"Tempat ini masih usang macam dulu," rungut Petrov, duta dari Kubu Longsong, sambil dia melangkah keluar dari kabin kapal dan terus disambut dengan bau kayu basah dan reput. Udara lembab dan cuaca mendung menambahkan lagi rasa gelisahnya. Dia menarik nafas lesu dan melihat ke langit yang semakin tebal dilitupi awan. Itu menandakan hujan lebat bakal tiba.
"Kali terakhir Tuan datang ke sini adalah setahun lalu," kata pembantunya sambil menyarung kot bulu biri-biri ke tubuh tuannya itu. "Tak ada apa-apa yang bernilai di sini kecuali batu permata."
"Sebenarnya satu setengah tahun," Petrov membetulkan. "Setiap tahun Duke akan menghantar orang yang berbeza ke sini dan kali terakhir saya datang ialah musim panas lepas. Tetapi selain batu permata, ada juga benda lain yang bernilai di sini seperti bulu haiwan dan…"
"Apa dia?" Pembantu itu menanti sambungan kata-kata Petrov.
Petrov menggelengkan kepala, dia sudah malas bercakap. Dia menyeberangi sebatang papan yang menghubungkan kapalnya dan jeti berlumut itu. Katu-kayu jeti itu berkeriut kuat di setiap tempat yang dipijak Petrov dan dia rasa dalam beberapa tahun lagi, jeti ini akan bertambah reput sehingga ia akhirnya runtuh. Ya, selain batu permata dan bulu haiwan, tanah Pekan Sempadan itu sendiri tidak patut dipandang enteng. Tetapi seorang pembantu yang hanya biasa menangani dokumen dan nombor-nombor tentu tidak akan faham.
Tanah antara Pekan Sempadan dan Kubu Longsong yang sempit masih tidak terusik dan terhimpit antara Banjaran Puncak Langit dan Sungai Air Merah. Jika Pekan Sempadan dibina sebagai kota kara bagi benteng pertahanan utama Kubu Longsong, mereka sepatutnya boleh menerokai tanah terhimpit itu untuk dijadikan tanah perladangan. Lagipun ia ada dua perlindungan semula jadi yang mengelilinginya dan ini memudahkan proses penjagaannya. Hasil perladangan itu boleh membekalkan sumber makanan yang cukup untuk Kubu Longsong dan Pekan Sempadan boleh menjadi sebahagian daripada kawasan jajahan Kubu Longsong dan bukan pekan kecil yang terasing jauh dari sana.
Satu-satunya masalah, projek penerokaan itu akan memakan belanja besar dan mengambil masa dari tiga ke lima tahun.
Sayang sungguh, kalau bercakap berkenaan pelaburan, kebanyakan orang bangsawan memang tidak tahu mengambil peluang keemasan.
"Kenapa tak ada bijih langsung di stor penyimpanan?" Pembantu itu menunjuk ke arah sebuah kawasan lapang dan berkata, "Bukankah mereka patut mengumpul semuanya di sini sebelum kita tiba?"
Petrov mengeluh perlahan. "Kita patut pergi menghadap Baginda Putera dahulu."
"Sebentar… Tuan duta, bukankah kita patut menunggu mereka datang menyambut kita?" Kata pembantu itu lagi.
Sebenarnya Petrov tidak pasti jika ada orang akan datang atau tidak jadi dia berkata, "Kita pergi sendiri sajalah. Lagipun kandang kuda sudah ada di depan kita."
Inilah masalahnya bila dua bandar berada di bawah satu pentadbiran yang sama tetapi terletak berasingan antara satu sama lain. Bila Baginda Raja menugaskan Putera Keempat Roland ke Pekan Sempadan selepas baginda mengumumkan Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta, pernahkah baginda terfikir apa yang akan dilakukan putera itu? Sudah tentu putera itu akan mengambil alih semua hal ehwal pemerintahan pekan itu dan baginda tentu tidak akan bersetuju menukar hasil batu permata dengan makanan dan gandum semata-mata. Petrov risau putera itu mahukan wang sahaja.
Tapi jika Petrov berada di tempat putera itu, dia juga akan membuat keputusan yang sama. Siapa sanggup menyerahkan semua kekayaan tanah mereka sebagai tukaran untuk beberapa buku roti sahaja? Tapi kebanyakan orang seperti lupa bukan Kubu Longsong sahaja bandar besar yang wujud sepanjang Sungai Air Merah. Ada lagi banyak bandar besar lain seperti Bandar Raya Willow, Rabung Naga Maut, dan Bandar Raya Air Merah yang boleh membeli batu permata itu pada harga pasaran dan juga melindungi pelarian dalam waktu yang sama. Semua tempat-tempat ini hanya jauh sedikit dari Kubu Longsong.
Apa yang Kubu Longsong boleh buat? Sekat sungai dan halang rombongan perdagangan diraja? Itu derhaka namanya. Walaupun semua orang sudah tahu Putera Roland bukan anak emas Raja Wimbledon, tetapi pangkat serta darah rajanya tidak boleh diabaikan.
Dalam kandang itu, tak ada kuda lain yang boleh digunakan selain kuda-kuda tua. Mereka nampak lemah dan kurus dengan bulu yang kasar dan tidak terurus. Kaki mereka terketar-ketar bila mereka berjalan dengan perlahan. Duta Petrov tiada pilihan lain selain meletakkan deposit dua keping emas untuk dua ekor kuda tua itu dan dua lelaki itu menunggang mereka melalui jalan batu jubin di sepanjang sungai.
"Tengok! Tuan, bukankah itu kapal kargo dari Bandar Raya Willow?"
Pembantu itu melaung untuk menarik perhatian duta itu dan Petrov mengalihkan pandangannya melihat kapal yang dimaksudkan. Sebuah kapal layar dengan satu tiang dan bendera yang tertera gambar sehelai daun hijau dan sebilah pedang syamsir di atasnya sedang belayar menongkah arus sungai itu. Kapal itu nampak seperti separuh tenggelam jadi maksudnya ia berat dipenuhi kargo.
Petrov sekadar mengangguk dan mukanya tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi hatinya tersentak dengan makna di sebalik kehadiran kapal itu. Dia tidak sangka Putera Roland sudah bertindak sepantas itu. Fikirnya dalam hati, "Jika Putera Roland sudah mula berdagang dengan bandar-bandar lain di hilir Sungai Air Merah, maknanya baginda sudah mula mengambil kesempatan daripada kelebihan Pekan Sempadan." Mulanya Petrov mahu cuba memujuk ayahnya untuk bersetuju membeli bijih galian Pekan Sempadan dengan harga 30% lebih rendah daripada harga pasaran. Lagipun batu permata mereka boleh dihasilkan menjadi barang kemas yang sangat bernilai tinggi. Tetapi hal ini melibatkan monopoli perniagaan dan ayahnya tidak ada kuasa tunggal untuk membuat keputusan. Malah keseluruhan Keluarga Melati Belanda pun tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa persetujuan keenam-enam Keluarga Bangsawan Besar.
Namun begitu, mereka seperti sudah tidak ambil kisah dengan semua perubahan yang berlaku sepanjang masa ini dan tidak memberi sebarang tindak balas… atau mungkin kadar penghasilan lombong Pekan Sempadan terlalu kecil hingga dipandang sebelah mata oleh mereka. Jadi lima Keluarga Bangsawan Besar lain tidak mengendahkan cadangan Petrov dan ayahnya sendiri menolak nasihatnya dengan penuh angkuh. Tetapi mereka semua sudah tersilap langkah kerana penghasilan batu permata yang rendah itu berlaku kerana ia hanya ditukarkan dengan makanan dan jika ia dijual seperti barang dagangan biasa mengikut harga pasaran, penghasilannya boleh jadi berlipat kali ganda. Lebih banyak bijih galian yang dijual Pekan Sempadan, lebih banyak duit mereka akan dapat, dan ini bermaksud lebih banyak penghasilkan bijih galian pada tahun berikutnya.
Namun begitu kini Petrov berfikir monopoli ke atas bijih galian Pekan Sempadan yang dia harapkan tak akan menjadi kenyataan. Melihat kawasan stor penyimpanan yang kosong di jeti sungai itu, nampaknya Putera Roland tak akan mahu menukar batu permata dengan gandum lagi kerana baginda sudah mula memikat pembeli-pembeli dari bandar lain.
Potongan tiga puluh peratus adalah jalan yang terakhir jika dia masih mahu mengekalkan urus niaga bersama Pekan Sempadan. Bandar Raya Willow akan meminta potongan sebanyak separuh daripada harga pasaran kerana batu permata itu perlu diangkut melalui jarak sungai yang panjang dan ini meningkatkan kos pengangkutan mereka. Lagipun Bandar Raya Willow ada sumber bijih galian yang lain. Harga yang akan ditawarkan Rabung Naga Maut dan Bandar Raya Air Merah pula jauh lebih rendah. Ini bermaksud ada kemungkinan akhirnya Putera Roland hanya boleh berdagang dengan Kubu Longsong sahaja, lebih lagi untuk batu permata.
Tetapi masalahnya sekarang, adakah ayah Petrov akan bersetuju dengan kontrak Petrov tawarkan ini? Adakah keluarga lain akan menganggap kontrak itu sebagai tanda penyerahan hak dan melepaskan kuasa?
Lagipun mereka selalu mengandaikan Pekan Sempadan sebahagian daripada jajahan Kubu Longsong dan pembekal kepada keperluan sumber kubu itu.
Petrov dan pembantunya menunggang kuda dengan perlahan hingga tiba ke gerbang istana yang tersergam di bahagian tenggara pekan itu yang kini sudah didiami pemerintah yang berbeza berbanding tahun lalu.
Para pengawal membaca tanda pengenalan duta itu dan dengan serta-merta mereka memaklumkan putera mereka.
Putera Roland memanggil Petrov masuk menghadap. Semasa Petrov dan pembantunya tiba di balai penghadapan, putera itu sudah menunggu di singgahsana.
"Tuan Duta, silakan duduk."
Roland menepuk tangannya dan orang suruhan istana mula keluar sambil membawa hidangan yang lazat. Ada ayam panggang, kaki khinzir dalam gulai cendawan, roti disapu mentega, dan kawah berisi sup sayur-sayuran. Walaupun pekan ini miskin, tetapi putera itu tetap dapat makanan mewah seperti biasa.
Petrov tidak mampu menahan dirinya. Pelayaran dari Kubu Longsong ke Pekan Sempadan mengambil masa dua hari paling pantas. Jika dia menggunakan kapal yang ada banyak tiang kain, mereka akan belayar lebih perlahan, mungkin dalam tiga ke lima hari. Kapal mereka tidak mempunyai dapur masak dan mereka selalunya makan daging kering atau kuih tepung yang mereka bawa sebagai bekal. Bila Petrov melihat semua sajian enak yang masih berasap itu, air liurnya kecur dalam mulut.
Tetapi didikan Petrov sejak dia kecil lagi membuatkan dia masih teringat adab sopan di meja makan. Sebaliknya, Putera Roland pula yang nampak seperti tidak mengendahkan adab di meja makan, terutamanya dalam penggunaan pisau dan garfu. Petrov melihat putera itu menyepit makanannya dengan sepasang kayu yang tirus dan hanya menggunakan pisau dan garfu untuk memotong daging. Entah kenapa… kayu kecil itu nampak seperti lebih mudah digunakan.
"Apa pendapat awak?" Tiba-tiba Roland memecah kesunyian semasa mereka sudah hampir selesai makan.
"Err…tentang apa, Tuanku?" Duta itu terpinga-pinga.
"Tentang ini." Putera itu mengangkat dua batang kayu yang dia pegang dalam tangannya itu dan terus bercakap tanpa menunggu jawapan duta itu. "Orang kebanyakan selalunya tidak mampu memiliki garpu dan pisau kerana ia diperbuat daripada perak. Tetapi jika mereka makan dengan tangan, kotoran dan penyakit akan mudah berjangkit pada mereka. Awak faham setakat ini?"
Duta itu kelu tanpa kata-kata kerana dia tidak faham soalan putera itu. Maksudnya, makanan mungkin mempunyai kotoran yang boleh menyebabkan kita jatuh sakit? Tetapi itu tidak mungkin. Sudah lama orang makan menggunakan tangan, dan tiada siapa pernah mati kerana itu.
"Ada banyak pokok oak dalam Hutan Kabus yang boleh dijadikan kayu penyepit jadi ia mudah dibuat dan ia bersih. Jadi orang kebanyakan patut menggunakan kayu penyepit untuk makan dan berhenti menggunakan tangan." Putera Roland berhenti untuk meneguk air lalu menyambung, "Beta sedar sekarang daging pun sudah jadi makanan mewah untuk mereka tetapi keadaan di sini bakal berubah."
Baru Petrov berasa lega. Sekarang mereka sudah mula bercakap tentang sesuatu yang dia pakar. Mulutnya hanya berkata setuju tetapi hatinya membangkang keras kata-kata Putera Roland. Orang miskin boleh makan daging? Penduduk Graycastle pun jarang dapat merasa makan daging, apatah lagi orang Pekan Sempadan yang terpinggir dan tandus ini.