Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 42 - Satu Kemalangan

Chapter 42 - Satu Kemalangan

"Jika seseorang digigit makhluk iblis," Roland mula bertanya, "adakah dia akan bertukar menjadi seperti makhluk itu juga?"

Dia berharap ini tidak akan menjadi seperti filem Resident Evil. Mereka tidak akan mampu mengekstrak antigen virus dengan teknologi zaman ini.

"Sudah tentu tidak," kata Kapak Besi dengan raut wajah keliru. "Manusia hanya akan bertukar menjadi mayat."

"Bolehkah kita makan daging makhluk iblis itu?"

"Tuanku!" Carter benar-benar terkejut. "Kita tidak boleh makan makhluk itu! Daging mereka telah menerima sentuhan dari neraka!"

Roland memandang ke arah Kapak Besi yang terus menganggukkan kepala. "Benar kata ketua kesateria Tuanku. Dulu saya pernah potong satu cebisan daging bangkai makhluk iblis itu dan saya berikan kepada anjing saya. Tidak lama kemudian, anjing saya mati."

"Betulkah? Sayangnya," Roland mengeluh. Zaman ini sangat kekurangan makanan. Jika mereka dapat makan makhluk iblis, mereka tentu akan ada makanan yang cukup bagi sepanjang musim sejuk. Bayangkan, ratusan haiwan liar dengan suka rela berlari dari hutan masuk ke dalam Pekan Sempadan. Rakyat tidak perlu bersusah payah keluar memburu.

Setelah selesai meronda tembok kota, Roland memutuskan untuk melawat Nana.

Roland mengambil alih rumah seorang bangsawan yang terletak paling hampir dengan tembok kota dan menukarkannya menjadi sebuah hospital lapangan untuk Nana. Di mata orang lain, ia kelihatan seperti hospital biasa. Sebagai langkah keselamatan, rumah itu menerima kawalan yang kedua terketat selepas tembok kota.

Apabila bangsawan pemilik rumah itu berhijrah ke Kubu Longsong, dia membawa semua hartanya bersama. Pekan Sempadan tempat di mana seseorang boleh meninggalkan kehidupannya di sini pada bila-bila masa. Walaupun rumah itu besar, ia kosong tanpa sebarang hiasan dinding, permaidani, mahupun ukiran tembikar. Kalau tidak dibersihkan, ia akan kelihatan seperti rumah yang sudah lama ditinggalkan.

Roland meruntuhkan dinding kayu di tingkat pertama agar ia menjadi satu bilik besar. Hanya koridor dan pintu masuk sahaja yang tidak diusik. Kemudian dia meletakkan sepuluh buah katil untuk menjadikannya wad hospital. Namun wad ini tidak ada jururawat mahupun doktor, malah 10 katil ini pun mungkin tidak akan digunakan langsung. Rawatan yang dilakukan oleh Nana tidak memerlukan pesakit ditahan di wad. Mereka akan terus sembuh.

Pada waktu siang, Nana akan bersedia di tingkat dua hospital itu. Anna akan menemaninya apabila dia mempunyai masa terluang. Tigui Pine dan Brian pula diamanahkan untuk menjaga tingkat pertama dan dua pengawal lagi ditugaskan berkawal di pintu hadapan. Tiada siapa boleh masuk sewenang-wenangnya ke dalam hospital kecil itu.

Namun begitu, Roland tidak menyangka pesakit pertama hospital itu bukanlah seorang askar yang cedera mempertahankan tembok kota, tetapi sebaliknya seorang pekerja dari Lombong Cerun Utara.

*******************

Tangan Nail menggeletar.

Raungan Kepala Besi menjadi lebih kuat dan dia mempercepatkan langkah. Kalaulah dia boleh terbang terus ke tempat itu.

'Semua ini sebab kecuaian saya', fikirnya dalam hati. Dia memang patut mati. Bagaimana dia boleh lupa dengan amaran ketua kesateria itu?

Dia tahu dia tidak sepatutnya bersetuju untuk mengendalikan jentera besar itu bersendirian.

Sejak jentera besar itu dipasang di pintu masuk lombong, kerja di sana sudah menjadi jauh lebih mudah.

Pada mulanya, kerja paling memenatkan ialah tugas mengangkut keluar bijih dari lombong. Apabila sebuah bakul sudah penuh terisi bijih, ia memerlukan tiga hingga empat orang untuk mengheretnya keluar dari gua. Selepas bertahun-tahun cara ini dibuat, lantai terowong itu yang mulanya tidak rata kini sudah licin kerana asyik bergeser dengan bakul-bakul bijih. Malah pelapik besi di bawah bakul-bakul bijih juga perlu ditukar dengan kerap.

Seminggu lalu, Ketua Kesateria Carter telah mengarahkan Kepala Besi dan orang-orangnya mengangkut beberapa kepingan besi berbentuk aneh ke atas gunung. Selepas beberapa hari, mereka memasang dan melekatkan semua kepingan itu menjadi sebuah relau. Nail terkejut apabila relau itu tiba-tiba hidup dan boleh bergerak sendiri. Kuasanya sangat menakjubkan.

Kata kesateria itu, ia ciptaan Putera Roland yang dinamakan "enjin wap".

Apabila mereka mengikat bakul bijih itu pada enjin wap dengan menggunakan tali jerami dan menyalakan api, jentera itu seolah-olah bertempik. Kemudian ia memusingkan sebuah win untuk menarik bakul itu ke pintu masuk lombong.

Bunyinya hebat!

Ketua kesateria itu menunjukkan cara untuk menggunakannya sebanyak beberapa kali lagi sebelum menyuruh Kepala Besi memilih seorang lagi pekerja untuk mengendalikan enjin wap itu. Betapa girangnya hati Nail apabila dia dipilih oleh Kepala Besi. Kalau dia duduk sahaja di hadapan mesin itu, dia tidak perlu mengorek lombong atau menolak bakul bijih. Itu yang dia fikirkan pada awalnya, namun sebenarnya dia masih gerun sejak kejadian tanah runtuh itu.

Jadi dia memahat arahan Ketua Kesateria Carter dalam kepalanya.

Mudah sahaja mahu mengendalikan jentera itu. Dia hanya perlu menaikkan batang hijau dan menurunkan batang merah. Ketua kesateria memberitahu batang hijau itu bersambung kepada injap masukan udara manakala batang merah bersambung dengan injap ekzos. Wap akan memasuki silinder melalui sebatang saluran paip. Apabila bakul bijih ditarik, Nail mesti mematikan mesin itu dengan menaikkan batang merah dan menurunkan batang hijau. Jadi wap akan masuk melalui sisi dandang ke dalam silinder. Selepas setiap kitaran, dandang itu mesti diisi semula dengan air. Walaupun Nail tidak mengerti maksud perkataan "injap" dan "silinder", dia tetap berjanji untuk mengendalikan mesin itu dengan baik.

Ketua kesateria turut menekankan dua perkara penting. Pertama, Nail tidak boleh tersilap susunan cara ketika mengendalikannya. Dia mesti bermula dengan batang hijau diikuti batang merah, dan mesti diakhiri dengan batang merah diikuti batang hijau. Jika tersilap langkah, dia mungkin akan merosakkan jentera itu. Kedua, dia perlu memastikan tiada pelombong berhampiran jentera itu sebelum mengosongkan injap ekzos dan mesti sentiasa melaungkan amaran kepada orang lain sehinggalah batang merah dinaikkan buat kali terakhir semasa operasi.

Nail yakin dia langsung tidak akan berbuat silap dengan perkara pertama. Tetapi dia menghadapi sedikit masalah dengan perkara kedua.

Hari ini, sewaktu dia mematikan mesin itu seperti biasa, dia tidak nampak sesiapa berhampiran dengannya. Dia rasa bodoh untuk menjerit di tempat yang tiada sesiapa, jadi dia terus menarik batang merah tanpa melaungkan sebarang amaran. Batang itu ketat dan dia terpaksa mengerah lebih tenaga untuk menariknya.

Tiba-tiba Kepala Besi muncul di hadapan dandang mesin itu. Nail sama sekali tidak menyedari Kepala Besi berada di situ, tambahan pula bunyi kuat mesin itu menenggelamkan bunyi tapak kaki Kepala Besi. Wap putih panas menderu keluar dari lubang ekzos dan tersembur tepat ke muka Kepala Besi!

Nail terpaku ketakutan apabila melihat Kepala Besi tersungkur ke tanah. Kepala Besi menekup mukanya sambil berguling-guling. Raungan kesakitannya membuatkan bulu roma Nail meremang.

Tidak lama kemudian, pelombong lain bergegas ke tempat itu. Mereka memegang Kepala Besi yang masih berguling-guling dan memaksa dia menjauhkan tangannya dari muka. Muka Kepala Besi seakan-akan mencair, dan darah menggelegak keluar dari daging mukanya yang seakan-akan direbus. Matanya putih tanpa anak mata. Semua orang yang berada di situ berasa pasti Kepala Besi tidak akan dapat diselamatkan lagi.

Nail tercegat di belakang kerumunan orang itu dengan wajah berlinangan air mata. Kepala Besi sentiasa mengambil berat tentangnya. Disebabkan Nail masih terlalu muda, Kepala Besi memberikan kerja yang kurang berat kepada Nail tanpa mengurangkan gajinya. Tetapi sekarang semua ini terjadi kerana kecuaian Nail.

Dalam kesedihan dan ketakutan, dia tiba-tiba teringat kata-kata ketua kesateria. Jika ada orang tercedera di kawasan lombong, mereka boleh dibawa ke sebuah hospital baru berhampiran tembok kota.

Dia tahu kecederaan separah ini mungkin tiada kemungkinan untuk sembuh. Ia sangat serius dan herba-herba ubat mustahil boleh membantu Kepala Besi. Kulit muka Kepala Besi akan mengering, reput, dan dia tidak akan sedarkan diri selepas demam akibat jangkitan. Namun begitu, Nail membulatkan tekad dan mengangkat Kepala Besi di belakangnya. Dia mengetap gigi dan mula berlari meninggalkan kerumunan orang yang bingung melihat perbuatannya.

Dia tahu jika dia tidak berbuat apa-apa dan sekadar melihat Kepala Besi mati di hadapan matanya, dia tidak akan dapat memaafkan dirinya sampai bila-bila.