Melihat wajah Xiao Xiaolong yang merah tetapi dia masih bercakap dengan nada sombong, Bu Fang memandang dia dengan penuh erti dan tersenyum.
Mata Xiao Xiaolong berkedip dan kulitnya yang cerah semakin merah, tetapi dia masih berani berkata, "Biar aku katakan dahulu, bukan kerana aku terima harga melampau kau baru aku pesan hidangan kau. Sebenarnya, aku berhasrat untuk membuktikan Nasi Goreng Telur kau tidak bernilai sebegitu!"
"Aku faham, semangkuk Nasi Goreng Telur bukan? Tunggu sebentar," kata Bu Fang tanpa emosi. Dia melambai tangannya dan menuju ke dapur, "Oh ya, Mi Kering Kacau dan Sayur Goreng juga sangat enak. Mahu cuba sekali?"
"Ada orang pernah kata, Nasi Goreng Telur lebih enak dimakan dengan Sayur Goreng." Bu Fang berhenti di depan pintu masuk dapur seketika dan memandang ke belakang. Dengan tenang dan tanpa malu mengiklankan dua hidangannya yang lain.
Fikiran Xiao Xiaolong menjadi serabut seketika, kemudian melihat harga kedua-dua hidangan dan tiba-tiba berasa sakit yang tidak dapat diterangkan di dadanya.
"Tak perlu, bagi aku Nasi Goreng Telur sahaja."
"Oh, okay, sayangnya." Bu Fang mengangguk dan memasuki dapur.
Melihat reaksi tenang Bu Fang, Xiao Xiaolong terasa mahu menumbuk muka dia. Dia berfikir, "Seratus syiling emas untuk satu pinggan Sayur Goreng, adakah kau fikir aku ini dungu? Sayur Goreng yang sepatutnya berharga sepuluh syiling tembaga, dijual dengan harga seratus syilling emas. Ini mungkin satu-satunya kedai di seluruh benua yang berani melakukannya. "
Sementara Bu Fang memasak Nasi Goreng Telur, Xiao Xiaolong berasa bosan dan tanpa sengaja mengalihkan pandangan kepada anjing hitam besar yang duduk di pintu masuk, dengan tepat, mangkuk yang sedang diawasi oleh anjing itu.
Dalam fikirannya, Xiao Xiaolong mengenang aroma Nasi Goreng Telur tadi. Ia seperti sutera lembut dan belaian seorang kekasih. Tiba-tiba, seleranya melonjak dan perutnya berkeroncong seperti guruh. Nasib baik, tiada pelanggan lain di kedai itu, jika tidak, tuan muda Xiao yang terkenal dengan gaya hidup dan sikapnya di bandar diraja selama ini akan dimalukan.
Anjing hitam besar yang sedang makan dari mangkuknya tiba-tiba kaku, seolah-olah merasakan sesuatu dan mengangkat kepalanya. Apabila pandangannya tiba pada Xiao Xiaolong dan menyedari manusia bodoh itu masih menatap mangkuk makanannya, ia menjadi marah!
Anjing itu menarik dekat mangkuknya dan berpusing ke belakang. Dengan punggung menghadap Xiao Xiaolong dan terus makan selepas ia menyekat garis penglihatannya.
Xiao Xiaolong merasakan dadanya sekali lagi ditembusi oleh sebatang anak panah yang tidak kelihatan ... Dia dipandang rendah oleh anjing itu untuk kali kedua!
"Heh! Kau fikir aku sangat terdesak mahukan makanan anjing? Hanya seekor anjing, tetapi berani memandang rendah manusia! Ish!" Xiao Xiaolong berfikir dengan marah.
Selepas lima minit, bau wangi merebak dari dapur sekali lagi. Aroma telur yang dicampur dengan aroma nasi putih itu memabukkan Xiao Xiaolong. Air liur tidak terkawal di dalam mulut disebabkan terhidu aroma itu.
"Baunya sangat harum, tetapi ia masih tidak masuk akal untuk dijual dengan harga satu kristal!" Xiao Xiaolong fikir sambil menelan air liurnya.
Akhirnya, Bu Fang melangkah keluar dari dapur dengan satu mangkuk di tangannya. Haruman yang kuat dari hidangan itu berlegar ke udara dan memenuhi ruang restoran.
"Ini Nasi Goreng Telur kau, sila nikmati."
Bu Fang berkata tanpa emosi sambil meletakkan Nasi Goreng Telur di hadapan Xiao Xiaolong.
Melihat asap putih yang keluar dari mangkuk itu dan berputar di hadapan Xiao Xiaolong sebelum hilang di udara. Ia seperti satu letusan aroma dan menyebabkan Xiao Xiaolong menyedut nafas yang dalam tanpa sengaja.
Tanpa memberi perhatian kepada Bu Fang, Xiao Xiaolong memandang Nasi Goreng Telur itu. Dia berfikir, "Berani dia menjual semangkuk Nasi Goreng Telur dengan harga satu kristal... pastinya bukan Nasi Goreng Telur yang biasa!"
Di atas mangkuk tembikar putih adalah bijian nasi seperti mutiara. Setiap biji nasi dibalut dengan cecair telur berwarna emas. Cairan telur itu tidak dimasak sepenuhnya, dan masih dalam keadaan melekit. Ia seolah-olah biji-bijian nasi ditabur bersama lapisan cecair telur. Walau bagaimanapun, kadar kelekitan cecair telur dikawal dengan baik dan dimasak sehingga lapan puluh peratus. Apabila dicampurkan dengan nasi, ia kelihatan seperti dilapis di atas sehelai kain emas nipis, berkilat seperti cahaya keemasan.
"Ia... bersinar!" Xiao Xiaolong terpegun menatap Nasi Goreng Telur di hadapannya.
Dia tidak sangka Nasi Goreng Telur boleh dimasak seperti ini dan ia seperti karya seni.
Xiao Xiaolong adalah kelahiran mulia. Sebagai anak ketiga seorang jeneral yang hebat, dia mempunyai pelbagai cara untuk menikmati semua jenis makanan enak. Dia telah merasai Nasi Goreng Telur yang dimasak oleh cef dari keluarganya, dan juga Nasi Goreng Telur yang dimasak oleh cef diraja dari istana ... Namun, apabila dibandingkan dengan semangkuk Nasi Goreng Telur yang bersinar di hadapannya, nasi goreng telur yang lain kalah dari segi penampilan dan wangian.
Sebenarnya, Nasi Goreng Telur di hadapannya hanya mengandungi telur dan nasi. Tiada sebarang ramuan lain, malah bawang hijau pun tiada. Walau bagaimanapun, Xiao Xiaolong rasa satu perasaan yang tidak dapat diterangkan, Nasi Goreng Telur ini pastinya jauh lebih enak dari yang dibuat oleh cef diraja dari istana!
Xiao Xiaolong mengambil sudu tembikar berwarna biru dan putih yang diletakkan di atas meja. Sambil menjilat bibir, dia mencedok satu sudu Nasi Goreng Telur dengan berhati-hati dan terlihat cecair telur yang melekit ditarik seperti benang yang halus. Wangian yang tebal meluru keluar dan menyerang tunas rasanya, ketika sudu itu dicedok sekali lagi ke dalam Nasi Goreng Telur.
Tanpa mempedulikan apa-apa lagi, Xiao Xiaolong menyuap satu sudu Nasi Goreng Telur itu ke dalam mulutnya.
Apabila sudu memasuki mulutnya, rasa yang amat indah mengejutkan tunas rasanya. Cecair telur yang agak melekit tiba-tiba menjadi padat bersama dengan campuran biji-bijian nasi yang seperti mutiara, mencetuskan letupan di dalam mulutnya!
"Oh Tuhanku, bagaimana mungkin Nasi Goreng Telur yang lazat sebegini wujud di dunia ini? Aku rasa macam mahu menangis! "
Xiao Xiaolong sudah mabuk dalam rasa itu, seolah-olah seluruh badannya sedang berenang di laut yang dibuat daripada rasa Nasi Goreng Telur.
Xiao Xiaolong menyuap Nasi Goreng Telur itu tanpa henti, walaupun kehangatan dari nasi itu membuatnya hendak bersin, dia tidak dapat berhenti.
"Nom Nom!"
Wajah Xiao Xiaolong hampir diselam ke dalam mangkuk, hampir serupa seperti mana anjing hitam besar makan Nasi Goreng Telur tadi.
"Enak!" Xiao Xiaolong mencedok dan mengunyah nasi dalam satu gerakan. Semasa dia menjerit, beberapa biji nasi emas terbang dari mulutnya. Matanya membulat semasa dia mengutip biji-biji nasi itu dari atas meja dan memasukkan semula ke dalam mulutnya.
Bu Fang yang duduk bertentangan dengan Xiao Xiaolong, melihat kejadian ini dengan tenang. Reaksi Xiao Xiaolong sama seperti apa yang dia jangka. Kali pertama dia mencuba Nasi Goreng Telur masakan sendiri, reaksinya persis seperti ini.
Xiao Xiaolong seterusnya menggunakan lidah untuk menjilat seluruh mangkuk dengan bersih. Selepas dia menelan biji nasi terakhir, dia menghela nafas dengan wajah yang puas.
"Adakah ini betul Nasi Goreng Telur? Ini terlalu menakjubkan! Bahkan keluarga aku ... Tidak, bahkan cef diraja tidak akan dapat membuat seperti ini!" Gumam Xiao Xiaolong kepada diri sendiri. Bu Fang masih berdiam diri sambil duduk di situ.
"Sekarang, kau rasa ia patut bernilai satu kristal?" tanya Bu Fang..
Tetapi, Xiao Xiaolong hanya mengerut dahi dan berkata, "Nasi Goreng Telur ini memang betul makanan istimewa, tetapi kau faham nilai kristal?
"Kristal mampu membantu pertapa meningkatkan kemampuan mereka, tetapi bolehkah Nasi Goreng Telur kau melakukannya? Nilainya adalah berbeza, tetapi aku akui, Nasi Goreng Telur kau memang sangat enak!"
Bu Fang mengangkat keningnya dengan terkejut. Dia tidak sangka Xiao Xiaolong akan menjawab seperti itu. Walaupun ia logik, dia masih berfikir, "Si Pondan ini nak makan dan tidak mahu bayarkah?!"
Sebelum Bu Fang sempat menjawab, wajah Xiao Xiaolong yang berkulit cerah tiba-tiba menjadi merah. Seluruh badannya mula bersinar, ia seperti lonjakan kuasa kuat yang mengalir di dalam tubuhnya.
"Burp ~~"
Muka Xiao Xiaolong kembali seperti biasa selepas dia sendawa, tetapi percakapan dia semasa melihat kepada Bu Fang menjadi pelik dan bersemangat.
Suaranya malah menggeletar ...
"Bagi.. bagitahu aku, apakah bahan… yang ada di dalam Nasi Goreng Telur kau?!"