Jika Roland mahu memajukan Pekan Sempadan, dia mesti memperbaiki kawasan itu dahulu. Walaupun negara itu ibarat padang jarak padang tekukur, mereka masih boleh membersihkan dan menebus guna tanah yang ada. Jika keluasan tanahnya terlalu kecil, mereka boleh melanjutkan lagi pembangunan melepasi sempadan bandar. Tetapi semua ini hanya cakap kosong sahaja jika tiada penduduk pekan itu yang mahu tinggal di sana.
Jika mereka boleh dipaksa meninggalkan bandar mereka bila-bila masa sahaja, siapa yang mahu melabur dan membeli harta tanah di situ? Siapa yang mahu membangunkannya?
Selepas Pembantu Menteri Barov keluar dari kamarnya, Roland memanggil Ketua Kesateria Carter dan berkata, "Kumpulkan tentera awak dan cari pengawal, pemburu, atau petani tempatan yang sudah tinggal di pekan ini selama lebih lima tahun. Tanya mereka jika mereka pernah menghadapi Bulan Kunjungan Iblis. Jika awak boleh jumpa seseorang yang pernah bertarung dengan iblis, itu lebih baik."
Kesateria itu mengangkat tabik lalu meninggalkan Roland. Roland mengusap-usap dahinya yang terasa tegang dan meneliti kembali laporan yang diberikan Pembantu Menteri tadi.
Pekan Sempadan mengeksport keluar hasil pemburuan serta perlombongan dan mengimport masuk makanan. Semuanya diangkut secara terus melalui Sungai Air Merah ke Kubu Longsong atau Pekan Willow.
Eksport perlombongan mereka termasuklah pelbagai jenis galian seperti besi, kuprum, belerang, hablur, batu delima, batu nilam dan sebagainya. Bagaimana lombong-lombong mereka boleh menghasilkan galian dan bijih yang sangat berlainan sifat? Kemudian dia teringat sesuatu yang diberitahu Anna: kawasan Lombong Cerun Utara dikatakan ada kawasan bawah tanah yang tidak pernah ditemui sebelum ini dan sehingga ke hari ini, dasar lombong itu pun tidak pernah dijejaki. Mereka juga tidak tahu sejauh mana kedalaman lombong itu.
Galian yang dieksport keluar oleh pekan itu tidak dibeli dengan matawang diraja, tetapi ia ditukarkan dengan bekalan makanan yang tiba. Memandangkan batu berlian ialah barang eksport yang bernilai tinggi, sepatutnya sepanjang lima tahun ini Pekan Sempadan sudah dapat mengumpul bekalan makanan yang sangat banyak, tetapi gudang-gudang mereka tetap kosong.
Dalam erti kata lain, hasil perlombongan tahunan Pekan Sempadan hanya cukup-cukup untuk memberi makan dua ribu orang sahaja. Sebelum ketibaan Putera Keempat, Pekan Sempadan ditadbir oleh seorang duke yang turut mentadbir Kubu Longsong, dan dialah yang telah mengatur sistem itu. Pada pendapatnya, ia akan menjimatkan makanan dan juga boleh bertindak sebagai sistem amaran untuk kedatangan iblis.
Jualan bulu haiwan perkara yang menyumbang kepada ekonomi Pekan Sempadan. Penduduk tempatan akan masuk dalam Hutan Kabut di barat dan memburu burung serta haiwan lain. Kemudian mereka akan menjual hasil buruan mereka kepada peraih di Kubu Longsong atau kepada penduduk Pekan Willow. Semua urus niaga ini dijalankan di luar Pekan Sempadan, jadi tidak ada aliran cukai yang dapat dikutip.
Jadi Roland berfikir, mulai saat ini, dia akan mengharamkan perdagangan seperti ini. Galian tidak akan ditukarkan dengan makanan lagi. Sungai Air Merah mengalir di sepanjang seluruh kerajaan itu dan sesiapa pun boleh menggunakannya. Ia boleh dikatakan seperti sebuah lebuh raya; jadi walaupun mereka tidak lagi membeli makanan dari Kubu Longsong, masih ada tempat lain yang boleh membekalkannya.
Tetapi ini semua hanya akan berkesan jika Roland tidak perlu berhijrah keluar dari Pekan Sempadan dan melawan kedatangan iblis-iblis itu.
Carter menjalankan tugasnya dengan pantas dan keesokan harinya, dia sudah menemui dua orang pengawal tempatan dan seorang pemburu. Carter membawa mereka menghadap Roland. "Dua pengawal ini merupakan ahli peronda pekan ini dan setiap tahun, mereka bertanggungjawab untuk menyalakan suar. Si pemburu ini pula mendakwa dia pernah bertembung dengan iblis-iblis itu. Malah dia pernah pulang dengan membawa kepala seekor iblis yang dipenggal dengan tangannya sendiri."
Mereka bertiga menunduk serentak kepada Roland.
Roland mengangguk dan mengisyaratkan mereka untuk berdiri tegak. Selepas itu, orang yang pertama mula bercakap.
"Yang Mulia… Putera… Tu…Tuanku." Pengawal yang pertama begitu gementar sehingga dia tidak boleh bercakap dengan lancar. "Saya… Patik dan Brian… kami… bila salji turun, kami… kami pergi ke kawasan Lombong Cerun Utara untuk… kami pergi ke Menara Suar. Di situlah… di situlah tempat yang paling sesuai untuk melihat kedatangan iblis, dan jika mereka sedang mara beramai-ramai… kami akan bersembunyi dalam Hutan Kabut dan… dan kami akan nyalakan suar di Menara… Kami akan berundur dan… dan menaiki sampan yang kami sudah sediakan… dan kami akan lari."
"Awak berdua pergi bersama, jadi sekarang Beta mahu dengar dari kawan awak pula." Roland menutup muka untuk menyembunyikan perasaan tidak bersetujunya. "Ceritakan lagi tentang haiwan raksasa ini. Bolehkah mereka dibunuh?"
Pengawal yang kedua itu gementar juga, tapi sekurang-kurangnya dia tidak tergagap-gagap. "Tuanku, Patik yakin mereka boleh dibunuh. Lagipun pada asalnya, mereka hanya haiwan biasa yang tinggal di dalam hutan. Tetapi aura jahat yang membuatkan mereka menjadi gila dan buas. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh dibunuh. Setiap kali Bulan Kunjungan Iblis berakhir, Kubu Longsong sentiasa menghantar pasukan untuk membersihkan bangkai-bangkai raksasa iblis itu yang bertaburan dari Kubu Longsong hinggalah ke Pekan Sempadan."
"Selalunya berapa lama Bulan Kunjungan Iblis berlangsung?" tanya Roland.
"Biasanya dalam dua hingga tiga bulan… bergantung kepada matahari," jawab Brian.
"Matahari?" ulang Roland dengan nada tidak yakin.
"Ya." Pengawal itu mula menjelaskan. "Tuanku baru saja menetap di pekan ini jadi Tuanku tidak tahu tentang ini. Di Pekan Sempadan, bila salji mula turun, ia takkan berhenti turun sehinggalah matahari keluar kembali dan mencairkan semua salji."
"Jadi bila salji berhenti turun, itu menandakan tamatnya Bulan Kunjungan Iblis?" Seingat Roland, di Istana Graycastle dahulu, salji hanya turun sehari sahaja dan esoknya matahari akan kembali bersinar seperti biasa.
"Begitulah, Tuanku. Bulan Kunjungan Iblis paling lama yang Patik pernah harungi ialah dua tahun lepas semasa ia berlarutan selama hampir empat bulan dan menyebabkan ramai orang kebuluran."
"Tetapi bukankah simpanan beras di Kubu Longsong sepatutnya cukup untuk memberi makan kepada seluruh penduduk pekan lebih dari sebulan?" tanya Roland.
Muka Brian mula berkerut tanda marah. "Memang sepatutnya cukup. Tetapi Reynolds, Gabenor Pentadbir Perbandaran yang bertanggungjawab mengendalikan hal itu, telah memutuskan jumlah bijih dan galian yang kami korek hanya cukup untuk membeli makanan selama tiga bulan sahaja. Jadi untuk bulan keempat, kami mesti melombong untuk beri mereka bekalan bijih lagi. Tapi Bulan Kunjungan Iblis masih belum berakhir, jadi kami tidak dapat meninggalkan kubu itu untuk melombong."
"Jadi itulah yang berlaku… baru Beta faham."
Tindakan mereka meminggirkan penduduk Pekan Sempadan memang bodoh. Jika Kubu Longsong melayan penduduk sempadan dengan sebegitu buruk seperti daun kering yang ditiup angin, tentulah mereka tidak akan mahu berhijrah ke kubu itu lagi. Buat masa ini, nampaknya penghuni Kubu Longsong bukan orang-orang yang berhati baik. Roland mengangkat tangan memanggil orang terakhir untuk menghadapnya, dan mengenepikan seketika hal tentang Gabenor Pentadbir Perbandaran itu.
Lelaki yang ketiga kelihatan kuat dan berani, serta berketinggian lebih 6 kaki, jadi dia membuat Roland rasa sedikit gugup. Namun begitu dia menghampiri Roland sambil membongkok atas satu lutut.
"Jadi awak yang pernah berjaya bunuh haiwan raksasa itu?"
"Benar, Tuanku." Suaranya rendah dan sedikit garau. "Khinzir raksasa liar dan serigala raksasa liar."
"Liar?" tanya Roland, "apa maksud awak?"
"Itulah yang membezakannya, Tuanku. Lebih liar haiwan itu, lebih ganas sifatnya selepas ia berubah. Perubahan itu akan menguatkan lagi kelebihan asal haiwan itu. Contohnya, bulu khinzir raksasa liar akan menjadi begitu tebal sehingga tidak boleh ditembusi anak panah walaupun dari jarak 50 meter. Serigala raksasa liar pula akan menjadi jauh lebih licik dan pantas. Jika kita mahu membunuhnya, kita terpaksa memasang perangkap terlebih dahulu."
"Jadi haiwan yang kuat akan menjadi lebih kuat dan haiwan yang pantas akan menjadi lebih pantas." Roland mengangguk tanda faham. "Tapi mereka masih haiwan."
"Benar, tuanku, tetapi bukan mereka musuh yang paling dahsyat," jawab si pemburu. Dia menelan air liur sebelum dia menyambung, "Yang lebih dahsyat lagi ialah haiwan kacukan raksasa."
"Mereka ibarat binatang yang lahir dari perut neraka; kerana hanya neraka sahaja yang mampu menghasilkan haiwan yang sebegitu hina. Patik sendiri pernah melihat seekor haiwan kacukan raksasa itu. Ia bukan sahaja mempunyai kaki dengan otot berketul-ketul tetapi juga ada sepasang sayap yang lebar, jadi ia boleh terbang dalam jarak dekat. Ia juga sentiasa dapat menghidu kehadiran Patik. Tidak kira di mana Patik bersembunyi, ia tentu akan menemui Patik. Ia tidak memburu mangsa, Tuanku, tetapi ia mahu bermain-main." Si pemburu itu mengangkat bajunya dan mendedahkan satu parut panjang dari perut hingga ke dadanya. Katanya lagi, "Sebelum Patik pitam, Patik terjatuh ke dalam Sungai Air Merah. Patik bernasib baik kerana masih hidup lagi."
"Rupanya raksasa sebegitu benar-benar wujud." Roland terasa sehari demi sehari, dunia ini menjadi semakin sukar untuk dipercayai. Sebuah tembok kukuh boleh menghalang kemaraan apa sahaja haiwan raksasa, tetapi bagaimana jika mereka boleh terbang? "Tapi haiwan kacukan raksasa jarang ditemui, bukan?"