Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 19 - Kuliah Pertama

Chapter 19 - Kuliah Pertama

Hujan pertama untuk musim itu akhirnya tiba dan berlarutan selama dua hari.

Roland duduk di belakang meja kerjanya dan bersandar padanya sambil merenung pekan itu dari kaca jendela kamar. Angin membuatkan air hujan menghentam tingkapnya dengan kuat lalu mengalir turun dengan deras. Pekan Sempadan kelihatan kabur bila dilihat menerusi tingkap yang dibadai hujan lebat itu. Namun dia dapat melihat rumah orang kampung serta bangsal mereka berayun-ayun ditiup angin kencang, jauh berbeza daripada rupanya yang rapi dan tersusun sebelum itu. Pekan itu tiada sistem penyaliran air yang berkesan jadi jalan utama mereka bergenang dengan air. Dari jauh, aliran-aliran air hujan yang berselirat atas jalan itu kelihatan seperti anak-anak sungai jernih yang melata.

Gunung-ganang dan hutan yang terletak nun jauh di kaki langit diselaputi kabus tebal yang bergulung seperti ombak di daratan.

Pada zaman moden, pemandangan seperti ini tentu sudah menjadi tarikan para pelancong, tetapi Roland kini hanya mahu melihat hutan konkrit sahaja. Disebabkan hujan lebat itu, pembinaan tembok kota itu terpaksa ditangguhkan. Ini membuatkan Roland rasa resah dan kegembiraannya selepas berjaya "memujuk" duta Kubu Longsong itu semalam beransur-ansur hilang.

"Jadi Tuanku kata udara di sekeliling kita diperbuat daripada gas berbeza? Adakah itu betul?"

Suara Anna yang jelas menyampuk pemikiran Roland dan Roland melihat gadis itu merenungnya dengan mata biru yang memukau.

"Cik Anna, tolong jaga adab sopan. Sebut "Ampun Tuanku" dahulu," Ketua Kesateria Carter menegur dia dari sebelahnya.

"Tak apalah, tak perlu susah-susah." Roland berpaling semula. "Sekarang dia dianggap sebagai pelajar Beta." Memandangkan hujan turun tanpa henti dan mereka terpaksa menunda tugas masing-masing, Roland memanggil Carter serta dua ahli sihir itu untuk mengikuti kuliah yang pertama – ya, Roland telah memutuskan untuk mengajar mereka tentang sains alam semula jadi. Dia mendapat idea ini selepas mendengar tentang sekolah Cikgu Karl. Kalau seorang tukang batu pun boleh membuka sebuah sekolah, maknanya seorang jurutera mekanikal tentu boleh buat perkara yang sama. Kenapa diskriminasi berleluasa pada zaman ini? Sebab penduduknya tiada pendidikan. Sepanjang lipatan sejarah, pendidikan merupakan kaedah paling berkesan untuk merangsang kemajuan sesebuah ketamadunan.

Mulanya dia mahu pembantu menterinya turut serta dalam kuliahnya tetapi Barov nampak begitu sibuk dengan urusan pentadbiran lain dan menolak ajakan puteranya dengan baik. Entah kenapa sejak permulaan musim sejuk, Barov nampak seperti begitu bersemangat dan mengambil alih semua hal ehwal pengurusan Pekan Sempadan seorang diri.

Bila Anna mendengar peluang untuk belajar ilmu pengetahuan baru, matanya terus bersinar-sinar. Nana juga gembira kerana dia tidak perlu berlatih merawat haiwan-haiwan yang sengaja dicederakan. Carter pula tiada kerja lain untuk dibuat jadi dia masuk juga kuliah itu untuk melihat apa lagi benda mengarut yang difikirkan tuan puteranya itu.

Tetapi baru saja kuliah itu bermula, mata kesateria itu sudah terasa berat. Nana pun nampak termangu-mangu melihat perkataan "Sains Alam Semula Jadi" yang ditulis di papan hadapan. Hanya Anna yang nampak sedang berusaha untuk memahami dan mengingat semua benda yang diajar Roland. Roland terpaksa berhenti sementara bagi memberi masa kepada ketiga-tiga pelajarnya menghadam syarahannya.

Mendengar soalan Anna, Roland tersenyum dan mengangguk sekali. "Sudah tentu, walaupun nampak seperti tidak ada bezanya."

"Tuanku, Patik tak faham. Kalau ia tak ada beza, macam mana Tuanku tahu ia terdiri daripada gas yang berlainan?" Jelas Carter nampak masih ragu-ragu.

"Beta akan buktikan."

Roland sudah cukup masak dengan sifat manusia. Mereka tak akan percaya kata-kata seseorang melainkan jika mereka melihatnya dengan mata kepala sendiri. Jadi dia menyediakan satu eksperimen mudah.

Sebatang lilin, sebuah balang kaca, sebuah besen kayu, dan semangkuk air kapur jernih tersedia di hadapan Roland. Pada zaman ini, kaca yang betul-betul lutsinar masih belum dicipta dan mereka hanya ada kaca perang separa legap tetapi ia masih boleh digunakan dalam eksperimen ini. Lagipun mereka tidak perlu menyaksikan proses perubahannya secara terperinci.

Roland sudah mencuba melakukan eksperimen ini terlebih dahulu dan ia membuktikan walaupun ilmu sihir wujud pada zaman ini, dunia ini masih mengikut hukum alam semula jadi. Dia menyuruh Anna menyalakan lilin dan dilekat pada dasar besen kayu itu.

"Proses pembakaran memerlukan satu gas yang khusus. Gas ini juga penting bagi semua benda hidup. Jika kita berhenti bernafas, nasib kita akan sama dengan lilin ini. Cuba lihat." Roland menutup lilin itu dengan balang kaca dan selepas nyalaan lilin itu bergegar-gegar sekejap, ia terpadam sepenuhnya.

"Ia sudah habiskan udara dalam balang itu, Tuanku. Itu bukan perkara baru," Ketua kesateria itu berkata dengan sedikit rasa kecewa. "Sudah tentu kita akan mati jika tidak ada udara, contohnya kalau kita jatuh dalam air."

Kepala Nana turun naik seperti burung belatuk.

"Jadi awak rasa tak ada apa-apa dalam balang ini?" Roland bertanya sambil menuang air kapur itu ke dalam besen. Paras air naik dengan cepat dan berhenti apabila separuh balang itu sudah terisi.

Ini uji kaji klasik yang sering dibuat di sekolah rendah pada zaman Cheng Yan bagi memupuk minat anak murid terhadap sains alam semula jadi. Dia masih teringat Betapa terkejutnya dia semasa pertama kali gurunya melakukan uji kaji ini. Pada saat itulah dia mula menyimpan azam untuk mempunyai kerjaya dalam bidang sains dan kejuruteraan.

Perlahan-lahan Roland mengangkat balang itu sedikit dan dengan serta-merta, gelembung udara boleh dilihat menaik dalam air kapur itu.

Kemudian, air kapur jernih itu beransur-ansur keruh dan sedikit keladak putih mula tersebar dalam balang itu.

"Jika benar balang ini sudah kosong, kita tak akan dapat lihat gelembung ini ataupun sebarang perubahan pada permukaan air ini. Ini membuktikan udara mengandungi sekurang-kurangnya dua jenis gas berbeza. Sebenarnya nyalaan lilin tadi menggunakan hanya satu jenis gas dan ada satu jenis gas lain yang tertinggal dalam balang itu. Walaupun kedua-dua gas ini tiada warna dan bau, sifatnya berlawanan sama sekali."

"Ya… nampaknya begitulah." Carter berfikir panjang untuk memahami kaitan antara kedua-duanya. "Tapi apa gunanya kita mengetahui ini?"

"Jika kita dapat asingkan gas pertama, kita boleh buat lilin itu terbakar lebih lama. Jika kita dapat asingkan gas kedua, kita boleh padam api dengan lebih pantas!" Anna tiba-tiba menjawab.

'Pandai!' Roland memuji Anna dalam hati. Walaupun jawapannya tidak berapa tepat, tetapi dia cukup bijak untuk mencadangkan pengasingan dan penulenan gas sebelum digunakan. Dia tidak menerima sebarang pendidikan moden pun tetapi otaknya cepat menangkap konsep subjek yang diajar. Ini menunjukkan kemampuannya untuk berfikir secara logik jauh mengatasi orang biasa – atau sekurang-kurangnya mengatasi pemikiran ketua kesateria Roland.

"Betul. Sejak manusia mula belajar menghasilkan api, mereka sudah dibezakan daripada haiwan. Mungkin semuanya bermula secara kebetulan saja, mungkin ada kilat yang menyambar sebatang pokok lalu terbakar, ataupun mereka terlihat percikan api bila menggeser dua ketul batu. Tetapi jika tiada manusia yang menyedari fenomena itu dan cuba manfaatkan, kita masih akan hidup seperti haiwan," Roland menerangkan satu-persatu. "Matlamat eksperimen ini untuk menunjukkan rasa ingin tahu serta pemikiran logik memacu kemajuan ketamadunan manusia. Ada banyak lagi kuasa alam semula jadi yang masih tersembunyi, yang menunggu untuk ditemui dan dimanfaat oleh kita."

Bila Roland berhenti bercakap, wajah Carter masih nampak ragu-ragu dan Nana pula ternganga dengan penuh rasa kagum walaupun dia tidak faham satu apa pun yang dikatakan Roland. Hanya Anna yang merenung ke lantai, seperti sedang cuba menyerap masuk apa yang dia baru dengar.

Roland menarik nafas panjang. Ya, mengajar teori saintifik yang rumit tidak akan menarik minat sesiapa pun, tetapi hanya akan mengelirukan mereka saja. Tahap kefahaman mereka menyebabkan mereka tak akan mengetahui betapa pentingnya ilmu ini kecuali jika mereka melihatnya sendiri. Selepas itu, barulah mereka akan faham betapa hebatnya kuasa alam semula jadi.

Tiba-tiba bunyi siulan cerek memecahkan kesunyian dalam kamar itu. Asap daripada air yang sudah menggelegak membuatkan penutup cerek yang sedang tergantung atas pendiang api itu berdegar-degar.

"Ah, air sudah dijerang." Ketua Kesateria Carter mendekati pendiang api itu dan mencapai cerek itu dengan serampang panjang lalu bunyi siulan itu pun berhenti. Dia membalut pemegang cerek dengan kain dan menuang air panas dalam cawan semua orang.

"Cuba kita lihat ini sebagai contoh". Roland mencapai cawannya dan merasa suhu pemegang cawan itu. "Apabila manusia membuat penemuan api, kita sudah boleh menjerang air. Ramai orang sudah biasa melihat air dijerang tetapi tiada siapa tahu wap air yang sedang terapung dari permukaannya juga mengandungi tenaga yang sangat tinggi."

'Dalam beberapa ratus tahun lagi, wap stim bakal menjadi unsur yang sangat penting dalam mencetuskan kemajuan teknologi dan bakal mengubah sejarah manusia. Walaupun prinsipnya mudah, ia tidak akan digunakan dalam pertanian kerana teknologi yang terbatas buat masa ini. Tapi dunia ini berbeza,' fikir Roland dalam hati, 'Sebab di sini ada ilmu sihir. Menggunakan ilmu sihir untuk berperang ialah amalan orang gasar. Tetapi jika kita boleh gunakan ilmu sihir untuk menggantikan ciptaan-ciptaan penting bagi memodenkan kehidupan, itu barulah betul.'

Mereka berempat terus bercakap sehingga senja dan selepas makan malam bersama, Roland memasuki kamar tidurnya.

Pada zaman itu, tiada aktiviti yang boleh dilakukan pada waktu malam dan orang selalunya akan tidur awal jika tidak berasmara. Roland pernah terfikir untuk mengambil kesempatan daripada kedudukannya dan memanggil salah seorang dayang untuk "menemaninya" tetapi akhirnya dia terlalu malu untuk melakukan itu.

Sebaik sahaja dia menyalakan lilin dalam kamarnya, dia terdengar bunyi orang bertepuk tangan dari belakangnya dan satu suara bergema, "Kuliah yang sangat hebat. Patik tak sangka rupanya Tuanku orang yang bijaksana."

Suara seorang wanita yang Roland tidak dapat cam. Dengan serta-merta peluh dingin memercik pada dahinya. Seseorang yang muncul tiba-tiba dalam kamarnya tanpa disedari pengawal, siapa lagi kalau bukan pembunuh upahan? Kakinya terus melangkah laju ke arah pintu tetapi belum sempat dia mencapai tombol, ada bunyi berdesing betul-betul sebelah telinganya. Bila Roland mengangkat kepala, dia melihat sebilah pisau perak melekat pada pintu kayu itu, sipi-sipi hampir mengenai pipinya.