"MACAM mana dengan keadaan Puteri Yan? Ada apa-apa perubahan?" tanya Maharaja Wang Shu kepada anak keempatnya, Shu Yan. Kediaman Yan yang selama ini penuh dengan kebahagian dan keceriaan, dengan tiba-tiba berubah seperti itu.
Sebentar tadi dia menyuruh orang kanannya memanggil putera keempat itu untuk datang ke kediamannya di istana. Mereka perlu meluangkan masa bersama seperti bapa dan anak. Selalunya Shu Yan hanya datang kerana ada urusan formal sahaja. Mengenangkan apa yang dia dengar tentang kejadian di kediaman Yan, hatinya ingin tahu apa yang berlaku.
Shu Yan menunduk hormat "Terima kasih tuanku atas keprihatinan terhadap Puteri Yan. Ingatannya masih belum pulih. Hanya sekadar bercakap sesuatu yang tak masuk akal," beritahu Shu Yan.
Dia tahu ayahandanya cukup kasih pada Xiao Hua. Apa pun berkaitan dengan Xiao Hua, hati itu dengan tenang merealisasikan apa pun pemintaan Xiao Hua. Tetapi Xiao Hua tidak pernah berlebih-lebihan. Meskipun mereka berbeza darjat tetapi ayahandanya lebih melayan Xiao Hua seperti anakandanya sendiri.
"Putera Yan... walaupun Puteri Yan hilang ingatan tapi jangan pernah berhenti beri kasih sayang. Dia mungkin berubah tetapi dia tetap Wu Xiao Hua," ujar Maharaja Wang Shu dengan nada lembut.
"Baik tuanku..." Shu Yan hanya menurut perintah.
Di dalam istana, dia dan Xiao Hua adalah pasangan yang paling bahagia sehinggakan orang disekeliling begitu mencemburui mereka. Kasih sayang yang tidak pernah ada penghujungnya. Setiap kali ada orang cuba untuk merendahkan Xiao Hua, setiap kali itulah dia akan mempertahankan isterinya.
Mereka membesar bersama-sama kerana bapa Xiao Hua adalah ketua general istana, malah merupakan orang terpenting bagi ayahandanya. Bapa Xiao Hua juga banyak mengajarnya tentang ketenteraan, seni pertahanan diri dan taktik untuk menentang musuh. Sehingga sekarang, ajaran itu tetap dalam ingatannya apatah lagi ketika ini dia yang bertanggungjawab pada seluruh tentera istana mereka.
Dia masih ingat saat pertama kali dia bertemu dengan Xiao Hua di kediaman Wu. Wanita itu nampak begitu polos. Anak kedua itu hanya bermain seorang diri tanpa teman. Ketika itu dia cuba mendekatkan diri dengan Xiao Hua sehinggalah mereka rapat seperti sukar untuk dipisahkan.
Bibirnya mengukir senyuman kecil. Sesungguhnya memori itu sangatlah indah baginya. Tetapi itu dulu. Sekarang dirinya bagaikan disiat-siat. Kebaikan yang diberi, dilemparkan pula dengan sesuatu yang tidak menyenangkan. Dalam erti kata lain, Wu Xiao Hua tidak hargai segalanya.
Andai ayahandanya tahu apa yang Xiao Hua lakukan di belakang, dia tidak pasti sama ada ayahandanya mampu untuk menerima kebenaran itu. Sehingga sekarang dia masih menyimpan rahsia itu sendirian tanpa pengetahuan ayahandanya. Dia boleh membayangkan bagaimana kecewanya wajah itu andai kebenaran terbongkar. Seorang wanita yang sudah dianggap separuh dari keluarga diraja mereka akhirnya mengkhianati mereka.
"Emm? Senyum anakanda macam ada sesuatu aje?" Maharaja Wang Shu menegur bersama tawa kecil. Anak keempatnya itu memang cukup murah dengan senyuman. Dia lebih suka melihat sikap ceria itu berbanding dengan Wang Shu Yan yang mengendalikan tenteranya.
"Tak ada apa-apa tuanku. Cuma teringat kisah lama." Shu Yan merendah diri. Dia bukan berpura-pura tetapi dia mahu menjaga. Dia tahu andai berita tidak baik tentang Xiao Hua tersebar, pasti ayahandanya tidak akan mudah percaya. Apatah lagi tanpa bukti.
Antara sebab lain pula, kesihatan ayahandanya tidak cukup baik untuk mendengar cerita mengejutkan itu. Jadi lebih baik dia berdiri sendiri dan berlakon seolah-olah mereka masih menjadi pasangan bahagia.
"Xiao Hua?"
Shu Yan tersenyum tawar saat nama itu disebut. Senyuman itu meruntunkan hatinya. Setiap kali menyebut nama Xiao Hua, wajah itu kelihatan bersinar-sinar.
Maharaja Wang Shu menepuk perlahan bahu anakandanya. "Yan... General Wu pasti bangga dengan kamu. Kamu dah jaga Xiao Hua dengan baik. Apa pun yang terjadi, jangan pernah tinggalkan Xiao Hua. Dia seorang wanita yang sangat kasihan. Tempat dia untuk bermanja hanyalah kamu. Matinya dia pun di sisi kamu. Faham?"
Ayahandanya sudah tidak bercakap bahasa formal. Nasihat itu lebih kepada nasihat dari seorang bapa kepada anaknya.
"Kamu seorang yang setia. Kasih sayang kamu cuma untuk Xiao Hua. Kamu memilih untuk terus setia dengan seorang wanita berbanding ditemani oleh ramai-ramai wanita yang lebih cantik. Ayahanda bangga dengan kamu. Tetapi andai ada sesuatu yang berlaku pada perkahwinan kamu, jangan terus percaya. Percaya tanpa bukti itu hanya akan memusnahkan diri. Hati kamu perlu tanam kepercayaan. Macam mana kamu tanam cinta, macam itu jugalah kamu perlu tanam kepercayaan," sambung Maharaja Wang Shu lagi. Penuh dengan makna yang mendalam.
Selepas isterinya meninggal, dia tidak pernah pun menggantikan sesiapa untuk menjadi pemaisurinya. Seringkali isterinya berpesan perkara yang sama membuatkan hatinya cukup lembut. Menjadi maharaja bukan sesuatu yang ringan. Tetapi isterinya adalah segalanya. Saat dia hilang kawalan, isterinya yang akan menenangkannya.
Melihat sikap Shu Yan, tidak ubah seperti ibundanya. Sangat berlemah lembut dan merendah diri. Setiap kali menatap wajah Shu Yan, saat itu dia terasa bagaikan memandang wajah isterinya.
Shu Yan terkedu seketika. Merasakan ayahandanya seperti dapat menghidu ada sesuatu yang berlaku pada perkahwinan mereka. Sama ada itu perasaannya atau sebaliknya.
Maharaja Wang Shu ketawa. "Ayahanda sampaikan pesanan ibunda kamu. Itu resepi kebahagian rumahtangga. Kalau kamu nak bahagia, itulah perkara penting yang kamu kena ingat."
Shu Yan hanya mengangguk. Hatinya sedikit lega apabila itu cuma sangkaannya sahaja. "Baik ayahanda."
"Kamu perlu bawa Xiao Hua jumpa ayahanda. Dia perlu dikenakan hukuman kerana melupakan perkara terpenting dalam hidupnya," seloroh Maharaja Wang Shu.
Tatkala itu Shu Yan hanya mampu tersenyum. Segalanya tentang Xiao Hua membuatkan ayahandanya mengetepikan kerasmian. Dia sendiri pun susah untuk memanggil ayahandanya sendiri sebagai ayahanda tanpa sebab melainkan dalam keadaan lapang sebegini. Selebihnya dia menggunakan bahasa rasmi dalam ganti nama diri ketika berbual.
Tetapi perihal Xiao Hua, ayahandanya cukup mudah. Istimewanya wanita itu di mata ayahandanya.
Xiao Hua... berapa banyak hati lagi yang awak dah kecewakan.
********************
KOLAM di kiri dan kanannya masih tidak mampu untuk menenangkannya. Padahal dia suka ketenangan alam itu. Anehnya sekarang ini sudah tidak menjadi ubat untuknya.
Puas dia fikir, puas dia memberitahu hal yang sebenarnya tetapi tiada siapa pun mempercayainya. Jadi dia membuat keputusan untuk jadi wanita yang bernama Wu Xiao Hua itu. Gilakah dia? Tetapi keputusan apa lagi yang lebih baik dari itu? Tak ada. Kerana tiada siapa pun akan mempercayainya.
Ying Hua mengeluh perlahan. Dia sudah diberi kelonggaran untuk keluar dari biliknya dan berjalan-jalan di kediaman Yan itu. Tidak sangka kawasan itu begitu luas. Akhirnya kakinya berhenti di situ untuk menikmati udara yang nyaman.
Rasanya putera keempat merangkap suaminya itu tak adalah kejam sangat. Hanya kerana dia sakit waktu itu, tetap juga berlembut hati menyediakan makanan dan memberi kebenarannya untuk keluar dari bilik. Terasa sudah bebas dari tahanan seperti neraka itu.
Sejak dari itu dia mula fikir panjang. Dia ingin tahu sesuatu. Tetapi dia tidak pasti sama ada dia patut tahu atau tidak. Apatah lagi bukan berkaitan dengannya. Cumanya dia agak berminat dengan kehidupan Wu Xiao Hua. Entah mengapa hatinya begitu tertarik dengan pemilik nama itu.
"Wu Xiao Hua... siapa awak sebenarnya? Apa awak buat sampai saya tersesat di dunia asing ni..." Ying Hua berbicara perlahan.
Sebelum ini dia pernah juga melayan drama fiction tentang time travel. Walaupun pada mulanya memang agak mengarut baginya. Tapi dah nama pun fantasi, melayan sahajalah. Shen Xin memang suka dengan genre mengarut seperti itu. Dia pula lebih suka genre romantik, yang nampak lebih realiti.
Time travel. Kalau dia nak mengata tentang itu mengarut, macam mana pula mahu digambarkan tentang dirinya ketika itu? Mimpi?
Rasanya entah berapa kali dia mencubit pipi dan pahanya. Tetapi ia tetap bukan mimpi. Mujur tidak meninggalkan kesan lebam. Kalau tidak mungkin dituduh cuba menyiksa diri lagi.
Dia memandang pakaiannya. Hanfu. Rambutnya yang panjang hingga ke paras pinggang diselit dengan aksesori ringkas yang nampak anggun, persis seorang puteri. Fizikalnya masih sama. Rambutnya juga memang asal panjang sebegitu. Tiada yang berubah.
Fuh! Memang boleh gila kalau setiap hari fikir perkara yang sama.
"Saya tak sangka awak boleh ingat jalan untuk ke tempat saya walaupun entah berapa kali awak tak mengaku."
Mendengar sahaja suara itu, dia menghela nafas berat. Tak perlu berpaling pun dia sudah tahu siapa. Matanya terus menatap kolam tanpa mempedulikan lelaki yang berdiri di belakangnya.
"Kenapa? Tak sangka saya boleh bongkar rahsia awak?" Sinis sekali Shu Yan bersuara, seperti ingin mengejek wanita itu.
Ying Hua menarik nafas dan berpaling ke arah putera muda itu. Dia menyapa hormat dengan senyuman terpaksa. "Putera Yan..."
"Awak rasa kelakar ke?"
Ying Hua mengeluh. Hampir semua benda tak kena di mata lelaki itu. Dia cuma menyapa putera itu seperti orang lain menyapa. Kalau melawan nanti, nyawanya pula melayang. Matanya lebih tajam merenung pedang di tangan lelaki itu. Memang menempah maut la kalau dia menaikkan darah lelaki itu.
"Habis tu awak nak suruh saya buat apa?" balas Ying Hua. Sebenarnya dia lebih letih untuk bertekak dengan putera itu. Kakinya terus melangkah meninggalkan tempat itu. Kalau berlama-lama di situ, pergaduhan itu akan jadi lebih panjang.
Shu Yan hanya memerhati langkah wanita itu yang kian menjauh dari pandangannya. Dia masih tidak tahu apa yang perlu dia lakukan pada wanita itu. Mengenangkan nasihat ayahandanya, hatinya berbelah bahagi.
Melihat pada keadaan itu, tidak nampak seperti Xiao Hua berlakon apatah lagi di buat-buat. Sikap itu benar-benar berbeza dengan Xiao Hua yang dia kenal. Xiao Hua sememangnya sudah hilang ingatan. Tiada satu pun memori yang terpahat di minda itu termasuklah nama sendiri.
Putera Yan. Itu kali pertama dia mendengar Xiao Hua memanggilnya sebegitu. Dia masih ingat bagaimana Xiao Hua bersuara tentang nama panggilan. Kerana mahu menjadi yang teristimewa, hanya Xiao Hua satu-satunya yang memanggilnya dengan nama lain.
"Tuan muda..." Yuan Zhen menegur perlahan.
Shu Yan hanya sekadar melepaskan keluhan kecil lalu menghantarkan pandangan ke arah kolam. "Hua Er... dia patut mati waktu tu," ujarnya perlahan.
Yuan Zhen hanya mampu berdiam diri. Dia tidak tahu apa yang bermain di fikiran putera keempat itu. Kalau difikirkan semula, sepatutnya racun itu sudah mampu menghilangkan nyawa Puteri Yan. Tetapi ajaibnya wanita itu sedar seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Mungkin kerana keajaiban itu membuatkan putera keempat itu tidak habis fikiran. Sedar-sedar pula, Puteri Yan hilang ingatan. Sikapnya memang langsung tidak serupa dengan Puteri Yan yang dikenali itu. Meskipun peramah tetapi wanita itu tidak pernah ada sifat panas baran seperti sekarang. Malah percakapannya pula seperti kurang beradab.
"Yuan Zhen... saya kejam sangat ke?" tanya Shu Yan perlahan. Wajah bagitu sayu memikirkan apa yang berlaku.
Yuan Zhen menunduk hormat. "Puteri Yan yang pilih jalan begitu. Bukan salah tuan muda." Sopan dia bersuara.
Perihal wanita itu, dia tahu bukan salah putera keempat itu. Tiada siapa pun yang minta keadaan itu berlaku. Cumanya putera keempat itu tidak pernah menyangka bahawa itu keputusan yang menjadi pilihan Puteri Yan.
"Kalau awak berada di tempat saya, apa yang awak akan lakukan, Yuan Zhen?" tanya Shu Yan perlahan. Kini matanya menatap langit yang masih cerah itu. Pun begitu, fikirannya hanya fokus tentang Xiao Hua sahaja.
"Saya tak berani memberi pandangan, tuan muda." Yuan Zhen membalas.
"Saya cuma perlukan pendapat. Fikiran saya tak mampu untuk fikir lebih panjang. Jangan risau, saya tak ambil hati." Seakan-akan tahu apa yang Yuan Zhen fikirkan, dia bersuara perlahan. Sesiapa pun yang bercakap tidak sopan ataupun mendatangkan kemarahan kepada tuannya akan dihukum. Dia tahu Yuan Zhen tidak berani menyuarakan pendapatan kerana peraturan begitu.
"Maafkan saya tuan muda kalau saya tersalah cakap." Yuan Zhen menarik nafas.
Shu Yan mengangguk. Dia berpaling menghadap Yuan Zhen, menunggu kata-kata dari pengawal peribadinya. Kedua tangannya disilang ke belakang.
"Mungkin benar Puteri Yan banyak melakukan kesalahan pada masa lalunya. Kesalahan yang tidak dapat dimaafkan oleh tuan muda. Tetapi mengenangkan keadaan sekarang, Puteri Yan tidak seperti dulu lagi. Kemungkinan dia takkan mengulangi kejadian tu kerana dia sendiri pun tak ingat apa yang berlaku. Mungkin..." Yuan Zhen menghentikan kata-katanya.
"Mungkin?"
"Puteri Yan patut diberi peluang untuk berubah. Mungkin juga antara sebab itulah keajaiban berlaku pada diri Puteri Yan. Untuk diberi peluang menebus kesalahan yang dia lakukan sebelum ni..." sambung Yuan Zhen perlahan.
Shu Yan membisu. Wajahnya sedikit berubah.
"Maafkan saya tuan muda." Yuan Zhen segera melutut di hadapan putera keempat itu. Menyedari wajah itu sudah berubah. Dia bimbang kata-katanya itu kurang sopan.
Shu Yan berdiam diri. Apa yang dikatakan Yuan Zhen sememangnya masuk akal. Tetapi mudah untuk dikatakan, tidak mudah untuk menjalankan. Memaafkan mungkin nampak mudah. Kalau nak dibandingkan apa yang Xiao Hua lakukan itu, sememangnya sudah lama dilucutkan dari kediaman Yan. Tetapi pilihan wanita itu sangat mengejutkannya.
"Bangun..."
"Terima kasih tuan muda." Yuan Zhen bingkas bangun. Lega kerana tuannya tidak naik angin tentang pendapatnya.
"Saya akan fikir selebihnya. Terima kasih Yuan Zhen." Shu Yan menepuk lembut bahu Yuan Zhen bersama senyuman kecil. Kata-kata itu sedikit sebanyak membuatkan dia berfikir ke arah yang lebih baik.
Seperti yang Yuan Zhen katakan, Xiao Hua ketika ini bukan lagi Xiao Hua yang dulu. Kalau benar Xiao Hua tidak berlakon, mungkin dia akan cuba maafkan gadis itu. Andai sebaliknya yang berlaku, dia takkan berdiam diri lagi.
Xiao Hua... awak patut hargai peluang yang ada.