Roland dikejut oleh Nightingale ketika sedang nyenyak tidur.
Dia tersentak apabila mendapat tahu ayah Nana Pine sedang menunggu untuk bertemunya di balai penghadapan. Tetapi dia tersedar ini mungkin satu peluang baik. Jika dia mahu mendapatkan bantuan Nana dan Anna untuk menghadapi Bulan Kunjungan Iblis, dia mesti cuba memujuk keluarga Pine untuk tinggal di Pekan Sempadan.
Kini Roland berada dalam situasi sukar. Reputasi serta nama baiknya sudah tercemar dalam kalangan orang bangsawan. Hubungannya dengan Kubu Longsong juga sudah bertambah tegang. Dia tidak akan mampu menghalang keluarga bangsawan keluar dari Pekan Sempadan semasa musim sejuk kerana urus niaga mereka banyak dikendalikan di timur Kubu Longsong. Sejak awal lagi, tidak pernah terlintas di fikiran Roland untuk menjalinkan kerjasama dengan golongan bangsawan yang hanya tahu berebut kuasa dan harta, bukannya bekerja sama mempertahankan pekan mereka.
Roland cepat-cepat menyalin baju, membilas mukanya dan bergegas ke balai penghadapan.
Tigui Pine sudah lama dibiarkan mundar-mandir sendirian jadi kemarahannya sudah tidak terbendung lagi. Sebaik sahaja dia melihat kelibat Putera Roland, dia bingkas bangun dan berkata, "Tuanku! Mana anak Patik?"
Itu kali pertama Roland berjumpa ayah Nana. Dia berbadan tegap dan sasa orangnya, tidak begitu tinggi, tetapi jambangnya yang tebal membuatkan dia nampak bengis. Daripada pakaiannya, baju kapas bercerut tali pinggang serta seluar kulit bersaku besar, dia tidak kelihatan seperti orang bangsawan tetapi lebih kepada seorang pemburu.
"Dia baik-baik saja, Encik Pine…"
"Kenapa pengawal Tuanku biarkan dia masuk tapi halang Patik di luar tadi?" Tigui membentak lagi. "Patik mahu penjelasan, Tuanku! Suruh anak Patik keluar jumpa Patik!"
Roland agak terkejut ditengking sedemikian rupa dan lidahnya kelu sebentar. Dia membayangkan seorang lelaki yang baru mendapat tahu anaknya ahli sihir akan merayu-rayu kepada dirinya untuk menyembunyikan anaknya, ataupun meminta bantuannya bagi menangani masalah itu. Tetapi lelaki di hadapannya sekarang kelihatan begitu berang sehingga lupa dia sedang bercakap dengan seorang putera raja.
Sudah tentu dia tahu kenapa pengawal membenarkan Nana masuk. Mereka hanya mengikut arahannya. Mereka sudah biasa menerima kedatangan Nana ke istana untuk bertemu Anna.
Selepas berfikir sejenak, dia memanggil seorang orang suruhan untuk membawa Nana keluar.
Roland berfikir dalam hati, 'Walaupun dia sangat kurang ajar, Tigui Pine tetap ayah Nana. Baik saya lihat dulu apa terjadi sebaik mereka bertemu nanti. Jika dia mahu hantar anaknya ke gereja atau mengusirnya ke hutan, barulah saya akan masuk campur.'
Beberapa minit kemudian, Anna masuk ke balai penghadapan diekori Nana di belakangnya.
Sebaik sahaja Tigui Pine melihat anaknya, kemarahannya hilang bagai api disimbah air. Dia mendepangkan tangannya seraya berkata, "Nana, mari ke sini anakku."
Gadis itu tidak berganjak. Dia menyorok di belakang Anna dan hanya menjenguk dengan sebahagian kepalanya. "Ayah mahu jual saya ke gereja?"
"Apa kamu cakap ini? Mengarutlah. Gereja pun tak mahu budak degil macam kamu. Mari ikut ayah balik, sayang."
Sekarang Roland sudah keliru sepenuhnya. Kata Nightingale, Tigui Pine terserempak anaknya sedang melakukan sihir jadi Nana lari ketakutan ke istana untuk meminta tolong Anna. Ayahnya pula mengejar dia ke sini dengan muka garang.
Tapi dia hanya melihat kasih sayang dan kelembutan pada wajah Tigui semasa dia memujuk anaknya, bukan seperti orang lain yang benci dan takut kepada ahli sihir.
'Saya sudah salah sangka atau apa?' Roland termangu-mangu sendirian.
Roland teragak-agak mahu bercakap tetapi kemudian dia memutuskan untuk berterus-terang. "Encik Pine, beta percaya awak sudah tahu anak awak ahli sihir."
"Ampun Tuanku. Patik tidak faham," kata Tigui sambil perlahan-lahan mendekati Nana dan cuba menarik tangannya, namun dihalang oleh Anna.
"Ayah, memang betul saya ahli sihir. Saya minta maaf…", kata Nana perlahan dengan linangan air mata.
Tigui terus bertambah resah dan berkata, "Mengarutlah! Ahli sihir apa? Kamu hanya terpengaruh dengan si Karl itu. Ayah tak patut hantar kamu belajar dengan dia. Entah apa yang dia ajar kamu di sana!"
Barulah Roland faham punca sebenar kemarahan Tigui Pine. Tigui berdolak-dalih tentang Nana mungkin hanya kerana dia telah salah faham tentang Roland.
Tidak hairan dia begitu risau dan beria-ia mahu berjumpa Nana.
"Anna," panggil Roland dan memberi isyarat kepada ahli sihir itu. Anna mengangguk tanda faham. Dia menghulurkan tangan kanannya di hadapan Tigui yang masih berusaha mencapai lengan Nana. Api tiba-tiba menyala dari tapak tangannya dan melompat ke atas baju Tigui.
Mata Tigui terbeliak dan dia kelam-kabut cuba mengelak terkena api itu. Nana turut terkejut dan mencengkam lengan Anna. "Kak Anna, jangan!"
"Tu…Tuanku. Apa ini…"
"Seperti yang awak lihat, dia juga ahli sihir macam anak awak." Roland menyuakan tangannya seraya menyambung, "Beta rasa awak sudah salah sangka tentang sebab sebenar Nana dibenarkan berkeliaran bebas di dalam istana beta. Apa kata kita duduk berbincang lebih lanjut?"
Wajah Tigui berubah ceria apabila dia mula faham. "Oh!" Dia tergelak hambar. "Tuanku, Patik…"
"Mari duduk," Roland menunjuk ke arah meja, "Ayuh kita berbual sambil minum teh."
Roland mengeluh kecil dalam hatinya. 'Seburuk itu tanggapan rakyat terhadap Putera Roland? Sampai mereka percaya saya sanggup mencabul kanak-kanak? Patutlah Tigui begitu kurang ajar tadi. Sebagai seorang bapa yang begitu menyayangi anaknya, apa yang dia fikirkan apabila melihat anak gadisnya meluru masuk ke dalam istana dan para pengawal pula seperti sudah biasa menyambut kedatangan dia?'
'Kalau saya jadi ayah Nana, saya mungkin akan bakar istana ini,' fikir Roland.
Dolak-dalih Tigui untuk mengakui anaknya ahli sihir sudah membuktikan segalanya. Dia takut Putera Roland akan menggunakan alasan Nana sudah termakan godaan syaitan dan hanya Putera Roland boleh menyucikan dirinya. Dia sebenarnya tidak kisah anak kesayangannya itu ahli sihir.
Tigui teragak-agak seketika sebelum dia memutuskan untuk duduk. Dia menghirup secawan teh, mengelap bibirnya dengan lengan baju.
"Ampun Tuanku, patik telah bersikap kurang ajar dengan Tuanku. Tapi izinkan patik bertanya. Sejak bila Tuanku tahu anak patik seorang ahli sihir?" Tigui memulakan bicaranya dengan kekok.
"Sebelum musim sejuk, tapi bukan beta yang paling awal tahu. Gurunya Karl van Bate yang mula-mula mendapat tahu anak awak sudah dibangkitkan sebagai ahli sihir. Dia mengamanahkan beta untuk melindungi Nana kerana Anna ialah kawannya," jelas Roland. "Sepanjang dua minggu lepas, Nana hanya datang ke istana beta apabila ada masa lapang untuk berlatih menggunakan kuasanya. Oh, ya. Dia ada kuasa untuk menyembuhkan."
"Yakah?" Tigui menggaru-garu kepala dan bercakap seolah-olah kepada dirinya sendiri, "Patutlah kucing itu sudah mula melompat-lompat kembali."
"Kucing?"
"Eh, tak… Tak ada apa-apa yang istimewa Tuanku. Sewaktu patik baru pulang ke rumah, patik lihat Nana duduk di beranda sambil mendukung seekor kucing yang cedera, mungkin dilanggar kereta kuda. Patik baru mahu mengejutkannya, tetapi sebaik Nana menyedari kehadiran patik, dia terus lari. Manakala kaki kucing yang cedera itu pula tiba-tiba sembuh."
Kemudian dia memandang Anna dan Nana lalu bertanya, "Jadi kamu berdua berkawan?"
Sebelum sempat Anna menjawab, Nana terus mengangguk laju.
Wajah Tigui berubah lembut.
Melihat reaksi Tigui, Roland berkata, "Nampaknya awak tidak percaya khabar angin yang mengatakan ahli sihir ialah manusia jahat yang termakan godaan syaitan."
"Sudah tentu tidak! Anak patik bukan orang jahat!" balas Tigui dengan keras, "tak kira siapa pun dia, dia tidak akan menjadi jahat!"
Roland rasa tersentuh dengan sikap ayah Nana yang jauh berbeza daripada ayah Anna. Akhirnya dia faham kenapa Nana selalu kelihatan riang, yakin, dan sentiasa tersenyum. Dia dibesarkan dalam keluarga yang penyayang.
"Ya, beta pun tidak meragui hal itu, Encik Pine," Putera itu berkata jujur. "Anak awak memiliki kuasa penyembuhan yang luar biasa. Beta berharap dia boleh tinggal di Pekan Sempadan dan membantu Beta menghadapi Bulan Kunjungan Iblis."
Tigui kelihatan serba-salah. "Ampun Tuanku. Patik terpaksa menolak. Setibanya Bulan Kunjungan Iblis nanti, Pekan Sempadan akan menjadi sangat berbahaya dan Patik tak akan sesekali biarkan nyawa anak Patik terancam."
'Tanah Tigui Pine berada di luar pemerintahan Pekan Sempadan. Saya tidak boleh memberi perintah kepadanya kerana dia bukan di bawah pemerintahan saya,' Roland berfikir dalam hati. Namun begitu, Roland percaya fikiran Tigui mungkin akan berubah sekiranya mereka berbincang dengan baik.