Api menjalar bermula dari kakinya, tetapi ia segera terpadam.
Itu ialah percubaannya yang kedua puluh tiga, dan dia telah gagal lagi.
Peluh memercik membasahi dahi Anna dan dia menyekanya dengan belakang tangan lalu membuatkan pancaran apinya tiba-tiba terpadam.
Anna tidak berhenti untuk berehat langsung dan dia berlatih berulang-ulang kali tanpa jemu. Pakaian seragam barunya terlipat rapi di sebelahnya. Jika Anna tidak berbuat demikian, baju barunya itu tentu sudah hangus dimamah api.
Mujurlah Roland ialah Putera Keempat kerajaan itu jadi dia tiada masalah untuk mendapatkan beberapa helai jubah lain untuk latihan Anna. Dia mengarahkan pembantunya, Tyre, untuk membawa sebakul jubah yang dikumpulkan orang-orang gaji lain untuk kegunaan Anna.
Akhirnya percubaan yang kedua puluh empat membuahkan hasil. Api sudah tidak menjalar keluar dari kakinya, tetapi kali ini keluar dari tangannya. Anna menggerakkan lengannya dengan perlahan untuk cuba membawa api itu ke hujung jarinya, tetapi api itu tiba-tiba menyala dengan marak sebanyak dua kali dan menjilat seluruh lengannya lalu membakar lengan baju Anna, dan seterusnya menghanguskan seluruh baju yang dipakainya.
Anna memadamkan api itu dengan tenang tetapi jubahnya sudah hangus dan tidak boleh digunakan lagi, jadi dia pergi ke bakul baju untuk mendapatkan jubah baru.
Ini bukan kali pertama perkara ini terjadi, tetapi setiap kali ia berlaku, Roland akan memalingkan mukanya. Dia akan mengalihkan pandangan ke tempat lain walaupun Anna sendiri tidak kisah jika dia melihatnya.
Malah jika Roland tidak menghalang, dia lebih suka jika dia dapat menanggalkan bajunya dan berlatih tanpa berpakaian langsung, walaupun semasa siang hari! Tetapi jika Roland melihat dia, dia tentu tidak dapat menumpukan perhatian jika dia perlu berlatih dengan seorang gadis yang tidak berpakaian, lebih-lebih lagi jika tubuh gadis itu boleh terbakar marak dan memancarkan tenaga yang sangat berbeza dari biasa.
Roland menggoyangkan kepalanya bagi membuang pemikiran tidak senonoh itu. Buat masa ini, penguasaan ilmu sakti kelihatan sangat sukar. Roland mengarahkan Anna untuk cuba mengawal api itu sehingga dia boleh mengeluarkan api dari tangan atau jarinya tanpa membakar bajunya. Tetapi dia juga mahu api Anna cukup panas sehingga boleh meleburkan timbunan bijih besi di laman kotej itu.
Percubaan Anna yang ketiga puluh gagal juga, tetapi belum sempat dia mencuba lagi, Roland menghentikannya dan menyuruh dia berehat.
Anna kelihatan terkejut, tetapi dia tidak bergerak.
Akhirnya Roland terpaksa bangun dan menarik tangan Anna ke sebuah kerusi lalu memaksa dia untuk duduk.
"Awak kepenatan. Bila penat, awak mesti berehat. Tak perlu terburu-buru, kita masih ada masa." Dia membantu Anna menyapu peluh di dahinya lalu berkata, "Ayuh kita minum petang dahulu."
Roland tahu golongan bangsawan Kerajaan Graycastle tidak biasa minum petang. Ekonomi di dunia ini masih begitu mundur sehingga kebanyakan orang tidak pernah merasa makanan yang sedap-sedap. Orang zaman ini tidak biasa makan tiga kali sehari, apatah lagi mahu minum petang. Anak-anak orang kaya pula biasanya akan berkumpul di bar arak atau sarang judi menjelang waktu petang.
Jika Roland mahu memperkenalkan amalan itu, dia perlu menyediakan makanan dan minumannya sendiri lantaran orang-orang gaji di istananya tidak pernah menyediakan sajian minum petang. Roland membuat sedikit kudapan ringan tetapi memandangkan pada zaman ini tiada teh, dia terpaksa menggantikannya dengan ale. Dia mesti cuba untuk dapatkan teh nanti.
Jadi, di sebuah kotej kayu di laman belakang istana, sajian minum petang pertama di seluruh kerajaan Graycastle telah dihidangkan.
Anna melihat pinggan-pinggan berisi makanan yang begitu menyelerakan itu dengan rasa tidak percaya. Dia tidak pernah melihat sajian yang sebegitu indah.
Walaupun dia tidak tahu nama kek yang dijamahnya, ia berwarna putih bersih dan buah-buahan yang berwarna merah terang di atasnya boleh mengecurkan air liur sesiapa pun. Bahagian tepi semua pastri dihias dengan corak-corak yang cantik. Sekali lagi Anna mengalami sesuatu yang dia tidak pernah alami sebelum ini, lalu memaksanya untuk mengubah pandangan dia terhadap dunia.
Roland meneliti semua perubahan raut wajah Anna dengan rasa puas hati. Anna kelihatan terpegun tetapi sedikit takut juga. Buah strawberi di atas kek berkrim itu telah direndam dalam gula dan tidak segar, tetapi Anna memakannya dengan penuh rakus.
Memerhati ahli sihir itu menjamu selera sudah cukup untuk mengenyangkan Roland. Anna menyuap kek ke dalam mulutnya dengan mata yang bersinar riang dan rambutnya berterbangan diulit angin petang. Sambil merenung Anna, jantung Roland tiba-tiba berdegup laju dan dia terfikir, bagaimana orang boleh makan makanan yang tidak nampak menyelerakan selama ini?
Rupa pun sama penting untuk membangkitkan rasa.
Melihat Anna berlatih dan menikmati minum petang bersama kini sudah menjadi rutin harian Roland. Dia tidak nampak berminat dengan hal ehwal pentadbiran bandarnya. Barov yang membantu dia menangani semua masalah agar semuanya berjalan lancar.
Tiga hari kemudian, Barov pergi ke kamar rasmi Roland untuk memberikan laporan tentang perdagangan Pekan Sempadan yang pernah diminta oleh Roland. Ia saat yang menghairankan kerana sebelum ini, Putera Keempat itu tidak pernah berminat mahu membaca laporan-laporan rumit setebal itu.
Rupanya sampai sekarang dia masih tidak mampu membacanya. Roland baru sahaja membaca dua baris ayat sebelum dia mula rasa pening lalu berkata kepada Barov, "Bacakan kepada Beta."
Dia mendengar Barov membacakan laporan itu selama sejam sebelum dia menemui sesuatu yang tidak kena. "Kenapa Pekan Sempadan tiada rekod hasil perdagangan atau cukai tahunan semasa musim sejuk?"
Musim sejuk memang bersalji jadi dia boleh faham jika ada kekurangan hasil tuaian, tetapi tidak mungkin langsung tiada? Adakah penduduk pekan itu berhibernasi sepanjang tempoh itu?
Barov mendehem, "Tuanku, Tuanku sudah lupa? Musim sejuk adalah Bulan Kunjungan Iblis. Pekan ini tidak mampu mempertahankan diri daripada serangan iblis jadi semua penduduk terpaksa berhijrah ke Kubu Longsong. Tetapi jangan risau, keselamatan Tuanku ialah keutamaan kami."
"Bulan Kunjungan Iblis?" Roland seperti pernah terdengar istilah itu. Dia sendiri tidak percaya dengan kisah hantu dan cerita tahyul tentang ahli sihir, dan hanya menganggapnya sebagai sebahagian daripada kepercayaan masyarakat Zaman Pertengahan yang jahil. Tetapi sekarang dia sudah tahu ia bukannya tahyul kerana dia sendiri sudah melihat kewujudan ahli sihir. Jadi bagaimana pula dengan kisah legenda lain, seperti hantu?
Semasa dia kecil dahulu, guru sejarahnya pernah menceritakan tentang Bulan Kunjungan Iblis. Setiap kali musim sejuk tiba, setelah salji pertama turun dan matahari menghilang di sebalik pergunungan, kegelapan sepekat malam akan menyelubungi seluruh bandar. Pada masa itu, gerbang neraka akan terbuka dan iblis akan keluar ke dunia.
Roh-roh jahat itu akan merasuk manusia dan menukarkan mereka menjadi hamba abdi syaitan. Sebilangan haiwan akan bertukar menjadi raksasa dahsyat yang akan menyerang manusia. Kebanyakan ahli sihir akan lahir semasa bulan ini dan inilah yang memberikan mereka kuasa luar biasa.
"Awak pernah melihat Gerbang Neraka?" tanya Roland.
"Tuanku, mustahil manusia biasa boleh melihatnya," Barov menggelengkan kepalanya. "Usah Tuanku berkata begitu. Pergunungan tempat tinggal mereka tidak boleh ditakluki sama sekali. Jika kita berada hampir dengan pergunungan itu pun, ia sudah cukup untuk membuat kita disampuk semangat jahat. Mula-mula kita akan rasa pening-pening, dan ia akan melarat hingga kita boleh jadi tidak siuman. Melainkan…"
"Melainkan apa?"
"Melainkan jika orang yang masuk ke Gerbang Neraka itu ialah ahli sihir. Hanya ahli sihir yang boleh memasuki Gerbang Neraka kerana mereka sudah kehilangan rahmat Tuhan dan menjadi orang suruhan syaitan. Jadi mereka tidak perlu takut dengan kuasa jahat," kata Barov sambil menjeling ke arah laman belakang istana.
"Awak pernah tengok iblis yang datang itu?" tanya Roland sambil mengetuk meja untuk menarik kembali perhatian Pembantu Menteri itu.
"Terus-terang Patik sendiri tidak pernah melihat mereka. Seperti Tuanku, ini kali pertama Patik datang ke pekan yang terletak di sempadan negara ini. Di ibu kota, hanya beberapa orang sahaja yang pernah melihat iblis."
Jika Roland terpaksa berhijrah sekali setahun, bagaimana dia mahu memajukan Pekan Sempadan? Pada mulanya dia fikir Pekan Sempadan ialah tanah gersang yang boleh dibangunkan, tetapi sekarang ia kelihatan seperti angan-angan mat jenin.
"Kubu Longsong sudah cukup untuk menghalang kedatangan iblis, dan iblis juga tidak kebal serta boleh dibunuh. Jadi kenapa kita tidak kekal di sini dan mempertahankan Pekan Sempadan?"
"Kubu Longsong ada tembok yang sangat tinggi. Ia juga markas bagi angkatan tentera handalan pimpinan Duke Ryan. Ia jauh berbeza daripada Pekan Sempadan. Pekan ini tidak tertanding langsung dengannya," jelas Barov. "Pada awalnya, Pekan Sempadan ini sendiri dibina agar ia boleh memberi amaran tentang kedatangan iblis ke kubu itu. Sebab itu pekan ini dibina antara Pergunungan Cerun Utara dan Sungai Air Merah."
Rupanya Pekan Sempadan wujud hanya sebagai langkah untuk memperlahankan kemaraan iblis. Pekan ini merupakan satu-satunya jalan untuk ke Kubu Longsong. Roland hanya mampu ketawa mengenangkan nasib malangnya.