"Semua orang bangun! Putera Roland datang!" Mereka belum pun sempat berehat selama 15 minit apabila Kapak Besi menepuk tangan dan menjerit kepada mereka.
Van'er bingkas kembali kepada posisinya; latihan khas yang dia jalani selama ini sudah menyebabkan dia mematuhi semua arahan secara automatik. Dalam tidak sedar, dia berdiri dan memegang galahnya dalam kedudukan bersedia untuk menikam.
Putera Roland serta rombongannya berjalan menuju ke tembok kota dan menghampiri angkatan tentera awam itu dari belakang. Melalui ekor matanya, Van'er menyedari Yang Amat Mulia Putera Roland memperlahankan langkahnya bila melalui Van'er.
Roland mengeluh kecil dalam hatinya. Patutlah orang selalu kata, "bangun lewat akan merosakkan pagi tetapi bangun awal akan merosakkan seluruh hari." Dia baru sahaja selesai menangani cubaan menceroboh istana malam semalam dan sekarang dia perlu melawat latihan angkatan tentera awam itu pula. Sudah sepanjang malam Roland bersengkang mata dan kini matanya semakin berat. Tetapi dia menggigihkan dirinya untuk datang juga kerana angkatan tentera itu masih dalam fasa latihan. Sebagai komander angkatan, dia mesti sentiasa menunjuk mukanya untuk memastikan angkatan itu tidak hilang semangat dan menjadi goyah.
'Apa orang selalu kata semasa memeriksa barisan?' Roland berfikir. 'Syabas, semua! Senang diri! atau Rehatkan diri?' Jika tiada sesiapa memahami arahan itu, tentu keadaan akan jadi kekok. Roland berfikir mungkin lebih baik jika dia menyapa salah seorang askar itu dan bertanya khabarnya. 'Ia akan menunjukkan saya bertimbang rasa dan menaikkan reputasi saya,' fikir Roland.
Dia memutuskan untuk mencuba cara ini dan menepuk belakang seorang pemuda sasa.
"Awak nampak begitu bersungguh-sungguh. Penat, ya? Awak suka dengan makanan yang disediakan?"
Mengikut laporan yang Roland terima selama ini, dia menjangkakan pemuda itu akan memberi jawapan penuh bersemangat seperti "Tidak, Tuanku! Saya tidak penat langsung!" Tetapi nampaknya pemuda ini terlebih bersemangat kerana dia terus berpusing ke arah Roland dan melutut di hadapannya, membuatkan Roland sedikit tersentak.
Van'er terasa seolah-olah dia dilimpahi rahmat kerana Yang Amat Mulia sendiri bertanya khabarnya dengan suara lembut. Kalau tidak, usahkan keluarga diraja, keluarga bangsawan pun biasanya tidak sudi bercakap dengan orang kebanyakan. Tanpa berfikir, dia meniru cara kesateria memberi hormat kepada putera itu. Dia tidak kisah sama ada perbuatan ini mengikut protokol atau tidak. Hanya ada satu perkara bermain dalam otak Van'er. Bila dia kembali ke kampung halamannya nanti, dia mesti akan dianggap sebagai orang penting.
Fikiran Van'er masih berkecamuk walaupun selepas Roland menyuruh dia bangun kembali. Malah dia sudah tidak ingat apa jawapan dia pada soalan Roland.
Akhirnya Yang Amat Mulia Putera Roland bertanya pendapat Van'er tentang latihan itu. Tiba-tiba Van'er mula memberi tumpuan pada kata-katanya. 'Inilah peluang saya!' fikirnya lagi. 'Jika saya boleh meyakinkan Baginda yang tentera awam ini sahaja tidak cukup untuk mempertahankan tembok kota, mungkin saya tidak perlu susah-susah melarikan diri.'
Perlahan-lahan dia menyusun kata-katanya. "Yang…Yang Mulia Tuanku, jumlah tentera awam ini sangat sedikit. Jika kita meneruskan corak latihan seperti ini, kami hanya boleh mempertahankan satu pertiga daripada tembok kota bila makhluk-makhluk iblis itu menyerang nanti. Mungkin Tuanku patut…"
'Sekiranya Putera Roland mengambil lebih ramai ahli sekalipun, mereka masih tidak cukup masa untuk berlatih,' fikir Van'er. Lagipun mereka perlu berbelanja besar untuk menyediakan senjata. Sukar untuk mereka mengumpulkan lembing mencukupi untuk 300 anggota tentera Pekan Sempadan dalam masa dua bulan. Mahu kumpul 100 batang pun sudah cukup sukar, sebab itulah mereka hanya boleh berlatih dengan galah.
Kalau Putera Roland tahu semua ini, mungkin Baginda akan mempertimbangkan untuk merekrut askar upahan pekan lain sebagai barisan pertahanan utama. Sekurang-kurangnya askar upahan sudah boleh dikerahkan tanpa dilatih. Mereka sudah ada senjata dan baju kebal sendiri, walaupun upah mereka agak tinggi.
Roland berfikir sementara dan mengangguk. "Betul juga cakap awak. Tentera awam ini sahaja tidak cukup untuk melindungi keseluruhan tembok kota."
Van'er merasa gembira. Maknanya… Putera Roland bersetuju dengan pandangannya?
Tetapi kata-kata Putera Roland seterusnya bukan seperti diharapkan Van'er. Baginda memanggil Kapak Besi. "Makhluk iblis itu sebenarnya hanya haiwan liar yang dirasuk dan tiada akal, betul?"
"Benar, Tuanku. Makhluk iblis tidak ada bezanya daripada haiwan liar, malah tabiat mereka juga hampir sama. Tapi makhluk iblis kacukan pula… Patik tidak pasti kerana Patik jarang bertemu mereka."
"Tak apa. Walaupun jarak antara Sungai Air Merah dan kaki Gunung Cerun Utara hampir 600 meter, kita boleh mengumpan makhluk iblis untuk menyerang kawasan tertentu."
"Maksud Tuanku, kita pasang jerat?" soal Kapak Besi.
"Ya, jerat. Tapi bukan seperti jerat pemburu biasa. Jerat pemburu berkesan kerana ia terselindung. Beta mahu buat sebaliknya. Beta mahu buat sekatan jalan di tempat-tempat jauh dari tembok kota, seperti memasang pagar, timbunan tanah, dan parit untuk memaksa makhluk iblis itu melencong jalan. Semua lencongan itu akan menyebabkan mereka terarah ke satu tempat tertentu dan akhirnya mereka semua akan berkumpul di tempat yang kita kehendaki," Roland memandang Kapak Besi. "Tentang cara untuk mengumpan mereka pula, Beta serahkan kepada awak."
Kapak Besi berfikir sejenak. "Ya, kita boleh mengarahkan mereka ke tempat tertentu. Serigala iblis tidak suka air, khinzir iblis pula takut cahaya, haiwan-haiwan iblis lain ada tabiat mereka sendiri. Tapi Tuanku, kalau kita buat begini, nanti kita akan ada segerombolan makhluk iblis terhimpit bersama dalam kawasan seluas 600 kaki sahaja. Bukankah ini berbahaya?"
"Memang berbahaya kalau kita hanya bersenjatakan lembing dan panah," Roland menjawab dengan yakin. "Tapi sekarang kita ada senjata baru."
Selepas itu, rombongan itu bersedia untuk pulang tetapi sebelum itu Putera Roland berjumpa Van'er sekali lagi dan menepuk bahunya. "Pemerhatian awak memang tajam. Apa nama awak?"
"Van… Van'er, Tuanku."
"Beta akan cadangkan kepada ketua kesateria Beta untuk melantik awak sebagai Timbalan Komander Skuad Lembing. Encik Van'er, Beta tidak sabar untuk lihat pencapaian awak selepas ini."
*******************
Roland membina sebuah bangsal di laman bangunan relau untuk menghasilkan serbuk salji – atau lebih tepat lagi, serbuk bedil.
Rumah seluas 300 meter persegi ini hanya mempunyai satu pintu masuk dan dikawal ketat. Dua pengawal mengawasi pintu depan. Untuk mengelakkan sesiapa membawa barang mudah terbakar ke dalam bilik, semua pelawat diwajibkan mendaftar nama dan menjalani pemeriksaan keselamatan.
"Jadi ini senjata baru yang Tuanku katakan itu?" Carter yang masuk sekali bersama Roland mencubit sedikit serbuk itu dan menghidunya. "Bukankah ini serbuk salji?"
Mungkin ini benda baru bagi Kapak Besi tetapi Carter sudah biasa menghadiri majlis keraian diraja jadi dia tahu serbuk salji sering diletakkan dalam tong gangsa dan diletupkan untuk memeriahkan majlis. Ia ciptaan yang menjadi kebanggaan bengkel alkimia dan isi kandungannya dirahsiakan daripada orang ramai. Tetapi Putera Roland ialah putera diraja dan Baginda boleh mendapat apa saja yang Baginda mahukan.
"Ya, ia serbuk salji, tapi tidak sama," jawab Roland. "Ini keluaran terbaru daripada bengkel alkimia diraja. Beta menamakannya serbuk bedil."
Serbuk bedil dikenali sebagai bahan rahsia untuk penghasilan senjata besar-besaran. Bahan-bahannya boleh didapati dengan mudah. Ia terdiri daripada tiga bahan: belerang, arang, dan kalium nitrat. Ketiga-tiga bahan ini dicampur mengikut nisbah 1:1.5:7.5. Ia senang dihasilkan tanpa sebarang peralatan canggih.
Serbuk salji pada zaman ini pula terdiri daripada 60% arang, 20% belerang dan kalium nitrat, dan 20% lagi bahan-bahan murahan dan aneh (contohnya raksa, mentega, madu, dan sebagainya). Ia tidak dapat digunakan sebagai serbuk bedil kerana ia terbakar dengan lembab dan tidak menghasilkan letupan besar. Namun Roland tahu ahli alkimia zaman ini sedang menguji kaji banyak campuran lain. Dalam 30 tahun lagi, mereka bakal berjaya menghasilkan campuran yang mirip dengan campuran serbuk bedil zaman moden.
Mengikut sejarah, selepas ciptaan serbuk bedil, dunia masih mengambil masa lama untuk meninggalkan senjata berbilah. Puncanya adalah penggunaan serbuk bedil yang terhad dan ketandusan industri pembuatan senjata api berkaitan.
Namun orang lupa serbuk bedil itu sendiri masih boleh digunakan sebagai senjata yang sangat berbahaya walaupun tidak dimasukkan ke dalam senjata api.