Ia akan mengambil empat jam untuk menyediakan campuran bahan ubatan. Dapur elektrik ini tidak akan rosak, kan?
Shuhang sedikit bimbang.
Melalui penutup periuk yang diperbuat daripada kaca bajaan, dia boleh nampak hirisan Ginseng naik turun dalam air panas. Dia menjadi sedikit teruja—dia sedang menapis pil ke?
Ya, betul.
Tetapi kenapa perasaannya tidak berbeza dengan memasak mi...?
Adakah mungkin dia tidak begitu sesuai untuk membuatnya?
Membuka fungsi jam randik dalam telefon bimbitnya, Song Shuhang memandang hirisan Ginseng di dalam periuk, sambil mengawasi masa pada jam randik.
Lima minit kemudian...
Dia membuka penutup periuk, dan memasukkan herba ubatan kedua—Goji Cina.
Dua herba tersebut bergolek-golek di dalam air yang mendidih dan menyebabkan air menjadi sedikit kekuningan.
Suhu, masa... kedua-duanya memerlukan pengalaman.
Tetapi, Song Shuhang tidak mempunyai pengalaman dengan benda ini.
Oleh itu, dia hanya boleh mengawasi masa dengan ketat, buka penutup, dan menambah herba ubatan setiap lima minit. Berkenaan suhu, biar dapur elektrik menentukannya.
'Masih rasa macam masak mi.
'Macam mana kalau akhirnya saya hanya mendapat semangkuk ubat tradisional Cina yang biasa dalam masa tiga jam?'
Adakah formula 'cecair penguat badan' yang sudah dipermudahkan akan menggegarkan pandangannya terhadap dunia yang sudah diasaskan lapan belas tahun selama ini? Atau menghancurkan impiannya tentang pertapaan yang baru dihasilkan beberapa hari ini?
Sementara kepanasan tengah berkumpul di dalam periuk, suhu di dalam dapur semakin meningkat.
Pada masa ini, kedinginan yang datang daripada manik ais yang dipakai di leher Song Shuhang, membuatkannya berasa dingin dan segar. Tambahan pula manik ais juga memastikan mindanya tidak berserabut. Tanpa disedari, dia kini berkeadaan khayal.
Dia menggenggam manik ais itu dengan lembut.
Manik ais ajaib ini menyebabkannya lebih berkeyakinan untuk menapis cecair penguat badan.
'Tolong jangan kecewakan saya… kalau pun penapisan pil akhirnya gagal, sekurang-kurangnya biarkan saya mengesahkan kewujudan 'pertapaan'.'
Song Shuhang memicit bahan yang ketiga, tidak dapat menjadi tenang. Song Shuhang tidak dapat mencari apa-apa maklumat tentangnya, walaupun dalam internet. Ia dipanggil 'Rumput Misteri Embun Pagi'!
Dari segi bentuk, ia merupakan tumbuhan hijau yang berbentuk bar, tiada banyak perbezaan dengan rumput biasa yang lain. Namun, selepas memeriksa dengan teliti, seseorang akan ternampak titisan air di atas rumput itu, seperti embun pagi pada rumput tersebut.
Nombor pada jam randik berubah dengan pantas. Lima minit sudah cepat berlalu.
Song Shuhang mengangkat penutup periuk, masukkan Rumput Misteri Embun Pagi, dan dengan pantas meletak kembali penutup itu.
Dia menjadi sedikit teruja. Bagaimanapun, ia merupakan herba istimewa, dan mungkin ia boleh membawa perubahan istimewa kepada herba ubatan di dalam periuk.
Seperti dua herba yang pertama, Rumput Misteri Embun Pagi sedang bergolek di dalam air yang mendidih.
Mata Song Shuhang masih sedang merenung Rumput Misteri Embun Pagi. Kedinginan daripada manik ais yang berada pada dadanya menyebabkannya menumpukan perhatian dengan sepenuh-penuhnya.
Sedikit demi sedikit, ketiga-tiga herba kelihatan seperti membesar di depan matanya!
Pada masa ini, di dalam dunia Song Shuhang hanya wujud bahan ubatan ini, tiada benda lain.
Mungkin sebab dia menumpukan perhatian dengan keterlaluan, ataupun disebabkan manik ais pada dadanya sedang berfungsi, tetapi Song Shuhang semakin lama semakin mampu mengesan setiap perubahan kecil yang ada pada tiga herba ubatan dalam air yang mendidih itu.
Setiap kali benda-benda itu bergolek, ia mengeluarkan kandungan kekuningan dan melarut ke dalam sup ubat tersebut. Hirisan Ginseng mengembang sedikit selepas melepaskan inti pati mereka ke dalam air yang mendidih itu.
Perasaan itu sangat menggembirakan!
'Suhu macam tidak cukup tinggi?' Fikiran ini tiba-tiba tertimbul dalam minda Song Shuhang.
Dia berasa herba di dalam periuk memerlukan api yang lebih kuat, terutamanya Rumput Misteri Embun Pagi, yang memerlukan suhu yang lebih tinggi untuk merangsangnya!
Oleh itu, dia menekan pengawal suhu pada dapur elektrik, dan meninggikan suhu tanpa keraguan.
"Brrrimmm~!"
Air di dalam periuk mendidih dengan banyak sehingga penutupnya ditolak oleh stim.
Dengan mata terbeliak dengan terkejut, Song Shuhang tidak dapat mempercayainya — selepas meningkatkan suhu, Rumput Misteri Embun Pagi betul-betul telah berubah!
Rumput Misteri Embun Pagi yang mula-mula terapung di permukaan tiba-tiba melarut!
Song Shuhang tidak tahu berapa lama dan suhu apa yang diperlukan untuk melarutkan rumput biasa di dalam air, tetapi memang tidak mungkin Rumput Misteri Embun Pagi boleh dilarutkan seperti ini dalam masa kurang dari lima minit walaupun dia telah meningkatkan suhu dapur elektrik kepada suhu yang tertinggi.
Ini merupakan salah satu ciri istimewa Rumput Misteri Embun Pagi.
Sementara rumput ini melarut, selapisan cecair ubatan hijau muncul di permukaan sup itu.
Cecair ubatan hijau tersebut menyelaputi hirisan Ginseng dan buah Goji di dalam periuk seperti ia mempunyai kesedaran sendiri.
Dua herba itu mula melarut selepas diselaputi, dan bergabung dengan cecair ubatan hijau itu.
Song Shuhang berasa jantungnya berhenti seketika.
Ajaibnya perubahan itu!
Pada masa yang sama, dia menddapat buah fikiran yang kabur — mungkin seseorang tidak patut menambah air pada permulaan tadi; sebaliknya, hirisan Ginseng dan Goji Cina sepatutnya dipanaskan dengan cara yang istimewa. Dengan itu, cecair ubatan boleh dihasilkan selagi Rumput Misteri Embun Pagi ditambah.
Dia tidak tahu sama ada dia telah gagal atau tidak.
Nasib baik, dia sudah bersedia untuk gagal dari permulaan lagi. Kali ini, tugas-tugas utamanya ialah membiasakan diri dengan proses penapisan dan merekodkan masalah yang dihadapinya semasa proses itu.
Lima minit lagi sudah berlalu.
Kali ini, Song Shuhang mengeluarkan bahan ubatan keempat dengan tenang dan memasukkannya ke dalam periuk.
Bahan keempat juga diselaputi cecair hijau itu, dan melarut ke dalam cecair ubatan sedikit demi sedikit.
'Jika dipanaskan dengan suhu ini, ia akan mengambil lima minit atau lebih untuk herba keempat itu melarut dengan sepenuhnya ke dalam cecair ubatan. Mungkin sebab itulah Mahaguru Ubat berkata 'lebih kurang' lima minit. Lagipun, herba ubatan akan berbeza dari segi saiz, bentuk, dan umur, dan suhu yang berbeza atau kualiti relau pil yang berbeza juga akan menyebabkan perbezaan masa.' Dengan pemahaman yang lebih, mata Song Shuhang masih merenung tepat pada herba ubatan di dalam periuk.
Dia berasa dia lebih memahami formula pil Mahaguru Ubat.
Pada satu masa, manik ais yang dipakai di keliling lehernya telah membantunya bertambah baik. Manik ais ini memastikan Song Shuhang sentiasa tenang, menumpukan perhatian dan berfikiran jelas.
Pada masa yang lain, Song Shuhang kelihatan seperti mempunyai bakat dalam penapisan ubat. Ia merupakan bakat semula jadi, dan jika dia mahu menjadi ahli alkimia pada masa depan, bakatnya akan membantu dia mendapatkan hasil yang berganda dengan usaha yang separuh.
Setelah semakin memahami formula pil sedikit demi sedikit, Song Shuhang mula berhenti mengikutkan batasan 'lima minit'.
Dia mula membuat keputusan untuk menambahkan bahan yang seterusnya berdasarkan kadar pelarutan cecair pil di dalam periuk. Kadang-kala, dia akan menambahkan herba ubatan seterusnya selepas lebih kurang empat minit setengah. Kadang-kala, dia akan menambahnya selepas lebih daripada lima minit.
Entah bagaimana, empat puluh enam minit telah berlalu…
Shuhang telah cuba untuk mengawal suhu selepas menambahkan herba ubatan kesepuluh. Berdasarkan kadar pelarutan cecair ubatan, jarinya bergerak pada pengawal suhu dapur elektrik untuk menaikkan atau menurunkan suhu.
Tidak lagi mengikut masa, dia menjadi sibuk.
Selepas herba ubatan keenam belas habis dilarutkan, kebolehan melarut Rumput Misteri Embun Pagi dalam periuk kelihatan seperti sudah mencapai batasannya. Pada masa itu, berdasarkan arahan formula pil, Song Shuhang menambahkan satu lagi herba ubatan istimewa, 'Empulur Buah Tiga Nyawa'.
Dengan pastinya, seperti Rumput Misteri Embun Pagi, Empulur Buah Tiga Nyawa juga digunakan untuk 'melarutkan herba ubatan'.
Sejak dia menambahkan senduk air yang pertama, Shuhang tidak menambahkan air lagi. Cecair ubatan di dalam periuk tidak mengering walaupun sudah dimasak selama lebih satu jam setengah, malah ia telah bertambah sedikit.
Selepas menambah herba ubatan yang baru, Shuhang memfokus kepada kadar pelarutan cecair ubatan, dan menunggu; selepas itu, dia meneruskan penambahan herba ubatan. Sangat membosankan, proses ini tidak membenarkan apa-apa kesilapan.
Inilah kerja seorang ahli farmasi, seorang ahli alkimia! Ia merupakan kerja yang memerlukan kesempurnaan. Walaupun di kalangan pertapa, hanya mereka yang boleh menahan kesunyian sesuai untuk kerja begini. Malah, kewujudan mereka ini hanya satu dalam sejuta.