Chapter 3
TANG YUAN ( KEDIAMAN MEREKA )
Puan Ketujuh mengarahkan Mama Zhang untuk memberikannya sebuah kerusi kerana dia ingin berehat di koridor. Setelah duduk, dia mula membelai Cheng Qing dengan lembut, yang ketika itu berada di ribaannya.
"San'er, terima kasih kerana telah memberikan ibu, kasih sayang yang tidak ternilai. Walaupun selama ini kamu bersikap dingin dan kurang mesra tetapi kamu tetap berusaha untuk ibu. Sebenarnya ibu pernah merasa terkilan kerana kamu jarang sekali mahu berbicara dengan ibu. Selama ini, kamu tidak suka belajar puisi namun terpaksa mempelajarinya demi untuk kelangsungan hidup kita disini".
"Namun segala penderitaan ini, kamu fahami didalam hati. Ibu cuma ada kamu. Telah hampir setahun ayah kamu tidak pernah mengunjungi kita dan melalui puisi yang kamu deklamasikan tadi, dapat menjelaskan perasaan sedih yang selama ini kita alami. Tiada siapa yang dapat menyangka seorang kanak kanak yang baru berusia enam tahun, mampu menghasilkan puisi sebaik itu. Namun adakah hal ini, satu perkara yang baik atau pun sebaliknya?"
Sebenarnya Cheng Qing juga sedang mempertimbangkan perkara itu. Risau sekiranya akan menimbulkan keraguan kerana seorang anak kecil mampu menghasilkan sebuah puisi yang cukup sempurna, tidakkah nanti akan kelihatan pelik? Lantas dia mengambil keputusan untuk menjelaskan dengan mencari alasan yang munasabah tetapi segera membatalkan niatnya apabila mendengar nada Puan Ketujuh yang berubah menjadi sedikit keras.
"Mereka mahu melihat kita malu memandangkan kamu tidak menguasai empat kesenian. Pada mulanya, ibu merasa risau jika kamu menerima hukuman sebatan... kerana sebagai seorang anak gadis dari keluarga Li, ia akan dianggap sebagai tidak berguna jika tidak mampu menolong memantapkan status sosial ayah kamu. Malah mungkin Xiaoyu akan dikira lebih berharga! Tapi kamu adalah anak kandung ibu, mana mungkin tidak mengetahui puisi dan sastera".
Memandangkan Puan Ketujuh tidak meragui bahawa Cheng Qing bukan anaknya jadi dia mengambil keputusan untuk mengabaikan sahaja perkara tersebut. Ketika ini, dia mula berasa selesa berada didalam pelukan Puan Ketujuh yang sentiasa berbau wangi. Pelukan hangat dari seorang ibu untuk anaknya.
Melihat ibunya berada dalam keadaan santai, Cheng Qing mengambil keputusan untuk bertanya. "Boleh tak, ibu jelaskan mengapa saya perlu bantu ayah? dan mengapa sebagai seorang anak gadis keluarga Li perlu mahir empat kesenian?"
Memikirkan kemungkinan Puan Ketujuh pernah menerangkan hal itu sebelumnya, Cheng Qing mula merasa menyesal kerana mengajukan soalan. Bagaimana nanti, jika menimbulkam keraguan dan ibunya itu menyiasat perkara yang sebenarnya.
Dengan perlahan Puan Ketujuh cuba menjelaskan, "San'er, sekarang kamu masih kecil. Ibu akan beritahu apabila kamu besar nanti".
Cheng Qing ingin mengetahui dengan lebih jelas perihal dunia baru ini. Dia masih lagi keliru kerana tanpa mengetahui apa apa dia telah tersedar didalam tubuh seorang kanak kanak dan harus berhadapan dengan orang asing, membuatkannya merasa takut sepanjang hari. Dia harus mencari tahu segalanya!
Dengan suara yang manja Cheng Qing berkata, "bukankah lebih baik mengetahui awal daripada nanti. Mungkin dimasa hadapan saya akan berubah, belajar dengan lebih tekun agar tiga bulan kedepan dapat terlepas daripada menerima sebarang hukuman!"
Apabila selesai berkata, dia mengeluh kecil kerana masih tidak biasa dengan suara comel ini. Seolah olah ayat itu dituturkan oleh orang lain dan bukan dirinya sendiri.
"Ayah kamu memiliki tujuh orang isteri semata mata untuk mendapatkan anak lelaki. Selaku isteri yang terakhir, ibu tidak menyangka akan melahirkan seorang anak perempuan. Oleh kerana dia merupakan seorang Perdana Menteri sayap kanan tetapi langsung tidak mempunyai waris jadi dia mengambil keputusan iaitu ketiga tiga anaknya harus mempunyai kaitan dengan kerabat diraja bagi mengukuhkan kedudukannya kelak".
"Disebabkan itu, ayah kamu tegas dalam mendidik kamu semua. Segala harapannya tersandang dibahu kamu bertiga untuk memberikan keluarga ini kekayaan dan kegemilangan dimasa hadapan. Puan Besar berasal dari keluaga yang berada, jika bukan kerana dia tidak mampu memberikan ayah kamu waris. Tidak mungkin ayah kamu boleh berkhawin sehingga mempunyai tujuh orang isteri?"
"Ibu masuk kedalam keluarga ini sebenarnya hanyalah bertujuan untuk melahirkan waris yang dinantikan". Walaupun begitu Puan Ketujuh tetap tersenyum kerana berjaya memiliki A'Luo.
"Ibu cuma berharap agar San'er mampu berdiri teguh dihadapan ahli keluarga yang lain kerana jika kamu tidak mempunyai sebarang kemajuan, bererti telah memancing kemarahan ayah kamu dan mengakibatkan kita tidak akan mendapat pakaian dan makanan yang mencukupi. Perangai kamu sama seperti ibu sewaktu kecil, seorang yang degil kerana suka memberikan masalah kepada Mama Zhang dan juga Xiaoyu, tidak pernah kisah dengan kerja rumah".
Kemudian Puan Ketujuh menyambung lagi perbicaraannya setelah terhenti seketika. "Tapi ibu tidak salahkan awak, kerana didalam dunia ini tiada keadilan untuk seorang wanita. Jika kamu tidak berkhawin dengan keluarga yang baik maka kehidupan kamu tidak akan senang dimasa hadapan."
Kata kata yang diucapkannya sendiri membuatkan Puan Ketujuh menangis.
Cheng Qing memerhatikan wajah sedih ibunya itu. Dalam hati dia tahu bermula daripada hari ini, takdir mereka berdua terikat dengan kuat. Kemudian dia melihat dirinya sendiri, secara misteri menjadi seorang kanak kanak diruang dan waktu yang asing.
Cheng Qing sebenarnya seorang pelajar tahun akhir di universiti dan mempunyai keluarga serta masa depan yang cerah. Tapi kini dia sendiri tidak pasti bagaimana dengan masa depannya kelak, tanpa sedar dia menangis.
"San'er, mengapa terlalu sukar untuk menjadi seorang wanita dan mengapa kamu perlu lahir sebagai seorang anak gadis di keluarga ini?"
Puan Ketujuh terus memerhatikan wajah anak kesayangannya, wajah mereka seiras. Dia pasti apabila anaknya itu dewasa kelak, dia akan menjadi seorang anak gadis yang cantik. Dia hanya mampu mengharapkan Qingluo dapat hidup bahagia dan tidak menjadi seperti dirinya.
Kemudian Puan Ketujuh memanggil Mama Zhang dan Xiaoyu, dengan suara yang lembut dia berkata, "Cik Muda masih kecil dan tidak berpengalaman, dia bukannya lemah tapi sedikit degil".
"Puan melayan kami dengan baik, tentu kami juga akan melayan Cik Muda dengan baik serta ikhlas".
Mama Zhang mengangkat Cik Muda Ketiga masuk kedalam bilik apabila melihat Cheng Qing tertidur didalam rangkulan Puan Ketujuh.
******
Pada tengah malam Cheng Qing telah terbangun.
Dia segera melihat dirinya dan sedikit kecewa apabila mendapati dirinya masih lagi berada dalam tubuh kecil A'Luo.
Keadaan persekitaran sangat sunyi, tidak kedengaran sebarang ngauman bunyi kenderaan. Dengan suasana yang sepi, air matanya terus mengalir tanpa henti.
Adakah dia akan berada disini selamanya dan tetap berada didalam tubuh A'Luo sehingga dia membesar menjadi dewasa? Kemudian berkhawin dengan seorang yang berasal dari zaman ini. Tangisannya terus mengalir apabila memikirkan semua itu, dia merasa cemas dan takut. Tiba tiba tirai katil diselak oleh Xiaoyu, dan gadis kecil itu segera memeluknya.
"Adakah Cik Muda mengalami mimpi ngeri lagi? Cik, jangan takut".
Walaupun mengantuk Xiaoyu cuba untuk menenangkannya. Seorang kanak kanak yang baru berusia tidak lebih dari sepuluh tahun cuba mententeramkan dirinya yang sebenarnya telah berusia dua puluh dua tahun.
Cheng Qing segera mengesat air matanya, "saya tidak boleh tidur, Xiaoyu mari kesini dan bercerita bersama saya".
Xiaoyu memerhatikan wajah Cik Muda Ketiga menggunakan lilin yang dipegangnya. Dipipinya masih lagi terdapat kesan air mata, melihat wajah comel itu membuatkan Xiaoyu tidak boleh menolak permintaannya.
Cik Mudanya baru berusia enam tahun tapi telah mampu menarik perhatian orang lain. Tentu apabila dewasa kelak, akan menjadi seorang gadis yang sangat cantik.
Atas permintaan Cheng Qing, Xiaoyu berbaring disebelahnya.
"Boleh tak awak ceritakan tentang dunia luar kepada saya? tentang kerajaan Ning ini?"
"Apa yang saya tahu, di luar sana terdapat lima buah kerajaan. Dibahagian barat kerajaan Qi, selatan barat Xia, utara An, selatan Chen dan kerajaan kita dikawasan timur. Kerajaan ini merupakan kerajaan yang paling terbesar dan terkuat manakala sekarang ini kita berada di ibu kota iaitu Bandar Feng".
Setelah berhenti seketika Xiaoyu menyambung semula, "Bandar Feng sangat besar. Jika menunggang kuda dengan laju sekalipun dari kawasan timur ke barat akan memakan masa selama beberapa jam. Bandar ini paling meriah bila pesta tanglung diraikan. Seluruh jalan akan diterangi dengan hiasan lampu begitu juga dengan perahu perahu yang berada disungai. Suasana ketika itu, seolah olah bandar ini dihuni oleh bidadari dari kayangan".
Setelah mendengar penjelasan panjang lebar dari Xiaoyu, Cheng Qing berpura pura tidur dan melelapkan matanya. Tidak lama kemudian Xiaoyu pun terlelap disisinya.
Cheng Qing membuka semula matanya dan asyik memandang kearah siling bilik tidurnya. Nampaknya dia harus menerima kenyataan bahawa dia akan menjadi A'Luo untuk selamanya. Dia cuba menghapuskan segala rasa takut dan panik yang berada dalam dirinya.
Sekurang kurangnya dia bertuah kerana 'ayahnya' ini adalah seorang menteri berjawatan tinggi. Untuk mendapatkan makanan dan pakaian yang elok bukanlah satu masalah. Cuba berfikiran positif, mungkin suatu hari nanti dia akan terbangun menjadi dirinya semula dan semua yang berlaku sekarang ini hanyalah sebuah mimpi.
Dia mula mententeramkan fikirannya sendiri.
Masih berfikir lagi, semasa di universiti Cheng Qing belajar bahasa inggeris, jelas sekali pengetahuan itu tidak akan dapat membantunya untuk hidup disini namun sebagai seorang yang telah hidup didunia moden selama dua puluh dua tahun tentu ada pengetahuannya yang boleh diguna pakai.
Dia boleh mendeklamasikan lagi puisi yang terkenal dari dinasti terhebat yang pernah dipelajarinya.
Dengan puisi dia boleh memukau orang ramai.
Tetapi dia tidak boleh menyanyi kerana memiliki suara yang sumbang. Walaupun mengetahui beberapa lirik lagu tetap sahaja tidak berguna.
Selama ini, Cheng Qing juga mengamalkan yoga dan tahu bermain judo. Melalui gerakan judo, dia boleh menewaskan sekurang kurangnya tiga atau empat orang lelaki dewasa dalam satu masa. Dia bukannya seorang wanita yang lemah.
Dia berterima kasih kepada kedua ibu bapanya yang berada dizaman moden kerana terlalu sibuk sehingga memaksanya mengambil kelas judo sebagai langkah pertahanan diri.
Cheng Qing juga pandai memasak, semenjak berumur lima tahun lagi dia sudah boleh menyiapkan makanannya sendiri.
Dia sememangnya tahu memasak!
Situasi yang berlaku ketika ini, seolah olah Cheng Qing berada disebuah pulau terpencil. Bila mengetahui dia mempunyai bakat yang mampu menyelamatkan diri, dia merasa sangat teruja.
Sekarang A'Luo berumur enam tahun. Apa yang dia ketahui, anak gadis zaman ini akan berkhawin ketika berusia tiga belas tahun. Ini bererti dia mempunyai masa tujuh tahun lagi untuk belajar. Bermula dari sekarang dia harus peka dengan keadaan persekitaran.
Hidup adalah matlamat utamanya!
Dia juga mesti menerima kenyataan bahawa kini dia adalah anak ketiga keluarga Li iaitu Li Qingluo.
Ayahnya seorang Perdana Menteri yang berkuasa. Dizaman silam kebanyakan mereka yang berkuasa selalunya tidak mempunyai kesudahan dengan baik. Mereka mudah dihukum bunuh oleh Raja yang memerintah dengan pelbagai tuduhan sama ada benar ataupun sebaliknya.
Asalkan ayahnya tidak terlibat dengan sebarang kesalahan, mereka semua akan mampu hidup dengan tenang dan aman.
Apa yang pasti, keenam enam isteri ayahnya tidak menyukai Puan Ketujuh. Adakah disebabkan ibu merupakan isteri yang termuda atau yang paling tercantik? Atau mungkinkah ada sebab yang lain..?"
Mereka hanya tiga bersaudara, jika dia menjadi anak kesayangan. Cheng Qing mula memikirkan kebaikan serta keburukannya. Kebaikannya mungkin ibu akan menerima layanan yang lebih sempurna manakala keburukannya pula dia akan menarik perhatian orang ramai kepada dirinya.
Kediaman mereka ini dikenali sebagai Tang Yuan. Terletak
dikawasan terpencil keluarga Li.
Mereka hanya memiliki dua orang pembantu sahaja iaitu Mama Zhang dan Xiaoyu. Masing masing melayan dirinya dan juga Puan Ketujuh. Manakala biliknya pula kelihatan cukup kemas serta teratur tetapi tidak memiliki barangan berharga.
Mungkin ibunya tidak disayangi setelah melahirkan dirinya, seorang anak perempuan.
Mempunyai fikiran wanita dewasa tetapi berada dalam tubuh kanak kanak dengan pengetahuan dari dunia moden bukanlah perkara sukar buatnya untuk mendapatkan perhatian dari ayahnya agar menjadi anak kesayangan.
Namun setelah berfikir panjang, terlalu berbakat boleh mengundang bahaya.
Sebaiknya dia menjalani kehidupan biasa dan menyembunyikan segala bakat yang dimilikinya.
Apabila telah sebati dengan dunia baru ini, dia akan menimbangkan semula setiap keputusan yang telah diambilnya.