Tuan kedai, berikan saya sepuluh mangkuk Nasi Goreng Telur!
Jika kata-kata ini dilaung di sebuah restoran kecil yang biasa, tuan kedai itu mungkin akan sangat gembira. Tetapi di kedai Bu Fang, dia tidak rasa gembira langsung.
Bu Fang yang mahu masuk ke dapur terhenti dan berpaling untuk Sun Qixiang yang memakai jubah berwarna-warni. "Encik, restoran ini hanya menjual semangkuk Nasi Goreng Telur untuk setiap pelanggan setiap hari. Kamu boleh pesan hidangan lain seperti Sayur Goreng dan Mi Kering Kacau... Oh, atau pun Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi."
Sun Qixiang terkejut dan tidak sangka pesanannya ditolak. Dia memandang Bu Fang seperti dia sudah gila sambil menunjuk kipas kertasnya kepadanya dan berkata dengan senyuman, "Kamu tidak tahu saya siapa?"
Dia ialah salah seorang daripada tiga kaki perempuan yang tersohor di bandar diraja, Sun Qixiang. Tidak ada sesiapa yang tidak mengenali dia! Tuan restoran kecil ini mahu menduga ajal apabila menolak permintaannya!
Bu Fang mengerut dahinya sambil melihat wajah Sun Qixiang dengan teliti. Matanya sepet, bibir muncung dan pipi seperti monyet. Walaupun kehodohan dia boleh membuatkan orang salah anggap dia dari spesies yang lain... Bu Fang masih tidak mengenali dia.
"Saya tidak kenal kamu, tetapi ini ialah peraturan restoran saya, kamu boleh pergi kalau tidak mahu makan," kata Bu Fang.
"Ah, menarik! Aku paling suka melanggar peraturan. Sekiranya kau tak beri aku sepuluh mangkuk Nasi Goreng Telur hari ini, aku akan hancurkan restoran kau! Berani restoran sekecil ini cakap pasal peraturan dengan aku!" Sun Qixiang ketawa dengan sombong. Rupanya ada orang di bandar diraja yang tidak mengenal dia.
Xiao Yanyu tidak boleh terus mendiamkan diri. Dia tidak sangka Sun Qixiang akan mengikuti mereka ke restoran ini. Kesalahan akan tergalas dibahu Xiao Yanyu jika restoran ini dimusnahkan.
"Sun Qixiang, kamu beradab sikit! Jika mahu makan, makan dengan betul. Ataupun kamu mahu saya campak kamu keluar?!" kata Xiao Yanyu dengan dingin.
Xiao Xiaolong dari tadi menjeling dingin pada Sun Qixiang.
Sebaliknya, Bu Fang masih kekal tanpa emosi walaupun dia diancam oleh Sun Qixiang.
Dia melirik Sun Qixiang sambil menggosok tapak tangannya dan berkata, "Hancur restoran saya? Saya takut kamu tidak sekuat itu. Jika kamu mahu pesan makanan, pesan sekarang. Kalau kamu masih mahu membuang masa saya, kamu akan berada dalam senarai hitam restoran saya untuk selama-lamanya "
Xiao Yanyu dan Xiao Xiaolong sunggh terkejut. Mereka tidak faham mengapa Bu Fang tidak takut kepada Sun Qixiang. Sun Qixiang mempunyai pengaruh yang besar di bandar diraja ini. Malah restoran nombor satu, Restoran Phoenix Abadi, juga tidak berani menyinggung perasaan dia. Mengapa Bu Fang begitu yakin menentangnya?
Dengan amarah, Sun Qixiang terseyum. Restoran kecil yang dibuka di tempat terpencil sebegini boleh berlagak sombong di hadapannya, dia belajar suatu benda yang baru hari ini.
"Budak, kau berani. Orang terakhir yang bercakap macam ini dengan aku sudah menjadi makanan ikan." Sun Qixiang ketawa dingin dan memandang menu. Pada menu, ada empat hidangan.
Dia boleh arahkan orang suruhannya untuk menghancurkan restoran ini, tapi dengan adanya Xiao Yanyu di sini, dia tidak berani. Jadi, dia mahu lihat apa kemampuan restoran kecil ini miliki.
"Haha, ini memang restoran kecil, dengan hanya empat hidangan dan salah satu diulang pula. ... Kau nak buat kenduri dengan Nasi Goreng Telur itu?" Sun Qixiang hanya memandang nama hidangan tanpa menghirau harganya.
Harga? Wang Sun Qixiang lebih dari mencukupi!
"Apa yang kamu mahu pesan?" tanya Bu Fang tanpa emosi.
"Berikan aku setiap hidangan pada menu itu." Sun Qixiang menjawab sambil duduk di satu meja. Dia mahu tahu hidangan apa yang disaji oleh restoran kecil ini, sehingga dapat menarik minat gadis yang paling cantik di bandar diraja.
Sun Qixiang melihat ke sekeliling restoran kecil ini dan terpaksa mengakui hiasan dalamannya agak unik dan selesa.
"Setiap hidangan? Baiklah, semua sekali sebelas kristal dan dua ratus syiling emas."
Bu Fang mencebik sambil menyebut jumlahnya.
Sun Qixiang yang sedang duduk dengan kakinya bersilang, wajahnya tergamam apabila mendengar harga diberitahu Bu Fang. Dia melihat Bu Fang seperti dia seorang yang bodoh.
"Kau fikir aku sebodoh itu? Hanya dua mangkuk Nasi Goreng Telur, sepinggan Sayur Goreng dan sepinggan Mi Kering Kacau sahaja, dan kau beritahu itu semua berjumlah sebelas kristal dan dua ratus syiling emas? Sekurang-kurangnya pilih mangsa yang betul, berani kau cuba menipu aku?! "
Sun Qixiang terus menghaburkan kata-kata itu. Walaupun dia boros berbelanja tapi dia bukan seorang yang bodoh.
"Adakah kau buta? Harga sudah ditulis pada menu, berambus jika kau tidak mahu pesan!" Kesabaran Bu Fang telah hilang sepenuhnya, dia tidak mahu berlembut dengan pelanggan. Sebagai seorang yang ingin menjadi Tuhan Memasak, dia mempunyai ego tersendiri.
"Jangan berlagak kaya jika kau tak ada wang."
Apabila Xiao Xiaolong melihat reaksi Sun Qixiang, dia hampir ketawa. Ekspresi dia sama seperti Sun Qixiang semasa dia mula-mula tahu harga hidangan. Sekarang dia seronok apbila ekspresi itu muncul pada wajah orang lain.
"Tidak ada wang? Lucu betul! Aku boleh hentam kau hanya menggunakan wang! Jangan berlengah! Hidangkan saja, aku pasti akan bayar nanti!" kata Sun Qixiangm melirik dengan bongkak pada Xiao Xiaolong sambil membuka kipas dalam tangannya.
Matanya berputar seperti ada sesuatu dalam fikirannya.
Bu Fang tidak kisah. Memandang Sun Xiang telah memesan, dia akan terus masak hidangan berkenaan. Sesiapa yang masuk restoran dia adalah pelanggannya, dia tidak takut mereka akan menimbulkan masalah kerana restoran ini telah diubah suai oleh sistem. Oleh itu, sebarang percubaan untuk membuat masalah hanya akan berakhir dengan teruk.
"Sila tunggu sebentar."
Tanpa berlengah lagi, Bu Fang masuk ke dapur.
"Cik Yanyu, kenapa gadis cantik seperti kamu datang ke tempat macam ini untuk makan Nasi Goreng Telur!" Sementara mereka menunggu hidangan tiba, Sun Qixiang berasa bosan. Jadi dia berpaling ke pada Xiao Yanyu yang duduk berdekatan dan cuba memulakan perbualan.
Namun, Xiao Yanyu duduk seperti patung dan terus mengabaikannya.
Sun Qixiang dilayan dingin oleh Xiao Yanyu tapi dia tidak kisah. Dia sudah biasa balasan seperti ini jika dia mengganggu gadis cantik. Jadi, dia terus melihat sekeliling restoran ini dengan mata menyampah.
Apabila Sun Qixiang melihat harga pada menu itu sekali lagi, dia rasa seperti dicemuh.
Xiao Xiaolong yang duduk berada di sisi kurang bersemangat, dan memandang Xiao Yanyu dengan penuh dendam. Semua kristalnya telah diambil oleh kakaknya yang pembuli dan hanya tinggal duit syiling emas yang hanya cukup untuk dia memesan Mi Kering Campur.
Walaupun bukan Nasi Goreng Telur, tetapi ia juga dari restoran yang sama, ia juga mungkin hidangan luar biasa. Lagipun ... Ia dijual untuk seratus syiling emas!
Semua orang di dalam restoran kecil itu hanyut dalam lamunan masing-masing.
Tiba-tiba, satu letusan aroma wangi datang dari dapur seperti sutera terapung di udara ketika membelai muka mereka.
Xiao Xiaolong mencium bau itu dengan tekun. "Oh, bau ini memabukkan dan juga nostalgik!"
Mata Xiao Yanyu yang terang juga penuh dengan kejutan. "Ia sungguh... wangi!"
Sun Qixiang terus menghidu dan matanya tiba-tiba bersinar. "Ternyata restoran kecil ini ada kebolehan! Wangian ini ... menakjubkan!"
Tiga pasang mata merenungnya, Bu Fang dengan santai berjalan keluar dari dapur.
"Ini Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi kamu, sila nikmati." Bu Fang sedang memegang sebuah mangkuk tembikar berwarna biru dalam tangannya, aroma yang kaya hanyut keluar dari mangkuk itu dan membentuk kabus di atasnya, yang mengaburkan pandangan hidangan itu.
Apabila mangkuk itu diletakkan di hadapan Xiao Yanyu, aroma wangi meluru ke arahnya, seperti bom aroma yang telah meletup.
Bau itu menjalar ke hidung Xiao Yanyu seperti sungai yang mengalir ke dalam laut. Angin lembu itu mengangkat purdahnya yang berwarna merah jambu dan mendedahkan wajahnya yang cantik.
Gurururu.
Xiao Yanyu menelan air liur dan bunyi keroncong datang dari perutnya. Mukanya yang cantik semakin merah kerana malu.
Untuk semangkuk Nasi Goreng Telur yang menyebabkan Semangat Pertempuran Kelas Keempat rasa lapar... Itu satu keajaiban!
Apabila kabus mengaburi hidangan itu akhirnya hilang, satu pancaran emas tiba-tiba muncul dari mangkuk.
Sun Qixiang dan Xiao Xiaolong sama-sama terkejut!
Xiao Yanyu menutup mulutnya dan ikut sama terkejut.