Chereads / Matahari Yang Hilang / Chapter 3 - Bab 2

Chapter 3 - Bab 2

Kota Avandalle. Dahulunya kota itu megah dengan bangunannya yang mencakar langit. Setelah berlakunya peristiwa Matahari Yang Hilang, kota itu hanya meninggalkan nama bersama runtuhan bangunan-bangunan yang usang bahkan pokok berwarna hitam mula menjalar pada setiap runtuhan. Istana yang megah ditengah kota kini berubah menjadi batu-batu yang tersusun tidak berseni. Hanya ruangan singgahsana raja sahaja yang mampu diduduki.

"Bangunan ini... bekas istana raja?" Maria meliarkan matanya melihat istana yang tidak berupa itu.

"Mmm... Hanya ruangan singgahsana raja ini sahaja yang mampu diduduki." Garo membenarkan persoalan Maria.

"Duduklah... aku menyiram terlebih dahulu darah serigala ini ke bunga biru itu." Garo mengarahkan jari telunjuknya ke arah bunga biru yang disemai di atas sebuah kotak yang tersusun memanjang di bahagian penjuru singgahsana.

Sufi duduk menyandar pada dinding singgahsana raja itu. Maria dan Jane bergerak mengikuti tingkahnya duduk bersebelahan dengan pemuda itu. Di tengah singgahsana itu terdapat ungun api yang besar menghangatkan dan menerangi ruangan itu.

"Sufi, apa maksud kau isteri?" Maria meluahkan persoalannya atas ucapan Sufi menipu Ravya.

"Manusia... mereka akan meminggirkan insan-insan yang mereka tidak perlu. Aku menjadikan kau dan Jane sebagai keperluan."

Maria mengerutkan dahinya atas penjelasan yang berbaur persoalan itu.

"Maria, bukan semua kumpulan manusia ingin menyelamatkan orang lain pada zaman kegelapan ini. Ada kumpulan yang hanya memerlukan manusia yang berguna. Sebab itu Sufi menipu yang kita berdua adalah keluarganya. Jika mereka memerlukan Sufi, mereka juga memerlukan kita."

"Jika mereka memerlukan Sufi, mereka juga perlu membawa kita?" Maria memandang wajah Sufi bersama riak wajah yang menginginkan kepastian.

Sufi mengangguk kecil bersama suatu senyuman.

"Sufi..." Garo menunjukkan bunga biru yang berada ditangannya. Kelima kelopak bunga itu besar seakan besarnya sebuah pinggan. Di bahagian tengah kelima kelopak bunga itu, terdapat satu saluran panjang muncung kebawah berwarna biru gelap. Saluran itu mengeluarkan air bersih yang deras mengalir keluar pada hujung muncungnya.

"Aracay." Sufi bergerak mendekati Garo. Dia menadahkan tangannya lalu meminum air bersih yang keluar daripada bunga tersebut.

Maria dan Jane bergerak mengikuti tingkahnya. Setelah hilang dahaga yang menghiasi tubuh Sufi, Maria menggantikan tempatnya menadahkan tangan untuk meminum air bersih tersebut.

"Tolong." Garo menyerahkan Bunga Aracay kepada Jane. Dia bergerak semula menyiram empat lagi bunga yang tersisa menggunakan darah hitam yang mengalir daripada kepala serigala itu. Ternyata, keempat bunga itu juga mula mengalirkan air bersih seperti yang ada pada Maria.

"Air..." Ravya muncul daripada salah satu bilik di singgahsana itu bergerak mendekati kedudukan mereka. Pergerakannya itu diikuti oleh seorang pemuda dan seorang gadis.

Pemuda itu berwajah sayu, berkulit putih, berambut keriting berwarna hitam dan bertubuh kurus. Gadis itu pula berwajah cantik berkulit putih, berhidung mancung, berambut ikal berwarna hitam paras bahu dan bertubuh kecil. Mereka bergerak mengikuti tingkah Ravya yang mula meminum air bersih yang dihasilkan oleh keempat Bunga Aracay tersebut.

"Garo, letakkan darah hitam yang tersisa itu di dalam sebuah botol, balang ataupun bekas yang kedap udara. Jika darah hitam itu kering, ia tidak akan mampu digunakan lagi." Sufi bergerak duduk menyandar semula pada salah satu dinding di singgahsana itu. Membiarkan insan-insan itu menikmati air bersih yang sangat diperlukan untuk menghilangkan dahaga itu.

Dalam detik-detik yang beredar, datang seorang lelaki daripada bilik yang sama. Wajahnya tenang hampir sama seperti Sufi, berkulit putih pucat, berhidung mancung, berambut hitam paras telinga dan bertubuh separa sasa. Terlihat satu pedang samurai berwarna merah pada genggaman tangan kanannya. Pada hujung pemegang samurai itu, terukir bentuk kepala seekor naga berwarna hitam bersama kedua matanya yang berwarna merah gelap.

"Saudara." Lelaki itu bergerak duduk bersebelahan dengan Sufi.

"Enra." ucap lelaki itu lagi.

"Sufi." Sufi membalas perkenalan yang singkat itu.

Setelah keempat insan berpuas hati menghilangkan segala dahaga, mereka duduk berbulat mengelilingi ungun api yang terletak di bahagian tengah singgahsana. Garo pula terus mengikuti arahan Sufi mengisi balang-balang kaca bersaiz besar yang ada di ruangan itu dengan darah hitam.

"Saya Yuni." Gadis itu mula memperkenalkan dirinya.

"Laviant." terang pemuda itu pula.

"Aku Maria, ini suami aku Sufi dan yang ini Jane adik aku." Maria memperkenalkan diri mereka sambil mengarahkan tangannya ke arah Sufi dan Jane.

"Aku Ravya. Ketua kumpulan ini. Lelaki yang duduk bersebelahan dengan Sufi itu adalah Enra."

"Budak kecil itu?" Jane meliarkan matanya mencari keberadaan budak kecil yang membawa ayam Lophura tersebut.

"Lily. Lily ada di bilik itu menjaga Nenek Kia yang semakin uzur." Yuni mengarahkan jari telunjuknya pada sebuah bilik yang pintunya terdapat sebuah simbol pedang berwarna hijau gelap.

Maria dan Jane memandang satu per satu bilik yang ada di ruangan itu. Terdapat lima bilik tersusun memanjang dan bilik yang mempunyai simbol pedang itu terletak pada kedudukan yang hujung sekali.

"Dari mana asal kamu bertiga?" Ravya memandang wajah Sufi. Maria dan Jane juga mengarahkan pandangan ke arah pemuda itu menyerahkan suatu penipuan kepada insan yang lebih mahir.

"Tenggara, jauh daripada penjuru alam. Kami menuju ke kota ini atas cerita daripada banyak kumpulan manusia. Mereka kata, Kota Avandalle merupakan satu-satunya kota yang sempat membuat persediaan makanan sebelum raksasa-raksasa ini membunuh manusia. Meski kota itu sudahpun musnah sepenuhnya, namun simpanan makanan itu masih ada. Bertahan untuk beratus tahun yang akan datang." Sufi menjawab dengan nada yang tenang.

"Benarkah?" Maria mengarahkan pula pandangannya ke arah Ravya.

"Benar."

"Enra!" riak wajah Ravya berubah tegang atas pembenaran ucapan daripada Enra itu membuatkan Yuni dan Laviant terdiam seketika.

"Mengapa? Adakah kedatangan kami akan menggugat makanan di kota ini yang tersembunyi di bilik yang terukir lambang pedang itu?" Sufi mula berdiri daripada duduknya bergerak menghampiri Maria dan Jane.

Ravya hanya mendiamkan diri merenung pergerakan Sufi tanpa sebarang jawapan. Maria dan Jane memandang ke arah bilik yang pemuda itu katakan. Ternyata, bilik itu merupakan bilik dimana Lily menjaga Nenek Kia.

"Mari." Sufi menggapai tangan Maria dan mengajak kedua gadis itu bergerak pergi meninggalkan kota tersebut. Maria dan Jane hanya menurut ajakan itu bersama wajah mereka yang ditundukkan.

"Sabar Sufi." Garo bergerak menghalang pemuda itu daripada pergi.

Sufi menghentikan langkah kakinya. Dia menoleh ke arah Garo bersama riak wajahnya yang tenang itu.

"Kami perlukan kau Sufi. Sepertinya, banyak ilmu tentang alam ini yang kau ketahui. Memang benar, bilik itu menyimpan makanan harian manusia tapi ianya sudah berkurang. Sebelum kami datang ke tempat ini sebulan yang lalu, bilik itu hanya menyimpan lima guni roti dan yang tersisa pada hari ini hanyalah satu guni." sambung Garo.

"Roti." Maria memandang wajah Sufi semula.

"Saudara, sebelum kami tiba di kota ini kami juga adalah sekumpulan manusia yang mencari perlindungan yang selamat. Kami ke kota ini sama seperti tujuan saudara, mencari simpanan makanan yang tersisa. Itulah yang banyak kumpuluan manusia katakan." Enra menyokong penjelasan daripada Garo.

"Bunga Aracay itu, kamu semua dapat daripada mana?" soal Jane.

"Bunga itu memang ada di istana ini. Sewaktu kami menemui bunga itu, ia mengalirkan air yang deras. Namun semakin lama bunga itu semakin layu. Hari ini baru kami merasakan airnya yang mengalir deras semula." Yuni menjawab dengan nada yang sayu.

"Itu kerana ilmu yang Sufi tahu. Jika Sufi tidak memberitahu tentang darah hitam, ada kemungkinan kami semua akan mati kerana dahaga." Garo tersenyum kecil memandang wajah Sufi.

"Darah hitam... darah hitam. Darah itu... aaaa... hanya ada pada... raksasa yang bermata hitam pekat." Laviant seakan cuba untuk merungkai asal usul darah hitam itu.

"Betulkah Saudara?" Enra meminta kepastian yang lebih lanjut.

"Benar." Sufi mengangguk kecil.

"Aku bukannya ingin menghalang kamu bertiga daripada tinggal di kota ini." Ravya mula berdiri.

"Tapi pada zaman kegelapan ini, manusia bukan hanya menentang raksasa dan bencana alam, manusia juga menentang manusia yang kejam." Ravya bersuara dengan nada yang tegas.

"Sepanjang perjalanan kami menuju ke kota ini, kami berjumpa dengan banyak kumpulan manusia yang kejam. Ada yang ingin merampas bekalan makanan kami, ada yang ingin merogol aku dan Ravya. Sebab itu kami sukar untuk menerima tetamu yang baru." Yuni menyokong penjelasan Ravya.

"Abang." Maria bergerak memegang lengan Sufi menggunkan kedua tangannya.

"Abang?" Jane tergelak kecil.

"Ish! Jane." Maria memberikan suatu jelingan.

"Abang, mereka perlukan kita. Mereka perlukan ilmu yang abang ada."

"Betul?" Sufi memandang wajah Ravya bersama senyuman kecil.

"Aku memerlukan kau... untuk kelangsungan hidup." Ravya menundukkan wajahnya.

"Kami memerlukan saudara." Enra bersuara dengan tegas bersama kedua matanya yang terpejam.

Garo, Yuni dan Laviant mengangguk kecil membenarkan penjelasan kedua insan.

"Siapa lagi yang tersisa dalam kumpulan kamu?" Sufi menyoal semula.

"Aku, Enra, Garo, Yuni, Laviant, Lily dan Nenek Kia ada di kota ini. Yonira bergerak ke arah selatan untuk mencari ayam merah. Daren bergerak ke arah timur juga untuk mencari ayam merah."

"Sudah berapa lama mereka berdua belum pulang?" Sufi terus menyoal.

"Tiga hari. Kenapa Sufi?" Garo menyoal semula.

"Kau jumpa ayam itu dimana?"

"Di hutan tua itu ada sebuah tasik. Kami menjumpai ayam itu sehari yang lalu di tasik itu." Garo mengerutkan dahinya.

"Sahabat kamu yang bergerak ke arah timur itu sudahpun mati." Sufi duduk semula diikuti dengan Maria dan Jane.

"Bukti?" Yuni cuba menafikan kebenaran itu.

"Yuni, kami menjumpai sekeping roti daripada kawasan luar hutan tua itu." terang Jane.

Reaksi Garo berubah sepenuhnya. Dia mula berlegar-legar di singgahsana itu bersama tingkahnya yang tidak keruan.

"Mungkin... roti itu tercicir?" Ravya cuba untuk terus menafikan kebenaran itu.

"Serigala itu bergerak daripada arah timur. Kedua mata raksasa itu pada awalnya berwarna merah. Setelah menelan tubuh manusia, kedua matanya akan berubah menjadi hitam pekat dan bermutasi menjadi raksasa yang lebih menggerunkan. Kedua kepalanya itu adalah mutasi yang seterusnya setelah menelan tubuh seorang manusia." Sufi menjelaskan lagi lebih terperinci tentang kebenaran sahabat mereka itu.

Keluhan mula kedengaran. Kebenaran itu tidak dapat dinafikan lagi. Penjelasan Sufi itu seakan suatu noktah pada bantahan-bantahan yang mereka lontarkan.

"Semua manusia akan mati. Bezanya lambat ataupun cepat." Maria memujuk suasana yang menyedihkan itu.

"Benar kata isteri Sufi ini." sokong Enra.

"Ayam merah yang berjaya kamu tangkap ada berapa ekor sekarang?" Sufi memecahkan keheningan yang menerpa seketika.

"Dua ekor. Seekor betina dan seekor jantan. Nenek Kia kata, rancangan yang seterusnya untuk kelangsungan hidup adalah penternakan. Kami akan mula menternak ayam itu di istana ini." jawab Garo.

"Kenapa saudara?" soal Enra.

"Haiwan itu perlu diberi makan. Kamu ada makanan untuk ayam itu?"

Kumpulan manusia itu saling berpandangan dan menggeleng kepala.

"Tiada. Roti?" Ravya menyoal semula.

Sufi menggeleng kecil menafikan persoalan itu.

"Dia kena makan apa?" Yuni mengerutkan dahinya.

"Aku akan beri tahu tapi dengan dua syarat."

"Apa syarat saudara?" Enra menyoal kembali.

"Pertama, kamu semua perlu berikan Maria dan Jane empat keping roti unuk malam ini." Sufi mengukir senyuman kecil.

"Maria... Sufi tahu kita berdua lapar la." Jane berbisik ke arah Maria.

"Haah... Tapi roti itu hanya untuk kita berdua. Dia?"

"Setuju." Garo menerima tawaran daripada Sufi.

"Bukan kau, dia." Sufi mengarahkan pandangannya ke arah Ravya.

Ravya menundukkan wajahnya dikala akalnya mula berperang dengan tawaran itu.

"Ravya, empat keping roti itu terlalu banyak. Kita pun makan dua keping setiap hari." Yuni berbisik ke arah Ravya.

"Tapi kita perlukan dia. Jika tidak, kedua ayam itu akan mati."

"Tidak?" Sufi mula berdiri daripada duduknya.

"Kejap!" Yuni meninggikan nada suaranya.

"Baiklah... aku terima tawaran itu. Garo, ambil empat keping roti dan berikan roti itu kepada mereka berdua." Ravya mengarahkan jari telunjuknya ke arah Maria dan Jane.

"Sabar, ada satu syarat lagi." Sufi menghalang Garo.

"Syarat seterusnya?" Yuni menyoal kembali.

"Syarat kedua adalah empat keping roti lagi." tawaran Sufi kedua membuatkan kumpulan manusia itu tergamam.

"Kau!" Ravya berdiri dengan reaksi yang sangat tegang.

"Dua syarat kan." Sufi tersenyum sinis.

"Lapan keping roti." Yuni menggeleng kepalanya.

"Abang... kenapa banyak betul." Maria berbisik ke arah Sufi.

"Jika mereka terima, mereka benar-benar memerlukan kita." balas Sufi.

Tingkah Ravya semakin tidak keruan. Dia berlegar-legar di ruangan itu bersama akalnya yang terus berperang.

"Baiklah!" Ravya menghentikan langkah kakinya.

"Tapi..."

"Aku bukan penipu. Aku tahu tentang ayam Lophura." Sufi mencantas bicara Ravya membuatkan wanita itu terdiam.

"Ayam Lophura... Garo, berikan mereka bertiga lapan keping roti." Ravya memberikan suatu jelingan kepada Sufi. Sesuai arahannya, Garo bergerak mengambil lapan keping roti tersebut.

"Sekarang... Beri tahu apa makanan untuk Lophura!" Ravya mencekak pinggang.

"Ganoderma, cendawan merah yang tumbuh dimana ayam itu kamu semua jumpai."

"Lily jumpa ayam itu di tasik, kau jumpa ayam betina itu di mana Enra?" Ravya mengarahkan pandangan ke arah Enra.

"Tidak jauh daripada kota ini, ada sebuah bukit. Aku jumpa ayam itu di sana."

"Mmm... baiklah. Kamu bertiga rehatlah terlebih dahulu di tempat ini. Esok, Sufi dan Enra akan ke bukit itu untuk mencari Ganoderma. Sufi perlu buktikan yang kata-katanya itu benar." Ravya bertegas.

"Ganoderma juga boleh dimakan oleh manusia." Sufi bergerak mendekati kelima Bunga Aracay yang terletak di pejuru singgahsana.

"Makanan." Ravya membulatkan kedua matanya.

"Maksudnya... kita juga akan mendapat makanan yang baru jika kita menyemai Ganoderma." Yuni menyokong kata-kata Ravya.

"Bunga ini cukup untuk kamu semua membersihkan diri. Setiap hari, kamu hanya perlu menuangkan setitis darah hitam pada setiap bunga ini." Sufi mengarahkan pandangannya ke arah kumpulan manusia itu tanpa memberikan penjelasan lebih lenjut mengenai Ganoderma.

"Mandi..." Maria, Ravya dan Yuni membulatkan kedua mata mereka.

Mereka mengangguk kecil terpegun mendapatkan suatu ilmu yang baru daripada pengembara itu. Garo muncul semula memberikan Maria dan Jane lapan keping roti sepertimana syarat yang Sufi berikan. Kedua gadis itu menjamah roti-roti tersebut dengan sangat lahapnya. Selama dua hari, kedua gadis itu belum menjamah sebarang makanan. Setelah itu, kedua gadis itu membersihkan diri bersama dengan Yuni dan Ravya. Mereka mula bercerita, bergurau dan mengukir tawa. Mula memercikkan sinar kecil untuk sinar yang lebih besar buat kehidupan manusia.