Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 35 - Tempat Selamat Dan Tenang

Chapter 35 - Tempat Selamat Dan Tenang

Nightingale berjalan di dalam Kabus.

Di situ, tiada warna yang dapat dilihatnya selain hitam dan putih.

Semua objek fizikal di sekeliling menjadi kabur, garisan yang sebelumnya lurus menjadi bengkang-bengkok dan meliuk-lentuk, umpama logamaya atau lukisan kasar seorang kanak-kanak.

Perasaan ini sangat sukar difahami, dan Nightingale sendiri mengambil masa yang lama untuk membezakan jenis-jenis garisan berbeza itu. Jika dia dapat mengenal pasti semua garisan, tiada apa yang boleh menghalangnya, dan dia boleh berjalan di dalam Kabus tanpa sesat. Walaupun tembok di sekeliling alam Kabus ini kelihatan kukuh dan tidak berpenghujung, jika Nightingale menjenguk pada sudut tertentu, dia dapat melihat gerbang kecil ke dunia sebenar, gerbang yang sebenarnya tidak wujud.

Di dalam Kabus itu, bahagian atas, bawah, belakang, hadapan serta kiri dan kanan sentiasa berubah-ubah dan tidak tetap. Dalam simpang-siur aneh ini, Nightingale sempat menyelit ke dalam ruang istana tanpa disedari pengawal. Dia meniti satu demi satu garisan bengkang-bengkok tadi sehingga dia menembusi sebuah siling dan masuk ke dalam bilik Anna.

Bagi Nightingale, Kabus itu dunia yang memberinya kebebasan untuk ke mana-mana sahaja.

Ia satu-satunya tempat yang membuatkan dia berasa tenang. Walaupun ia sunyi dan kosong, dia menyukai tempat itu yang membuatkan dirinya berasa selamat dan tidak terdedah dengan sebarang bahaya.

Kebiasaannya, dunia itu hanya ada warna hitam dan putih, tetapi kadang-kadang dia boleh melihat warna lain juga.

Seperti warna Anna yang sedang berada di hadapannya.

Berbeza daripada manusia biasa, tubuh ahli sihir mempunyai kuasa sakti terkumpul yang merupakan satu-satunya warna yang dapat dilihat di dalam Kabus, dan Nightingale dapat melihat bagaimana kuasa itu mengalir dan menghilang.

Walau bagaimanapun, dia tidak pernah melihat warna yang sebegitu terang dan bersinar seperti warna Anna. Dia diselaputi warna hijau berkilauan umpama zamrud dan di terasnya ada warna putih yang bersinar.

Nightingale bingung. Kebiasaannya warna kuasa ajaib berhubung kait dengan kehandalan si pemiliknya. Ahli-ahli sihir yang dikenali Nightingale dalam Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir dan mempunyai kuasa api selalunya memancarkan warna merah tua atau jingga dan berbentuk seperti bebola api. Namun baik daripada segi saiz mahupun kilauannya, warna Anna kelihatan jauh lebih hebat daripada warna mereka semua.

Tambahan lagi, ada sesuatu yang lebih luar biasa.

Dengan kuasa sehebat itu, bagaimana dia masih bernyawa lagi?

Di antara ahli sihir dalam Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir, tidak ada seorang pun yang memiliki kuasa sehebat Anna, walau ahli sihir dewasa sekalipun. Apabila Anna dewasa nanti…

Nightingale mengeluh berat. Dia tahu Anna tiada harapan untuk selamat. Seksaan yang Anna bakal terima berkadar langsung dengan kuasanya sendiri, jadi dia tidak sanggup membayangkan sedahsyat mana Azab Syaitan yang akan dirasai Anna kelak. Dia cukup tahu penderitaan itu. Bermula dari kulit, hingga ke isi, dan masuk ke tulang, kesakitan itu akan menyiat-nyiat setiap urat dalam daging dalam keadaan kita masih sedarkan diri sehingga kita sendiri berdoa agar kematian datang menjemput segera.

Dia melangkah keluar dari Kabus, cuba membuang fikirannya tadi, dan menghampiri Anna lalu menyapa, "Selamat pagi, Anna."

Anna yang sudah terbiasa dengan kemunculan tiba-tiba Nightingale tanpa dijemput sekadar mengangguk. Dia tidak menjawab sapaan Nightingale tetapi terus berlatih dengan apinya.

Nightingale menggosok-gosok hidungnya dan terus melabuhkan punggung di atas katil Anna.

Dia sudah berkali-kali melihat Anna berlatih, iaitu sejak dari mula sewaktu Anna sering membakar jubahnya tanpa sengaja hingga terpaksa menyediakan sebakul jubah lebih dalam bangsal di laman, sehinggalah sekarang Anna sudah pandai membuat percikan api menari-nari di hujung jarinya. Sekarang Roland sudah tidak perlu mengawasi dia lagi, dan bangsal kecil itu dirobohkan serta digantikan dengan tempat minum petang dan bersantai.

Walau bagaimanapun, Anna masih setia mengikuti arahan yang diberikan Roland sejak awal latihannya dan terus berlatih selama dua hingga empat jam setiap hari di dalam biliknya sendiri.

"Saya ada bawa tauhu ikan. Awak mahu rasa?" Nightingale mengeluarkan sebuah kampit kecil, membuka ikatannya dan menghulurkan kepada Anna.

Anna menghidunya dan menganggukkan kepala.

"Pergi basuh tangan dulu," Nightingale berkata sambil tersenyum. Dia berasa bertuah kerana Anna tidak membencinya, cuma gadis itu kurang pandai untuk berbual. Malah dengan Nana yang sangat disayanginya juga Anna tidak banyak bercakap. Pendek kata, dia sememangnya kurang bercakap dengan sesiapapun kecuali Roland.

Sebaliknya, Roland pula bermulut murai dan selalu bercakap tentang semua prinsip amalannya. Malah pada waktu makan juga dia punya pelbagai peraturan, seperti basuh tangan sebelum makan, jangan makan dengan gelojoh, jangan kutip makanan yang terjatuh ke lantai, dan sebagainya. Ada sahaja prinsip amalannya yang selalu ditekankan kepada semua orang.

Walaupun pada mulanya Nightingale berasa rimas dengan bebelan Roland, dia memaksa diri untuk mematuhi segala titahnya kerana Baginda adalah Putera Roland, putera keempat Kerajaan Graycastle dan pemerintah terulung di negeri ini yang telah bermurah hati membenarkan dia tinggal di dalam istana Baginda. Sekarang, dia sudah terbiasa dengan semua prinsip itu dan turut berasa seronok apabila dapat berlumba-lumba dengan Roland dan Nana bagi menjadi orang pertama membasuh tangan sebelum makan.

Anna membasuh tangannya dalam sebuah baldi dan kemudian menyalakan api kecil bagi mengeringkannya. Setelah itu, dia mencubit sedikit tauhu ikan yang dibawa Nightingale dan duduk di mejanya sambil mengunyah perlahan.

"Awak betul-betul pasti tak mahu balik dengan saya?" tanya Nightingale untuk memulakan perbualan. "Ada ramai saudara kita di sana dan mereka semua akan jaga awak."

Anna membisu.

"Di sini, awak hanya boleh berjalan dalam bangunan istana saja. Bosan, bukan?"

Masih tiada jawapan.

"Kami memang tiada banyak makanan atau harta benda, tapi kami satu keluarga yang bergabung bersama untuk satu matlamat yang sama. Gadis seperti awak dengan kuasa sehebat itu tentu akan dialu-alukan di sana."

"Sebenarnya saya takut awak tak akan mampu bertahan dalam musim sejuk ini…," Suara Nightingale menjadi semakin perlahan.

'Mungkin saya sudah terlambat,' fikirnya dalam hati. Jika dia dapat kembali ke kampung ahli sihir bersama Anna sekalipun, kuasa Anna terlalu hebat sehinggakan gadis itu tidak akan mampu bertahan apabila mencapai umur dewasa. Nightingale hanya akan mampu melihat sahaja dia mati.

"Awak tinggal di mana sebelum sertai Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir?" tanya Anna tiba-tiba.

Nightingale terkedu sebentar kerana Anna jarang bertanyakan apa-apa kepadanya. "Saya… Dulu saya tinggal di sebuah bandar besar di bahagian timur, berhampiran ibu kota."

"Awak bahagia di sana?"

"Bahagia? Jangan haraplah." Memori di sana sesuatu yang dia tidak mahu ingat lagi. Dia terpaksa bergantung kepada orang lain untuk hidup, sambil dibenci dan dihina. Keadaan menjadi lebih teruk apabila orang di situ mendapat tahu dia seorang ahli sihir. Dia diawasi dan dirantai di leher seperti anjing dengan tali cawak dan dipaksa mengikut segala arahan mereka. Nightingale menggelengkan kepala, cuba membuang memori pahit itu dan bertanya perlahan, "Kenapa awak tanya?"

"Dulu saya tinggal di Kota Lama," Anna menceritakan kisahnya secara ringkas. "Ayah menjual saya kepada gereja dengan harga 25 keping emas. Putera Roland yang menyelamatkan saya. Saya sangat bahagia tinggal di sini."

"Tapi awak masih tak boleh keluar dari kawasan istana. Roland Wimbledon seorang saja yang tak bencikan ahli sihir, tetapi orang lain masih membenci kita."

"Saya tak peduli tentang itu. Lagipun Baginda sudah berjanji akan mengubah tanggapan semua orang terhadap orang seperti kita."

"Selagi Gereja Inggeris masih berkuasa, ahli sihir akan sentiasa dianggap jahat dan ini akan menyukarkan niat baik Baginda itu."

Anna tidak menafikan kata-kata Nightingale dan dia membisu dengan begitu lama sehingga Nightingale menyangka dia sudah tidak mahu berbual lagi. Kemudian dia tiba-tiba bertanya, "Awak lebih gembira di mana? Di kampung ahli sihir atau di sini?"

Soalan itu tidak diduga langsung oleh Nightingale dan dia menjawab tergagap-gagap, "Apa… Apa awak tanya ini… Mestilah… Mestilah di…"

Di kampung Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir? Sejujurnya, Nightingale tidak berminat untuk mencari Gunung Suci, namun dia ada kawan-kawan di sana yang dia tidak sanggup tinggalkan.

Pekan Sempadan? Dia tidak mungkin akan menjejakkan kaki di sini jika tidak kerana mendengar berita ada nyawa ahli sihir sedang terancam di sini.

Jawapannya begitu mudah sekali, jadi kenapa dia teragak-agak?

Tiba-tiba senyuman terukir di wajah Anna, dan Nightingale terpegun kerana senyuman Anna begitu jarang dapat dilihat. Matanya tenang tanpa riak umpama permukaan tasik disinari cahaya mentari pagi, dan membuatkan Nightingale berasa tenang – walaupun dia bukan berada di dalam Kabus. "Dulu Roland beritahu saya awak semua mencari Gunung Suci di pergunungan utara. Jika awak mencarinya untuk mendapat satu tempat yang selamat dan tenang, saya sudah menjumpainya di sini."

Nightingale mula faham. "Gunung Suci" pada Anna adalah Pekan Sempadan. Namun kematian sedang menghampirinya dan nyawanya akan berakhir lebih awal daripada ahli-ahli sihir yang lain.

Tiba-tiba mereka terdengar bunyi tapak kaki kecil sedang berlari di luar pintu Anna. Nightingale mendengar dengan teliti dan dia tahu itu bunyi tapak kaki Nana.

Pintu bilik Anna melayang terbuka dan Nana meluru masuk.

Dia berkejar mendapatkan Anna sambil menangis tersedu-sedan. "Anna, apa perlu saya buat sekarang? Ayah sudah dapat tahu saya ahli sihir."