Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 46 - Konspirasi (Bahagian II)

Chapter 46 - Konspirasi (Bahagian II)

"…"

Gerald sedar dia sudah terperangkap dan dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi selain mengheret adiknya bersama-sama ke neraka. Yang anehnya, dia berasa tenang sekarang. "Jadi kamu mahu bunuh abang?"

"Bunuh abang? Tidak, tiada gunanya saya buat begitu. Saya tiada pilihan lagi jika saya tidak buat begini." Nada suara Timothy tenang sahaja seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi. "Kalau saya hanya sabar menunggu selama lima tahun, mungkin akhirnya saya terpaksa menghadapi armada lanun Garcia. Abang tahu apa rancangan adik kita itu?"

Gerald menggeleng kepala sambil menganggar jarak antara dirinya dengan Putera Kedua. Dia tahu adiknya itu memang bijak sejak kecil lagi, tetapi dia tidak mahir menunggang kuda dan berlawan pedang. Jika Gerald boleh mencuri peluang dan menerkam untuk mematahkan…

"Adik kita sedang membentuk angkatan tenteranya sendiri, abang. Sebenarnya saya sangat kagum. Dia sudah mula melakukan itu walaupun sebelum Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta diumumkan. Saya sendiri tidak sangka dia akan buat begitu. Semasa kecil dulu, kita begitu rapat. Bagaimana ini semua berlaku? Kenapa sekarang kita saling mahu berbunuhan pula?" kata Timothy sambil berundur dua langkah. "Macam sekarang, abang sedang merancang untuk terkam dan tikam saya, bukan?" 

"..."

"Saya sudah tahu, abang. Abang masih sama seperti dulu. Jika abang mahu membunuh, renungan mata abang akan jadi sangat menakutkan." Timothy melepaskan keluhan. "Biar saya berterus-terang. Saya mahu tamatkan Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta. Jika tidak, dalam lima tahun lagi armada lanun Garcia akan tiba untuk membunuh saya. Dia sudah berjaya mengambil alih kawalan ke atas Pelabuhan Air Bening beberapa tahun lalu. Valencia pula hanya sesuai untuk perdagangan, bukan peperangan."

"Saya perlu bala tentera yang boleh menandingi armada Garcia, dan saya tidak boleh lakukannya dengan sebuah negeri yang hanya penuh dengan pedagang dan peniaga. Putera Gerald Wimbledon, esok kamu akan dibicarakan kerana meninggalkan negeri yang diamanahkan kepada kamu dan kerana membunuh raja. Saya akan kembali ke Valencia malam ini untuk membuat persediaan sebelum berita buruk ini tersebar ke Rantau Timur. Saya akan turut berdukacita tetapi saya akan menerima tanggungjawab untuk ditabalkan menjadi raja. Abang akan dihukum pancung kerana kesalahan membunuh raja."

"Kamu…!" Gerald memekik dan meluru ke arah adiknya tetapi jarak antara mereka terlalu jauh. Pedangnya ditahan oleh dua pengawal berbaju kebal. Tiba-tiba pahanya terasa kebas dan Gerald menyedari ia telah ditusuk sebilah pisau belati. Gerald hilang keseimbangan dan terjelepuk ke atas lantai. Pengawal-pengawal tadi mengerumuninya dan mengacukan pedang ke dadanya, membuatkan dia kaku dan tidak dapat bergerak.

"Apa hak kau untuk lakukan semua ini? Aku akan bongkarkan semua penipuan kau dan aku akan pastikan semua penyokong kau tahu betapa dahsyatnya diri kau yang sebenar!" Gerald menjerit dengan kemarahan yang tidak terbendung lagi.

"Tidak, abang tidak boleh buat begitu," kata Timothy dengan tenang. "Makmal Alkimia ada hasilkan sejenis ubat bernama 'Bahasa yang Hilang', campuran bisa biawak dan susu kuda dari negeri pasir Wilayah Selatan. Selepas meminumnya, abang akan jadi bisu. Tapi jangan risau, Abang tidak akan rasa sakit. Rasanya sangat manis dan lazat. Kalau abang tidak puas hati, abang boleh salahkan adik kita itu. Kalau bukan kerana Garcia, saya tidak perlu buat semua ini."

Timothy memberi isyarat kepada ketua pengawal yang kemudiannya mengangguk dan memberi tabik. Putera Sulung Gerald diheret keluar dari kamar istana. Pengawal lain turut menyusul keluar. Akhirnya hanya Putera Kedua dan Ahli Nujum Ansger yang tinggal dalam kamar itu.

"Tuanku, kini takhta itu sudah berada dalam genggaman Tuanku. Patik patut menggelar Tuanku Yang Amat Mulia," kata Ahli Nujum Ansger sambil menunduk.

"Awak sangat berjasa, dan apabila beta ditabalkan menjadi raja Kerajaan Graycastle kelak, beta akan mengotakan janji beta. Tetapi… apabila lihat keadaan abang sulung beta yang menyedihkan tadi, beta rasa kita perlu sesuatu untuk memastikan kita tidak memungkiri janji."

Air muka ahli nujum itu berubah. "Tuanku, maksud Tuanku…"

"Jangan risau, Beta hanya tidak mahu dikhianati." Timothy mengeluarkan sebiji kapsul dari jubahnya. "Tentu awak sudah biasa lihat ubat ini. Kelongsong kapsul ini mengambil masa tujuh hari untuk cair sepenuhnya, lebih kurang sama dengan tempoh perjalanan beta dari sini ke Valencia. Beta menjanjikan jawatan Ketua Ahli Nujum untuk mendapatkan kerjasama awak dan beta cuma tidak mahu pihak lain mengumpan awak dengan tawaran lebih menarik."

"Tapi Tuanku… Tuanku mesti bergurau…" Wajah ahli nujum itu berubah pucat lesi. Tetapi dia tiada pilihan lain dan akhirnya menelan kapsul itu.

"Pandai," kata Timothy sambil mengangguk tanda puas hati. "Sekarang awak boleh pergi."

Apabila sudah tiada orang lain dalam kamar itu, dahi Putera Kedua serta-merta berkerut.

Dia mencapai sebuah pasu seramik dari meja di sebelah katil dan mencampakkannya ke lantai dengan berang. Pasu itu hancur berkecai. Seorang pengawal menjenguk ke dalam kamar. "Tuanku?"

"Pergi!" Timothy menjerit marah.

"Baik, Tuanku." Pengawal itu cepat-cepat berundur dan menutup pintu.

'Tak guna! Ini tak sepatutnya terjadi!'

Timothy langsung tidak berniat untuk membunuh ayahandanya. Ayahanda sudahpun memilih dia untuk menjadi raja jadi dia hanya perlu memberitahu Raja Wimbledon tentang kelakuan Garcia dan meminta Raja Wimbledon menghentikan Garcia. Lagipun dia boleh menggunakan Putera Gerald Wimbledon sebagai umpan.

Menurut Timothy, rancangannya mustahil boleh gagal. Dia mempergunakan jawatan Ketua Ahli Nujum untuk memikat tuan guru Gerald – Ahli Nujum Ansger yang berpangkat rendah dalam Persatuan Ahli Nujum – dan menyuruh dia menulis sepucuk surat kepada Gerald. Gerald terpedaya dengan serta-merta. Ini memenuhi jangkaan Timothy. Abangnya memang lebih pandai berlawan pedang daripada berfikir dan sudah tentu dia tidak akan sanggup menyerahkan takhta semudah itu.

Beberapa pucuk surat ditulis untuk mengapi-apikan Putera Gerald, dan sementara itu Timothy melakukan persediaan untuk langkah seterusnya. Semasa surat pertama yang mengandungi ramalan itu dihantar, dia senyap-senyap balik ke Kerajaan Graycastle dan mendedahkan pelan Putera Gerald yang mungkin merancang mahu menggulingkan raja. Tidak syak lagi, sebaik sahaja rancangan ini disahkan, ayahandanya tentu akan murka dan mencampakkan Putera Gerald ke dalam penjara. Berkemungkinan besar Gerald akan dipenjarakan seumur hidup atau dibuang negeri.

Kemudian, ayahanda tentu akan mempertimbangkan anak-anaknya yang lain, dan Garcia yang sudah ada armada tentera yang besar akan menjadi pilihan baginda.

Tetapi… kenapa lain pula jadinya? Apabila ayahanda mendengar berita itu daripada Timothy, baginda tersenyum dengan aneh, mengeluarkan sebilah pisau, dan menikam jantungnya sendiri!

Semuanya berlaku dalam sekelip mata dan Timothy tidak sempat bertindak. Dia hanya mampu melihat ayahandanya menghembuskan nafas terakhir di hadapannya.

Dia terduduk lemah di sisi katil. Buat kali pertama, dia merasa seolah-olah dia juga buah bidak dalam satu permainan catur. Senyuman terakhir ayahanda terpahat dalam ingatannya seperti satu mimpi ngeri. Dia cuba memikirkan kejadian yang berlaku malah memeriksa mayat ayahandanya, tetapi gagal menemui sebarang petunjuk tentang mengapa ayahandanya berbuat begitu.

Malah Timothy turut mengesyaki orang ini menyamar sebagai ayahandanya. Tetapi dia tidak menemui sebarang bukti untuk itu, malah parut yang ada sememangnya sama dengan ayahandanya.

Apabila dia diberitahu Gerald sudah tiba di istana, dia terpaksa berpura-pura tenang dan merombak segala rancangannya. Dia akan menyalahkan Gerald kerana kononnya membunuh Raja Wimbledon III dan kemudian menggunakan kedudukannya sebagai Putera Kedua untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Asalkan upacara pertabalannya nanti berjalan lancar, dia tidak lagi tertakluk kepada undang-undang negeri. Maknanya dia boleh terus mengerahkan Duke Wilayah Selatan untuk bersemuka dengan Garcia dan memaksa Garcia untuk menyerahkan Pelabuhan Air Bening.

Nampaknya rancangan dia tadi berjalan dengan lancar, tetapi Timothy masih berasa kurang senang… seolah-olah ada tangan halimunan yang sedang masuk campur dalam perebutan kuasa dalaman Kerajaan Graycastle. Namun dia tidak dapat mengenal pasti tentangnya.

Buat masa ini, dia tidak boleh berbuat apa-apa selain menunggu untuk ditabalkan menjadi raja. Timothy Wimbledon menyumpah seranah dalam hatinya. Jika dia dapat tahu siapa dalang di sebalik semua ini, dia akan pastikan orang itu menerima akibat kerana membuat raja murka!