Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 14 - Kebolehan Istimewa

Chapter 14 - Kebolehan Istimewa

"Tuanku, setinggi dan selebar mana tembok kota yang Tuanku mahu bina ini?" tanya Karl.

"Sekurang-kurangnya lima meter tinggi, dua meter lebar, dan memuatkan empat orang dewasa yang berdiri sebelah-menyebelah." Dalam diam, Roland mengakui kepakaran Karl dengan bertanyakan tentang data teknikal terlebih dahulu sebelum dia mengesahkan pelan pembinaan yang dia mahukan.

"Jadi Tuanku mesti bina parit setinggi seorang lelaki dewasa untuk menstabilkan bahagian atas tembok kota itu. Jika Tuanku mahu bahagian atasnya selebar dua meter dan tembok itu setinggi lima meter, kelebaran bahagian bawahnya mesti dua kali ganda paling kurang," jawab Karl dengan lancar. "Proses penggalian parit itu memerlukan banyak tenaga kerja. Jika Tuanku boleh berikan Patik 150 orang, Patik boleh siapkan parit itu sebelum Bulan Kunjungan Iblis."

"Tetapi sebatang parit sahaja tidak cukup untuk menghalang kemaraan makhluk iblis," kata Roland, mengharapkan Karl faham.

"Sebab itulah kita akan ambil masa tiga tahun jika bahagian atas tembok kota itu ditambak dengan batu. Tetapi jika Tuanku hanya mahu menghalang kedatangan makhluk iblis sahaja, Tuanku tidak perlu bina tinggi-tinggi. Kira-kira empat meter patutnya sudah cukup. Kita juga boleh kecilkan kelebarannya sebanyak satu pertiga dan bahagian bawahnya sebanyak kira-kira dua meter. Penggalian parit dan penambakan batu akan dibuat secara serentak. Lepas itu, tambahkan lagi 200 pekerja dan Patik pasti Patik boleh siapkannya sebelum Bulan Kunjungan Iblis tahun hadapan."

Karl terdiam seketika dan kemudian menyambung, "Tetapi Patik mohon ampun, Tuanku. Pada pendapat Patik, ini bukan masa yang sesuai untuk memulakan pembinaan ini. Jika kita tidak sempat menambak tembok itu dengan batu walaupun parit sudah siap dikorek, hujan dan salji yang turun semasa musim sejuk nanti akan merosakkan parit itu hingga menjadi tidak berguna lagi. Jika ia terjadi, kita akan menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga untuk membersihkan dan menggembur kembali tanah parit itu dan akan menyebabkan parit itu terpaksa digali lebih dalam."

"Andai kata kita buat mengikut rancangan awak dan bina tembok kota setinggi empat meter dan selebar dua meter. Berapa lama masa yang diperlukan untuk siap mengorek parit itu?"

"Lebih kurang sebulan setengah, Tuanku," jawab Karl.

"Baik, kita akan laksanakan mengikut rancangan awak. Penggalian parit dan penambakan batu akan dijalankan serentak agar pembinaan kita boleh siap sebelum Bulan Kunjungan Iblis," Karl baru mahu membuka mulut untuk membantah tetapi Roland mengangkat tangannya. "Beta faham masalah yang awak nyatakan tadi. Cuba awak tengok ini dahulu, ia produk terbaru daripada makmal alkimia Graycastle."

Roland tidak sempat mahu melekatkan dua bata baru dengan simen untuk ditunjukkan kepada tukang batu itu. Dia hanya menunjukkan bongkah bata yang dia sudah lekatkan lebih awal. Mujurlah tiada siapa yang berani mempersoalkan putera itu. Apabila Karl mendengar tentang sejenis pelekat alkimia bernama simen yang boleh mengeras dalam masa semalaman dan mampu melekatkan dua batu bata dengan kuat, dia rasa sangat takjub.

Sebagai seseorang yang sudah mengabdikan separuh hayatnya kepada Persatuan Tukang Batu, Karl dapat melihat betapa hebatnya ciptaan ini. Selain mampu melekatkan dua batu bersama, ia juga boleh diubah kepada pelbagai bentuk.

Roland melihat muka Karl yang terlopong dengan sedikit rasa puas hati dan dia mendesak lagi, "Jadi apa pendapat awak? Kita boleh siap dalam masa tiga bulan atau tidak?"

Karl van Bate menjawab dengan suara terketar-ketar, "Jika Tuanku berkata benar… bukan, bukan… maksud Patik, jika bahan ini betul-betul berkesan seperti yang dikatakan makmal itu, Patik… Patik sanggup mencuba."

"Bagus. Beta akan arahkan seseorang menulis manual rasmi untuk awak tentang kegunaan simen ini. Awak boleh bercakap dengan pembantu menteri Beta jika awak ada pertanyaan lain." Roland tersenyum. "Encik Karl, mulai saat ini awak sudah menjadi anggota Jabatan Pentadbiran Istana."

Keesokan harinya, Nana dibawa menghadap Roland pada waktu tengah hari. Gadis itu merenung Anna dengan mata terbeliak kehairanan. Tangannya menggenggam bajunya dengan kuat dan akhirnya bersuara, "Patik… Patik sudah mati, ya?"

Semasa Roland mula-mula melihat Nana, dia mendapati kuasa ahli sihir bukan sahaja memberikan mereka kemampuan luar biasa, tetapi ia juga menyumbang kepada perubahan perwatakan dan aura mereka. Nana gadis yang jauh berbeza daripada Anna tetapi mereka berdua ada tarikan yang tersendiri. Tarikan ini tidak ada kaitan dengan usia mahupun gaya hidup mereka. Walaupun semasa Anna sedang menunggu maut di penjara dahulu, ada sesuatu yang masih menyerlah dari dalam dirinya. Roland cuba meneliti semua memori yang ada dan mendapati Roland sendiri tidak pernah merasai perasaan sebegini, sama ada dengan pelacur-pelacur di lorong belakang Kerajaan Graycastle mahupun dengan golongan wanita bangsawan yang tinggal dalam istana. Jika Roland diminta untuk menggambarkannya, dia akan berkata sekiranya dia melukis wanita biasa dan wanita ahli sihir atas kertas yang sama, wanita ahli sihir seolah-olah watak yang berwarna-warni atas halaman lakaran hitam putih.

Karl yang mengiringi Nana masuk menghadap meminta diri dengan sopan. Sekarang hanya Roland, Anna, dan Nana yang ada di taman istana itu.

"Tidak, awak masih hidup. Anna pun sihat dan selamat di hadapan awak." Roland cuba untuk tidak tersenyum dengan begitu lebar. "Beta ialah Putera Roland Wimbledon. Awak…"

"Nama Patik Nana Pine." Keceriaan kembali ke wajah gadis itu apabila mendapat tahu dia belum mati lagi. Nana terus menerpa ke arah Anna dan mulutnya tidak henti-henti bertanya seribu satu soalan sehingga tidak mengendahkan langsung kehadiran Roland, Putera Keempat Kerajaan Graycastle.

Namun begitu Roland tidak ambil hati langsung dengan perlakuan kurang sopan gadis yang baru berusia 14 tahun itu. Dia menuang segelas ale dan duduk mengamati perlakuan dua orang ahli sihir di hadapannya itu.

Anna kelihatan seperti tidak biasa dengan keramahan Nana. Dia hanya menjawab sepatah dua perkataan sementara Nana masih terus becok bercakap. Anna baru berusia 17 tahun tetapi dia kelihatan lebih matang berbanding Nana. Roland terfikir Anna tentu akan menjadi wanita yang sangat hebat apabila dia dewasa kelak.

Bila Nana akhirnya berhenti bercakap, Roland berdehem dan bertanya, "Cik Pine, menurut cikgu Karl, awak sudah dibangkitkan sebagai ahli sihir?"

Orang biasa sering menggunakan perkataan "disumpah" apabila menggambarkan seseorang yang bertukar menjadi ahli sihir, namun Roland percaya "dibangkitkan" adalah istilah yang lebih sesuai. Dia tidak cukup naif untuk mengandaikan semua ahli sihir suci, sempurna, dan tidak berdosa langsung. Jika orang berhati busuk mendapat kuasa, mereka tentu hanya tahu mengakibatkan bencana semata-mata. Ini boleh dikatakan sama dengan penggunaan senjata, di mana senjata boleh digunakan untuk keganasan ataupun untuk mencegah keganasan. Semuanya tertakluk kepada tangan yang memegang senjata itu. Mungkin pihak Gereja Inggeris sendiri mengisytiharkan ahli sihir sebagai jahat berdasarkan bukti kejadian yang mereka telah lihat sendiri. Tetapi mereka juga tidak patut menjadikannya sebagai bukti semua ahli sihir memang jahat secara semula jadi.

Muka Nana terus berubah dan dia berkata perlahan, "Adakah Tuanku akan menggantung Patik sampai mati?"

"Tidak, sudah tentu tidak. Orang yang dihukum gantung sampai mati semuanya penjenayah yang hina dan keji. Awak bukan orang macam itu, sama seperti Cik Anna. Jadi awak tidak perlu risau."

Nana menghela nafas panjang dan menganggukkan kepalanya. "Patik pun tak pasti… Cikgu Karl kata ahli sihir mendapat kuasa disebabkan mereka tewas dengan godaan syaitan. Tapi Patik tidak pernah berjumpa syaitan!"

"Bila awak dapat tahu ada sesuatu yang berubah?"

"Kira-kira seminggu lalu," gumam Nana. "Patik terjumpa seekor burung yang patah kaki dan Patik teringin mahu membantunya. Tiba-tiba... ada sesuatu yang keluar dari tangan Patik."

"Apa yang keluar dari tangan awak?" soal Roland. "Apa yang terjadi selepas itu?"

"Entah… tiba-tiba ada benda cair dan melekit yang membaluti burung itu." Nana menyengetkan kepalanya semasa dia cuba mengingat apa yang terjadi. "Selepas itu kaki burung itu terus sembuh."

"Jadi dia ada kuasa penyembuh?" Hati Roland berdegup kencang. Dia tahu betapa bergunanya kuasa ini. Pada zaman yang tiada antibiotik dan teknologi perubatan canggih ini, ramai orang mati akibat kecederaan dan jangkitan. Walaupun kuasa ini tidak boleh menyumbang secara langsung kepada kemajuan negara, ia sangat berguna untuk menjaga kebajikan orang ramai.

Roland terus berjalan ke pintu dan mengarahkan kesaterianya membawa seekor ayam hidup. Jika dia dapat membuktikan kata-kata anak gadis itu, mungkin dia boleh mengubah nasib golongan ahli sihir yang tertindas selama ini di Pekan Sempadan.