SERAMAI 8 orang calon yang terdiri daripada 6 orang calon lelaki dan baki 2 calon wanita layak untuk menjalani proses latihan di Rusia. Berita ini mendapat liputan yang meluas tidak kira daripada pihak media cetak, media elektronik mahupun mesia sosial. Program siaran langsung di YouTube, Facebook, Twitter, Instagram, Snapchat mahupun aplikasi Tiktok dipenuhi dengan berita 'The Greatest 8' ini. Nampaknya pada kali ini, orang ramai telah menunjukkan komitmen dan minat yang begitu mendalam terutamanya dalam agenda pelancaran kapal angkasa 'GEMILANG-01' yang akan membawa bendera Malaysia menerawang di angkasaraya. Kapal angkasa ini dijangka akan dilancarkan pada ulang tahun kemerdekaan negara ke-80 kelak. Pelbagai hebahan dan risalah telah diedarkan kepada setiap rakyat Malaysia mengenai program Angkasawan dan kapal angkasa milik negara yang pertama seumpamanya.
Pada lewat malam itu, banyak wawancara antara barisan wartawan dengan kelapan-lapan orang bakal angkasawan negara yang akan menjalani latihan di Rusia. Antaranya Daeng Mustakim yang menyatakan peluang ini akan beliau gunakan sebaik-baiknya untuk membuktikan bahawa dia juga mampu berkhidmat untuk negara walau di angkasaraya sekalipun. Thivaran Nagaradjah pula berpendapat bahawa mereka adalah lapan orang yang terpilih dan kesemua calon-calon adalah pemenang kepada sebuah peraduan hidup yang bakal mencorakkan masa depan negara kelak.
Bagi Lim Wei Jin, peluang ini merupakan salah satu batu loncatan untuknya dalam memberikan khidmat bakti kepada negara dan menjadi antara yang terbaik daripada yang terbaik. Samoi anak Rasal pula menyatakan perasaan bangga dan terharu dengan pemilihan ini kerana secara tidak langsung dia dapat mewakili kaum asli yang merupakan salah satu populasi penduduk di Malaysia juga. Dia juga berharap agar dapat membawa budaya, makanan dan kraftangan kaum orang asli negara ke angkasaraya kelak untuk diperkenalkan ke mata dunia.
Joseph Mading anak Stanley pula berharap agar program latihan selama setahun di Rusia ini nanti akan memberikan impak yang besar kepada dirinya dan juga kepada rancangan negara untuk melancarkan stesen angkasa sendiri. Katanya lagi, jikalau tidak terpilih sekalipun sebagai angkasawan kedua, dia sanggup untuk menjadi salah seorang kru dalam stesen angkasa 'GEMILANG-01' kelak yang diberitakan telah sembilan puluh peratus siap dibina.
Azfar Faiq pula nyata terkejut dan mengigil apabila namanya dipanggil oleh Menteri MOST SPACE kerana dia langsung tidak menyangka pihak jawatankuasa akan memilihnya. Katanya lagi, ada ramai calon yang lebih layak berbanding dirinya namun kemungkinan pihak jawatankuasa pemilihan melihat daripada sudut yang berbeza terutama daripada aspek kesihatan, latar belakang dan sebagainya. Baginya, ini merupakan satu cabaran besar dalam hidupnya setelah melalui pelbagai proses pemilihan yang amat sukar. Dia berjanji akan memberikan 100 peratus usaha ketika latihan di Rusia kelak demi merealisasikan impian orang tuanya itu.
Bagi dua calon wanita pula, perkara ini merupakan sesuatu yang baharu kerana pada program pemilihan angkasawan yang pertama dahulu, hanya seorang sahaja wakil tunggal wanita sahaja. Namun, pada peringkat pemilihan kali ini, dua orang wakil wanita berjaya meloloskan diri ke peringkat lapan terbaik. Untuk mengenang kejayaan yang lebih manis, kelapan-lapan calon berkenaan berpeluang untuk mendapatkan tempat di angkasaraya kelak samada melalui program Angkasawan kedua negara mahupun melalui program stesen angkasa 'GEMILANG-01'. Sebab itulah kesemua lapan orang calon berjaya mengikuti latihan ke Rusia berbanding hanya dua orang calon sahaja pada tahun 2007 yang lalu.
Ketika diminta mengulas mengenai kejayaan terpilih sebagai 'The Marvelous 8th', Josephine Imulok menjelaskan yang dirinya telah bersedia untuk menerima latihan di Rusia. Katanya lagi, dia yakin akan dapat menyesuaikan dirinya dengan baik dan pantas terutamanya dari segi makanan, cuaca, bahasa mahupun adat-adat yang kebiasaannya dilakukan oleh orang disana. Tambahnya lagi, beliau optimis untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat negara. Bagi Dr. Nora Yuhanis pula ketika sidang akhbar, sungguhpun tidak menyangka mampu mencapai ke tahap ini, beliau bersyukur dan berterima kasih kerana masih diberi kepercayaan oleh jawatankuasa pemilihan untuk membawa cabaran yang sudah di cita-citakan sejak sedari kecil lagi. Dia amat berharap agar ada peluang untuk impian bakal angkasawan wanita pertama negara ini menjadi kenyataan dan merasa teruja untuk melakukan eksperimen di angkasaraya kelak.
Seusai sahaja selesai sidang akhbar berkenaan, mereka dibenarkan untuk bertemu keluarga masing-masing. Dr. Nora Yuhanis tidak membuang masa. Dia terus menerpa ke arah ibunya, Aunty Anne yang sedang menunggu disatu sudut Ballroom ketika sidang akhbar itu berlangsung lalu memeluk tubuh ibunya itu seeratnya. Dia tidak dapat mengempang air matanya lalu mengalir bertitisan. Ibunya hanya tersenyum gembira dan dengan kejayaan anaknya itu.
"Tahniah anak ibu!" Aunty Anne mengucapkan tahniah kepada anak kesayangannya itu.
"Ibu datang sini naik apa?" Nora Yuhanis bertanya kepada ibunya sambil mengelap air matanya.
"Ibu naik van kerajaan. Depa yang ambil ibu di rumah pagi tadi. Dieorang cakap keluarga kena ikut sekali, ada pengumuman penting. Tu yang ibu berkemas dan datang ke sini. Lagipun depa bagi makanan free, sedap-sedap, Nora." ujar Aunty Anne dengan sedikit loghat hokkiennya bercampur bahasa utara.
Nora Yuhanis hanya tersenyum apabila melihatkan keletah ibunya. Dia amat berharap agar dapat bersama-sama ibunya dalam meraikan kejayaannya itu. Dia juga bersyukur kerana ibunya turut sama hadir dan memberikan sokongan moral kepadanya ketika saat-saar kegembiraan ini.
"Malam ni ibu stay laa sini. Nora dapat satu bilik kat sini. Nanti besok kita boleh jalan-jalan kat Teluk Cempedak ke, ke Sungai Lembing ke tengok air terjun pelangi ke, ke Bukit Panorama ke..." Nora Yuhanis memujuk ibunya untuk tidur di Kuantan.
"Tapi... Baiklah... Ibu tidur kat sini. Tapi Nora janji tau bawak ibu pergi kat tempat tu semua yang Nora dah bagitahu tadi. Ibu ni tak pernah lagi pergi tempat-tempat tu." Aunty Anne mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju sambil tersenyum.
"Dah jom kita naik atas. Mana beg ibu, bak meh Nora bawakkan." Nora Yuhanis mengajak ibunya naik ke atas sambil tercari-cari beg luggage ibunya.
"Tapi, Nora. Bila berangkat ke Rusia? Nanti boleh shopping baju sejuk dengan barang-barang kat EC Mall depan ni besok. Kot-kot laa ada lagi barang yang nak kena beli, yang tak cukup ke..." Aunty Anne menghulurkan beg pakaiannya kepada Nora Yuhanis sambil kedua-duanya berjalan kaki ke arah lif yang berhadapan dengan Ballroom tersebut.
"Lagi dua minggu, Ibu. Baiklah, nanti kita cari baju sejuk yang tebal-tebal yer dalam tu. Ibu pun kena beli juga tau, mana tahu kena stay kat sana selama beberapa hari nanti masa Nora tengah training. Sambil-sambil ibu boleh melancong ke St. Basil Cathedral ke, area Red Square ke, banyak lagi tempat ibu boleh pergi." Nora Yuhanis hanya tersengih-sengih manja kepada ibunya sambil punat lif ditekan.
"Ishh... Ada-ada je lah kamu ni. Kita kesana bukan nak jalan-jalan, tapi kamu tu ada latihan, ada benda nak belajar. Mesti banyak tempat kat sana kamu dah tahu kan?" Aunty Anne membebel sendirian sambil dipandang oleh Nora Yuhanis. Dia suka melihat keletah ibunya yang kuat membebel itu.
"Ye lah. Orang dah study sikit-sikit pasal Rusia. Hehe.. Siap boleh cakap sikit-sikit tau." Nora Yuhanis menamatkan perbualan dan terus masuk ke dalam lif dah sudah terkuak pintunya. Mereka perlu turun ke lobby untuk mengambil kad akses sebelum naik semula menuju ke arah bilik.
***
Pada keesokan harinya, muka hadapan akhbar-akhbar utama negara memaparkan kelapan-lapan orang calon yang layak menjalani latihan di Rusia nanti. Mereka juga digelar sebagai 'The Greatest 8th','The Marvelous Oktagon', 'Lapan Terbaik', 'Misi Malaysia ke Angkasa kembali dihidupkan' dan pelbagai lagi tajuk yang merangkumi pelbagai bahasa dan budaya yang ada di negara ini.
***