Chereads / Matahari Yang Hilang / Chapter 5 - Bab 4

Chapter 5 - Bab 4

Sufi terlena sehari dalam kegelapan. Tubuh yang lesu itu terlalu merindui lena yang sempurna. Rakan-rakannya yang lain hanya membiarkan tubuh itu merehatkan diri sehingga malam muncul kembali. Ruangan singgahsana dihiasi dengan gelak dan tawa bertemankan unggun api. Suasana itu mengejutkan Sufi daripada lenanya. Dia membuka mata secara perlahan-lahan. Terlihat, senyuman dan tawa terukir indah pada wajah rakan-rakannya.

"Sinar... kehidupan." Sufi tersenyum kecil.

Maria yang sedang menjamah sekeping roti itu tersedar, suami dalam penipuannya itu sudahpun terjaga. Gadis itu dengan segera bergerak menghampiri tubuh yang lesu itu.

"Abang... roti?" Maria menghulurkan roti yang ada ditangannya.

Sufi mencubit sedikit daripada bahagian roti itu lalu mengisi perutnya hanya dengan secubit roti.

"Sikitnya?" Maria mengerutkan dahinya.

"Sufi!" Garo memecahkan suasana tawa di antara mereka apabila melihat Sufi sudahpun terjaga daripada lena. Dia bergerak pantas mengambil sekeping roti dan memberikannya kepada Sufi.

Sekali lagi, pemuda itu hanya mengambil separuh daripada roti tersebut. Selebihnya dia serahkan kepada Maria.

"Aku bersihkan diri terlebih dahulu." Sufi bergerak menuju ke bahagian penjuru singgahsana mengambil sebuah kotak yang mengandungi Bunga Aracay.

"Sufi, duduklah terlebih dahulu." Ravya mempelawa.

"Aku perlu bersihkan diri. Sudah terlalu lama aku tidak mandi. Kalau aku duduk sekali, pasti kamu semua tidak menjamah roti itu." gurau Sufi.

Suasana kembali dihiasi dengan gelak dan tawa mereka. Itulah yang Sufi inginkan. Senyuman kegembiraan yang mekar dalam kegelapan. Pemuda itu meneruskan langkah kakinya menuju ke luar istana.

"Maria, kau tidak ikut sekali?" Jane menaikkan keningnya bersama senyuman sinis.

"Ada baiknya seorang isteri membersihkan tubuh suaminya." Ravya menyokong.

"Haah... Zaman kegelapan ini, hargailah pasangan anda." gurau Yuni pula.

Maria memuncungkan bibirnya bersama wajahnya yang mula berubah menjadi merah padam. Jiwanya terkesan meski hubungan itu hanyalah sebuah penipuan.

"Tidak baik." Garo menegur.

"Kan... tidak baik mengganggu hubungan suami isteri. Biarkan mereka merancang sendiri." Enra membuatkan suasana bergema dengan gelak dan tawa mereka. Maria hanya mampu mendiamkan diri. Ingin menafikan, namun jiwa berkata jangan. Dia menundukkan wajahnya bergerak kembali ke dalam kumpulan itu bersama jiwa yang dihimpit rasa malu yang sangat mendalam.

***

Usai membersihkan diri, Sufi dan Enra bergerak sesuai janji. Mereka menuju ke suatu bukit yang berhampiran dengan Kota Avandalle. Ditemani bulan purnama berwarna biru, ditemani kelebihan sebagai Dwisia, kedua insan dengan mudah meredah segala kegelapan yang menghiasi suasana bersama pedang yang terhulur rapi.

"Saudara, di tempat itu." Enra menunjukkan jari telunjuknya pada sebuah pohon yang mengeluarkan cahaya merah.

Kedua insan menghentikan langkah kaki mereka sambil memoerhatikan pohon itu di sebalik rumput-rumput hitam yang ada di sekitar kawasan puncak bukit. Pohon merah itu berkulitkan ribuan cendawan merah yang berukuran kecil. Ukuran pohon itu pula sederhana besar dan daunnya berwarna merah berdarah.

"Saudara, Genoderma. Ribuan Genoderma. Mari."

"Sabar!"

Enra menghentikan pergerakannya.

"Kedua mata Draco mampu melihat haba dalam tubuh makhluk yang bernyawa. Cuba kau perhatikan di kawasan sekeliling pohon merah itu terlebih dahulu."

Enra meliarkan matanya ke arah sekeliling pohon merah tersebut.

"Aku hanya melihat seperti biasa saudara." Enra mengerutkan dahinya.

"Tenang..."

Enra memfokuskan pandangannya ke arah pohon merah itu kembali. Secara perlahan-lahan, kedua matanya melihat suatu haba kecil berwarna merah berbentuk benih tersembunyi pada bahagian dalam pohon merah tersebut.

"Haba!" Enra membulatkan kedua matanya.

"Sekeling pohon merah." Sufi menegur.

Enra meliarkan matanya kembali ke arah sekeliling pohon merah.

"Ada... dua haba. Seakan jantung!"

"Mmm... Dimana ada Genoderma di situ ada Luphus..."

"Serigala kelabu itu? saudara, aku nampak haba dalam tubuh badan kau." terangnya lagi membuatkan Sufi tergelak kecil.

"Memanglah, kau kan Dwisia Draco. Pada bila-bila masa kau boleh keluarkan kelebihan itu untuk melihat haba pada kegelapan ini. Itu, dua ekor serigala." Sufi mengarahkan jari telunjuknya ke arah pohon merah tersebut.

Terlihat, dua ekor serigala kelabu berkepala satu mengelilingi pohon itu seakan mencari sesuatu. Kedua mata mereka berwarna merah menyala.berbeza daripada kedua serigala berkepala dua.

"Dua ekor Luphus." Enra tergamam seketika.

"Kau turun berhadapan dengan mereka. Pastikan pedang kau sentiasa terhulur."

"Hanya aku seorang diri?"

"Tenang, apabila kedua serigala itu mengarahkan pandangan ke arah saudara, aku akan melontarkan belati hitam pada kedua kaki mereka yang berada di bahagian hadapan. Setelah mereka terduduk secara paksa, kau potong kepala serigala itu. Kelemahan Luphus adalah kakinya." Sufi mula mengeluarkan dua belati hitam daripada bahagian pinggangnya.

Enra mengangguk kecil membenarkan arahan itu. Dia bergerak turun daripada puncak bukit menuju ke arah pohon merah tersebut.

***

"Wuuu... Wuuu..." Enra bergerak mendekati kedua serigala kelabu.

"Erggg!" kedua ekor Luphus mengeram menghadap ke arah Enra.

Bersama Samurai Draco yang terhulur rapi, Enra bergerak secara perlahan-lahan ke bahagian kiri menantikan serangan daripada Sufi. Dalam beberapa detik, salah satu daripada serigala itu berlari ke arah Enra daripada bahagian hadapan dan yang satu lagi berlari daripada bahagian kiri.

"Errrgg!" serigala yang berada di hadapan melompat bersama kukunya yang panjang menerkam ke wajah Enra.

"Tsuk! Tsuk!" dua belati hitam tepat menusuk ke dalam kedua kakinya membuatkan serigala itu terjatuh.

"Buk!" Kepala serigala itu tepat menghempap di hadapan Enra manakala yang satu lagi mengarahkan pandangannya ke arah Sufi yang masih berdiri di atas puncak bukit mengeluarkan dua lagi belati hitam.

"Tsing!" Enra menebas leher serigala yang terhempap tepat di hadapannya itu dengan pantas menggunakan samurainya. Pedang itu membuat satu potongan yang sangat halus pada leher dan kepalanya.

Serigala yang tersisa mengarahkan pandangannya kembali ke arah Enra. Serigala itu berlari sepenuh hati menyerang lalu menerkam ke arah pemuda itu. Dengan pantas pemuda itu menghulur pedangnya ke atas.

"Tsuk!Tsuk!" dua belati hitam lagi tepat mengenai kedua kaki serigala itu.

"Buk!" Seperti serigala yang satu, serigala itu juga menghempap tepat di hadapan Enra.

"Tsing!" Enra membelah dua kepala serigala itu dengan potongan yang sangat halus. Kedua serigala mengalirkan darah merah berbeza dengan serigala berkepala dua yang Sufi bunuh.

"Mudah." Enra menghela nafas yang panjang.

Sufi melompat daripada puncak bukit itu menuju ke arah Enra. Dengan ketinggian seperti itu, pemuda itu tidak terkesan dengan lompatan yang dia lakukan. Dia bergerak pula menghampiri pohon merah tersebut.

"Saudara, kenapa serigala ini tidak menyalak?" Enra mengikuti pergerakan Sufi.

"Kau pernah jumpa serigala yang menyalak?" Sufi menyoal semula.

Enra mengangguk kecil.

"Kau buat apa?"

"Lari." Enra tergelak kecil.

"Serigala atau Luphus yang menyalak itu ketua bagi serigala-serigala ini. Hanya ketua Luphus sahaja yang mampu menyalak." Sufi mengusik cendawan merah yang pada bahagian kulit pohon merah itu.

"Mana ketua mereka?"

Sufi menggeleng kecil.

"Jika serigala ini tidak bergerak dalam suatu kumpulan yang besar, itu maksudnya mereka tiada ketua."

Enra mengangguk kecil untuk yang ke sekian kalinya.

"Pohon ini adalah pohon hitam pada awalnya iaitu pohon biasa. Tapi pada bahagian dalamnya ada sebuah benih merah berdarah yang berukuran sama seperti cendawan-cendawan ini. Benih itu digelar Nyawa Genoderma iaitu benih yang mengubah pohon ini menjadi merah dan membuatkan pohon ini menghasilkan Genoderma yang sangat banyak." Sufi memetik sekaki Genoderma.

"Nyawa Genoderma. Haba kecil yang aku lihat." Enra membulatkan kedua matanya.

"Sekarang, aku bagi kau dua pilihan dan setiap pilihan ini ada yang perlu di korbankan."

Wajah Enra berubah cemas secara tiba-tiba.

"Apa... yang perlu dikorbankan?" Enra berbicara semakin perlahan.

"Pertama, kita akan mengambil beberapa Genoderma ini dan membawa cendawan ini pulang. Genoderma hanya akan bertahan selama dua hari jika ia terpisah daripada Nyawa Genoderma atau lebih jelas lagi pohon ini. Kita perlu datang semula ke tempat ini suatu hari nanti untuk mengambil Genoderma yang tersisa. Pengorbanannya, Luphus sangat membenci Genoderma. Serigala-serigala ini gemar mencakar dan memusnahkan pohon yang mengandungi Nyawa Genoderma. Kita tidak akan tahu jika suatu hari nanti, puluhan ekor Luphus akan datang ke tempat ini dan memusnahkan Nyawa Genoderma. Jika Nyawanya mati, itu bererti Genoderma juga mati."

"Jika dua ekor Luphus, ianya masih mudah. Tapi jika puluhan..." Enra menggeleng-geleng kepalanya.

"Pilihan Kedua?"

"Pilihan kedua, kita belah pohon ini dan mengambil Nyawa Genoderma. Seperti yang Yuni katakan, semai. Kita akan menyemai Nyawa Genoderma tidak kira di dalam tanah ataupun pada suatu pohon di sekitar kawasan istana. Yang pasti, jika ada Nyawa Genoderma, ribuan cendawan merah ini akan tumbuh dan kita mudah untuk melindungi tumbuhan ini daripada dihancurkan oleh Luphus."

"Aku pilih pilihan yang kedua." Enra mengarahkan jari telunjuknya ke arah Nyawa Genoderma bersama wajah yang penuh dengan keyakinan.

"Aku belum habis cakap saudara." Sufi tersenyum sinis.

"Pengorbanan?"

"Pengorbanannya, jika kita cabut Nyawa Genoderma daripada pohon ini, kesemua cendawan merah ini akan mati dalam sekelip mata. Apabila Nyawa Genoderma ini mendapat rumah yang baru, ia mengambil masa sebulan untuk menghasilkan semula Genoderma. Kemungkinan, kita akan kehabisan bekalan makanan dan kedua ayam itu akan mati kerana jangka masa yang terlalu lama menanti Nyawa Genoderma untuk berbunga." Sufi tersenyum kecil.

Kedua mata Enra tidak berkelip bersama mulutnya yang terus ternganga mendengar dua pilihan itu. Kedua pilihan yang berpaut pada suatu pengorbanan yang sangat besar.

"Jadi saudara? pilihan kedua?" Sufi memecahkan segala keheningan.

"Ehem... Kejap!" Enra menelan air liurnya yang mengalir sedikit.

"Kalau saudara, saudara pilih yang mana?"

Sufi menggeleng kecil.

"Aku? untuk apa aku memilih. Tanpa Genoderma aku boleh hidup. Aku boleh membawa Maria dan Jane mencari tempat tinggal yang baru. Pilihan ini untuk rakan-rakan kau. Kau yang akan menentukan kelangsungan hidup kamu semua." Sufi berbicara tegas dengan nada yang lembut.

"Boleh kita tanyakan terlebih dahulu kepada Ravya?"

Sufi menggeleng kecil untuk kali yang kedua.

"Jika dia membuat pilihan yang salah? kau sendiri kata, dia itu sukar dibawa berbincang. Maksudnya, wanita itu hanya akan mendengar dirinya sendiri... kan?" Sufi menaikkan keningnya.

Kali ini, Enra pula yang menggeleng bersama suatu keluhan yang berat. Dia duduk berhadapan dengan pokok itu bersama dahi yang terus dikerutkan. Akalnya mula berperang memikirkan pilihan yang manakah perlu dia lakukan demi kelangsungan hidup rakan-rakannya.

"Tsing!" Sufi mengeluarkan pedang hitamnya.

"Saudara?"

"Cuba kau tandakan bahagian bawah Nyawa Genoderma dan bahagian atasnya." Sufi menyerahkan pedang hitamnya kepada Enra.

Enra mencapai pedang itu dengan penuh persoalan pada mindanya. Dia mula mengeluarkan kembali kelebihan kedua matanya yang mampu melihat haba itu semula.

"Tsing!" Enra membuat goresan pertama pada bahagian atas kedudukan Nyawa Genoderma.

"Tsing!" Goresan kedua terletak pada bahagian bawah Nyawa Genoderma. Ternyata, kedudukan Nyawa Genoderma itu terletak pada bahagian tengah pohon.

"Apa yang kau ingin lakukan saudara?" Enra menyerahkan kembali pedang hitam itu kepada Sufi.

Sufi mengambil pedang itu semula dan merenung setiap goresan yang Enra lakukan.

"Tsuk!" Sufi menusukkan pedangnya ke bahagian tengah pokok.

"Ditengah ini... kan?"

Enra menggukkan kepala. Sufi duduk mencangkung berhadapan dengan bahagian dasarnya pohon merah itu.

"Tsinggg!" Dengan pantas, Sufi memotong dasar pohon merah tersebut.

Secara perlahan-lahan, pokok itu rebah menghempap ke bumi.

"Bum!" Pohon itu kini melintang di bahagian hadapan mereka berdua. Meski terpisah daripada akarnya, pohon itu masih berwarna merah dan ribuan cendawan merah itu tidak bertukar menjadi hitam.

"Cendawan... Genoderma... Cendawan itu tidak mati!" Enra meninggikan nada suaranya.

Sufi bergerak pula ke bahagian atas pohon merah yang terhampar di hadapan mereka berdua itu.

"Tsing!" Sufi memotong bahagian atas pohon itu diantara bahagian rantingnya yang berdaun rimbun dengan batangnya yang sederhana besar. Kini, pohon itu berubah menjadi log kayu yang sederhana besar mengandungi Nyawa Genoderma pada bahagian tengahnya dan pada kulitnya masih hidup ribuan cendawan merah.

Sufi menyimpan semula pedang hitamnya di bahagian belakang. Dia memandang ke arah Enra dengan senyuman kecil.

"Pap!Pap!Pap!" Enra bertepuk tangan melihat log kayu yang sempurna dengan Nyawa Genoderma berserta ribuan cendawan merah.

"Jika Nyawa Genoderma di buang daripada pohon ini, cendawan merah akan mati sekelip mata. Jika pohon ini dibiarkan, suatu hari nanti Luphus akan memusnahkannya. Tapi jika Nyawa Genoderma tidak dibuang daripada pohon ini dan kita memotong hanya bahagian pohon yang tidak diperlukan, kita boleh membawa pohon ini pulang bersama Nyawa Genoderma dengan ribuan cendawan merah sekali. Bijak!" Enra tidak henti bertepuk tangan.

"Tapi saudara, itu kan pilihan yang ketiga?"

Sufi tersengih kecil.

"Jika kehidupan ini memberikan saudara dua pilihan, mengorbankan nyawa demi orang lain atau mengorbankan nyawa orang lain demi nyawa sendiri, pilihan mana yang saudara akan pilih?"

"Mengorbankan nyawa demi orang lain!" Enra berbicara dengan tegas.

"Maksudnya, saudara mati. Saudara tidak akan merasakan kebahagiaan lagi." Sufi menyindir semula.

"Apa maksud saudara?" Enra mengerutkan dahinya.

"Jika kehidupan memberikan kita dua pilihan tidak semestinya tiada pilihan yang lain. Kehidupan itu terlalu luas, kenapa manusia perlu terikat dengan dua pilihan, sedangkan kita boleh mencipta pilihan yang baru. Mengorbankan nyawa sendiri demi orang lain atau mengorbankan nyawa orang lain demi nyawa sendiri, mengapa kita tidak memilih untuk menyelamatkan semuanya nyawa? nyawa kita dan nyawa orang lain. Semuanya pasti akan mampu merasakan bahagia. Mengapa perlu manusia terikat dengan dua pilihan, sedangkan kita boleh mencipta pilihan yang baru? Terkadang, manusia itu menyukarkan kehidupan mereka sendiri lalu mereka menyalahkan takdir." Sufi membentangkan kedua tangannya.

Tanpa sedar, setitis air mata Enra mula mengalir. Keterharuan menerpa jiwanya mendengar nasihat yang Sufi berikan.

"Tapi saudara, ada masanya... ada masanya kita hanya akan ada dua pilihan. Ada masanya kita tidak mampu mencipta pilihan yang lain selain daripada kedua pilihan itu. Jika suatu masa saudara ditakdirkan untuk memilih hanya kedua pilihan itu, serahkanlah pilihan itu kepada takdir dan masa. Kerana... terkadang satu perkara itu hanya waktu yang mampu menoktahkannya." Sufi bergerak mengangkat log kayu merah yang mengandungi Nyawa Genoderma tersebut.

Enra bergerak pantas membantu Sufi sambil menyapu kedua matanya yang mengalirkan setitis demi setitis air mata.

"Baiklah saudara. Aku akan sentiasa mengingati nasihat ini." Enra berbicara dengan tegas semula.

Kedua insan memulakan perjalanan mereka pulang semula ke kota membawa log kayu yang mengandungi Nyawa Genoderma dan ribuan Genoderma itu bersama-sama.

***

"Saudara." Enra menyeru Sufi dalam perjalan mereka pulang ke kota.

"Mmm...?"

"Sewaktu saudara terlena, aku ada menasihati Ravya di luar singgahsana tentang Dwisia. Sewaktu itu, dia sedang berlatih menggunakan Lembing Colomby."

Sufi menghentikan langkah kakinya membuatkan Enra juga menghentikan langkah kakinya secara tiba-tiba.

"Berapa lama dia menggunakan Lembing Colomby?" Sufi bernada tegas.

"Sewaktu saudara terjaga, dia baru habis berlatih."

"Dia ada batuk atau urat leher dia berubah hitam?" Sufi terus menyoal.

"Batuk... tiada. Tapi, aku lihat urat leher dia ada satu yang berubah hitam."

"Apa dia kata sewaktu kau menasihati dia tentang Dwisia?

Enra mengeluh berat bersama kedua matanya yang terpejam.

"Dia tidak mahu melepaskan lembing itu. Katanya, ianya peninggalan insan yang dia sangat sayang tapi insan itu sudahpun mati 5 tahun yang lalu. Katanya lagi, meski dia mati sekurang-kurangnya dia mati bersama dengan lembing itu."

"Kau ada cerita tentang kesannya. Kesan yang dia akan berubah menjadi raksasa?" Sufi menoleh sedikit ke arah Enra.

"Ada saudara, sepuluh kali aku katakan pada dia. Dia tidak percaya dan dia kata meski pun benar, dia tetap akan memegang lembing itu."

Sufi menggeleng kecil bersama suatu keluhan yang berat.

"Dia tidak lama lagi akan bertukar menjadi raksasa. Jika dia batuk berdarah berwarna hitam, itu adalah tanda-tanda yang pertama. Jika urat nadinya berubah hitam, separuh tubuhnya tidak lama lagi akan berubah menjadi raksasa."

"Urat nadinya... sudah berubah. Saudara!" Enra meninggikan nada suaranya.

"Kita akan sempat pulang sebelum dia berubah sepenuhnya menjadi raksasa. Tapi untuk mengubah semula tubuhnya yang berubah menjadi raksasa, aku belum pernah melihat perkara seperti itu. Manusia tidak akan mampu menghalang racun itu bahkan seorang Dwisia sahaja kesukaran menentang racun itu."

"Tiada cara lain?" Enra berbicara semakin sayu.

"Mari! aku akan cuba apa yang aku tahu. Jika hanya ada dua pilihan..."

"Kita serahkan pada takdir dan masa!" Sufi dan Enra berbicara serentak.

Tanpa berlengah, kedua insan bergegas menuju ke Kota Avandalle untuk menyelamatkan Ravya.