"TAK sangka isteri kesayangan Putera Yan masih hidup. Nampaknya mereka cuma mahu gelapkan mata kita sahaja. Mana mungkin Wang Shu Yan sanggup kehilangan isteri kesayangannya. Mereka berdua adalah pasangan yang paling bahagia di wilayah Shuxia."
Lelaki yang berpakaian hanfu berwarna biru terang itu sudah ketawa besar. Berita tentang Wu Xiao Hua yang cuba bunuh diri dengan meminum racun itu rupanya satu pembohongan. Krisis antara pasangan itu hanya mampu membuatkan dia tersenyum bahagia. Melihat Wang Shu Yan menderita adalah kebahagiannya.
"Walaupun Xiao Hua mengkhianatinya, dia tetap akan maafkan. Sebab apa? Sebab cinta!" sambung lelaki itu sambil ketawa terbahak-bahak apabila menyebut perkataan cinta.
Cinta? Cinta membuatkan Wang Shu Yan buta. Malah kerana cinta, Wang Shu Yan sanggup jadi bodoh. Itulah kelemahan Wang Shu Yan. Putera keempat wilayah Shuxia itu masih ada kelemahan. Hanya kerana perempuan, segalanya berubah.
Diteguk air dalam cawannya dengan rakus. "Walau apapun Wu Xiao Hua tetap akan cuba larikan diri dari kediaman Yan. Rahsianya sudah terbongkar, tak mungkin dia boleh tinggal di situ selamanya."
"Tapi... Wu Xiao Hua hilang ingatan," ujar pengikut lelaki itu.
"Emm?" Lelaki itu menjongket sebelah keningnya.
"Saya dengar pengawal-pengawal kediaman Yan bercerita. Wu Xiao Hua sepatutnya sudah mati tetapi ajaibnya keesokkan pagi kesihatannya baik seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cuma hilang ingatan sahaja dan sikap Wu Xiao Hua berubah mendadak," ujar pengikutnya lagi.
"Menarik..." Lelaki itu ketawa lagi. Seolah-olah satu berita gembira buatnya.
"Sekarang kediaman Yan lebih suram daripada biasa. Itulah akibat mempercayai perempuan," sambungnya bersama senyuman sinis.
"Dan Wu Xiao Hua... dia akan menderita di kediaman Yan. Permainan sudah tamat. Terima kasih pada Wu Xiao Hua kerana berjaya menjalankan rancangan ini dengan jayanya. Tanpa dia, aku takkan pernah dapat tengok wajah Wang Shu Yan dalam keperitan. Wu Xiao Hua... Wu Xiao Hua... tak sangka perempuan yang cukup nampak baik di mata rupanya ada agenda yang begitu besar. Wang Shu Yan pasti tak pernah menyangka perempuan yang dia sayang sepenuh hati sanggup memperlakukannya sebegitu."
Lelaki itu ketawa senang hati. Berita pagi itu sungguh membuatkan dia gembira. Cinta akhirnya menjadi benci. Pasangan yang paling bahagia akhirnya menjadi musuh. Salah satu perkara yang tidak pernah disangka olehnya. Musuh dalam selimut yang paling bahaya. Dipercayai sepenuh hati tetapi akhirnya dikhianati.
Dia masih ketawa tanpa henti. Kemenangan itu berpihak kepadanya. Tidak sabar dia untuk menunggu apa yang berlaku seterusnya.
********************
SETELAH beberapa hari dia berlegar-legar di kediaman Yan, akhirnya setiap sudut itu sudah berada di dalam mindanya. Puas dia memikirkan rancangannya, akhirnya dia memilih malam ini untuk bertindak.
Beberapa barang keperluan terutamanya makanan sudah dibungkus elok. Dia memang benar-benar nekad untuk melarikan diri. Sepanjang berada di situ, dia hanya terpaksa menghadap wajah tegang putera itu sahaja. Tiada satu pun yang baik berlaku padanya. Mungkin kehidupannya lebih indah jika dia keluar dari kediaman itu.
Xin Xin sudah pun pergi. Pengawal yang berada di hadapan pintu sememangnya sudah tiada selepas dia menggelapkan bilik. Kalau diikutkan waktu di duniannya, ketika ini adalah waktu tidur yang nyenyak. Biarpun pengawal masih berjaga tetapi mereka juga adalah manusia. Pasti letih berjaga lewat malam.
Perlahan kakinya melangkah dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan bunyi. Bimbang bunyi itu disedari pengawal. Tangannya membuka pintu, menjengah kepalanya untuk memerhati keadaan sekeliling untuk memastikan selamat. Selepas yakin tiada siapa yang lalu lalang di hadapan kediamannya, dia terus melangkah keluar.
"Selamat tinggal putera bongkak!" ujar Ying Hua dalam nada berbisik. Hatinya mula rasa seronok. Tidak lama lagi dia akan terlepas dari genggaman lelaki itu.
Terjengket-jengket dia berjalan melintasi ruangan kediamannya. Tatkala itu dia bertembung dengan pengawal yang sedang memeriksa keaadan sekeliling. Segera dia menyorok di sebalik dinding agar kewujudannya tidak diketahui. Selepas sudah yakin pengawal itu berlalu dari situ, barulah dia mulakan langkahnya semula.
Dia terus berjalan sehinggalah sampai di satu tembok kecil yang berselindung di sebalik daun-daun di belakang kediaman putera itu. Ada satu lorong menuju ke satu tempat. Semalam dia sempat menyelinap masuk ke situ tanpa pengetahuan sesiapa. Apatah lagi semalam putera itu tiada di situ. Sememangnya tempat itu bagaikan tempat larangannya untuk masuk.
Dia peduli apa tentang itu. Tidak pernah dia sangka ada satu lorong kecil di situ. Seperti satu tempat tersembunyi yang dibuat khas atau lebih tepat adalah jalan belakang. Dan jalan belakang itulah akan membawanya keluar dari kediaman Yan yang tak berguna itu.
Tangannya cuba membuka pintu besi yang terselindung itu. Namun dengan tiba-tiba sahaja ia berkunci. Mata Ying Hua sudah terbuntang. Yakin semalam pintu itu masih tidak berkunci.
"Wu Xiao Hua!"
Ying Hua gugup seketika. Tidak perlu lagi dia tertanya-tanya siapa yang memanggilnya itu. Nada suara itu terlalu menakutkan sehingga dia tidak berani untuk berpaling ke belakang.
Ah! Mengapa nasib baik tidak pernah berpihak kepadanya. Hidupnya hanya malang, malang dan malang. Tiada satu pun yang indah.
"Saya tak sangka awak masih ingat tentang ni. Tiada sesiapa pun yang tahu jalan ni melainkan saya, Yuan Zhen dan... awak, Wu Xiao Hua," kata Shu Yan penuh makna yang mendalam. Ada memori manis yang mengingatkan dia.
Dahulu sekiranya dia dan Xiao Hua ingin keluar secara senyap-senyap, mereka akan guna jalan belakang itu. Tiada siapa pun tahu tembok yang tersorok itu. Realitinya nampak seperti tembok biasa tetapi sebenarnya ada pintu tersembunyi di sebalik daun-daun.
Ying Hua terkedu. Kalau begitu dia sememangnya sudah disyaki sesuatu oleh lelaki itu. Padahal hakikat sebenarnya dia tidak tahu menahu langsung tentang itu. Dia terjumpa pintu itu pun secara tidak sengaja. Tidak sangka Xiao Hua sebenarnya tahu tentang itu.
"Saya dah pesan, awak takkan pernah terlepas dari saya," ujar suara itu tegas.
Ying Hua hanya menghadap pintu itu tanpa berpaling. Dia lebih sakit hati kalau melihat muka itu.
"Awak memang cukup berani menyelinap masuk tempat saya, Xiao Hua. Oh, sebab jalan keluar yang ada cuma pintu utama dan jalan ni sahaja. Tak bijak la kan kalau awak keluar ikut pintu utama. Sudah semestinya awak takkan dapat keluar. Tapi masih juga tak bijak kerana berani melangkah masuk ke tempat saya. Awak tahu tak apa akibatnya ingkar arahan saya walaupun awak masih isteri saya yang sah?" Panjang lebar Shu Yan bersuara kepada wanita itu.
Dia sebenarnya sudah dapat menghidu rancangan wanita itu. Hampir setiap hari dia diberitahu oleh pengawal yang Xiao Hua sering berjalan-jalan dalam kediaman itu tanpa henti. Dia juga sebenarnya sudah melihat Xiao Hua menghendap-hendap kediamannya.
Tatkala itu dia hanya mampu tersenyum sinis. Xiao Hua belum cukup bijak untuk menipunya. Sengaja dia membutakan mata untuk melihat rancangan Xiao Hua yang seterusnya. Apa pun urusan wanita itu, dia akan selesaikan dengan tangannya sendiri.
Ying Hua hanya membisu. Perlahan dia berpaling ke arah lelaki itu. "Kalau macam tu, ceraikan saya."
Shu Yan ketawa mengejek. "Sepatutnya dari awal awak pilih keputusan tu. Kenapa awak pilih mati?"
Ying Hua menggenggam erat jemarinya, menahan amarah. Lelaki itu memang cukup berdendam dengan Wu Xiao Hua. Tetapi yang menjadi mangsa hanyalah dia.
"Tapi maaf, tawaran tu dah tamat. Awak masih perlu bayar semua kejahatan yang awak lakukan."
Ying Hua merengus. Dia berpaling ke arah pintu itu semula. Ditendang dengan kakinya berkali-kali. Tidak kira apa jua cara pun, malam itu dia tetap perlu pergi dari situ.
"Apa pun yang awak cuba lakukan, pintu tu takkan dibuka." Shu Yan hanya memeluk tubuh memerhati kelakuan wanita itu. Nampak gayanya wanita itu benar-benar terdesak untuk keluar dari situ sehingga sanggup meminta untuk diceraikan.
Ying Hua masih tidak berputus asa. Tidak cukup dengan kaki, dia menggunakan tangannya pula untuk membuka mangga besi itu walaupun hakikatnya dia tahu yang dia takkan boleh buka walau dengan apa cara sekalipun.
"Wu Xiao Hua."
"Buat apa saya nak tinggal kat sini kalau awak tak suka tengok saya!" pintas Ying Hua geram dengan suara kuat. Dia tidak faham apa yang bermain di fikiran lelaki itu.
Kaki Shu Yan melangkah mendapatkan wanita itu. Tangan kecil itu dirampas lalu ditarik rapat ke arahnya.
"Sebab saya nak awak rasa sepertimana saya rasa apabila dikhianati. Awak pergunakan cinta saya untuk tutup segala kejahatan awak. Sekarang awak pura-pura hilang ingatan dan senyap-senyap cuba melarikan diri. Terlalu banyak pembohongan awak, Wu Xiao Hua. Saya benar-benar fikir awak betul-betul tak sihat tetapi sekali lagi awak cuba butakan mata saya." Kasar suara Shu Yan ketika itu.
Sebenarnya dia ingin memaafkan wanita itu. Tetapi mengenangkan apa yang berlaku sekarang, hatinya sudah mati. Sudah cukup bodoh dia hampir mempercayai wanita itu untuk kali kedua.
Mata Ying Hua merenung Shu Yan dengan tajam. Dahinya sedikit berkerut apabila tangannya dipegang terlalu kuat. Seraya itu dia merapatkan mulutnya dengan lengan lelaki itu lalu digigit kuat.
Puk! Ying Hua terkulai lemah dalam dakapan Shu Yan selepas dihentak di leher.
Shu Yan mengeluh perlahan sebelum mendukung wanita itu pulang ke kediamannya. Itu sahaja cara untuk dia hentikan kerja gila wanita itu. Dia tidak mahu mencederakan Xiao Hua tetapi perbuatan Xiao Hua benar-benar melampau. Biarlah wanita itu pengsan untuk seketika.
Wajah itu nampak begitu polos sekali saat mata terpejam. Hakikat sebenar terlalu banyak agenda di sebalik wajah polos itu.
********************
KEPALANYA dipegang perlahan sebelum membuka matanya. Dia memerhati sekelilingnya. Yang pastinya bukan berada di dalam biliknya. Seingatnya, dia terus pengsan sebaik sahaja tangan sasa putera itu menghentak lehernya. Selebihnya dia tidak ingat apa yang berlaku.
"Dah bangun?" Satu suara bertanya sinis.
Ying Hua terus mengalihkan pandangan ke arah suara itu. Putera tak guna tu!
"Kat mana ni?" tanya Ying Hua, matanya masih meliar memandang sekeliling. Kalau kata penjara, macam tak logik pula sebab tempatnya masih dikategorikan cantik.
"Awak kan berani masuk tempat saya. Saya bawa awak untuk melawat tempat saya. Mungkin awak rindu tempat ni..." ujar Shu Yan sinis.
"Kenapa saya ada kat sini?" Ying Hua sudah kalut. Maknanya dia berada di kediaman putera itu. Tempat rehat putera itu!
"Salah ke saya nak bersama isteri saya?" Shu Yan tersenyum penuh makna sebelum mendekati katil itu.
Ying Hua menelan air liur. Terus dia memandang tubuhnya. Masih tersarung pakaian semalam. Kemudian dia menarik selimut rapat sambil memandang ke arah putera itu. Xiao Hua memang isteri lelaki itu. Tetapi dia bukan Xiao Hua.
"Jangan risau. Saya lebih pandang awak sebagai pengkhianat berbanding isteri." Shu Yan akhirnya berlalu pergi dari katil itu. Dia menuju ke ruang bacaannya semula. Dia tidak kisah kalau wanita itu ingin keluar dari biliknya secepat mungkin.
Ying Hua merengus perlahan. Mujur dia tidak naik gila. Mana tidaknya, tiba-tiba sahaja datang ke dunia itu dengan pakej ada suami. Padahal dia masih lagi seorang gadis yang tidak berkahwin.
Dia turun dari katil lalu diperbetulkan pakaiannya. Bungkusan yang dibawa semalam masih ada di tepi katil itu. Perlahan dia melangkah keluar dari bilik dan mendapatkan putera sombong itu.
"Putera Yan..."
Shu Yan membisu. Kali kedua Xiao Hua memanggil namanya sebegitu. Tetapi kali ini panggilan itu lebih lembut dari biasa.
"Awak dah lupa nama saya ke?" tanya Shu Yan tanpa memerhatikan wanita itu. Tangannya hanya fokus pada kaligrafi di hadapannya.
Ying Hua membisu. Bukan masalah lupa tetapi dia tidak tahu. Mereka hanya memanggil lelaki itu Putera Yan. Jadi dia menggunakan panggilan yang sama.
"Beberapa hari yang lepas awak panggil saya putera tak guna. Kemudian awak panggil saya Putera Yan. Awak masih nak berpura-pura lagi?" Tegas Shu Yan berkata.
"Awak sebenarnya sayangkan Xiao Hua kan? Walaupun awak bencikan dia, tapi awak tak pernah letak dia di penjara bawah tanah. Awak tetap tak kenakan hukuman berat pada dia." Entah mengapa Ying Hua bersuara tentang itu.
Setiap kali lelaki itu mengugutnya, dia merasakan lelaki itu hanya sekadar mahu menakut-nakutkannya sahaja. Jauh di sudut hati lelaki itu, masih ada rasa sayang walaupun dikhianati.
Tangan Shu Yan berhenti menulis. Dia mendongak memandang wanita itu. Tanpa menjawab soalan itu, dia bersuara keras. "Kenapa? Awak teringin nak duduk dekat sana?"
Pantas Ying Hua menggeleng kepala. Tidak dapat dibayangkan kalau dia benar-benar berada di sana. Di dalam drama dia melihat pelbagai penyeksaan yang berlaku di sana. Mana mungkin dia merelakan dirinya diseksa sebegitu rupa.
"Dan 'dia' yang awak cakap itu adalah diri awak. Jangan berpura-pura jadi orang lain." Shu Yan bingkas bangun dari tempatnya. Moodnya mati dengan tiba-tiba.
"Saya akan jadi Wu Xiao Hua seperti yang awak nak. Apa pun perbuatan jahat yang Xiao Hua pernah lakukan, saya takkan buat. Saya akan berhenti buat perangai kalau awak tak pandang saya macam penjenayah. Saya akan buat apa yang awak nak. Saya..."
"Wu Xiao Hua!"
Ying Hua terkedu. Terangkat bahunya saat dijerkah kuat.
"Saya tak nak dengar segala alasan awak!"
Ying Hua menunduk. Bermain dengan jemarinya, cuba mencari kekuatan. Tiada cara lainkah untuk dia tidak dilayan seteruk itu? Dia bingung. Tanpa suara dia terus berlalu keluar dari kediaman itu. Sememangnya dia tidak mampu membuat apa-apa. Berkemungkinan sehingga mati dia akan berada di situ dengan layanan sebegitu.
Wu Xiao Hua... apa yang kau dah buat sampai suami kau betul-betul bencikan kau. Dan kenapa aku yang perlu lalui semua ni? Tak cukup lagikah dengan kehidupan aku yang sememangnya cukup malang itu? Kenapa aku masih perlu lalui kepahitan hidup walaupun berada di dunia lain.
Apa yang aku dah buat pada masa lalu aku sampai aku perlu bayar semua ni? Adakah aku memang benar-benar Xiao Hua pada masa lalu? Desis Ying Hua lemah. Tidak habis fikir di mana silapnya.
Mahu tak mahu dia tetap perlu lalui semua itu.