Roland menyuap cebisan telur goreng yang terakhir ke dalam mulutnya, mengelap mulutnya dengan kain, lalu berkata, "Jadi maksud awak, awak risau Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir itu akan cuba menyelamatkan ahli sihir semalam bila mereka dapat tahu dia belum mati lagi?"
"Begitulah, tuanku!" Barov menghentak kaki tanda berpuas hati lalu menyambung, "Saya dengar mereka sedang cepat-cepat menuju ke sebuah tempat. Jika tahanan kita semalam sudah mati, mereka tidak akan mampu berbuat apa-apa lagi. Tetapi masalahnya sekarang dia masih hidup! Ahli-ahli sihir itu sanggup menculik bayi yang baru lahir, tidak mungkin mereka akan mengabaikan ahli mereka yang lemah itu."
Roland rasa sedikit keliru dan dia rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan seluruh situasi ini. Kenapa Pembantu Menteri dan Ketua Kesateria bercakap tentang ahli sihir seolah-olah mereka armada tentera yang buas dan sangat menakutkan?
Jadi gadis yang patut dibunuh semalam seorang ahli sihir, bukan? Dia begitu kurus sehingga kelihatan mampu ditiup angin. Jika dia benar-benar mempunyai kuasa sihir yang tidak tertanding, kenapa dia tercegat sahaja menanti kematian? Dia tentu boleh mengelak daripada ditangkap sekalipun. Menurut pihak gereja, dia merupakan jelmaan iblis dan Angkatan Penghapus Dosa serta anggota tentera lain tentu akan tumpas di tangan dia. Tetapi sebaliknya, penduduk Pekan Sempadan yang biasa-biasa pula yang berjaya menangkap dia dan dia sempat diseksa sepuas hati mereka sebelum tali gantung dijerut di lehernya, dan dia masih tidak menunjukkan sebarang kuasa sihir yang kononnya sangat menakutkan itu.
"Bagaimana dia ditangkap?" soal Roland.
"Saya dengar bila Kawasan Lombong Cerun Utara runtuh, dia mendedahkan dirinya yang sebenar agar dia dapat melarikan diri dan selepas itu dia ditangkap oleh penduduk kampung yang berang," jawab Barov.
'Saya rasa saya ingat-ingat lupa dengan kejadian ini. Ia berlaku betul-betul pada hari sebelum saya merentas masa,' fikir Roland dalam hati.
"Bagaimana dia mendedahkan dirinya yang sebenar?"sambung putera itu lagi.
"Saya… sebenarnya saya tak begitu pasti." Pembantu Menteri itu menggelengkan kepalanya lalu berkata, "Keadaan masa itu begitu huru-hara, jadi saya pasti ada orang yang melihat dia menggunakan kuasa sihirnya."
Kening Roland mula bertaut dan dia menyambung, "Awak belum menyiasat kejadian itu secara terperinci?"
"Tuanku, keutamaan kami ialah memastikan kawasan lombong itu kembali beroperasi", balas Pembantu Menteri itu dengan sedikit rasa tidak puas hati. "Separuh daripada pendapatan kita datang dari lombong bijih besi itu. Tambahan lagi, pengawal kita sudah mengesahkan ada orang di tempat kejadian yang dibunuh dengan ilmu hitam."
"Ilmu hitam apa pula?" Roland semakin berminat untuk mengetahui tentang kejadian ini.
"Bahagian kepala dan sebahagian besar daripada tubuh mangsa telah bertebaran di atas tanah, seolah-olah ia dicairkan. Orang yang melihatnya berkata ia mirip lilin hitam yang telah terbakar hingga cair." Raut wajah Barov jelas menunjukkan perasaan jijik. "Tuanku, tuanku tentu akan rasa loya melihat keadaan mayat itu."
Tangan Roland leka bermain-main dengan sebilah garfu perak sambil otaknya ligat memikirkan masalah itu. Mengikut sejarah, kebanyakan mangsa yang diburu Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir sebenarnya ialah orang-orang yang tidak bersalah, mereka hanya menjadi sasaran kemarahan pihak gereja dan orang-orang kampung yang jahil. Namun begitu, sebenarnya hanya segelintir sahaja ahli sihir yang sengaja mencari maut. Mereka akan berpakaian aneh, menghabiskan masa dengan mengadun pelbagai campuran dalam periuk-periuk besar, mendakwa mereka boleh melihat masa hadapan dan mengetahui rahsia hidup dan mati. Mereka melakukan muslihat kononnya bagi membuktikan kekuasaan mereka, contohnya mereka mempergunakan tindakan nyala api yang biasa untuk menunjukkan mereka berjaya memegang kuasa tuhan.
Bagi orang moden, mereka akan tahu ini semua hanya tindak balas kimia yang biasa tetapi pada zaman silam, orang-orang zaman itu tentu akan percaya ini semua kuasa ajaib.
Tentang mayat yang mencair itu pula, Roland mengesyaki ia disebabkan oleh larutan asid kromik. Namun begitu, penghasilan asid itu sangat menjerihkan dan ia memerlukan tubuh seseorang ditenggelamkan sepenuhnya dalam larutan asid kromik itu. Tambahan lagi, kesan pencairan itu tidak akan kelihatan seperti pencairan lilin. Tiada asid lain yang lebih kuat daripada asid kromik.
Jadi bagaimana ahli sihir itu melakukannya?
Jika dia menggunakan ilmu alkimia, mungkin dia hanya wanita yang arif dengan tindak balas kimia dan itu sahaja sudah cukup susah untuk ditemui pada zaman ini, tetapi jika tidak…
Pemikiran Roland terhenti setakat itu dan dia terus berkata, "Beta mahu jumpa dia."
Pembantu Menteri itu bingkas bangun sehingga dia terlanggar gelas susu yang masih tidak terusik itu. "Tuanku, tuanku mahu jumpa ahli sihir itu?"
"Ya, itulah titah Beta," Roland membalas pandangan Pembantu Menteri itu sambil tersenyum. Ada bagusnya juga si putera itu dikenali dengan perlakuan yang semberono.
Roland bangun dan mula berjalan untuk meninggalkan bilik itu. Tiba-tiba dia terhenti seraya bertanya, "Oh, ya. Beta mahu tanya kenapa kita bina landasan tali gantung?"
"Apa?"
Roland mengulang kembali pertanyaannya, "Kenapa kita bina tali gantung? Bukankah ahli sihir patut dibakar dalam unggun api?"
Barov kelihatan bingung. "Begitukah? Tapi dia tidak takut api."
Pekan Sempadan hanya ada satu penjara bawah tanah kerana negeri yang segersang itu tidak mampu memenjarakan begitu ramai tahanan. Kebanyakan tahanan akan dibicarakan dalam masa beberapa hari sahaja dan selepas itu, sama ada mereka akan dibebaskan atau terus dihukum mati.
Selain daripada Barov, Putera Roland turut diiringi Ketua Kesateria, warden penjara, ketua istana, serta dua orang pengawal.
Penjara bawah tanah itu ada empat tingkat dan dindingnya diperbuat daripada bongkah granit yang keras. Ini kali pertama Roland masuk ke tempat seperti ini. Dia mendapati semakin dalam dia memasuki penjara itu, koridornya menjadi semakin sempit dan bilik-bilik tahanan juga semakin sedikit. Dia membayangkan tentu orang yang membinanya hanya mengorek lubang dalam bentuk piramid terbalik dan kemudian hanya mengalas setiap lapisannya dengan batu.
Binaan yang begitu selekeh ini tentu tidak mempunyai sistem pengaliran yang teratur. Tanahnya berlecak-lecak dan lumpur mengalir menuruni setiap anak tangga sehinggalah ke tingkat yang paling bawah.
Ahli sihir itu dipenjarakan di tingkat paling bawah dalam penjara bawah tanah itu. Semakin jauh mereka menuruni anak tangganya, semakin kuat bau busuk tempat itu menusuk hidung mereka.
"Tuanku, tuanku mengambil risiko yang besar dengan melakukan ini. Walaupun dia sudah dikunci dengan Kalung Keramat Tuhan, ia masih tidak selamat sepenuhnya."
Begitulah amaran Carter Lannis, Ketua Kesateria Putera Roland. Sebaik sahaja dia mendapat tahu Putera Roland ingin melawat ahli sihir itu, dia serta-merta berjumpa dengan putera itu dan merayunya untuk berpatah balik. Dia berani mengingkari arahan putera itu yang mengarahkannya untuk pergi – kerana putera itu sendiri nampak seperti tidak mempedulikan keselamatannya dirinya. 'Bagaimana seorang lelaki yang tinggi dan kacak seperti itu boleh membebel tanpa henti?' fikir Roland. Kalaulah ada seseorang yang boleh tolong menutup mulut Carter. "Kalau awak tidak berani bersemuka dengan kejahatan, bagaimana awak mahu menewaskannya? Beta ingat awak tahu tentang itu," katanya lagi.
"Sebelum bersemuka dengan kejahatan, kita mesti mengenalinya dahulu. Bertindak tanpa berfikir bukan berani namanya," getus Carter.
"Maksud awak, awak hanya akan menegakkan keadilan dengan musuh yang lebih lemah daripada awak, tapi awak akan mengabaikan musuh yang lebih kuat daripada awak?" soal Roland kembali.
"Bukan, tuanku. Maksud saya…" Carter mula tergagap-gagap.
"Sebelum ini awak takut kita akan diserang segerombolan ahli sihir. Sekarang awak takut mahu bertemu dengan seorang gadis lemah pula. Ketua Kesateria Beta ini kelakar juga orangnya."
Ketua Kesateria itu memang banyak mulut, tetapi dia tidak fasih berbicara, jadi dia hanya mampu terdiam bila diasak seseorang yang petah berhujah seperti Roland. Tidak lama selepas itu, kumpulan itu tiba ke tingkat paling bawah di penjara bawah tanah itu.
Tingkat ini jauh lebih sempit daripada tingkat-tingkat sebelum ini dan hanya ada dua bilik tahanan sahaja. Ketua istana menyalakan jamung di dinding dan apabila tempat itu mula diterangi nyala api obor itu, Roland dapat melihat ahli sihir itu mengerekot di satu sudut bilik tahanannya.
Sekarang sudah lewat musim luruh dan suhu dalam penjara bawah tanah itu cukup rendah sehingga mereka boleh melihat nafas mereka berkabus di mulut apabila dihembus keluar. Roland sedang memakai sehelai jubah bulu haiwan dengan dilapisi sutera, jadi dia tidak merasa sedikit pun kesejukan itu tetapi gadis itu hanya dibaluti sehelai baju nipis yang tidak menutupi tubuhnya sepenuhnya, jadi kaki dan tangannya yang terdedah kelihatan pucat lesi digigit kedinginan.
Jamung yang tiba-tiba dinyalakan itu membuatkan dia memalingkan mukanya dengan menutup mata. Tetapi tidak lama kemudian, kelopak matanya terbuka dan dia memandang tepat ke arah kumpulan orang yang baru tiba itu.
Matanya berwarna biru pucat, sebiru tasik yang tampak tenang sebelum dibadai titisan hujan yang lebat. Raut wajah ahli sihir itu tidak menunjukkan sebarang ketakutan, apatah lagi kemarahan atau kebencian. Sekali imbas, Roland merasakan dia bukan sedang melihat seorang gadis yang lemah tetapi sebaliknya sebuah bayang yang mampu menelan api. Dia merasakan seolah-olah nyalaan obor tadi kelihatan semakin malap.
Gadis itu cuba berdiri tetapi pergerakannya begitu lemah-longlai sehingga mereka menyangka dia akan jatuh bila-bila masa. Lama-lama, dia berjaya menegakkan tubuhnya dan berjalan terincut-incut mendekati palang bilik penjaranya.
Ini membuatkan kebanyakan orang dalam kumpulan itu tersentak ketakutan dan berundur beberapa langkah. Hanya Ketua Kesateria yang kekal tidak bergerak dan melindungi tuan puteranya.
"Apa nama awak?" Roland menepuk lembut bahu kesateria itu untuk menunjukkan yang dia tidak perlu rasa takut.
"Anna", jawab gadis itu ringkas.