Seperti yang Brian pernah katakan, apabila salji mula turun di Pekan Sempadan, ia akan terus turun tanpa henti.
Dalam masa semalaman sahaja, seluruh pekan itu telah diselimuti salji putih. Pada waktu pagi keesokannya, salji mula kurang lebat tetapi langit masih kekal mendung. Roland berasa seakan tidak percaya cuaca begini akan berlarutan selama beberapa bulan lagi.
'Saya betul-betul tak faham,' fikirnya dalam hati. 'Zaman ini sudah cukup mengelirukan dengan ahli sihir dan kuasa sakti, tetapi bagaimana makhluk iblis boleh mempengaruhi cuaca pula?' Malangnya dia tiada peralatan kaji cuaca untuk menyelidik fenomena cuaca di zaman ini.
Semasa berjalan di sepanjang tembok kota di Rantau Barat, Carter berkata, "Pekan ini nampak lengang, tentu ada orang bangsawan sudah bawa keluarga mereka berhijrah keluar."
"Lebih baik kalau begini. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan melembabkan kerja kita," balas Roland. "Beta sudah mengarahkan Barov membuat bancian populasi musim sejuk ini."
"Apa itu, Tuanku?"
"Maknanya kita mesti pergi ke setiap rumah, catatkan berapa ramai penghuni yang masih ada dalam setiap rumah, dan daftarkan nama serta pekerjaan mereka," jelas Roland. "Dengan cara ini, kita boleh agihkan sumber manusia dengan pantas dan berkesan semasa perang dan selepas perang pula, kita boleh agihkan pampasan."
"Apa? Sumber manusia?" Carter terkebil-kebil tetapi kemudian tertawa. "Tuanku, Tuanku benar-benar sudah berubah."
"Berubah bagaimana?"
"Dulu seperti ini juga. Patik tidak faham dengan sesetengah kata-kata dan kelakuan Tuanku. Cuma waktu itu, Tuanku tidak berkelakuan selayaknya seperti seorang Putera, tapi sekarang…" Carter terdiam, cuba mencari kata yang sesuai. "Tidak kira ia peraturan latihan Tuanku yang agak pelik atau uji kaji-uji kaji alkimia Tuanku, semuanya membuahkan hasil setakat ini. Mungkin inilah maksud datuk Patik apabila dia kata seseorang yang luar biasa dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh orang biasa. Patik sudah mula rasa yakin Tuanku akan menjadi raja seterusnya."
"Oh… Betulkah?" Hati Roland berbunga-bunga. Dia terharu mendengar pujian ikhlas daripada ketua kesateria berhati batu itu. Buat seketika dia tidak lagi merasakan kesejukan menggigit tangan dan kakinya, dan langit mendung itu pula kelihatan tidak begitu menyuramkan.
Di sepanjang tembok kota, angkatan tentera awam sedang membersihkan salji yang menimbun di atas jalan. Sebaik melihat putera itu, mereka terus menundukkan badan dan memberi tabik hormat.
'Mereka patut diajar cara memberi tabik yang betul,' fikir Roland.
"Jadi apa laporan keadaan malam semalam?"
"Tiada penampakan makhluk iblis, Tuanku," Kapak Besi menjawab pertanyaan Roland. "Tapi Tuanku, mengikut pengalaman terdahulu, tempoh masa selepas salji pertama turun selalunya tenang dan tiada kejadian. Pada masa ini, bilangan makhluk iblis selalunya sedikit dan haiwan yang bermutasi masih kecil dan lemah."
Roland mengangguk. "Terus berwaspada."
Bahagian hujung tembok kota telah ditukarkan menjadi berek sementara. Apabila keadaan tenang, kebanyakan orang akan berehat dalam berek itu untuk menjimatkan tenaga. Sistem penggiliran dilaksanakan bagi pengawal. Oleh kerana suhu musim sejuk sangat rendah, setiap pasukan peronda hanya meronda selama dua jam sahaja sebelum mereka digantikan.
Ini semua ialah idea Roland. Melalui Brian, dia mendapat tahu Kubu Longsong langsung tiada pengalaman melawan makhluk iblis. Pengawal yang bernasib malang akan disuruh memerhati makhluk iblis selama sehari suntuk di tembok kubu itu. Akibatnya, pada setiap musim sejuk akan ada 20 hingga 30 orang yang dihukum gantung sampai mati kerana mengabaikan tugas atau mengingkari perintah orang atasan tentera.
Apabila makhluk iblis muncul, keadaan menjadi huru-hara. Barisan pertahanan tidak dibahagikan mengikut divisyen, jadi semua orang tidak tahu peranan masing-masing. Namun Roland faham itu semua terjadi kerana perang pada zaman itu hanya menekankan tentang keberanian, kehormatan, dan kemuliaan individu, serta rampasan harta. Malah kesateria diraja juga akan menyerang secara menonong kerana mereka dianggap berkobar-kobar dengan darah perwira.
Roland meronda keliling tembok sekali lagi. Semuanya kelihatan berjalan lancar, tetapi Roland mendapati dia telah terlepas pandang satu masalah.
Dia telah terlupa tentang panduan bagi sekatan jalan untuk makhluk iblis itu.
Sekarang sekatan-sekatan yang dibuat akan mengarahkan makhluk iblis ke tengah tembok kota, tetapi jika ramalan Brian benar, salji akan menyelubungi semua sekatan ini dalam masa dua hingga tiga bulan sahaja. Kalau itu terjadi, barisan pertahanan Roland akan terpaksa menghalang makhluk-makhluk iblis itu di kawasan sepanjang 600 meter. Askar-askar Roland tidak akan mampu mempertahankan kawasan seluas itu.
Roland tidak boleh mengerah satu platun untuk membersihkan salji kerana satu atau dua ekor serigala iblis sahaja sudah cukup untuk membuatkan pasukan itu kehilangan ramai anggota mereka.
Mungkin dia boleh meminta bantuan ahli sihir sekali lagi.
Dia boleh cuba meminta Nightingale curi-curi keluar ke sini bersama Anna untuk mencairkan salji dengan apinya, dan kemudian curi-curi balik ke istana, sepertimana Nightingale menyeludup Nana keluar dari rumah keluarga Pine dahulu.
Pada saat itu, loceng pondok peronda di bahagian kiri tembok kota berbunyi.
"Tengok di hadapan!"
Roland dan Carter bingkas berpusing ke arah yang ditunjukkan itu dan mereka melihat satu bayang-bayang kecil muncul dari salji dan berjalan perlahan ke arah tembok kota.
"Tuanku, adakah Patik patut…" Seorang pemburu dalam barisan pertahanan menunggu arahan seterusnya daripada Roland.
"Kalau menurut semua latihan kita sebelum ini, awak patut boleh agak sama ada perlu tiup semboyan atau tidak," kata Roland, "dan awak lebih berpengalaman daripada beta."
Pemburu itu teragak-agak sebentar, tetapi akhirnya dia hanya memasang panah ke busur, menarik tali busur, dan kembali memerhati dari tembok kota.
Roland mengangguk tanda puas hati. Buat masa ini, tugas pertahanan di tembok kota masih berjalan dengan teratur. Cuma dia belum tahu lagi sama ada angkatan itu boleh bertindak mengikut latihan mereka sekiranya segerombolan makhluk iblis muncul untuk menyerang Pekan Sempadan nanti.
Bayang-bayang itu semakin menghampiri mereka. Apabila ia hanya sejauh 50 meter dari hadapan tembok kota, barulah Roland dapat melihat rupanya dengan jelas.
Adakah itu sejenis rubah?
Bulunya kelabu kehitaman dan matanya bersinar garang. Sambil ia mendekati tembok kota, mulutnya terbuka dan tercungap-cungap.
"Saya rasa ia baru diserang, jadi ia bukan ancaman bagi kita," kata Kapak Besi tetapi tangannya masih memegang panah ke busur.
"Jadi awak kata semua haiwan ini dirasuk dengan udara dari neraka dan dihalau ke barat?"
"Bukan hanya ke barat," kata Carter. "Apabila Gerbang Neraka terbuka di Tanah Gasar, mana-mana tempat yang tidak dilindungi Banjaran Puncak Langit akan dikerumuni makhluk iblis, lebih-lebih lagi di utara. Di sana, Banjaran Puncak Langit ada genting atau celah terbuka menjangkau kira-kira 5000 meter. Dari situlah serangan utama gerombolan makhluk iblis akan datang."
Rubah itu berkeliaran di sekitar tembok kota selama beberapa ketika. Tiba-tiba ia mengangkat kepala dan menyeringai kepada tentera di atas tembok kota. Sebaik sahaja ia melompat, Kapak Besi melepaskan tali busurnya dan anak panah itu terus menembusi leher rubah itu. Ia terjatuh ke atas salji dan tidak bergerak lagi.
Roland melihat darah yang mengalir keluar dari lehernya berwarna hitam pekat.
'Kenapa seorang manusia boleh kekal waras selepas dibangkitkan menjadi ahli sihir, tetapi haiwan akan menjadi liar dan berlainan apabila dijangkiti kuasa jahat yang sama? Kalau ada peluang, saya mesti pergi ke belakang Banjaran Puncak Langit itu sendiri untuk mencari jawapan,' fikir Roland dalam hati. Cheng Yan cuba meneliti memori Putera Roland dan dia mendapati Gerbang Neraka terletak di tempat yang tidak boleh dimasuki manusia. Namun begitu, oleh sebab tiada manusia pernah menjejakkan kaki di sana, itu bermakna semua maklumat yang ada dalam buku-buku purba hanya sekadar tekaan dan spekulasi yang tidak terbukti. Jadi kebenarannya amat diragui.