Di pagi hari atau lebih jelas lagi di gelap hari, kumpulan manusia di kota itu melenakan diri bertemankan kedinginan. Langit sudahpun kehilangan bulan. Tiada sinar melainkan unggun api yang terus menyala di tengah singgahsana. Pada waktu itu, Sufi berseorangan berteman kegelapan di luar istana mengasah pedang peraknya menggunakan seketul batu berwarna merah gelap.
"Saudara." kejut Enra.
"Mmm... Kau tidak tidur?"
"Belum lagi. Aku selalu berjaga jika gelap menguasai alam ini sepenuhnya." Enra bergerak duduk di samping Sufi.
Sufi menghulur pedang itu ke hadapan cuba memperhatikan sejauh mana ketajaman pedang itu berubah.
"Bagaimana saudara mampu melihat di dalam kegelapan ini?"
Sufi meletakkan semula pedangnya.
"Bagaimana saudara mampu melihat di dalam kegelapan ini?" Sufi menyoal semula bersama suatu senyuman.
"Maksud?" Enra mengerutkan dahinya.
"Saudara pernah mendengar tentang Dwisia?" Sufi terus menyoal.
Enra menggelengg kecil menafikan soalan itu.
"Asal usul saudara?"
"Aku lahir setelah Peristiwa Matahari Yang Hilang. Ayah aku Geiji seorang ketua kumpulan manusia yang menghuni Kapal Jie, Kapal gergasi yang berlabuh di tengah Laut Kuning. Sewaktu aku berumur 25 tahun, kapal itu musnah kerana seekor raksasa yang berbentuk seakan seekor naga berwarna hitam. Aku berjaya melarikan diri menggunakan sebuah kapal kecil bersama dengan Yonira, adik aku. Kami berdua tiba di Tanah Tepian Alam ini dua tahun yang lalu. Setelah lama mengembara, akhirnya kami bertemu dengan Nenek Kia. Wanita itu yang membawa kami ke kota ini." terang Enra.
"Ayah kau?"
"Ayah..."
"Raksasa itu kan? Geiji yang berubah menjadi raksasa naga itu, kan?" Sufi mengeluarkan botol kecil yang berada pada poket bahagian dalam bajunya.
"Bagaimana..."
"Ayah kau adalah Dwisia iaitu manusia separuh raksasa. Akal dan jiwanya masih bergelar manusia namun pergerakannya, deria, penglihatan, dan kemungkinan sebahagian tubuhnya berubah menjadi seekor raksasa." jawab Sufi.
"Maksud saudara?"
"Dwisia bermula setelah peristiwa Matahari Yang Hilang dikala manusia di alam ini berperang menentang raksasa yang bermutasi. Namun usaha mereka itu berubah sia-sia kerana raksasa-raksasa yang bermutasi ini sukar untuk dibunuh dengan kebolehan manusia biasa. Suatu hari, seorang pengkaji daripada Tanah Di Tengah Alam berjaya merungkai cara untuk membunuh makhluk-makhluk durjana ini. Pengkaji itu mengatakan, jika seorang manusia menelan jantung seekor raksasa yang mempunyai kuasa luar biasa, manusia itu akan mewarisi kebolehannya. Berita itu tersebar luas ke seluruh alam lalu mereka pun mencari raksasa-raksasa yang berkebolehan luar biasa dan menelan jantungnya. Disitulah bermulanya Dwisia, manusia yang memiliki kebolehan raksasa seperti ayah kau." terang Sufi.
"Setelah itu?"
"Seperti cerita fantasi... perang kembali dijulang." Sufi membentangkan kedua tangannya.
"Jika manusia menang, kita tidak akan sengsara seperti sekarang." Enra mengerutkan dahinya.
"Kerana manusia juga terlalu tamak. Tidak cukup dengan satu jantung, mereka ingin lebih daripada itu. Manusia mana yang tidak menginginkan suatu kuasa. Pengkaji itu sudah pesan, hanya seekor raksasa, tidak lebih daripada itu. Manusia-manusia yang tamak ini memakan lebih daripada satu. Akhirnya, tubuh manusia mereka tidak mampu menampung racun yang ada dalam jantung raksasa itu lalu mereka pun berubah menjadi raksasa. Manusia jugalah yang menghancurkan bangsa mereka sendiri." Sufi melepaskan suatu keluhan.
"Ayah pun..."
"Ayah kau hanya memakan satu jantung iaitu jantung Draco. Raksasa naga yang bermutasi daripada ular, helang, api dan manusia. Setelah manusia berubah menjadi raksasa kerana tamak dengan kuasa, pengkaji itu cuba untuk memulihkan mereka semula namun ianya menemui jalan yang buntu. Akhirnya, dia hanya menemui cara untuk menghalang Dwisia ini berubah menjadi seekor raksasa. Dwisia perlu meminum darah hitam daripada raksasa untuk menghalang racun itu daripada mengubah tubuhnya."
"Di atas Kapal Jie, yang ada hanya manusia. Ayah berubah, kerana dia tidak menemui darah hitam untuk menghalang perubahan itu." Enra berbicara semakin sayu.
"Setiap penyelesaian, pasti ada ujian. Yang menjadi masalah lagi, Dwisia juga merupakan suatu keturunan. Geiji berubah menjadi Dwisia sebelum kau dilahirkan. Maksudnya, kau lahir bukanlah sebagai seorang manusia melainkan salah satu daripada Dwisia. Buktinya, kau mampu memegang pedang itu." Sufi mengarahkan pandangannya ke arah pedang samurai yang berada di tangan Enra.
"Pedang ini?" Enra mengangkat pedang samurainya itu.
"Sewaktu manusia memburu raksasa yang berkebolehan ini, mereka juga mendapat tahu yang tubuhnya sangat keras bahkan melebihi kerasnya besi. Mereka menciptakan suatu senjata daripada tubuh raksasa tersebut. Setiap daripada senjata ini mempunyai bentuk raksasa yang mereka jadikan senjata. Pedang itu, kepala pemegangnya berbentuk seekor naga atau lebih jelas lagi Draco. Hanya Dwisia bersama keturunannya yang mampu memegang pedang itu. Pemiliknya adalah jantung Draco, senjata itu adalah tubuhnya. Kedua perkara itu saling terikat."
"Aku tidak mengetahui apa-pun tentang perkara ini. Ibu hanya memberikan aku pedang ini setelah ayah berubah menjadi raksasa. Dia meminta aku untuk lari dan menjaga Yonira." Enra menundukkan wajahnya.
"Ibu kau tidak berubah?" soal Sufi.
Enra mengeleng kecil.
"Separuh Dwisia, separuh manusia. Berapa lama kau memegang pedang ini?" soal Sufi lagi.
"Tiga Tahun." jawab Enra.
"Kau pernah menggunakan kebolehan Dwisia?"
"Belum, aku baru tahu. Kenapa?" Enra menyoal semula.
"Jangan pernah gunakan kelebihan itu kecuali perkara yang mendesak. Kau akan bertahan lebih lama dengan racun itu. Minum setitis darah hitam ini." Sufi menyerahkan botol kecil yang ada ditangannya itu.
"Untuk?"
"Kau pemegang pedang itu. Senjata itu juga racun yang mampu mengubah kau menjadi seekor raksasa. Kita tidak tahu pada bila-bila masa tubuh kau akan mendesak untuk mencari penawarnya. Paling tidak, setitis penawar sudah cukup untuk bersiap sedia."
Enra mencapai botol kecil itu lalu menitiskan setitis darah hitam ke dalam mulutnya.
"Wek." Enra mengemam dengan pelatnya sambil menyerahkan semula botol kecil tersebut kepada Sufi.
"Maksudnya saudara... kebolehan kita berdua mampu melihat didalam kegelapan ini menunjukkan kita berdua juga adalah Dwisia, kan?" Enra kembali tertanya-tanya.
Sufi mengangguk kecil.
"Bagaimana saudara berubah menjadi Dwisia?"
"Hmm!" Sufi tersengih kecil.
"Lebih baik kau tidak tahu. Sungguh, lebih baik kau tidak mengetahui dari mana asal usul aku. Ada perkara yang perlu disampaikan dan ada perkara yang perlu dirahsiakan." Sufi mengukir senyuman kecil.
"Baiklah. Meski bicara itu seakan suatu misteri, tapi aku percaya dengan saudara." Enra membalas senyuman yang Sufi lemparkan.
"Ingat saudara, jangan pernah lupa senjata itu adalah racun. Jangan berikan kepada sesiapa. Cukup hanya kau yang menjadi pemiliknya dan... kalau boleh, terangkan tentang Dwisia ini hanya kepada Ravya. Dia memegang Lembing Colomby tapi dia bukanlah seorang Dwisia. Meski aku berikan dia penawar ini, tubuhnya tidak akan mampu menampung racun itu jika dia masih memegang lembing tersebut." Sufi berdiri daripada duduknya.
"Tapi... dia sukar untuk diajak berbincang."
"Kalau boleh..." Sufi bertegas dengan nada yang lembut.
"Kalau bulan bersinar, kita akan mencari Genoderma." Sambung Sufi lagi menoktahkan penjelasan tentang Dwisia.
"Kalau bulan tidak bersinar?"
"Kita tengok angin bertiup arah mana. Jika angin bertiup arah selatan, ada baiknya kita cari esok malam." Sufi membuka langkah masuk semula ke dalam singgahsana.
***
Sufi dan Enra masih menanti kehadiran bulan di alam itu. Kedua insan itu berdiri di hadapan singgahsana bersama kedua mata yang terus meliar ke langit. Kedinginan semakin mendinginkan. Kesunyian terus menghiasi kegelapan. Secara tiba-tiba, mendung berarak daripada arah utara memenuhi dinding langit. Dari kedudukan mereka itu, Sufi dapat melihat mendung itu membawa ribut taufan berbaur petir yang sambung menyambung.
"Angin bertiup ke arah selatan. Pergerakan mendung ini terlalu pantas!" Enra menyedari perubahan angin yang berlaku secara tiba-tiba itu.
"Mondo! Panthyger! Matikan api Enra! Selepas itu pastikan Lily dan Nenek Kia tidak membuat sebarang suara. Cepat sebelum taufan itu menerpa kota ini." Sufi bergegas menuju ke bilik Maria dan Jane.
Enra pula bergerak pantas mengambil air daripada Bunga Aracay lalu menyimbah unggun api yang besar itu.
"Sufi." Garo keluar daripada biliknya.
"Garo! Bantu Enra padamkan api itu." Sufi bertingkah semakin tidak keruan.
Di kala pemuda itu cuba memasuki bilik yang dihuni oleh wanita, Laviant keluar daripada salah satu bilik bersama tingkahnya yang masih terbuai-buai.
"Sufi... ada apa?" Laviant menyoal dengan kuatnya,
"Ssshhh!" Sufi memberikan isyarat tangan agar Laviant mendiamkan diri. Dia mengarahkan jari telunjukanya ke arah Garo dan Enra.
"Tolong padam api!" arah Sufi tanpa suara.
Laviant tersedar daripada segala buaian lena lalu berlari dengan pantas membantu Garo dan Enra.
"Buk!" Maria membuka pintu secara mengejut.
"Pap!" Sufi dengan pantas menutup mulutnya membuatkan Maria tersedar sepenuhnya daripada lena. Sufi ingin bergerak semula masuk ke dalam bilik wanita,
"Bum!Bum!Bum!" Taufan melanda kota itu lebih pantas daripada apa yang dia jangkakan. Tiupan angin sangat kencang hingga pokok-pokok mula berterbangan di udara bahkan singgahsana itu juga terkena tempiasnya. Tanpa disedari, Maria sudahpun memeluk tubuh Sufi dengan eratnya terkesan dengan dentuman petir yang datang secara mengejut itu.
"Ada apa Sufi?" Ravya, Yuni dan Jane keluar daripada bilik wanita itu.
"Arrrghhh!" suatu suara yang sangat menyeramkan kedengaran daripada luar istana usai Ravya memberikan persoalan.
Sufi memberikan isyarat agar mereka semua berdiam diri tanpa sebarang bicara dan pergerakan. Ketiga wanita itu segera duduk sambil menutup mulut masing-masing menggunakan kedua tangan. Garo sudahpun memeluk tubuh Laviant dan menutup mulut pemuda itu secara paksa menggunakan tangan kanannya.
"Arrrghhh!" suara menggerunkan itu semakin jelas kedengaran.
"Arrrghhh!" suatu suara lagi kedengaran mengikuti suara yang pertama.
Maria memeluk tubuh Sufi semakin erat bahkan kedua matanya mula mengalirkan air mata.
"Buk!Buk!Buk!" langkah suatu makhluk yang besar kedengaran memasuki singgah sana itu.
Dalam beberapa detik, kesemua manusia itu melihat satu sosok makhluk besar seakan sebuah rumah kecil berleher panjang, berkepala seakan seekor singa berwarna hitam bertanduk tujuh, kedua tangan besarnya berkuku panjang umpama lembing yang dipacak-pacak, matanya merah menyala terang bagaikan lampu dan setiap giginya seakan gigi jerung yang berukuran hampir sama seperti sebuah pedang. Makhluk itu bergerak mendekati Garo dan Laviant. Laviant sudahpun membasahi seluarnya dengan air kencing membuatkan Garo memejamkan kedua matanya dengan penuh kemarahan. Makhluk itu bergerak menghidu-hidu kedua insan sambil meliarkan kedua matanya yang merah menyala.
Maria menggigit bibirnya dalam pelukan Sufi. Jane yang dilanda ketakutan yang sangat mendalam itu cuba mengukir langkah untuk bergerak menghampiri Sufi.
"Pap!" Langkahnya memecahkan suasana.
"Pap!" Ravya bergerak pantas memeluk Jane bersama tangan kanannya yang menutup mulut gadis itu secara paksa. Dua bunyi yang mula kedengaran.
"Arrrghhh!" makhluk itu berlari dengan pantas menuju ke arah Jane.
"Ting!" Sufi membaling pedang peraknya ke hadapan pintu singgahsana membuatkan makhluk itu berhenti berlari. Dia menoleh ke arah bunyi pedang tersebut lalu secara perlahan-lahan makhluk itu bergerak ke bahagian pintu singgahsana.
"Ting! Ting! Ting!" makhluk itu mengusik pedang Sufi berulang kali.
"Arrrghhh!" makhluk itu mula keluar daripada singgahsana membuatkan setiap insan mengeluh dengan tenangnya.
"Bum!Bum!Bum!" seakan bunyi dentuman petir namun insan-insan itu dapat merasa bumi yang mereka pijak bergegar terkesan dengan dentuman itu. Ianya seakan tapak kaki suatu makhluk yang tersangat besar bahkan kemungkinan makhluk itu merupakan raksasa terbesar yang ada di alam itu. Mereka kembali mengunci segala suara dan pergerakan daripada tubuh masing-masing.
***
Dua jam dalam peredaran waktu, akhirnya taufan itu berhenti menghempap Kota Avandalle. Setiap tubuh manusia mula menggigil. Yuni sudahpun tertidur menyandar pada bahagian pintu bilik wanita, Jane tertidur dalam pelukan Ravya yang juga tertidur memeluk gadis itu, Maria terus mengalirkan air mata tanpa suara dalam pelukan Sufi dan Laviant terus membulatkan matanya dalam pelukan Garo bersama seluarnya yang basah. Sungguh kesemua manusia terkesan dengan makhluk bertanduk tujuh itu.
"Huuuh." Sufi menghela nafas yang panjang membuatkan Garo melepaskan pelukannya.
"Kau kencing aku celaka!" Garo berbisik ke arah Laviant dengan wajahnya yang sangat tegang.
"Maria..." Sufi membisik ke arah Maria.
"Mmm..."
Sufi mengeluh panjang sambil meliarkan matanya ke sekeling singgahsana. Secara perlahan-lahan dia melepaskan pelukan Maria.
"Pap!" Maria menggenggam tangan kiri Sufi dengan eratnya.
"Jangan tinggal aku..." Maria merayu dengan nada yang sangat sayu bersama tangisan yang semakin reda.
Sufi menarik lengan Maria bergerak secara perlahan-lahan menuju ke bahagian pintu singgahsana. Dia mengutip semula pedang peraknya menggunakan tangan kanan lalu menyambung pergerakannya itu ke luar istana. Kedua matanya meliar memeriksa jika kawasan kota itu sudah selamat daripada makhluk bertanduk tujuh tersebut..
"Kita sudah selamat." Sufi mengarahkan pandangan ke arah Maria.
"Jangan..." Maria menggeleng kecil.
Sufi membawa semula Maria masuk ke dalam kota.
***
Dua jam seterusnya dalam peredaran waktu. Mereka semua berkumpul di tengah ruangan singgahsana bertemankan ungun api yang kembali menyala. Maria tertidur didalam pelukan Sufi yang sedang duduk menyandar pada dinding di ruangan itu manakala Yuni dan Laviant kembali tidur di bilik masing-masing.
"Sufi... itu... itu..." Bicara Jane masih dihantui dengan makhluk bertanduk tujuh itu.
"Makhluk itu apa Sufi?" Ravya menyoal dengan nada yang tegas.
"Panthyger dan Mondo." Sufi menundukkan wajahnya yang kelihatan sangat letih itu.
"Angin bertiup ke arah selatan?" Enra meneruskan persoalan itu.
"Itu adalah tanda-tanda kedatangan makhluk itu. Malam yang tidak berbulan dan angin kencang yang bertiup ke arah selatan. Kedua tanda itu merupakan petunjuk makhluk itu akan datang. Jika ada taufan yang datang daripada arah selatan, sebaiknya bersembunyi dan jangan membuat sebarang suara. Kemungkinan itu dia."
"Dia?" Enra dan Garo menyoal serentak.
"Mondo ataupun Raja Hitam. Raksasa terbesar yang ada di alam ini. Raksasa itu bermutasi dengan berbagai macam haiwan dan bencana alam. Tubuhnya berukuran... terlalu besar, sukar untuk dijelaskan. Kepalanya sahaja mencecah langit. Senang cerita, tubuhnya besar seakan sebuah gunung berwarna hitam yang sedang berjalan. Dimana pun Raja Hitam berada, bencana alam akan mengiringinya. Mengikut cerita, di puncak kepalanya menyimpan satu bunga yang sangat luar biasa. Tapi... tiada siapa yang berani menentang gergasi itu. Menentang Raja Hitam itu serupa seperti membunuh diri." Sufi mengeluh kecil.
"Makhluk bertanduk tujuh?" Jane terus menyoal.
"Panthyger. Raksasa yang bermutasi dengan singa, buaya, seladang, dan beberapa senjata pada zaman dahulu kala. Panthyger merupakan raksasa yang paling digeruni oleh raksasa yang lain di alam ini. Pada 50 tahun yang lalu, Raja Panthyger berjaya dibunuh. Yang kita lihat itu adalah pengikut-pengikutnya yang mula berdamping dengan Raja Hitam. Mereka umpamanya berganti raja." Sufi menyandarkan kepalanya pada dinding singgahsana.
"Raja Hitam berdampingan dengan bencana alam dan Panthyger." Enra mengeluh panjang.
"Panthyger tidak mampu melihat dan menghidu. Dia hanya mampu mendengar dan merasa. Selagi kamu semua senyap tanpa sebarang pergerakan, kamu tidak akan mati."
Keempat insan mengangguk kecil.
"Bagaimana dengan Lophura?" Ravya menyoal semula.
"Kita terpaksa mencari Lophura esok malam. Panthyger itu bukan seekor, ada beratus yang berdampingan dengan Mondo. Meski bencana alam itu sudah tiada, ada kemungkinan Panthyger masih berlegar-legar berdekatan dengan kawasan kota ini mencari darah manusia."
"Apalah nasib Yonira." Enra tertanya-tanya dengan nada yang sayu.
"Selagi dia masih diam tanpa sebarang suara, kemungkinan dia masih selamat. Raja Hitam hanya akan datang 10 atau 15 tahun sekali ke Tanah ini. Dia akan berpusing ke seluruh alam menentang putaran jam. Buat masa ini, jika ada angin kencang bertiup daripada arah selatan, ia bukanlah Raja Hitam dan Panthyger." Sufi memujuk Enra yang semakin merindui adiknya itu.
Keempat insan hanya mampu mengangguk kecil untuk yang ke sekian kalinya. Sufi terlena tanpa dia sedari didalam kedudukannya itu. Lelah yang mendalam menghantui tubuhnya hingga lena hadir secara paksa. Ketiga insan membiarkan pemuda itu terlena bertemankan Maria.