirannya.

Ada seorang rakan sekelas wanita yang pada asalnya duduk pada jarak tiga buah kerusi darinya dan tiba-tiba bergerak lebih dekat kepadanya. Kemudian dia berharap agar dia dapat berpaut pada Song Shuhang dengan badannya yang sedang itu.

Ini bukan disebabkan dia terpesona dengan Song Shuhang, tetapi dalam cuaca yang panas ini, tubuh badannya seolah-olah mengeluarkan udara sejuk. Dia bagaikan penyaman udara dalam bentuk tubuh badan manusia yang membuat orang berharap agar mereka memegangnya setiap masa.

Song Shuhang melihat ke arah manik yang tergantung di lehernya secara sembunyi. Inilah manik ais pengikat roh yang Bulu Lembut berikan kepada dia semalam. Apabila manik ini tergantung di tubuhnya, ia secara automatik menangkis semua haba yang panas di sekeliling Song Shuhang sambil membentuk satu lagi lapisan pelindung ais sejuk.

Ketika dia memakai manik ini, fikirannya terasa sangat kosong dan cerdas. Kesan daripada itu, apabila perkataan bahasa Inggeris yang sebelum ini telah diulangi sebanyak 3 ke 4 kali untuk dia hafal terus boleh diingati selepas dia mendengar dan membacanya dalam sekali imbas.

Ini... alat yang hebat untuk menjadi seorang sarjana! Dengan ini, dia boleh menjadi pelajar terbaik tanpa perlu bersusah payah.

Kejadian sebegini sukar untuk diterangkan dengan sains.

Kemudian, adegan Bulu Lembut yang 'mengikat roh hantu' muncul dalam fikirannya.

'Adakah ia benar-benar... wujud?' Song Shuhang menggumam kepada dirinya sendiri. Manik ais ajaib ini membuatnya hampir sekali lagi percaya dengan kewujudan pertapa.

Betulkah ada roh hantu yang diikat dalam manik ais ini?

Adakah pertapaan itu bukan khabar angin semata-mata?

Adakah mahkluk abadi yang terbang tinggi di langit benar-benar wujud?

Adakah wujud kemungkinan untuk menggerakkan gunung dan mengeringkan laut?

Satu demi satu soalan muncul dalam minda Shuhang.

Jika semua itu benar-benar wujud... maka adakah semua ahli di dalam sembang grup Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan itu ialah makhluk abadi?

Sebelum ini dia tidak pernah berasa untuk melihat semua ahli Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan seperti hari ini. Dia mahu melihat sama ada dia boleh mendapatkan lebih banyak petunjuk dari dalam perbualan mereka.

'Kenapa kelas belum berakhir? Cepatlah habis .' Song Shuhang berkata dalam hatinya.

❄️❄️❄️

"Ding Ring Ring~~"

Loceng yang menandakan masa untuk berehat berbunyi.

Pelajar-pelajar di dalam kelas bersorak gembira dan satu demi satu berdiri untuk meninggalkan bilik ini yang panas bagaikan sebuah bakul pengukus dan kemudian mereka berjalan ke koridor untuk mendapatkan udara segar.

Hanya pelajar perempuan yang duduk di sebelah Song Shuhang sedikit keberatan untuk pergi. Dia merasakan dia benar-benar berasa sejuk dan nyaman semasa duduk di sebelah Shuhang. Malahan lebih nyaman berbanding penyaman udara. Tetapi dia bukan teman wanita Song Shuhang, jadi dia tidak dapat berjalan bersamanya selepas kelas tamat.

'Patutkah aku cuba mengajak Song Shuhang keluar?' Dia melihat ke arah Shuhang secara diam-diam. Walaupun dia bukannya lelaki yang sukakan perhatian di dalam kelas, bukankah dia masih seorang lelaki budiman? Aku betul-betul tergoda. Jika aku boleh memeluk lelaki dengan tubuh badan dingin dan nyaman untuk tidur semasa musim panas ini, dia pasti akan menjadi bantal peluk yang paling selesa, bukan?

"Helo, ada pelajar bernama Song Shuhang di sini?" Pada ketika itu, suara yang kuat kedengaran dari muka pintu.

Suara ini sangat bingit sehingga ia berjaya membuatkan semua pelajar di situ terdiam.

Shuhang mengangkat kepalanya dan memandang ke arah seorang lelaki yang mengenakan sut lengkap. Di wajahnya yang mengerikan itu terukir sebuah senyuman yang janggal tetapi baik.

'Rasanya aku tidak pernah berjumpa dia, bukan?'

Dia berdiri dan melambaikan tangannya. "Saya, bolehkah saya tahu siapa anda dan mengapa anda mencari saya?"

"Haha, saya dari Penghantaran Ekspres Fengshou. Terdapat dua penghantaran ekspres yang besar untuk pelajar bernama Song Shuhang yang dihantar melalui penghantaran udara segera pada kelajuan penuh semalaman. Oleh kerana ini dihantar oleh pelanggan yang sangat penting, ia memerlukan anda untuk menandatangani secara peribadi dan menerimanya. " Lelaki bertubuh besar dalam sut itu tertawa dan menyerahkan kad namanya kepada Song Shuhang.

Shuhang mengambil kad nama itu dan melihatnya.

Syarikat Penghantaran Ekspres Fengshou Ltd, Sima Jiang!

Ia kad nama yang ringkas tanpa maklumat mengenai kedudukannya, hanya ada nama syarikat dan nama pemegang kad itu.

Kakitangan penghantaran sudah mempunyai kad nama mereka sendiri sekarang ini!

Shuhang menyimpan kad nama ini dengan rasa ragu-ragu. Apakah penghantaran yang dia ada yang memerlukan penghantaran udara untuk dihantar terus kepada dia?

Semasa dia berfikir, wajah mulus Bulu Lembut yang tersenyum tiba-tiba muncul dalam fikirannya.