Unggun api terbakar marak di pendiangan bagi menghalau kedinginan yang menyusup masuk melalui celah pintu dan jendela kamar istana itu. Di dinding atas pendiangan itu, tergantung kepala seekor rusa jantan yang bertanduk besar dan bayang-bayang yang dihasilkan oleh tanduk itu menari-nari seperti cakar haiwan yang menggerunkan.
Bertentangan dengan pendiangan itu, ada sebuah meja kayu panjang berwarna merah darah yang menempatkan tindihan buku-buku dan gulungan kertas kekulit, kebanyakannya arahan diraja yang menanti untuk ditandatangan. Biasanya Roland akan menghabiskan masa di dalam kamar ini untuk mengurus kerja rasmi – selepas dia menukar keseluruhan tingkat tiga istana itu menjadi pejabatnya, dia mula menyukai tempat ini.
Di belakang kerusi Roland, kelihatan sepasang pintu tetingkap yang menyajikan pandangan keseluruhan pekan itu sehingga sampai ke banjaran gunung yang terletak nun jauh di kaki langit. Pergunungan itu mengunjur melalui benua Banjaran Puncak Langit yang memisahkan Kerajaan Graycastle di timur dan Gurun Tak Diterokai di barat. Gunung Cerun Utara hanyalah salah satu cabang daripada Banjaran Puncak Langit.
Di pinggir sempadan istana itu, ada sebuah taman yang dikelilingi pagar kayu. Bangsal papan yang pada mulanya dibina sebagai makmal latihan Anna telah dirobohkan dan meja batu-bata yang menampung besi untuk dicairkan Anna telah dijadikan meja untuk jamuan minum petang. Bila cuaca cerah, Roland akan pergi ke sana untuk berjemur bawah cahaya matahari atau tidur siang atas sebuah kerusi goyang yang dibuat khas untuknya.
Walaupun istana itu tidaklah sebesar mana, ia masih boleh dianggap sebagai rumah agam dengan perkarangan taman yang luas. Dalam hayatnya yang lampau sebagai Cheng Yan, usah bermimpilah mahu memiliki sebuah istana batu. Malah mungkin Cheng Yan hanya mampu membayar tiket masuk untuk melawat istana seperti ini. Tetapi sekarang, dia bukan sahaja memiliki kediaman yang tersergam mewah ini, tetapi juga menguasai seluruh bandar.
"Tuanku, perbelanjaan Tuanku sudah banyak meningkat selepas pengambilan tukang dan tenaga buruh untuk projek pembinaan Tuanku. Jika kita terus berbelanja seperti ini, kita tak akan boleh bertahan sehingga musim bunga seterusnya." Barov memegang setimbun kertas kekulit sambil memberi laporan terkini keadaan kewangan mereka kepada Roland.
Pendapatan dan perbelanjaan Pekan Sempadan pada asalnya sangat mudah. Satu salur pendapatan mereka adalah perdagangan batu permata. Salur pendapatan ini dimonopoli Kubu Longsong yang mengaut semua batu permata yang dilombong pekerja Pekan Sempadan sebagai tukaran untuk gandum atau roti tanpa dikenakan sebarang cukai dan proses barter ini selalunya dikendalikan orang Kubu Longsong. Boleh dikatakan bangsawan yang tinggal di Pekan Sempadan hanya bertindak sebagai wakil para pelabur di Kubu Longsong dan tanah mereka sebenarnya terletak di timur Kubu Longsong di mana setiap tahun, para pelabur itu menugaskan tuan tanah yang berbeza secara sementara untuk mengendalikan urus niaga mereka.
Sebenarnya sejarah Pekan Sempadan baru sahaja bermula kurang tiga puluh tahun yang lalu. Jika dibanding dengan usia Kubu Longsong iaitu 200 tahun, Pekan Sempadan ini boleh dianggap sebagai bayi baru lahir sahaja. Pada mulanya Duke Ryan hanya mahu membina kota kara di sini untuk bertindak sebagai amaran awal bagi kedatangan makhluk iblis tetapi dia tidak sangka akan menemui longgokan sumber galian yang mewah di Gunung Cerun Utara semasa menerokai tanah ini. Jadi dia memutus untuk membuka sebuah pekan di sini dan menamakannya Pekan Sempadan. Boleh dikatakan Lombong Cerun Utara yang telah melahirkan pekan itu.
Bagi mencegah kecurian dan penipuan, duke itu tidak menugaskan golongan bangsawan di sini, tetapi sebaliknya dia mengupah warga tempatan, pelarian, malah banduan sebagai pelombong. Hasil perlombongan akan diagihkan secara berkadaran mengikut jumlah pelaburan asal para pelabur Kubu Longsong. Pentadbir kubu itu hanya perlu membayar pelombong itu dengan bekalan bijirin selama setahun dan upah komisen kecil yang merupakan jumlah tetap dan tidak akan berubah tak kira berapa banyak batu permata yang berjaya dilombong keluar. Pekan Sempadan mempunyai lebih dua ribu penduduk dan separuh daripada mereka bekerja di lombong itu.
Yang separuh lagi terlibat dalam industri lain di pekan itu seperti di bengkel tukang besi, kedai minum, kedai kain, dan sebagainya. Cukai pendapatan Pekan Sempadan yang begitu rendah hanya datang daripada perniagaan ini dan menjelang hujung tahun, bilik kebal Istana Pekan Sempadan sudah habis licin. Pemerintah terdahulu merasakan pekan ini tiada harapan untuk hidup. Malah sebaik sahaja Putera Roland yang sebenar dihantar ke sini, Duke Ryan hanya berkurung di Kubu Longsong dan tidak menjejakkan kaki ke Pekan Sempadan lagi.
Oleh itu, Roland yang sekarang terpaksa membayar upah pekerja dengan wang peribadinya. Jangan harap Putera Roland yang asal sanggup mengeluarkan duit dari poketnya sendiri. Tetapi bagi Cheng Yan, sekiranya dia dapat menstabilkan keseluruhan pekan ini, dia tidak kisah menghabiskan semua hartanya sekalipun. Lagipun pada masa hadapan, batu permata keluaran Pekan Sempadan tak akan ditukar dengan makanan lagi. Mereka akan mengenakan bayaran untuk itu dan keuntungan itu nanti akan menjadi pulangan besar bagi pelaburan sekarang.
Masalahnya, Kubu Longsong pula enggan melepaskan pegangan monopoli mereka dan mahu tetap membeli batu permata Pekan Sempadan dengan gandum sahaja – rancangan Roland kini boleh diibaratkan sebagai mahu merampas daging buruan dari rahang harimau. Tetapi data Barov pula menunjukkan rekod tenaga kerja yang tidak berkesan serta kekangan pengangkutan. Nilai keluaran batu permata Pekan Sempadan setiap tahun bernilai kurang seribu keping emas sahaja. Jika dibanding dengan pendapatan keseluruhan Kubu Longsong, nilai ini umpama setitik air dalam satu lautan. Namun yang menanggung kerugian ini nanti sudah tentu para pelabur itu sendiri.
Demi kemajuan jangka masa panjang Pekan Sempadan, jalur pendapatan ini mesti diambil alih segera. Roland tahu, walaupun pelaburan mereka sudah memberi pulangan penuh sepuluh tahun lalu, golongan bangsawan ini tidak akan begitu senang melepaskan hak mereka. Memang nilainya kecil, tetapi mereka mendapat keuntungan tanpa perlu melakukan apa-apa kerja. Putera Roland sanggup pertimbang untuk memberi memberi pampasan serta faedah kepada mereka, contohnya diskaun pembelian separuh harga dan sebagainya. Tetapi dia tak akan biarkan satu lagi kapal penuh batu permata belayar keluar dari Pekan Sempadan dan dibalas dengan bijirin sebanyak separuh sampan sahaja.
Sambil Roland meneliti senarai itu, Barov pula merenung susuk tubuh putera itu.
Sepanjang tiga bulan lepas, atau lebih tepat sekali bermula bulan lalu, Putera Roland mengalami perubahan yang tidak disangka. Orang luar mungkin tidak menyedarinya tetapi Barov berada di samping putera itu setiap hari jadi dia paling cepat menangkap perubahan itu.
Semasa di Kerajaan Graycastle, telinganya sudah lali mendengar tentang perangai tidak senonoh Putera Roland itu. Baginda sering berbuat sesuka hati tanpa memikirkan kedudukannya sebagai ahli keluarga diraja. Baginda tidak pernah melakukan apa-apa kesilapan besar tetapi baginda begitu kerap mencari pasal jadi kelakuannya lebih teruk berbanding kekanda-kekanda baginda.
Semasa Barov diarahkan Baginda Raja Wimbledon untuk bertugas di sini, dia berasa begitu kecewa. Jika Raja Wimbledon tidak menjanjikan dia kenaikan pangkat sebagai Bendahari Negara selepas pewaris takhta baginda ditabalkan, Barov tentu sudah lama mengangkat bendera putih.
Dalam masa dua bulan pertama setelah ketibaan mereka di Pekan Sempadan, Putera Roland masih meneruskan kerenah kebudak-budakan yang menyinggung banyak golongan bangsawan di sana. Mujurlah pekan itu kecil jadi bila semua kakitangan istana meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan Putera Roland, Barov dapat mengisi semua kekosongan itu dengan beberapa orang staf diraja yang dia bawa dari Kerajaan Graycastle.
Kemudian keadaan mula berubah.
Bila agaknya perubahan ini bermula? Barov cuba berfikir dan dia merasakan mungkin… selepas baginda menyelamatkan ahli sihir itu.
Mulanya Barov menyangka Roland sudah disampuk syaitan atau mungkin dia sedang dikawal ahli sihir lain. Tetapi Barov rasa itu tidak mungkin. Jika syaitan mahupun ahli sihir ada kebolehan mengambil alih tubuh manusia, mengapa mereka memilih Putera Roland? Bukankah lebih logik jika mereka merasuk Baginda Raja Wimbledon atau Paus sendiri? Tambahan lagi, teori Barov dikukuhkan lagi bila dia melihat putera itu memegang Kalung Keramat Tuhan.
Itulah senjata utama Gereja Inggeris untuk mengunci ahli sihir. Semua hantu iblis tentu akan meraung kesakitan sekiranya tersentuh Kalung Keramat Tuhan itu. Namun Roland dapat menggenggam dengan erat dalam tangan baginda. Dari pandangan lain pula, sekiranya lelaki itu bukan Putera Roland tetapi iblis tingkat tinggi yang tidak takut pun dengan kuasa Tuhan, adakah patut dia didedahkan pada khalayak umum? Lagipun menyelamatkan nyawa manusia lain adalah perbuatan yang mulia.
Putera Roland masih meneruskan perangainya yang kadang-kadang gatal dengan wanita dan mudah leka bila bekerja tetapi Barov sudah merasai kelainan pada diri putera itu. Tidak, fikir Barov, kedua-dua orang itu mempunyai perwatakan yang nyata berbeza.
Perbezaan paling besar ialah dari segi matlamat. Dia dapat merasakan putera itu sedang merancang sesuatu. Untuk mencapainya, baginda menggunakan pelbagai kaedah yang tidak dapat difahami. Contohnya, semasa Putera Roland memaksa Barov untuk membantu menyelamatkan ahli sihir itu, rancangannya memang kelihatan keanak-anakan dan kebarangkalian untuk gagal sangat tinggi tetapi baginda masih berazam untuk meneruskan rancangannya dan yakin baginda akan mendapat kejayaan yang cemerlang.
Ini paling membingungkan Barov. Takhta Kerajaan Graycastle boleh dimenangi mana-mana adik-beradik Putera Roland yang lain kecuali Putera Roland sendiri. Baginda sendiri sudah cukup tahu tentang itu. Jadi kenapa baginda masih beria-ia mahu membangunkan Pekan Sempadan yang kecil dan tidak penting ini? Malah dewa-dewi sekalipun akan mengatakan ia sesuatu mustahil. Entah apa agaknya rancangan gila Putera Roland untuk memajukan Pekan Sempadan menjadi bandar besar yang makmur seperti Valencia? Apa yang merasuk fikiran baginda sehingga baginda sanggup mencuba sesuatu seperti itu?
Jika ia hanya khayalan yang tidak masuk akal, tak apa lagi, tetapi kegigihan Putera Roland untuk membina tembok itu membuktikan baginda memang serius. Baginda memang mahu mengukuhkan penempatan ini dengan hanya berpegang kepada sejenis produk ciptaan alkimia bernama "simen" untuk membina sebuah tembok yang mustahil dapat didirikan.
Keluarga Barov ada ahli alkimia mereka sendiri tetapi dia tidak pernah melihat ahli alkimia mencipta bahan seperti itu. Jika Putera Roland mahu membina tembok dengan bergantung kepada sesuatu yang tidak pernah wujud sebelum ini, adakah ini namanya keyakinan diri melampau atau angan-angan kosong sahaja? Apa lagi rahsia yang disembunyi Putera Roland? Barov mula rasa berminat untuk melihat apa yang akan terjadi seterusnya.