Chereads / Royal Angels / Chapter 3 - 3

Chapter 3 - 3

"Wah! Cantiknya bilik ni!" tutur Laila, Yasmin dan Dinah dengan serentak.

"Bilik Dinah berwarna jambu, bilik Yasmin berwarna biru manakala bilik Laila berwarna putih. Bilik masing-masing ada bilik air sendiri, televisyen sendiri, walk-in closet tersendiri dan meja solek. Rak yang ada di dalam bilik Yasmin penuh dengan buku-buku berkaitan agama manakala rak yang ada di bilik Laila adalah penuh dengan novel. Rak di dalam bilik Dinah pula dipenuhi dengan buku-buku berkaitan dengan seni mempertahankan diri. Bilik-bilik ini diubah suai mengikut warna kesukaan awak bertiga," tutur Damia sebelum tiga gadis itu sempat menutup pintu bilik mereka.

Damia menggelengkan kepalanya apabila melihat sinar kegembiraan di wajah tiga gadis itu. Dia melangkah ke dapur dan membiarkan tiga gadis itu berehat. Laila, Dinah dan Yasmin melangkah ke dalam bilik air untuk membersihkan diri serta menunaikan solat sebelum turun ke meja makan.

"Nenda!" tutur Laila dengan penuh keceriaan.

"Kamu bertiga suka bilik-bilik kamu?" soal Ungku Nadrah.

Laila, Yasmin dan Dinah mengangguk bersama sebuah senyuman manis yang terukir di bibir masing-masing. Mereka bertiga mengucapkan terima kasih dan melabuhkan punggung mereka di kerusi yang tersedia.

"Yasmin, kaki kamu sudah sembuh?" soal Ungku Nadrah dengan penuh prihatin.

"Belum lagi, Nenda. Nanti sapu minyak baru okaylah. Nenda jangan risau ya," balas Yasmin.

Ungku Nadrah sekadar mengangguk dengan senyuman manis yang tidak lenggang dari bibirnya itu.

"Oh ya, Nenda. Bila kami bertiga akan pindah sekolah?" soal Yasmin.

"Lusa. Esok Nenda ingin mengajak kamu bertiga ke pusat membeli-belah untuk membeli barang-barang sekolah. Kebetulan barang dapur pun hampir habis, bukan begitu Mia?" balas Ungku Nadrah, siap menyoal Damia untuk kepastian.

Damia mengangguk tanda setuju. Ruang tamu itu dipenuhi dengan gurau-senda dan pergaduhan dari Damia dan Amsyar. Laila, Dinah dan Yasmin tidak henti ketawa apabila setiap kali mereka berdua dipadankan oleh Ungku Nadrah. Semakin banyak mereka berdua dipadankan, semakin kuat mereka bergaduh. Ungku Nadrah menggelengkan kepalanya dan mengukirkan sebuah senyuman manis sebaik sahaja melihat senyuman serta gelakkan tiga cucu-cucu angkatnya itu.

"Lepas ini, kamu bertiga ikut Mia sekeliling rumah ya? Takut sesat pula dalam rumah. Sudahlah istana ini sekadar tiga tingkat," tutur Ungku Nadrah dengan prihatin terhadap tiga cucu-cucu angkatnya itu.

Laila, Dinah dan Yasmin mengangguk tanda setuju. Sementara Damia mengemas meja dan cuci pinggan mangkuk, tiga gadis itu melangkah ke ruang tamu di mana mereka bertiga menonton televisyen.

"Jom adik-adik sekalian. Jangan asyik tenung televisyen itu," ajak Damia setelah mencuci pinggan mangkuk.

Dengan itu, Damia segera melangkah ke tingkat tiga terlebih dahulu dan diikuti Laila, Yasmin dan Dinah. Terdapat beberapa bilik di tingkat tiga itu. Laila, Dinah dan Yasmin memandang satu sama lain. Banyak sangat bilik di dalam istana ini.

"Akak tahu kalian pasti keliru kenapa dalam istana ini mempunyai banyak bilik bukan? Di tingkat tiga ini, ada perpustakaan, bilik muzik, bilik lukisan dan beberapa bilik yang tidak digunakan. Bilik-bilik yang tidak digunakan itu, Kak Mia tidak tahu kenapa Ungku biarkan sebegitu," terang Damia dengan sebuah senyuman yang terukir di bibirnya.

"Ada bilik muzik dan bilik lukisan?"

"Ya. Bilik muzik dan bilik lukisan inilah merupakan milik Ungku. Dia amat menyukai muzik dan melukis. Itu sebab ada kedua-dua bilik ini," terang Damia lagi.

"Nenda buat apa dengan bilik-bilik kosong itu?" soal Dinah.

Damia sekadar mengangkat bahunya. Dia turut tidak mengetahui mengapa bilik-bilik itu tidak digunakan oleh Ungku Nadrah. Sambil memikirkan perkara itu, Damia melangkah ke tingkat dua dan diikuti tiga gadis itu di belakangnya bagaikan magnet.

"Tingkat dua ini bilik tidur kita orang bukan?" soal Yasmin.

"Ya, tingkat dua ini bilik tidur kita berempat tapi bukan itu sahaja. Ada bilik bonda, bilik Amsyar dan enam hingga lapan bilik tidur untuk tetamu sekiranya ada saudara-mara mahupun sahabat-sahabat bonda bertandang ke istana. Dari tingkat dua dan tiga boleh nampak dewan istana," balas Damia.

Laila, Yasmin dan Dinah ternganga sebaik sahaja mereka mendengar ada enam hingga lapan bilik tetamu. Damia ketawa melihat reaksi mereka itu. Amat lucu dan mencuit hatinya.

"Seperti yang awak bertiga sudah tahu, di tingkat satu ada ruang tamu, meja makan dan dapur. Tetapi, di tingkat satu juga, ada taman di belakang istana dan garaj kereta. Ungku selalu ada di taman untuk menanam pokok-pokoknya," tutur Damia lagi.

"Wah! Siap ada taman dan pokok-pokok lagi," tutur Laila dengan penuh kegembiraan.

Damia melihat jam di dinding berdekatan dengannya dan segera meminta diri untuk menyambung tugas-tugasnya. Laila, Yasmin dan Dinah mengucapkan terima kasih sebelum melangkah ke taman belakang istana. Mereka mencari Ungku Nadrah yang sedang menyiram pokok-pokoknya itu.

"Seronok tinggal di istana?" soal Ungku Nadrah.

"Seronok walaupun baru sahaja sehari duduk di sini, nenda," balas Laila dengan sebuah senyuman di bibirnya.

Yasmin turut mengangguk dengan senyuman manis yang terukir di bibinya manakala Dinah sekadar mengangguk tanda setuju sebelum menunduk ke lantai. Ungku Nadrah perasan akan reaksi Dinah seperti itu dan memberhentikan perlakuannya. Dia melangkah ke arah Dinah dan memeluk Dinah.

"Sabar ya, sayang. Nenda tahu kamu pasti khuatir tentang keadaan di rumah. Nenda turut tahu yang kamu rindu dengan keluarga kamu di sana," pujuk Ungku Nadrah sambil mengusap bahu Dinah.

Sedikit demi sedikit tangisan Dinah mula menitis. Laila dan Yasmin saling berpandangan. Laila turut sedih untuk Dinah dan rindu dengan keluarganya. Walaupun Yasmin tidak merasakan kerinduan untuk keluarganya itu, dia turut bersimpati untuk sahabat-sahabatnya.

"Nenda, Yasmin bukan apa tetapi sebelum ini menjadi drama tidak berbayar, Yasmin ada soalan untuk bonda," tutur Yasmin sebaik sahaja teringatkan sesuatu dan memecah suasana yang menyedihkan itu.

"Apa dia, Yasmin sayang?"

"Bilik-bilik kosong yang ada di tingkat tiga itu untuk apa? Setahu Yas, bilik-bilik itu ada dalam empat bilik kosong," soal Yasmin dengan curiga.

Ungku Nadrah terdiam dengan soalan itu, seakan-akan sedang memikirkan jawapan yang sesuai untuk membalas soalan Yasmin itu.

"Bilik-bilik itu, bonda ingat nak ubahsuai tetapi tidak tahu nak ubahsuai untuk apa," balas Ungku Nadrah.

"Di tingkat dua, biar ada bilik tidur untuk Nenda, abang Amsyar dan kak Mia. Lagi lima bilik adalah bilik tetamu. Di tingkat tiga pula, biar ada bilik tidur kami bertiga, perpustakaan, bilik muzik dan bilik lukisan. Kalau tidak silap Laila, bilik-bilik lebihan ada dalam empat lagi. Apa kata, kita ganti bilik-bilik lebihan yang ada di tingkat tiga?" cadang Laila.

Dinah dan Yasmin tersengih apabila mendengar cadangan Laila. Ungku Nadrah sepertinya sedang memikirkan rasional tentang cadangan Laila itu.

"Kamu nak ganti bilik-bilik itu dengan apa?" soal Ungku Nadrah.

Laila, Dinah dan Yasmin saling berpandangan dengan sebuah senyuman tipis diukir di bibir mereka.

"Kalau Nenda tidak kisah, dua di antara bilik itu boleh dijadikan sebagai bilik ruang latihan bawah tanah untuk kita gunakan. Satu di antara bilik ruang latihan itu adalah untuk letak barang-barang keperluan untuk latihan seni mempertahankan diri manakala bilik lagi satu untuk berlatih. Jadi, tinggal lagi dua bilik. Salah satu bilik itu boleh dijadikan sebagai galeri seni lukisan," balas Dinah sambil memandang Ungku Nadrah dengan penuh harapan.

TBC