"HEY Ying Hua..." Tangan Shen Xin berkali-kali menggerakkan tubuh kecil itu. Sedari tadi dia cuma menjadi pemerhati tetapi lama-kelamaan dia mula risau.
"Tak..." Kepala Ying Hua digeleng berkali-kali dengan mata yang masih terpejam. Mukanya sudah basah dengan peluh. Mulutnya tidak berhenti-henti menyatakan sesuatu. Air mata mengalir tidak henti-henti.
Shen Xin mula risau. Tidak pernah dia melihat Ying Hua meracau sebegitu. Gadis itu seperti menangis dalam mimpi. Malah meracau seperti sedang minta tolong sesuatu. Selebihnya dia tidak tahu apa yang Ying Hua cuba sebutkan.
"Ying Hua!" Shen Xin menampar lembut pipi Ying Hua. Mengharapkan gadis itu bangun dengan segera.
Secara tiba-tiba sahaja matanya terbuka. Nafasnya berdesah lalu dia memegang dadanya. Matanya meliar memandang sekeliling sebelum bingkas bangun.
"Kau ni dah kenapa?" Shen Xi mula risau. Wajah Ying Hua nampak pucat sekali.
"Shen Xin, aku kat mana?" tanya Ying Hua sambil memerhati sekeliling. Tetapi matanya berpinar-pinar. Dia tidak pasti dia berada di mana ketika itu.
"Kau kat rumah la. Dalam bilik. Dari tadi aku tengok kau meracau, sebab tu aku kejutkan," balas Shen Xin. Lega apabila melihat Ying Hua sedar. Seumur hidupnya, ini kali pertama Ying Hua jadi begitu.
Ying Hua membetulkan rambutnya. "Ah... aku rasa projek dengan Encik Gu buat aku mimpi ngeri." Ying Hua mengeluh berat namun keluhan itu membuatkan Shen Xi ketawa. Berat juga penangan client itu.
"Kau gelak? Aku rasa macam nak mati aje tahu tak. Tiga hari berturut-turut aku mimpi benda yang sama." Ying Hua seakan-akan mahu naik angin sahaja. Seluruh tubuhnya terasa sakit-sakit seperti dipukul. Dia tidak pasti kenapa tetapi semenjak dua hari yang lepas, dia pasti akan merasakan perkara yang sama.
"Kau letih sangat ni. Yelah, tiga hari kau tak tidur dan hari ni baru cukup tiga hari kau cover rehat kau." Shen Xin kembali memujuk. Tidak ambil hati langsung dengan angin gadis itu. Dia tahu Ying Hua terlalu penat.
Ying Hua hanya mengangguk. "Mimpi tu pelik sangat..."
"Kalau dah namanya mimpi, semua tu cuma mainan tidur aje." Shen Xin cuba meredakan hati Ying Hua. Orang kalau dah letih memang boleh merapu dalam tidur.
"Tak. Masalahnya aku mimpi benda yang sama sepanjang tiga hari ni..."
Shen Xin membisu. Teringat akan kata-kata orang tua-tua dahulu. Jika mimpi perkara yang sama selama tiga hari berturut-turut, maknanya ada sesuatu yang akan berlaku. Dia cuba menenangkan diri lalu menepuk lembut bahu Ying Hua. "Kau penat ni. Kau mimpi apa sebenarnya?"
Ying Hua menjongket bahu. Dia tidak tahu mimpi apakah yang hadir tetapi dia merasakan dia mimpi perkara yang sama selama tiga hari itu. Petunjuk apakah sebenarnya?
Seraya itu dia mengerling jam locengnya. Matanya sudah terbeliak. Ah sudah! Dia terlambat! Laju dia terjun dari katil dan berlari masuk ke tandas. Namun sempat berpatah balik untuk mencapai tuala yang disangkut di penyidai.
Shen Xin hanya tersengih kecil. Belum sempat nak tenangkan gadis itu, dia pula yang kena bertenang dek kelakukan mengejut itu.
Alahai Wu Ying Hua. Nak juga kelam kabut!
********************
SELEPAS selesai segala tugasan untuk hari ini, Ying Hua mengeliat kecil bersama tangannya ke atas. Sakit-sakit pada tubuhnya masih belum lega. Entah apa la yang dia buat sehingga satu tubuhnya sengal-sengal. Nak kata jatuh katil, rasanya dia bangun tadi elok aje berada di atas katil.
"Amboi, dahsyatnya mengeliat," usik Yi Rong, rakan sekerjanya yang merupakan seorang senior designer antara yang terbaik juga. Kebetulan dia melintasi meja Ying Hua, sempat ditegurnya.
Ying Hua tersengih kecil. Menyedari ketidaksopanannya ketika itu. "Emm... sejak dapat projek tu, rasa macam boleh tidur dengan aman," ujar Ying Hua separuh berbisik.
Yi Rong ketawa. Macam la dia tak tahu sepanjang berurusan dengan client yang cerewet itu, Ying Hua sudah bertukar menjadi zombie. Selalunya dia yang mengambil task sukar ini. Selepas gelarannya dicantas oleh pekerja muda itu, dapatlah dia senang lenang sikit.
Tangannya menepuk lembut bahu Ying Hua. "Tahniah, ada juga orang berkongsi duka dengan saya."
Ying Hua membuat muka sebelum menampar tangan Yi Rong. Geram pula dengan senyuman itu. Tahu sangat lelaki itu sedang mengertawakannya.
"Saya patut pulangkan balik title awak tu." Ying Hua membulatkan mata sambil bercakap dengan nada geram.
"Ah ha... tak perlu tak perlu..." Yi Rong melambaikan tangan menyatakan tidak. Hidupnya sudah cukup tenang sekarang ini.
Ying Hua mencebik meluat. Walaupun dia yang mencantas gelaran itu dari Yi Rong namun lelaki itu tetap melayaninya dengan baik.
"Nah... awak patut minum vitamin ni. Muka awak nampak pucat dari pagi tadi." Yi Rong meletakkan satu botol kecil berupa minuman bertenaga di atas meja Ying Hua. Sebenarnya sebelum ke pantri tadi, dia sempat mengerling ke arah gadis itu. Nampak macam tidak bermaya seperti selalu.
"Wah... terima kasih!" Laju Ying Hua mencapai botol itu. Dibuka dan terus meneguk dengan rakus sambil diperhatikan oleh Yi Rong.
Lelaki itu hanya mampu ketawa. Dia segera berlalu ke tempatnya. Dari pagi tadi dia mendengar beberapa orang menegur wajah pucat Ying Hua itu. Walaupun hanya mencalit sedikit bahan kosmetik tetapi tetap nampak seperti tidak bermaya. Sebagai senior, dia tidak mahu pekerja terbaik jatuh sakit. Mengenangkan sikap Ying Hua itu, rasanya dalam tidur pun masih boleh bekerja.
Ying Hua hanya tersenyum senang. Antara pekerja yang lain, dia agak rapat dengan Yi Rong. Mungkin sebab sewaktu mula kerja dulu, dia bekerja di bawah Yi Rong sebagai assistant designer. Sekarang pangkat mereka sudah sama, dia menganggap lelaki itu sebagai kawannya.
Matanya mengerling ke arah cermin di satu sudut mejanya. Pucat sangatkah sehingga ramai yang menegurnya hari ini? Mujur dia tidak ada temujanji dengan client hari ini. Kalau tidak mungkin nasibnya akan malang lagi.
********************
"AWAK okey ke tak ni?" tegur Yi Rong apabila melihat Ying Hua menahan dirinya di kabinet itu. Ada cawan kaca di hadapan gadis itu. Barangkali ingin membuat kopi lagi. Rasanya masuk kali ketiga dia melihat Ying Hua minum kopi hari ini.
"Ah?" Ying Hua mengangkat kepala lalu memandang Yi Rong yang berdiri di sebelahnya itu. Perlahan dia mengangguk.
"Muka awak masih pucat la," tegur lelaki itu lagi.
"Mungkin penat sangat kot." Ying Hua cuba menyedapkan diri. Selalunya tak adalah teruk sampai macam ini. Tetapi kali ini boleh tahan juga. Nampak gayanya kena cari ubat la sebelum balik rumah.
Tangan Yi Rong lincah mengambil cawan dan sepaket kopi 3 in 1 yang tersusun elok di kabinet pantri itu. Sesekali dia mengerling ke arah gadis itu. Sambil tangannya sibuk membancuh kopi, dia bersuara. "Kalau tak sihat sangat lebih baik awak minta pulang awal. Encik Zhao mesti faham. Saya tengok awak teruk sangat ni."
Ying Hua hanya mengangguk. Perlahan dia berjalan ke arah kerusi yang tersedia di dalam pantri itu. Kalau lama-lama dia berdiri, mungkin boleh pitam. Tatkala itu hampir sahaja dia terjatuh namun sempat dipegang oleh Yi Rong. Mujur lelaki itu bertindak pantas.
"Eh... badan awak panas la!" Yi Rong mula risau. Terasa tubuh Ying Hua begitu membahang sekali walaupun berlapik.
Ying Hua menolak lembut dahi Yi Rong yang menyentuh dahinya itu. Senyuman kecil dilemparkan kepada lelaki itu. "Saya okey lagi. Pening kepala aje."
Iye aje okey. Dia dah nampak Yi Rong jadi dua dah sebenarnya. Kepalanya pula sudah berdenyut-denyut kesakitan. Ikutkan hati rasa mahu hempuk sahaja kepalanya sendiri di dinding. Tak dapat nak gambarkan sakitnya macam mana.
"Okey awak cakap?" Mata lelaki itu sudah terbeliak. Panas macam tu bukan normal dah!
Tangannya memegang lengan Ying Hua dengan erat apabila melihat kedudukan gadis itu terhuyung hayang. Bahang panasnya masih terasa. Muka yang pucat itu makin bertambah pucat.
Ying Hua menarik nafas. Namun setiap kali dia menarik nafas, dadanya terasa begitu sesak sekali. Perlahan tangannya mengurut dadanya itu. Dia memandang Yi Rong tetapi pandangannya sudah kabur.
"Yi Rong..." Lemah Ying Hua bersuara. Pandangan yang kabur itu semakin lama semakin menjadi gelap. Dia menggeleng kepala, cuba sedarkan dirinya sendiri. Tubuhnya terasa begitu lemah sekali. Tidak pernah dia merasakan selemah itu.
"Ying Hua!!"
Pantas Yi Rong menahan tubuh itu tangannya daripada jatuh ke lantai. Gadis itu sudah tidak sedarkan diri.
"Hey Ying Hua!" Yi Rong cuba menggerakkan Ying Hua tetapi tiada jawapan. Tangannya diletakkan di atas dahi Ying Hua sekali lagi. Nafas Ying Hua terasa begitu berat. Kemudian dipegang pula pergelangan gadis itu. Nadinya begitu lemah.
"Ah Chin, tolong call ambulans. Ying Hua pengsan!" Yi Rong segera bersuara apabila seorang staf perempuan masuk ke kawasan pantri itu.
Lama dia memandang wajah pucat itu. Terasa jantungnya ingin tercabut melihat keadaan itu.